Suruhanjaya tersebut harus ditubuhkan untuk menyiasat rampasan kuasa di Perak, terutama sekali mengenalpasti dalang perbuatan itu yang mengheret Perak ke krisis perlembagaan yang paling buruk dalam sejarah negeri itu. Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat berkata siasatan telus dan terperinci perlu bagi mengenalpasti apakah motif disebalik kudeta haram Barisan Nasional itu.
“Kita minta kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas menyiasat rampasan kuasa di Ipoh untuk mengenalpasi siapa yang terbabit, mengapa ia berlaku dan untuk apa ia berlaku,” kata Nizar.
“Sekiranya rampasan kuasa itu ada kena mengena dengan rasuah, kita mahu tahu siapa rasuah siapa supaya ia tidak lagi berlaku di masa akan datang. Maka dengan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja harus ditubuhkan untuk menyiasat krisis ini,” katanya kagi.
Nizar menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat semalam selepas tamat tempoh pergantungan dua hari keatas beliau dan enam lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana memakai lilitan “Bubar DUN” di dalam Parlimen. Pemakaian lilit kepala dan tangan menuntut DUN Perak dibubarkan adalah sebahagian daripada kempen wakil Pakatan Rakyat dalam usaha memulihkan demokrasi di Perak Darul Ridzuan.
Perak diheret dalam kemelut politik berpanjangan setelah Perdana Menteri Najib Razak dituduh mendalangi rampasan kuasa dengan “membeli” tiga ADUN Pakatan Rakyat termasuk dua yang menghadapi tuduhan rasuah.
Mantan Perdana Menteri Mahathir Mahathir Mohamad sebelum ini berkata sokongan ADUN yang terbabit dalam rasuah tidak akan memberi sebarang kredibiliti kepada BN mahupun UMNO.
“Saya telah mengutarakan soalan kepada Perdana Menteri, samada beliau mahu menjawab atau tidak kita tidak tahu, namun dalam masa yang sama juga kita kemukakan usul satu suruhanjaya ditubuhkan, dengan disertai oleh ulama-ulama untuk melihat apakah hukumnya merampas kuasa, dan dimana asas di dalam Al-Quran yang membenarkan mereka merampas kuasa,” kata Nizar.
Nizar berkata kerajaan BN tidak harus menolak cadangan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan itu kerana ia membabitkan kepentingan awam.
“Kita hendak seluruh rakyat Malaysia tahu ini satu tindakan yang zalim dari Umno-Barisan Nasional. Maka kita pohon satu suruhanjaya bebas ditubuhkan secepat mungkin. Sekiranya kes lebam mata Anwar Ibrahim dan skandal kehakiman VK Lingam ada suruhanjaya bebas ditubuhkan, kes Perak ini mempunyai implikasi yang lebih besar,” kata Nizar.