Ikuti Blog ini

Mereka berdua memang berbeza..



Salam Sejahtera.
Dalam dok membaca perkembangan politik tanah air terfikir pulak apa yang ditakdirkan oleh Allah S.W.T yang tak terfikir oleh kita semua...







Gambar di atas siapa yang tak kenal, seorang selebriti, pelawak, penulis lirik lagu terkenal dan penggiat seni..
.
Namun dengan tak disangka-sangka, dalam suasana parti PAS dicerca, dituduh sesat, manakala Tuan Guru Nik Aziz sendiri di hentam dari segala pelusuk umat Melayu mazhab UMNO, rupa-rupa saudara Bob Lokman masih mempercayai dengan parti PAS dan sanggup menjadi ahli dengan mengambil risiko yang tinggi yang telah sedia menunggu.


Berbeda pula dengan yang dibawah ni...




Siapa yang kenal dengan Ostad Kazim Elias Alhafiz.., Seorang penceramah tersohor di negeri Perak, popularitynya pun masya Allah, hebat sheikh!!, Satu Malaysia orang kenal dia ni, dan tak payahlah nak cerita banyak, semua orang dah tau..

Tetapi sayang,, dalam begitu punya hebat dengan keilmuan yang tinggi,,nak berjuang duduk dalam jamaah parti PAS pun tak mau,, asyik-asyik yang dia tau sebut,, saya belah mana pun tidak,,, UMNO pun tidak PAS pun tidak... phooorahh, asyik-asyik melayu, melayu, melayu......

Mengaku sajalah .. sayang kat melayu, sayang kat UMNO sekali... ....
Posted by Manjungmari

UcapanTG Nik Aziz di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jaminan PAS




Laporan Pilihanraya Kampus: Pro-M Menang Di UM, Tumbang Di UPM Berdemo Di UKM

Pro-M menang di UM

Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya memenangi pilihan raya kampus universiti itu hari ini.

Mereka menyapu bersih semua 9 kerusi umum dan mendapat 14 kerusi fakulti.

Lawan mereka hanya berjaya mendapat 16 kerusi fakulti.

Manakala calon bebas menang dua kerusi fakulti.

Keputusan diumumkan pada jam 6 petang tadi. Manakala tempoh bantahan ditetapkan sehingga jam 8 malam ini.

Bantahan tersebut akan diteliti esok dan keputusannya akan diumumkan lusa.

UPM: Pro-M tumbang

Sementara itu, keputusan tidak rasmi di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan Pro-Aspirasi terus berkuasa.

Kumpulan Pro-Mahasiswa hanya berjaya mendapatkan 12 kerusi daripada 44 yang dipertandingkan.

Daripada jumlah 11 kerusi itu, 2 adalah kerusi umum, 8 kerusi fakulti manakala sebuah kerusi siswazah lanjutan.

Pro-Aspirasi pula mendapat 31 kerusi. -mk

Gagal isytihar kelayakan calon Pro-A, Pro-M UKM berdemo

Pro-M UKM bantah berhubung kelayakan calon Pro-A bagi kerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

PETALING JAYA: Pilihan raya kampus di lima buah universiti masih berlangsung hari ini dengan kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan

Pro-Aspirasi (Pro-A) masing-masing bersaing sengit dalam merebut jawatan yang dipertandingkan.

Antara universiti itu termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Namun menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima FMT lewat petang ini mengatakan mahasiswa Pro-Mahasiswa UKM akan mengadakan demonstrasi dihadapan Pusat Penjumlahan Undi universiti terbabit.

SMS yang diterima daripada Ahli Majlis Tertinggi Pro-M UKM, Hilman Idham menyatakan demonstrasi itu akan diadakan jam 8 malam ketika penjumlahan undi diadakan.

Demonstrasi itu berikutan bantahan bertulis pihak Pro-M UKM berhubung kelayakan calon Pro -A bagi kerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pagi tadi.

Menurut jurucakap Pro-M, Faiz Ismail ketika dihubungi FMT berkata calon Pro-A Nur Elfarra Mohammad didakwa tidak layak bertanding ekoran gagal menghadiri bengkel kursus yang diwajibkan pihak unversiti.

Namun setelah perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP Musa Zainal Abidin kira-kira jam 12 tengah hari tadi menemui jalan buntu.

Menurut Faiz, pihaknya mendesak agar pencalonan calon Pro-A digugurkan, namun Musa mahu Pro-M menampilkan bukti berhubung dakwaan mereka mengenai Elfarra.

“Pihak Jawatankuasa Pelaksana terima bantahan bertulis itu dan mahu kami kemukakan bukti. Kami tampilkan dua saksi yang merupakan pelajar dari Fakulti Perniagaan yang mengenali Elfarra.

“Bukti utamanya adalah senarai calon yang hadir ke bengkel itu yang bukan ditokok tambah. Maka kami desak agar Musa memberi kerjasama dengan menyerahkan senarai itu, tapi beliau enggan kerana itu untuk rujukan beliau semata-mata,” katanya yang dihubungi FMT.

Bersikap ‘berat sebelah’

Faiz yang juga pelajar tahun akhir Fakullti Pendidikan mendakwa Musa yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan tidak sepatutnya bersikap ‘berat sebelah’.

“Bukti utama ada ditangan Musa…..beliau sepatutnya tidak berat sebelah dalam hal ini. Beliau patut beri kerjasama bagi bukti. Namun beliau enggan kerana beliau kata itu hak dia. Kami tanya staf UKM lain, mereka kata hanya Musa yang ada maklumat tersebut,” dakwa Faiz.

Faiz berkata akan berlaku kejutan pada malam ini, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Malah pihak calon daripada Pro-M bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan seperti mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Musa gagal dihubungi FMT bagi ulasan lanjut berhubung perkara ini. -FMT

Hadiah untuk Masturah

Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) termasuk calon yang hilang Masturah Abu Bakar memenangi pilihan raya kampus universiti yang diumumkan lewat petang ini.

Dalam keputusan yang diumum tadi, Pro-M memperoleh 23 kerusi termasuk kesemua sembilan kerusi umum manakala barisan Pro Aspirasi yang menguasai 16 kerusi dan dua lagi oleh ‘calon’ Bebas.

Sebanyak 41 kerusi termasuk sembilan umum dipertandingkan kali ini.

Keputusan pengundian yang dijalankan menggunakan sistem elektronik diumumkan pada pukul 6 petang tadi.

Masturah dilaporkan hilang kira-kira 30 jam sejak petang kelmarin, ditemui selamat tengah malam tadi.

Pelajar jurusan syariah dan sains politik Islam memenangi kerusi umum.

Dia dikatakan hilang ketika berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam di sini, yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM. -TMI


Punca kehilangan Masturah masih misteri

Punca kehilangan calon umum Pro-Mahasiswa (pro-M), Masturah Abu Bakar terus menjadi misteri apabila dia tidak mahu menjawab soalan wartawan mengenai apa yang telah berlaku terhadapnya ketika dia dilaporkan hilang kelmarin.

Sebaliknya, dia hanya menunjukkan isyarat tangan yang dia tidak mengulas apa-apa mengenai kejadian itu.

Masturah kelihatan tenang, tetapi diam sepanjang sidang akhbar yang diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya petang ini.

Bagaimanapun, ketika itu kedengaran seseorang yang berdiri di belakang ibunya - Mariam Abdul Rashid - berkata dia (Masturah) tidak sedar apa yang berlaku.

Selepas itu, ibunya mencelah: "Kita serahlah kepada polis untuk menyiasat siapa yang bertanggungjawab dan sebab-sebabnya. Polis bekerjasama dan melakukan siasatan selanjutnya."

Mariam menambah, polis telah merakamkanya kenyataan anak ketiganya itu.

Kelmarin, rakannya telah membuat laporan polis selepas Masturah hilang ketika berkempen untuk pilihan raya kampus UM.

Dia bagaimanapun ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira jam 12.30 malam tadi.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Marian menyifatkan kehilangan Masturah sebagai satu perkara yang tragis kepada keluarganya

Hadir sama dalam sidang akhbar pada jam 2.20 petang ini ialah bapanya - Abu Bakar Din - serta empat sepupunya yang bertubuh sasa dan berkaca mata hitam, difahamkan menjadi pengawalnya.

Masturah hanya berdiam diri sepanjang sidang akhbar tersebut.

"Saya tidak menyangka kerana anak saya ini, adalah seorang yang baik sejak kecil hingga sekarang.

"Saya harap kehilangannya tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Kehilangan anak saya ini, ada pihak yang bertanggungjawab melakukannya," tambah Mariam.

Ditanya mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap kehilangannya anaknya itu, Mariam berkata:

"Kita tidak mengesyaki sesiapa, saya bercakap secara umum dan kebetulan ia berlaku dalam suasana kempen pilihan raya kampus.

"Saya tidak tuduh mana-mana pihak kerana ia berlaku dalam kesibukan kempen pilihan raya kampus," katanya.

Mariam bagaimanapun, kesal kerana kehilangan anaknya itu dilaporkan oleh kawan-kawannya tetapi bukan pihak universiti.

Bagaimanapun, katanya, timbalan naib canselor UM ada menghubunginya.

Ketika wartawan bertanya Masturah sama ada beliau sedar apa yang berlaku, ibunya terus mencelah dengan berkata:

"Kita tidak tahu. Suasana masih baru bagi dia. Jadi, tidak adil kita menekan dia, (dengan) menanyakan apa yang berlaku.

"Sebagai keluarga saya memberi ruang dan tempoh untuk berehat. Nanti dalam tempoh yang baik, selepas pulih, kita mungkin akan dapat maklumat," katanya.

Mariam berkata, Masturah menelefonnya tengah malam tadi, sambil menangis, dengan menggunakan telefon yang dipinjam dari seorang peniaga dekat masjid tersebut.

Selepas itu, kata Mariam, beliau bercakap dengan pemilik telefon tersebut untuk mengetahui lokasi Masturah ketika itu, sebelum bergegas ke sana.

Mengenai spekulasi yang Masturah kemungkinan ada kaitan dengan 'makhluk halus' Mariam berkata: "Saya tidak tahu, tetapi yang penting ada orang bawa dia. Saya minta rujuk kepada polis." -mk

Mengapa SPR enggan terima bantahan



AMPANG, 21 Feb: Pihak-pihak yang bertanggungjawab digesa menjalankan penyiasatan terperinci ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana dibimbangi telah dijadikan alat oleh Barisan Nasional (BN) untuk mendapat kemenangan secara tidak bertanggungjawab dalam pilihanraya umum akan datang, terutama di Selangor.

Tindakan tersebut disyaki telah dilakukan oleh BN setelah kecewa dengan penerimaan rakyat tehadap kempen-kempen mereka di Selangor, sehingga mendorong para pemimpinnya menggunakan apa saja cara untuk mencapai matlamat mereka.

PAS Kawasan Pandan dalam gesaannya telah menemui beberapa bukti berhubung perkara itu, sehingga menyebabkan para pemimpin dan ahli-ahlinya amat tidak berpuas hati dengan senarai pemilih baru yang dipamerkan oleh SPR dari 9 hingga 15 Februari lalu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Iskandar A. Samad menegaskan, terdapat tiga kekeliruan berhubung perkara itu iaitu pemilih-pemilih yang didaftarkan pada alamat yang tanpa nombor rumah, pemilih-pemilih yang didaftarkan pada alamat yang tidak wujud dan pemilih yang dikenalpasti tidak wujud di alamat yang didaftarkan.

Menurut beliau, mereka tidak faham kenapa masih terdapat alamat pemilih tanpa nombor rumah, pada hal terdapat pemilih-pemilih yang cuba didaftarkan oleh Penolong Pemilih mereka tetapi telah ditolak kerana alamat tidak lengkap.

"Jadi persoalannya sekarang, siapa yang telah mendaftarkan mereka? Kami juga ingin menyatakan rasa kesal di atas sikap pegawai-pegawai SPR di pejabat mereka di Shah Alam yang bersungguh-sungguh enggan menerima bantahan-bantahan kami," katanya pada sidang akhbarnya di Pusat Khidmat PAS Pandan di Pandan Indah, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga amat kesal kerana pegawai-pegawai SPR di Shah Alam bertindak kasar dan tidak profesional ketika mereka mengadakan bantahan itu baru-baru ini yang ternyata mahu menolak bantahan-bantahan itu tanpa alasan kukuh.

Beliau yang juga Adun Chempaka menegaskan, pada hal bantahan-bantahan itu dibuat mengikut peraturan dan sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan oleh pihak SPR sendiri.

"Sikap SPR ini seolah-olah terdapat muslihat tertentu. Kenapa SPR begitu bersungguh-sungguh hendak menolak bantahan-bantahan yang dibuat oleh kami? Apa yang SPR cuba sembunyikan?" katanya.

Hanya setelah didesak dengan keras oleh mereka sehingga menimbulkan suasana kurang baik, jelasnya, barulah SPR telah menerima bantahan-bantahan itu.

Bantahan yang dibuat oleh mereka pada hari itu, menurut beliau lagi, melibatkan 7 orang pengundi muda di kawasan Dun Chempaka dengan lima daripadanya lelaki dan dua lagi perempuan.

Antara perkara yang amat mengelirukan pada pendaftaran pengundi tersebut, ada di antaranya bernama Melayu tetapi dicatatkan tinggal di kawasan kilang Cina, pada hal di kawasan kilang itu tiada sesiapa pun yang tinggal, apatah lagi orang Melayu.

"Tidakkah pelik dengan apa yang berlaku itu? Untuk melakukan bantahan pula bukan senang. Banyak prosedur yang terpaksa diikuti, selain dikenakan bayaran RM10 untuk bantahan setiap seorang dan RM200 untuk peringkat pendengaran oleh pihak SPR," tegasnya.

Dun Chempaka mempunyai jumlah pengundi 32,000 orang. Peningkatan pengundinya sejak PRU Ke-12 lalu hingga kini agak tinggi iaitu seramai 1,600 orang dengan tujuh daripadanya termasuklah mereka yang dibantah oleh mereka pada hari itu. -Hrkh

Fitnah II: Pakar DNA tidak ikut garis panduan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes fitnah II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini dengan peguam bela terus menyoal balas pakar DNA, Ketua Unit Jenayah Berat Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hoong di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada perbicaraan 18 Febuari lalu, mahkamah digemparkan dengan keterangan Dr Seah bahawa terdapat kemungkinan sampel yang diambil dari tubuh pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan membabitkan 10 lelaki.

Terdahulu, pada hari sebelumnya, mahkamah turut digemparkan dengan penemuan tiga DNA lelaki pada calitan yang diambil daripada tubuh Saiful, juga yang diakui oleh Dr Seah.

10.44 pagi – Setelah bertekak dengan Ram Karpal, Dr Seah mengakui bahawa laporan yang disediakannya tidak mengikut garis panduan dalam risalah berkala International Society of Forensic Genetics yang mana beliau merupakan ahli.

“Laporan anda tidak mengikut garis panduan antarabangsa yang anda merupakan ahlinya sendiri?” tanya Ram Karpal.

“Ya,” akur Dr Seah.

Sebelum itu Ram Karpal mengeluarkan satu risalah berkala daripada International Society of Forensic Genetics dan memberikannya kepada Dr Seah untuk dirujuk.

10.43 pagi – Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani tiba di galeri awam.

10.08 pagi- Mahkamah berehat sebentar. Ram Karpal memerlukan sedikit masa untuk meneliti dokumen. Hakim Zabidin menetapkan perbicaraan bersambung semula 10.20 pagi.

10.01 pagi – Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff sampai di mahkamah. 10.00 pagi – Dua orang lelaki kelihatan seperti polis cawanngan khas (SB) meninggalkan galeri awam.

9.46 pagi – Ram Karpal menekan Dr Seah dan mahu Dr Seah menjawab soalan-soalan yang dikemukakannya secara terus terang agar lebih banyak masa tidak dibazirkan.

9.26 pagi – Ram Karpal mempertikai mengapa Dr Seah tidak menjalankan penilaian statistik untuk memastikan DNA Saiful benar-benar berada pada putik kapas B5.

9.02 pagi – Dr Seah Lay Hong angkat sumpah sebagai saksi. Ram Karpal memulakan soal balas Dr Seah.

9.01 pagi – Perbicaraan bermuladi hadapan hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah

8.58 pagi- Datuk Seri Wan Azizah berbual-bual dengan Param Cumaraswamy. Sankara pula berkata-kata sesuatu dengan Anwar yang berada di kandang pesalah. Peguam Anwar hari ini adalah Ram Karpal, Sankara, Param Cumaraswamy.

Tiada Bukti Beng Hock Melompat Keluar

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock dimaklumkan bahawa tiada bukti yang ditemui menunjukkan pembantu politik DAP itu melompat dari sebuah tingkap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut penyiasat forensik, Mazli Jusoh Che Kob (gambar) beliau tidak menjumpai sebarang tanda-tanda di sekitar bingkai tingkap yang menunjukkan seseorang cuba keluar dari tingkap berkenaan.

Pejabat SPRM itu terletak di tingkat 14, Plaza Masalam di Shah Alam manakala mayat Teoh dijumpai pada aras 5 di koridor berkenaan pada 16 Jun 2009 selepas disiasat semalaman sebagai saksi.

Mazli yang disoal oleh wakil Majlis Peguam, Chris Leong, juga bersetuju jika seseorang ingin keluar ikut tingkap, mereka akan memegang bingkai tingkap ataupun duduk di ambangnya - yang kemungkinan besar akan meninggalkan tanda-tanda.

Polis perlu menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Andul Aziz dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull kerana mereka berdua diantara yang paling tegar menyatakan Teoh Beng Hock membunuh diri dengan melompat keluar dari sebuah tingkap di bangunan Masalam. -GB

Kenapa Bob Lokman sertai PAS

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Pada 19 Februari lalu, pelakon dan penulis lirik terkenal Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman mengejutkan banyak pihak apabila menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30 ribu Pemuda PAS, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar, kelmarin.

Bob, penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.

Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy, Ito daripada kumpulan Blues Gang dan Ringgo dari kumpulan Arrow telah menyertai PAS lebih awal.

Harakahdaily sempat bertemu beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan beliau itu.

Ikuti temubual beliau dengan wartawan Nazri Abdullah.

Harakahdaily: Apa yang menyebabkan saudara Bob terdorong untuk memilih dan menyertai PAS?

Bob Lokman: Sebab saya rasa ada masalah dengan sistem kehidupan. Saya nak mendidik anak saya dengan jalan Islam tetapi dia ada masalah dengan sistem persekolahan, sistem pergaulan, dan sistem masyarakat.

Bila saya di rumah suruh dia sembahyang, di luar ada kumpulan yang suruh dia buat benda lagha. Masa saya muda dulu saya tak sedar, dan itu berlaku pada anak saya sekarang, dan sekarang sara rasa tanggungjawab pada anak.

Tengok anak kita tidak menjadikan Allah nombor satu... dia duk ikut ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, pada hal Allah nombor satu, takwa diutamakan tapi anak-kita tak tahu.

Harakahdaily: Jadi adakah faktor anak saudara itu yang telah mendorong saudara menyertai PAS?

Bob Lokman: Ya...Saya selalu merasa saya gagal mendidik anak saya dan rasa saya akan masuk neraka. Kerana itu saya rasa tidak ada tempat nak mintak bantuan, saya masuk PAS ini saya rasa ada jemaah yang boleh membawa saya ke jalan yang betul.

Mengakkan Islam itu adalah wajib, kalau saya tak terlibat, harapkan orang lain berjuang, apa akan jadi dengan anak saya nanti.

Harakahdaily: Saudara tahu PAS adalah parti pembangkang. Jadi adakah saudara tidak risau ianya akan menjejaskan sumber rezeki saudara dalam kerjaya saudara.

Bob Lokman: Saya tahu risiko itu, tapi saya serahkan rezeki saya bulat-bulat pada Allah, yang penting saya dapat selamatkan kehidupan anak saya di dunia dan saya tak masuk neraka.

Harakahdaily: Sejak kebelakangan ini, saudara dilihat banyak memegang watak-watak sebagai seorang alim berbanding watak lain termasuk pelawak. Adakah itu perubahan berterusan yang saudara akan lakukan.

Bob Lokman: Mengikut pandangan ustaz-ustaz yang saya belajar, sebab berlakon itu sumber rezeki saya, ustaz-ustaz kata boleh berlakon tetapi pilihlah watak-watak yang tidak menjadikan dosa bila kita dah tak ada nanti, pilih watak yang mendatangkan manfaat.

PAS Kelantan alu-alukan Bob Lokman

Sementara itu, di KOTA BHARU, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, mengalu-alukan kemasukan artis terkenal negara yang juga penulis lirik lagu 'berhantu' Isabela, Bob Lokman yang kini telah menjadi ahli PAS.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, ketika dihubungi juga turut mengucapkan tahniah di atas keberanian artis terkenal yang juga berasal dari Kelantan itu.

Sambungnya, penerimaan artis itu untuk bersama PAS cukup membuktikan parti yang memperjuangkan Islam itu tidak pernah menutup pintunya untuk mana-mana artis.

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan keputusan yang diambil Bob Lokman, memandangkan latarbelakang artis itu merupakan cicit ulama terkenal Kelantan iaitu, Tok Kenali.

“Apapun tahniah kami ucapkan di atas keputusan yang diambil dan berharap beliau mempertahankan sebaik mungkin keputusan yang diambil.

“Kita juga berharap beliau akan menjadi ikon kepada generasi muda dalam memilih cara hidup yang baik,”ujarnya.

Semalam, Bob Lokman telah membuat kejutan besar pada majlis Himpunan Pemuda PAS 30k bersama pimpinan tertinggi Pemuda PAS.

Tidak cukup dengan itu beliau telah menyerahkan borang keahlian menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah. -Hrkh

Tunjuk Perasaan Di Libya, 200 Terbunuh

Sekurang-kurangnya sejumlah 200 orang telah terbunuh dalam operasi pihak berkuasa memerangi kebangkitan rakyat yang menentang pemimpin Muammar Gaddafi di Libya, kata seorang doktor di bandar Benghazi semalam.

Menurut doktor itu, hospital tempat dia bekerja menerima 200 mayat yang mati ditembak oleh pasukan keselamatan sejak beberapa hari lalu. Mayat-mayat itu merupakan penunjuk perasaan menuntut Gaddafi meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi negara berkenaan.

Doktor itu menyatakan, hospitalnya itu mengalami masalah kekurangan bekalan perubatan untuk merawat lebih 70 penunjuk perasaan yang cedera.

Sebelum ini seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch, Tom Porteous memberitahu agensi berita AFP, bahawa keadaan di negara itu sukar digambarkan kerana komunikasi di Libya amat sukar.

Dia berkata, pemerintah Libya menutup semua komunikasi Internet sejak kelmarin dan gangguan dalam perkhidmatan telefon telah menyebabkan amat sukar untuk memperoleh maklumat mengenai apa yang berlaku di negara berkenaan.

Tentera Libya dilapor melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang menghadiri pengebumian rakan mereka yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di bandar Benghazi kelmarin.

Dalam kejadian itu, 15 orang dilaporkan mati akibat ditembak anggota-anggota pihak berkuasa.

Sementara itu, sejumlah penunjuk perasaan tidak mempedulikan operasi memerangi tunjuk perasaan apabila mereka kembali berhimpun di sebuah dataran di luar sebuah bangunan di bandar Benghazi.

Para penunjuk perasaan itu menuntut Gaddafi supaya berundur selepas melihat penunjuk perasaan di Kaherah yang berjaya menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.

Gaddafi, 68, yang memerintah selama empat dekad masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai tunjuk perasaan itu.

Beliau menjadi pemimpin selepas mengetuai beberapa pegawai tentera lain melakukan rampasan kuasa aman daripada pemerintah Libya, Raja Idris pada 1 September 1969.

Ketika rampasan itu, Raja Idris berada di Turki untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Rampasan itu dibuat ekoran perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan Raja Idris yang dianggap tidak cekap.

Minyak merupakan eksport Libya yang mewakili dua peratus daripada eksport minyak dunia.

Syarikat-syarikat minyak seperti Shell, BP dan Eni melabur berbilion-bilion dolar dalam industri minyak di negara itu. - Agensi









Khasiat Budu Terbongkar...

Sumber dari: Wikipedia

Budu yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman. Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki glutathione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser.

Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan "kuno".

Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal. Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab cirit (diarrhoea), penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi.

Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh. Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Hidangan budu bersama nasi kerabu

Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya, kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).

Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin). Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin - yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan.

Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon.

Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas. Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.

Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium. Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research.

Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan, kerana ia telah disepara cerana oleh bakteria. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu seumpama cecair pelbagai vitamin yang memenuhi segala keperluan untuk tubuh badan.

Pelajar Calon Pro-M Yang Hilang Ditemui Di Bangi


Kuala Lumpur, 21 Feb: Calon Pro-M Universiti Malaya, Masturah Abu Bakar yang dikatakan hilang ditemui selepas berapa siri kempen pilihan raya kampus di universiti itu.

Harakahdaily difahamkan, pada pukul 10.40 malam tadi pihak Pro-M menerima maklumat Masturah dijumpai di Bangi.

Berapa anggota Pro-M bergegas ke Bangi dan beliau dijemput oleh ahli keluarga dan dibawa balik ke rumahnya di Sungai Buluh.

Mereka terus bergegas ke rumahnya dan mengesahkan perkara tersebut. -harakahdaily

Calon pilihan raya kampus UM ditemui selamat

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Calon pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar, yang dilaporkan hilang kira-kira 30 jam sejak petang kelmarin, ditemui selamat tengah malam tadi.

Pelajar itu ditemui rakan-rakannya dalam keadaan menangis di Masjid Terang Jenang, kira-kira 36 kilometer dari lokasi dia dikatakan hilang.

“Masturah kini berada di Sungai Buloh dan selamat bersama keluarganya,” kata pengerusi pro Mahasiswa Mohd Taufiq Abdul dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Laporan Bernama malam tadi menyebut, pelajar berkenaan hilang ketika berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam di sini, yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis menerima laporan mengenai kehilangan penuntut berusia 22 tahun itu, dan telah mengadakan operasi mencari mangsa di sekitar pangsapuri tempat ia berkempen tetapi tidak berjaya menemuinya.

Wan Abdul Bari berkata Masturah dilaporkan hilang kira-kira pukul 5 petang kelmarin semasa dia bersama seorang lagi rakannya berkempen.

Rakan mangsa melaporkan bahawa Masturah pergi membeli tambah nilai kredit telefon dan meminta rakannya itu menunggu di Blok E, pangsapuri itu, dan “setelah lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata selepas enam jam mencari bersama penduduk di kawasan berkenaan, rakannya kemudian membuat laporan polis. Masturah, yang merupakan calon pro-Mahasiwa, bertanding kerusi umum pilihan raya kampus itu yang berlangsung hari ini, dilaporkan menerima khidmat pesanan ringkas berbaur ugutan dari orang yang tidak dikenali sebelum ini, katanya.

Seramai 43 kerusi MPP UM dipertandingkan pada sesi 2010/2011 yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah. -TMI


Calon pilihan raya Universiti Malaya didakwa hilang

Gambar: Mastura didakwa hilang secara tiba-tiba selepas berkempen kelmarin.

KUALA LUMPUR – Keghairahan calon-calon pilihan raya kampus berkempen bagi merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM) di sini bagi sesi 2010/2011 gempar apabila salah seorang calon yang bertanding dilaporkan hilang kelmarin.

Sebelum hilang pukul 5 petang kelmarin, calon tersebut, Mastura Abu Bakar, 22, yang mewakili Pro-Mahasiswa (Pro-M) dipercayai keluar berkempen bersama beberapa rakannya di kawasan perumahan Taman Pantai Permai, Jalan Pantai Permai yang banyak didiami pelajar UM.

Namun Mastura didakwa tiba-tiba hilang oleh rakan-rakannya selepas menamatkan aktiviti berkempen pada hari tersebut.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd. Taufiq Abdul berkata, sebelum hilang, Mastura dan rakan-rakannya berkumpul di antara blok D dan E di sebuah pangsapuri Taman Pantai Permai.

“Mangsa kemudian pergi membeli kad tambah nilai telefon di sebuah kedai tidak jauh dari situ sebelum meminta rakan-rakan menunggunya di blok E.

“Bagaimanapun, setelah lama menunggu, Mastura tidak muncul, malah dia juga gagal dihubungi,” kata Mohd. Taufiq kepada Kosmo! di sini semalam. -kosmo

DS ANWAR: PEMBERIAN KONTRAK PETRONAS KEPADA PIMPINAN UMNO



KERDAU - Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah mendedahkan pemberian kontrak bernilai RM2.45 bilion bagi membina pelantar minyak kepada tiga syarikat dipercayai milik kroni Umno Barisan Nasional (BN). Ketua Umum KEADILAN itu tidak menolak kemungkinan tiga syarikat itu dikhuatiri berperanan menyalur sebahagian keuntungan kepada Umno BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Saya mahukan wang itu dikembalikan kepada rakyat. Barulah kita mengangkat martabat serta taraf hidup rakyat. Saya nak jadikan Malaysia negara model, negara contoh apabila kita memerintah,” katanya.

Awal Februari ini, Petronas mengumumkan pemberian kontrak Perkhidmatan Risiko (RSC) kepada Petrofac Energy Developments Sdn Bhd (Petrofac), Kencana Energy Sdn Bhd (Kencana Energy) dan Sapura Energy Ventures Sdn Bhd (Sapura Energy).Ketiga-tiga syarikat ini dikatakan mempunyai kaitan dengan pimpinan dan anak kepada bekas pimpinan Umno.

Sapura Energy, anak syarikat SapuraCrest Petroleum Bhd (SapuraCrest) dianugerah kontrak untuk membangunkan pelantar minyak dan gas berantai yang dianggar bernilai AS$800 juta (RM2.45 bilion) di persisiran pantai Semenanjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kencana adalah Datuk Mokhzani Mahathir, anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini dinamakan sebagai antara individu terkaya di Malaysia dengan harta peribadi bernilai RM1.075 bilion.

Anwar juga mendedahkan sebuah nama syarikat yang di beri nama CARIMIN yang di katakana ada hubungan antara pemimpin dalam negera ini.

“Saya mahu hantar Najib jadi duta besar Malaysia ke Mongolia,” kata Anwar disambut sorakan meriah dan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak dilancar dengan jayanya

Alhamdulillah,hanya selang beberapa hari TPM Muhyidin menyatakan kegusarannya terhadap kebangkitan PAS di Sarawak, 20 Feb 2011 menjadi satu tarikh bersejarah pemantapan posisi PAS dalam landskap politik Sarawak. Bertempat di Miri,lebih 500 penyokong PAS dengan lebih separuh kehadirannya adalah penyokong PAS bukan Muslim,hadir dalam
program pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Sarawak.

Baik yang dari keturunan Penan,Kayan,Kenyah,Iban,Cina,Melanau dan Orang Ulu
serta lain -lain duduk semeja dalam sebuah dewan yang cukup indah bagi
emmbuktikan penerimaan pendudk Sarawak terhadap PAS.Program bermula
dengan persembahan Tarian Singa oleh Pasukan Tarian Singa DAP Miri.

Lebih menarik alunan bacaan Al-Quran diikuti Tafsir yang
diperdengarkan memberi satu suntikan semangat pada petugas PAS Miri
disamping diterima baik penjelasannya oleh penyokong Dewan Himpunan.
Program pelancaran disempurnakan gilang gemilang oleh YB Ustaz
Nasharudin Md Isa,Timbaalan Presiden PAS.

Dalam ucapannya ,beliau mengingatkan Regim Taib Mahmud bahawa kuasa rakyat mampu menumbangkan kekuatan mana-mana kerajaan didunia,ini dibuktikan kejatuhan Regim
Hosni Mubarak,yang kononnya berkuasa dan didalangi US,namun
kebangkitan rakyat yang tertindas tidak lagi dapat dibendung.

Iklim politik antara Taib dan Hosni ,yang mengaut keuntungan dan kekayaan
sedangkan rakyat hidup merempat di bumi Sarawak yang kaya dengan hasil
minyak,gas dan balak,menjadi petanda jelas akan kejatuhan Taib. Ucapan
Ustaz Nasha mendapat tepukan gemuruh dari hadirin dan menjadi pembakar
semangat petugas bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Miri dan
seluruh Sarawak dalam PR DUN akan datang seterusnya PRU 13 kelak.

Turut hadir ialah Presiden SNAP,Edwin Dundang,Dr Micahel Teo(PKR),Mdm
Eunice Lim (DAP) dan pimpinan PAS Negeri iaitu Haji Adam
Ahid,Pesuruhjaya PAS Sarawak ,abd eddy(Ketua Pemuda PAS) dan YDP PAS
Miri,Tuan Haji Jofri Jaraiee dan Encik Hu Pang Chow(Pengerusi DHPP
Pusat) dan Encik Yeo(DHPP Sarawak)

Oleh : PAS Miri

Bob Lokman Hapuskan Khurafat "Masuk PAS Jadi Miskin"

Penyertaan Bob Lokman, selebriti tanahair yang sentiasa mencuit hati para penonton dan pendengar merupakan menjelas satu sikap kebenranian beliau untuk memberitahu kepada semua bahawa "rezeki manusia itu ditentukan oleh Allah s.w.t. bukan oleh kerajaan atau makhluk Allah yang lain".

Tatkala ramai yang terpinga-pinga dan khuatir jika periuk nasi mereka terjejas jika menyokong PAS atau parti komponen Pakatan Rakyat lantaran takut jika berbuat demikian akan menyebabkan mereka digam dan dihalang dari media massa perdana seperti radio dan stesyen televisyen, Bob Lokman tidak memperdulikan itu semua kerana keyakinan beliau bahawa bukan manusia lain yang menentukan rezeki kita di atas dunia ini.

Sepastinya bukan calang-calang orang yang boleh berkeyakinan sedemikian. Ia satu ujian untuk seorang artis terkenal sepertinya. Tetapi apabila hati telah penuh dengan kecintaan kepada kebenaran, ia tidak dapat disembunyikan sekalipun selama ini ramai para artis yang telah melihat kebenaran tersebut cuma beliau berani untuk menyatakan secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Bob Lokman kelmarin.

Allah - sebagai Ar-Razak (pemberi rezeki), tidak ramai yang meyakininya, jika ada yang yakin, tidak ramai pula yang mampu membuktikannya melalui tindakan.

Bob Lokman akhirnya dapat menembusi dinding kelemahan jiwa itu. Untuk terus dengan lantang membebaskan dirinya dari "khurafat" yang dipegang oleh ramai manusia lain termasuk kadang kalanya oleh para ugamawan sendiri, para ustadz dan mereka yang berpengetahuan agama sekalipun, yang khuatir dan takut untuk bersama PAS lantaran takut "kemiskinan" akibat dibuang kerja, ditukar, diturunkan pangkat, dipulau, disisih, tidak mendapat projek atau apa juga tekanan jika menyertai PAS.

Syaitan sentiasa cuba menghalang manusia daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan tentang bahaya ini di dalam al-Quran seperti berikut: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah ayat 168-169)

Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia ialah dengan dengan kemiskinan iaitu jika tidak bersama "mereka", maka kita akan menjadi miskin.

Mereka tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah, dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki.

Membebaskan diri dari belenggu pemikiran syaitaniah yang menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan ini merupakan satu sikap jati diri yang perlu ada bagi setiap ahli jemaah.


Syaitan menjanjikan (menakut-nakut) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah ayat 268)


GB mengucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada Bob Lokman yang membuat keputusan TEGAS dan BERANI, dan semuga Allah melimpahi rahmatNya kepada beliau bagi menghapuskan "khurafat kemiskinan" yang dijaja oleh sesetengah pihak kononnya akan menjadi miskin dan papa jika berjuang di dalam Parti Islam SeMalaysia. -GB

foto ehsan demokrasi93





Tiga Anggota Polis Di Kemaman Didakwa Terima Rasuah

http://buletinonline.net/images/stories/berita42/IPD_Kemaman.jpgKEMAMAN — Tiga anggota polis masing-masing berpangkat Koperal, Sarjan dan Sarjan Mejar pada Ahad mengaku tidak bersalah di mahkamah Sesyen di sini, atas dakwaan menerima rasuah dari seorang kerani sebuah syarikat besi buruk.

Koperal Baderulhisham Abdullah Sani, 46, Sarjan Almi Yaccob, 56 dan Sarjan Mejar Shamsudin Omar, 52 yang bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Kemaman didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Baderulhisham didakwa menerima suapan berjumlah RM500 dari Nor Hasni Maria Ab Rahim untuk tidak melakukan sebarang pemeriksaan rekod belian besi buruk di premis RBA Metal Sdn Bhd di Jalan Bukit Kuang, di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 4.50 petang 17 Dis 2009.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Ahmad Bazli menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes itu bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000.

Sementara itu, Almi menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan masing-masing sebanyak RM500 pada 12.25 tengah hari 8 Januari 2009, pukul 11.55 pagi 5 November 2009 dan 2.30 petang 9 Disember 2009 daripada Nor Hasni Maria.

Shamsudin pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Almi menerima suapan masing-masing RM500 pada masa dan tarikh yang sama daripada Nor Hasni Maria.

Almi dan Shamsudin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan kedua-duanya diikat jamin masing-masing sebanyak RM5,000 dan menetapkan tarikh 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syafinas Shabudin.- Bernama

Fuhh..Panass,Kediaman "Gila" Kerabat Taib Mahmud..

Salah sebuah Kediaman Mewah Taib Mubarak (Mahmud)

Rumah Jamilah,Anak Taib Mubarak

Rumah Abang Taib Mubarak..Ali Mahmud

Rumah Abang Taib Mubarak..Tufail Mahmud (Ada 27 Bilik)

Rumah Abang Taib Mubarak..Arip Mahmud


Juragan : MasyaAllah..betul kata member gua,slogan keramat
Umno "Rakyat "Bangang" Pemimpin Haprak Berkuasa"

Renunglah Sebahagian Khutbah Akhir
Rasullullah Sebelum Wafat..

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini
dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta
setiap muslim sebagai amanah suci."

"Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak.Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang
lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhnya
kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat
perhitungan di atas segala amalan kamu."

Program Ceramah PAS Merlimau Dihadiri 5000 Orang Sekalipun Cuba Dibatalkan Oleh Polis

Program ceramah Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang dan Sdra. Mohd Sabu di Merlimau Utara berjaya juga diadakan sekalipun ianya cuba disekat oleh pihak polis yang pada awalnya telah mengarahkan supaya program tersebut dipindahkan atau dibatalkan.

Beberapa pimpinan PAS telah berhujjah dengan Ketua Polis Daerah Jasin yang kemudiannya mengizinkan ceramah diteruskan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

GB telah turut bersama berhujjah kepada pihak polis berkenaan dan bertanya samada kedatangan mereka untuk menyekat program ceramah PAS tersebut adalah sebenarnya datang dari "arahan pihak tertentu," ketua polis tersebut sekadar tersenyum dan mengakuinya dengan menyatakan "saya tidak perlu ulas dan tak perlulah bagitahu siapa yang mengarahkannya."

Program ceramah diteruskan dengan kehadiran lebih dari 5 ribu orang rakyat tempatan dimulai dengan ucapan Sdra Adly Zahari, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari yang melahirkan rasa kesal dengan tindakan UMNO memperalatkan pihak polis bagi menganggu program PAS.

"Sedangkan mereka menggunakan kemudahan awam seperti bangunan Politeknik tanpa sebarang sekatan," ujarnya.

Mohd Sabu di dalam ceramahnya pula meminta rakyat Merlimau untuk menolak UMNO di dalam pilihanraya kecil 6 hb Mac ini supaya seorang pembangkang dari PAS dapat bersuara di dalam dewan undangan negeri Melaka.

Beliau menegaskan bahawa apabila demokrasi cuba disekat, maka tragedi Mesir, Tunisia, Bahrain dan lain-lain akan berlaku dan sepastinya ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Beliau juga membidas pihak UMNO yang menuduh kononnya PAS kuda tunggangan DAP untuk disebarkan di kalangan orang Melayu, sedangkan dalamasa yang sama pihak MCA menuduh DAP kuda tungangan PAS di kalangan orang bukan Melayu.

Bekas Pengerusi GERAK yang juga Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus turut berceramah dengan mengajak pengundi di Merlimau supaya membuat pilihan yang betul di hari pengundian nanti. Beliau menjelaskan bahawa tiada rasuah mega di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Yang ada ialah sekeping kek yang dihadiahkan kepada TG Nik Abdul Aziz dianggapkan rasuah oleh Pemuda UMNO yang ketandusan modal dan dilaporkan kepada pihak SPRM.

Presiden PAS TG Abdul Hadi Awang yang berucap di majlis berkenaan menyatakan bahawa PAS berbeza dengan UMNO dimana UMNO tidak memperhitungkan nilai pahala dan dosa di dalam kehidupan berpolitik.

Semepena sambutan Maulidir-Rasul, kita sepatutnya mengambil pelajaran dari kehidupan Rasulullah supaya membina cara hidup yang diredhai Allah s.w.t.

Islam yang berkembang di Malaysia yang bermula di Melaka adalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

Perjuangan menentang penjajah di Melaka pada tahun 1511, kemudian kebangkitan rakyat menentang penjajah Belanda dan Inggeris selepas menentang Portugis membuktikan "rakyat" telah menentang penjajah lebih awal dari UMNO yang hanya memulakan penentangannya kepada Inggeris pada 1946.

Program ceramah PAS di Merlimau tersebut sekali lagi cuba diganggu oleh UMNO yang juga mengadakan program ceramahnya selang beberapa meter dari program PAS. Program tersebut lansung tidak diganggu oleh polis dan ianya hanya dihadiri sekitar 30-40 orang.





Beberapa pimpinan PAS termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Sdra Adly Zahari berhujjah dengan OCPD Jasin

Sdra Adly memulakan majlis ceramah

Mohd Sabu menyampaikan ceramahnya

Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang
Mohd Nazree Mohd Yunus
Antara hadirin yang mendengar
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .