Ikuti Blog ini

16 September - Sukar BN untuk gagalkan - Anwar


KUALA LUMPUR, 10 Sept -Barisan Nasional (BN) sukar untuk menggagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat dalam situasi negara ketika ini.

Demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam majlis solat tarawih dan hajat di rumahnya di Bukit Segambut malam tadi.

Sebelum itu beliau menjelaskan sebagaimana yang dilaporkan Mstar Online bahawa, sasaran 16 September bagi membentuk kerajaan yang baru boleh dianjak ke satu tarikh yang lain jika wujud masalah yang boleh menghalang proses peralihan kuasa seperti yang dirancang.

"Walaupun kita sudah ada sasaran iaitu pada 16 September, tapi gambaran setakat ini hasil perbincangan bersama PAS dan DAP, tarikh itu boleh kita anjak... kalau tak jadi 16 haribulan mungkin 20 haribulan kerana tarikh itu juga ada sejarah.

"Tapi saya fikir dalam keadaan sekarang adalah susah bagi mereka (kerajaan Barisan Nasional) untuk gagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat," jelas beliau.

Anwar menyatakan demikian sehari selepas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan hampir tiga jam pagi kelmarin susulan pertemuan informal lebih dua jam di ibu negara Ahad lalu.

Ketika ditemui semalam, beliau menjelaskan bahawa perancangan untuk membentuk kerajaan berjalan dengan lancar setakat ini.

Bagaimanapun malam tadi Anwar berkata, perbincangan secara terpeinci akan diadakan bersama pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti KeADILan, PAS dan DAP bagi meneliti sebarang risiko yang bakal terjadi.

"Esok saya perlu ikuti prosedur mahkamah. Jadi kemungkinan pada sebelah petangnya atau hari berikutnya kita akan bermesyuarat mengenai persediaan kita menghadapi 16 September," katanya.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri akan muncul di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini hari ini bagi mendengar sebutan semula kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 23.

Anwar mengumumkan pelan sasaran 16 September enam bulan lalu iaitu sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Tambah beliau, jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat sudah mencukupi.

"Jumlah mereka kita sudah ada. Tapi disebabkan mereka pergi lawatan 'menghayati Ramadan' di Taiwan kita perlu tunggu dahulu," katanya.

Menurut beliau lagi, ada antara Ahli Parlimen BN yang menyertai lawatan tersebut telah berjanji kepadanya untuk meneruskan matlamat mereka meninggalkan BN.

"Saya ada dapat maklumat bahawa mereka yang pergi itu tidak dibenarkan pulang sebelum 16 September bagi mengahalang sasaran kita," katanya.

Kes Anwar, campurtangan Gani Patail dipertikai


KUALA LUMPUR, 10 Sept - Pasukan peguam Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah perintah yang ditandatangani Peguam Negara untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun perintah yang ditandatangani Tan Sri Abdul Gani Patail dipertikaikan kerana Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini memberi jaminan, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Selain itu Abdul Gani dan Tan Sri Musa Hassan sedang menghadapi siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung membuat bukti palsu dalam kes-kes terhadap beliau 10 tahun yang lalu.

Pasukan Peguam Anwar turut mempertikaikan perintah tersebut yang didakwa ditandatangani oleh Abdul Gani bertarikh hari ini.

ImageHakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, SM Komathy Suppiah kemudiannya menangguhkan kes kepada 24 September depan.

Anwar dihadapkan di mahkamah yang sama pada 7 Ogos lalu atas tuduhan tersebut.

Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada hari ini.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pihak polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempat di situ.

Para wartawan pula diminta mendaftarkan di tiga tempat sebelum dibenarkan masuk ke kamar mahkamah untuk mengikuti kes Anwar.

Tentera jangan terjebak dengan politik perkauman Umno - Pemuda PAS



KUALA LUMPUR, 10 Sept - Dewan Pemuda PAS Pusat menolak sebarang campur
tangan tentera dalam isu perkauman yang dibangkitkan sekarang ini.

Ketuanya Salahuddin Ayub menafikan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang mengatakan isu tersebut boleh mencetuskan huru-hara.

Katanya, kenyataan Jeneral Abdul Aziz jelas menunjukkan bahawa pihak tentera sedang memantau keadaan yang ada, namun ia tidak bermakna tentera patut terlibat sama secara terbuka..

Jelas Salahuddin, pergolakan politik perkauman yang sedang berlaku sekarang ini bukan melibatkan pemimpin atau penyokong Pakatan Rakyat memandangkan seluruh penyokong Pakatan Rakyat telah mengambil sikap untuk merobohkan semua tembok perkauman.

Katanya, sikap yang ditunjukkan Pakatan Rakyat itu menyebabkan kaum Cina dan India tidak lagi kekok menyokong PAS yang selama ini dilabelkan sebagai ekstrimis Islam.

"Begitu juga orang-orang Melayu yang bersedia menerima DAP walaupun mereka sering dimomokan sebagai chauvenis Cina. Inilah satu pendekatan politik baru yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan persoalan perpaduan, keadilan dan kesamarataan daripada perbezaan warna kulit, bahasa dan kepercayaan. Inilah asas perpaduan yang dibina oleh Pakatan Rakyat.

"Keadaan ini amat berbeza dengan parti-parti perkauman yang bergabung secara rapuh dalam BN. Mereka bersatu kerana kuasa tetapi masing-masing bersikap chauvenis terhadap kaum masing-masing. Umno cuba menjuarai isu Melayu termasuk dan meminggirkan kepentingan bangsa lain," katanya dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, orang-orang Cina dalam MCA, Gerakan dan parti-parti Cina yang lain pula mendesak untuk kepentingan bangsa mereka. Manakala India dalam MIC dan PPP pula bercakap soal hak kaum mereka.

Katanya, anasir yang sama kini menular ke Sabah dan Sarawak yang mengakibatkan mereka bercakaran semasa sendiri untuk menjadi jaguh kepada kaum masing-masing.

Situasi yang berlaku ini katanya menunjukkan realiti politik perkauman BN yang kononnya membentuk kerjasama antara kaum, tetapi hakikatnya mereka tidak memperjuangkan kepentingan bersama, melainkan kaum sendiri.

"Hari ini apabila Umno terdesak mereka membangkitkan semula isu perkauman sehingga mendesak parti komponen BN yang lain keluar pakatan itu. Parti-parti lain pula mengambil kesempatan menyalahkan Umno kerana perkauman mereka.

"Keadaan ini yang menyebabkan krisis perkauman di negara kita. Ketika rusuhan kaum berlaku pada 1960-an juga, Umnolah yang membakar api perkauman ini. Begitu juga pada 1987 dan isu Kampung Medan," katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat telah menyedari keadaan ini dan PAS juga menganggap setiap kaum adalah bersaudara kerana semuanya berasal dari bapa yang satu, Adam.

Atas asas ini katanya, Dewan Pemuda melihat bahawa tentera tidak perlu mencampuri pergolakan perkauman kerana Umno dijangka akan memperalatkan pasukan pertahanan untuk mempertahankan survival politik sempit mereka.

Tambahnya, desas-desus bahawa tentera akan campur tangan sekiranya berlaku peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat yang sudah tersebar seolah-olah sengaja mewujudkan suasana perkauman yang keras seperti 1987 untuk dijadikan alasan bagi penahanan pemimpin pembangkang.

Sehubungan itu katanya, dalam keadaan perkauman yang tegang seperti ini, tentera sepatutnya berkecuali dan bukannya bersuara seolah-olah membenarkan rumusan yang mengatakan tentera akan mengambil negara ini jika BN tersungkur.

Salahuddin juga mengharapkan demokrasi dapat dipertahankan agar peristiwa yang berlaku di Thailand tidak berulang di sini.

Semoga kita dinaungi di bawah pimpinan ulama



Bulan Ramadan ini sesungguhnya adalah bulan terbaik untuk bermuhasabah. Dalam keadaan berlapar dan berdahaga maka wajarlah kita bawa hati kita untuk mengkaji semula tindakan dan perbuatan kita selama ini apakah ianya telah memberikan manfaat dan faedah khasnya buat Islam ataupun kita rupa-rupanya selama ini berada dalam keadaan merugi dan membawa padah kepadanya.

Memang sukar untuk berterus terang walaupun terhadap diri sendiri, tetapi mudah-mudahan keberkatan Ramadan akan mencetuskan keikhlasan sehingga membawa kita untuk mudah berterus-terang dan meneropong diri tanpa prejudis.

Di bulan inilah kita perlu mencuri peluang untuk banyak membaca dan mengikuti kuliah dan program agama bagi memantapkan kefahaman agama kita disamping memperbanyakkan membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktiqaf dan berdoa.

Ia laksana suatu persediaan bagi membolehkan kita mengharungi dengan jayanya bulan-bulan berikutnya di luar Ramadan nanti. Mengkoreksi diri setelah bermuhasabah adalah latihan paling mulia jika kita mampu melalui dan melaksanakannya.

Kalau sebelum ini kita berselisih pandangan, berlainan fikiran berhubung kaedah dan pendekatan, bercanggah fikiran, maka di bulan yang Allah perturunkan al Quran inilah sepatutnya kita bersedia membongkar kembali segala-galanya, serahkan penyelesaian kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., berdasarkan firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dikalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalams esuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya" (an Nisaa: 59)

Dan siapakah jika tidak yang lebih baik untuk kita gantungkan penyelesaian tadi selain mereka yang ahli di dalamnya. Tidakkah Rasulullah saw telah berpesan kepada kita bahawa ulamak itu adalah pewaris para Nabi.

Dalam ketiadaan Nabi dan Rasul maka ulamak Islam yang ikhlas dan beramal dengan ilmunya itulah yang sewajarnya menjadi rujukan kita, tanpa menafikan ada juga ulamak yang sebaliknya yang harus kita berwasapada darinya.

Bagi yang beramal dengan ilmunya dan menjiwainya pula itulah maka Allah telah meletakkan mereka pada makam yang istimewa dari kita yang awam ini. Tidak, mereka tidak maksum tetapi mereka dicampakkan dengan kelebihan dekat pada Allah lantaran ilmu dan amalan mereka itu. Allah SWT berfirman (Faatir : 28):

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun'"

Ulamak jenis ini adalah murrabi, mu'addib dan rabbani. Murrabi dalam ertikata mereka berusaha meningkatkan ketaqwaan kita bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan-Nya dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.

Mu'addib pula iaitu pendidik yang mendidik kita sebagai manusia yang benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia atau makhluk. Manakala Rabbani pula adalah mereka ini dekat dengan Allah, llmu mereka langsung diberi oleh Tuhan. llmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati.

Lantas dalam dunia yang serba penuh dengan pancaroba dan dugaan ini, selain kita bergantung hidup pada fakta, ilmu dan logik akal, sebagai seorang Muslim, kita terikat untuk tidak melepaskan diri dari tali ikatan kita dengan Allah SWT. Bagaimana caranya jika tidak kita berada bersama para ulamak dalam setiap suasana dan ketika. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan jalan dan laluan, kini terpulanglah kepada kita untuk memilihnya ataupun tidak.

Allah SWT berfirman (al Ahzab: 1-3),Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

Dan ayat-ayat Allah ini diakhiri dengan ayat ke 4 yang berbunyi:

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.

Saya berpeluang mengikuti kuliah subuh yang dipimpin oleh Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh pagi tadi yang telah menghurai dan menjelaskan dengan sungguh terperinci ayat-ayat di atas. Lalu apabila saya pulang sempat saya mendapatkan Tafsir al Jalalayn yang menghuraikan ayat ke 4 diatas sebagai:

Allah tidak meletakkan dua hati dalam tubuh mana-mana manusia. Ayat ini bermaksud menafikan tohmahan golongan musuh yang kononnya mereka memiliki dua hati lantas melaluinya mereka dapat berhujah lebih baik berbanding Muhammad yang punya hanya satu minda.

(God has not placed two hearts inside any man: [this was revealed] in order to refute those disbelievers who said that they each had two hearts with which they could reason better than Muhammad's single mind)

Mudah-mudahan kita terus diberi peluang untuk bernaung di bawah para ulama yang seumpama ini. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya, selamat menjalankan ibadat puasa Ramadan.



BANYAKKAN INFAK DI BULAN RAMADHAN

Sesiapa yang memberi makan orang berbuka puasa, maka dia akan mendapat pahala orang berpuasa dan pahala orang berpuasa itu tidak kurang sedikit pun.......
JENIANG: Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru umat Islam memperbanyakkan amalan infaq dan sedekah di sepanjang bulan Ramadhan disamping meneruskan ibadah seperti solat tarawih, tahajud, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Fakir Miskin Daerah Kuala Muda, di Masjid Safwan di sini, baru-baru ini.

Ujarnya, disebalik amal ibadah yang biasa dikerjakan di bulan Ramadhan, masih kurang mereka yang mengadakan kebajikan dalam bentuk kebendaan dengan memberi infaq iaitu membelanjakan harta ke jalan Allah.

"Kerana di bulan Ramadhan ini, galakannya hingga sebiji tamar dan segelas air," ujar beliau memberi galakan.

Katanya, Nabi sendiri turut menyeru agar memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan khususnya memberi orang makan ketika berbuka puasa. Kerana itu katanya, masyarakat dahulu mengamalkan budaya saling memberi juadah untuk berbuka.

"Sesiapa yang memberi makan orang berbuka puasa, maka dia akan mendapat pahala orang berpuasa dan pahala orang berpuasa itu tidak kurang sedikit pun," ujar beliau melafazkan maksud hadis.

Menteri Besar turut menegur budaya masyarakat kini yang lebih cenderung mengadakan jamuan moreh sedangkan menurut beliau Nabi lebih menggalakkan memberi makan orang berbuka di mana pahalanya lebih besar dan amat dituntut.

Melanjutkan ucapan, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa, antara dasar Islam ialah tolong menolong.

"Maknanya orang kaya tolong orang miskin dan orang miskin mendoakan orang berada. Maka akan lahirlah sebuah masyarakat harmoni," terang beliau.

Tambahnya lagi, ada manusia yang Allah SWT tidak berikannya harta kerana dengan harta dia boleh menjadi tidak baik. Tetapi ada manusia, menurut Ustaz Azizan yang dilebihkan harta untuknya supaya dia membuat kebajikan untuk golongan tidak berada.

Pada program tersebut, Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada 100 fakir miskin sebelum turut serta pada majlis tahlil dan berbuka puasa yang dianjurkan.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dr Abdul Isa Ismail, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato' Tuan Haji Ir Phahrolrazi Zawawi, Adun Jeneri, YB Tuan Haji Yahya Abdullah dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato' Ghazali Din.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .