Ikuti Blog ini

Nik Aziz akan iringi Anwar di hari pernamaan calon


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengiringi Datuk Seri Anwar Ibrahim di hari pernamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh 16 Ogos ini.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan Tvpas.com baru-baru ini.

16 Ogos adalah hari kedua muktamar PAS yang akan diadakan di Ipoh mulai 15 hingga 17 Ogos.

"Saya akan turun di hari penamaan calon, insya Allah," katanya sebagaimana yang dilaporkan Tvpas.

Beliau juga yakin Anwar boleh menang bahkan lebih besar berbanding dengan apa yang diperolehi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

"Kalau Wan Azizah boleh majoriti lebih 13,000, saya yakin Anwar akan dapat lebih lagi," katanya.

Nik Aziz yakin, pengundi Permatang Pauh tidak akan termakan dengan fitnah yang dihadapi Anwar.

Beliau menyifatkan mereka yang membuat tuduhan liwat ini sebagai tidak bermaruah dan bersifat kebinatangan.

"Belum dibawa ke mahkamah lagi sibuk dah luruhkan nama baik Anwar. Tv, radio, akhbar dah tuduh Anwar. Binatang ini akan masuk neraka jika Anwar tidak maaf. Mana boleh maruah tidak dibela," kata beliau.

Selamat Bermuktamar dan Semoga Berjaya di Permatang Pauh



Hari ini ( malam ) akan berlangsungnya perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat 0leh Al Fadhil Ustaz Nasarudin bin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS .

Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah buat semua saf pemuda bermula Ketua DPP Pusat Yb. Salahudin Ayyub hinggalah kepada seluruh ahli pemuda agar berjaya bermuktamar dengan baik dan menghasilkan satu natijah yang baik pula . Pastinya kebaikan lah menjadi harapan semua .

Terlalu banyak isu yang rasanya akan ditimbulkan oleh para perwakilan dalam muktamar kali ini. Sememangnya itulah kemeriahan muktamar , apabila ia panas dengan perbahasan para perwakilan yang menyentuh pelbagai isu .

Saya mendoakan agar semua perbahasan tersebut berjalan dengan baik . Penuh adab dan semangat persaudaraan yang tinggi berasaskan al ukhuwwah fillah . Sekalipun mungkin timbul khilaf atau perbezaan pendapat , jadikan ia sebagai cambahan minda dan kita berlapang dada dengan semua pihak .

Perbezaan pendapat tidak seharusnya dibaca sekali dengan perbalahan . Waliyazubillah , minta jauh dari sebarang perbalahan dan permusuhan. Awasi mainan syaithan a'laihi laknatullah ketika mana kita berbeza pendapat . Berbezalah dalam ruang ilmu dan fakta namun diselubungi kasih sayang dan semangat berpasukan ( pemuda ) untuk terus bergandingan dalam mencapai matlamat yang saya kini tiada khilaf padanya iaitu Islam dan mardhatillah .

Menghormati pandangan orang yang berbeza dengan kita adalah satu sikap positif dalam kita berbeza pandangan. Mungkin kita tidak menerima pandangan tersebut tetapi menghormati pandangannya adalah wajar .

Demikian juga sebarang teguran dan kritikan yang dilemparkan khasnya kepada pimpinan pemuda adalah sangat di alu - alukan agar ia menjadi satu ibrah ( pengajaran ) atau ingatan kepada mereka ( termasuk saya ) agar berhati - hati dalam memimpin dan serius dalam melaksanakan tanggungjawab .

Saff pimpinan mestilah tenang dan berlapang dada dalam menerima teguran dan kritikan tersebut dengan menginsafi bahawa masih terlalu banyak perkara yang kita perlu pertingkatkan khasnya berkait prestasi keiltizaman kita terhadap aktiviti amal islami yang diperjuangkan selama ini .

Semoga semangat syura terus sirna melalui Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat nanti ( demikian juga harapan saya kepada Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung pada 15 hb nanti )

Pilihan raya Permatang Pauh .

Sepanjang kita bermuktamar ini , akan berlangsung pilihanraya kecil P. 44 Permatang Pauh yang ditandingi oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat sementara bagi pihak BN masih terkial - kial mencari calon sesuai dan layak untuk bertanding .

Saya turut mendoakan kejayaan buat Dato' Seri Anwar Ibrahim agar beliau kembali ke parlimen dan besar harapan saya agar beliau benar - benar mampu melaksanakan perubahan yang positif dalam memimpin rakyat dengan meletakkan Islam sebagai matlamat perjuangan .

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Raja Nazrin perkenan Nik Aziz, Hadi sampaikan khutbah Jumaat ini



KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Selain kesudian menerima mengadap pimpinan PAS di Istana Iskandariah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah sekali lagi memperkenankan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat menyampaikan Khutbah Jumaat di Ipoh 15 Ogos ini.

Perkenan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Raja Nazrin ketika Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap tuanku pagi tadi dan telah disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Anuar Hasim ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Difahamkan setakat ini Masjid Negeri di Bandaraya Ipoh merupakan masjid yang dipilih untuk kedua-dua tokoh pemimpin PAS yang tidak asing lagi untuk menyampaikan khutbah.

"Kemungkinan salah seorang menjadi imam manakala seorang lagi membaca khutbah atau kedua-dua membaca khutbah di dua masjid berbeza, kita akan maklumkan kepada umum nanti.

"Saya akan memaklumkan kepada media dari masa ke semasa, lokasi masjid kedua-dua pemimpin PAS yang akan menyampaikan khutbah Jumaat ini," kata Anuar dan yakin akan menarik perhatian orang ramai khususnya penduduk Perak untuk hadir ke masjid terbabit untuk mendengar khutbah tersebut.

Dalam pada itu, Raja Nazrin Shah juga memperkenankan menerima mengadap pimpinan PAS pada 14 Ogos sehari sebelum berlangsung Muktamar PAS ke-54.

Perkara itu telah disahkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan menyatakan pertemuan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu akan membabitkan 10 pemimpin tertinggi PAS yang akan diketuai sendiri oleh Usatz Hadi sendiri.

Bantuan kepada SAR disalur semula - Menteri Pelajaran


KOTA BHARU, Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menyekat bantuan perkapita ke sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) di seluruh negara, namun hari ini sumbangan itu diberi kembali kepada SAR di Kelantan.

Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Kementerian Pelajaran memanterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mendaftar 20 sekolah di bawah kelolaan Yik dengan kementerian.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Husein menyaksikan majlis bersejarah itu yang berlangsung dalam suasana ukhuwwah di Balai Islam dekat sini.

Pada perjanjian itu, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Aiseri Alias mewakili Yik, manakala Dato' Ali Muddin dan Tan Sri Dr Zulkarnain Awang mewakili Kementerian Pelajaran.

Sebagai permulaan, Kementerian Pelajaran melulus peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menampung keperluan di 20 sekolah terbabit.

Hadir sama dalam majlis yang penuh bermakna itu,?Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pusat.

Pertama kali juga dalam sejarah pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri hadir pada program dianjur bersama kerajaan negeri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan majlis berkenaan sebagai memperbetulkan saluran demokrasi yang telah dibengkang-bengkok oleh anasir yang tidak bertanggungjawab selama ini.

Katanya, beliau sebagai orang politik dapat duduk semeja dengan penuh ukhuwwah bersama Hishamuddin untuk menjaga masalah anak-anak walaupun berlainan fahaman politik.

"Anak-anak ini walau pun bukan anak kita, tetapi Allah beri pada kita pangkat, pengaruh bukan secara mutlak, tetapi diberi untuk disoal akhirat nanti untuk menjaga tanggungjawab ini," katanya.

334 orang keluar UMNO masuk PKR


K.Terengganu – Seramai 334 orang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), 184 di Terengganu dan 150 orang di Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan.

Ahli Majlis Tertinggi PKR, Saifudin Nasution telah menerima penyerahan borang keahlian seramai 184 orang ahli baru oleh Ketua Ahli Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fariz Musa baru-baru ini.

Dari jumlah 184 orang itu, seramai 29 orang adalah yang menganggotai PKR dari Bahagian Kuala Nerus, 104 orang dari Hulu Terengganu dan 51 orang dari Kemaman.
Manakala di Petaling Jaya kelmarin, dua orang bekas pimpinan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak telah mengetuai ahli-ahli bahagian tersebut seramai 148 orang meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

Dua Bekas Timbalan Pengerusi, Norasida Salam dan Azmi Hassan telah menyerahkan boring keahlian mereka kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim, yang juga Menteri Besar Selangor di pejabat PKR Bahagian tersebut.

“Norasida meninggalkan UMNO dan menyertai PKR kerana menurutnya beliau sudah tidak tahan lagi dengan amalan tidak demokratik yang wujud dalam UMNO, sebagai contoh, wujudnya kuota system dalam pemilihan UMNO,” kata Timbalan Ketua PKR Bandar Tun Razak Othman Karim.

“Beliau berkata... beliau lebih suka bekerja dengan rakyat, bukan hanya untuk UMNO,”kata Othman.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .