WAWANCARA Bekas Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, anggota polis mengundi
BN kerana bimbang dianggap "derhaka dan tidak bersyukur" sekiranya
mengundi pembangkang.
Fauzi yang menyertai PAS Mei lalu berkata
perkara itu timbul kerana "keterikatan" anggota polis kepada kerajaan
yang membayar gaji dan elaun kepada anggota pasukan terbabit.
"(Ramai
anggota polis) berpandangan gaji, elaun dibayar oleh kerajaan.
(Mengikut) fahaman kita, kerajaan adalah tak boleh selain daripada BN.
"Lantaran
itu, (mengikut) fahaman kita, dalam keadaan mengundi, siapa yang tidak
mengundi BN itu... akan dianggap sebagai derhaka, atau tidak berterima
kasih atau bersyukur kepada orang (kerajaan) yang beri elaun, gaji beri
kita makan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Tegasnya,
kerajaan dan parti adalah dua perkara yang perlu dibezakan dan anggota
polis berhak membuat pilihan masing-masing bagi memilih parti tertentu
untuk menerajui kerajaan dalam pilihan raya.
"Kita boleh pilih mana-mana (parti), yang lebih baik, telus, jujur, berpegang amanah, tidak menekan (dan) tidak rasuah.
"Jadi,
jangan ada kekhuatiran, kita nak sokong parti lain, (menyebabkan) kita
akan dilabel khianat, derhaka. Tidak timbul sama sekali. Sepatutnya
semangat sebegini ada," katanya.
Ditanya
sekiranya kerajaan memberi tekanan kepada anggota polis supaya
menyokong BN dalam pilihan raya, bekas ketua polis Selangor itu berkata
perkara itu tidak berlaku.
Namun, selagi anggota polis atau
penjawat awam lain bekerja dalam kerajaan, mereka perlu mematuhi
peraturan, garispanduan operasi atau perintah yang telah ditetapkan,
katanya.
Jika anggota polis menyatakan sokongan politik secara
terbuka kepada parti tertentu pula, mereka juga dianggap "mengingkari
peraturan umum", katanya.
"Kerajaan mengikat kamu, kamu kena
patuh, kena berkhidmat. Tetapi dalam berkhidmat, tidak ada unsur-unsur
supaya memihak. Tidak (ada). (Polis berkhidmat) untuk semua rakyat,
(dengan) adil. Jadi kita kena adil," katanya.
Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya dalam pasukan polis, Fauzi juga pernah menjadi ketua polis Sarawak.-M'kini
Meskipun
menerima bayaran RM400 ribu sebulan, Pengerusi Eksekutif Syarikat
Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail gagal menjalankan
tanggungjawab apabila gagal hadir dalam satu taklimat penting kepada
jawatankuasa menyemak dibentuk Kerajaan Negeri.
Kegagalan Rozali
untuk hadir dalam taklimat penting yang diadakan baru-baru ini bagi
mendapatkan gambaran sebenar akan perkembangan terkini status bekalan
air Selangor mengundang kekecewaan Ahli Parlimen Utara, Tony Phua.
Memetik
dari satu laporan wawancara eksklusif Malaysiakini bersama Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, taklimat tersebut
dihadiri oleh semua pegawai profesional tertinggi Syabas. Hanya dua
orang yang tidak hadir (dalam mesyuarat), orang yang kita bayar
RM400,000 sebulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ruslan Hassan.
“Semua
profesional tertinggi hadir,” kata Abdul Khalid merujuk dengan sinis
kepada Rozali, dipetik dari Malaysiakini. Menurut laporan itu juga,
pegawai dari Syabas sendiri turut mempersetujui bahawa Selangor tidak
mengalami krisis air dengan rizab kritikal dua peratus seperti yang
didakwa syarikat itu sebelum ini.
Sebaliknya menurut Abdul
Khalid, 35 loji rawatan air di Selangor berkapasiti untuk mengeluarkan
4,960 juta liter air sehari (MLD) iaitu lebih 14 peratus atau 598 MLD
daripada bekalan Syabas setiap hari.Tony berkata, penolakan jemputan itu
jelas mencerminkan sikap Rozali dan Ruslan yang tidak ikhlas untuk
menyelesaikan isu air Selangor.
“Kami tak kira politik, yang
penting nak selesaikan isu demi masyarakat negeri Selangor. “Tetapi
malangnya Muhyiddin tak hadir dan Rozali yang terima gaji RM400,000
sebulan pun tak hadir. “Tetapi Muhyiddin tolak jemputan ini dan ini
jelas Muhyiddin tidak ingin menyelesaikan isu air Selangor, tetapi lebih
berminat bermain politik dengannya,” kata Tony ketika dihubungi TVS
hari ini.
Tony turut menganggap tindakan Rozali tidak hadir dalam
taklimat itu bertujuan untuk melindungi kepentingan diri sendiri dengan
memastikan beliau terus diberi kuasa menerajui Syabas. “Tindakan mereka
ini sengaja menafikan hak rakyat untuk menikmati perkhidmatan air
bersih pada kadar berpatutan semata-mata mahu menawarkan kontrak besar
dan lumayan kepada kroni termasuk projek Langat 2,” katanya lagi. -tvs
NASI KANDAR PERCUMA…Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar Burhan Mohamed memberikan hidangan percuma selepas Datuk Lee Chong Wei merangkul pingat perak pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki, pada Ahad.
Ia bukan sekadar hidangan percuma yang
dinikmati oleh ribuan orang yang berpusu-pusu ke restoran Original
Penang Kayu Nasi Kandar, tetapi ia juga satu cara bagi mereka untuk
meraikan prestasi cemerlang Datuk Lee Chong Wei di Sukan Olimpik London
2012.
Set makan malam lazat, yang dijanjikan
oleh pemilik restoran Burhan Mohamed adalah kemuncak kemenangan apabila
ramai orang beratur di sekeliling blok bangunan restoran untuk menunggu
nasi briyani kukus, ayam rendang, telur dan minuman kordial oren
dihidangkan.
Burhan berkata beliau amat berbangga
dengan prestasi Lee dalam perlawanan badminton peringkat akhir yang
mendebarkan menentang pemain nombor satu dunia dari China Lin Dan, yang
membawa pulang emas Olimpik buat kali kedua.
“Saya fikir Chong Wei benar-benar telah
melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan dia masih lagi wira negara
yang boleh dibanggakan,” katanya, sambil menambah bahawa semua cawangan
beliau penuh sesak dengan pelanggan-pelanggan yang menonton perlawanan
pada malam Ahad.
Beliau pada mulanya mengumumkan minggu
lalu akan mengadakan majlis makan malam percuma pada hari Isnin pukul
7.00 petang hingga 10.00 malam jika Lee merangkul emas.
Bagaimanapun, beliau mengubah fikiran
kerana beliau kagum dengan prestasi cekal Lee yang telah melakukan yang
terbaik walaupun mengalami kecederaan buku lali di Piala Thomas pada
Mei.
Harapan Malaysia
telah disematkan pada Lee untuk membawa pulang emas pertama Olimpik
sejak negara mengambil bahagian dalam acara ini pada tahun 1956 tetapi
tidak menjadi. -mStar Online