Ikuti Blog ini

Pemuda PAS hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong





Ekoran surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu; laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat; laporan polis Dato’ Seri Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor; surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya yang menarik balik tuduhannya

Dewan Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum kepada Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan berkaitan perkara berkenaan. Serahan memorandum pada hari ini kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diketuai oleh YB. Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS. Disertai rombongan adalah Ahmad Sabki Yusuf, Setiausaha, YB. Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Exco, YB. Ustaz Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap dan Kamarulzaman Mohamed, Exco Encik Sofuan Ibrahim, Pegawai Pentadbir Istana Negara telah menerima memorandum tersebut. Pemuda PAS juga telah menghantar surat memohon perkenan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memperjelaskan isu ini.

YB. Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah menghantar usul tergempar berkaitan isu ini.

Berikut adalah salinan Memorandum berkaitan:

Mengadap

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, D.K.M., D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d’Honneur (France), yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Seri Paduka Baginda Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.

Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.

Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.

Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:-

1. surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

2. laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat;

3. laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998;

4. surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.

Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.

Amin Ya-Rabbal-Alamin.

Ampun Tuanku.

Patik dengan segala hormat takzimnya,
SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008

Sidang DUN Kelantan : 5 ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan



KOTA BHARU, 7 July :- Setelah sidang DUN bermula pada jam 9.00 pagi, Wakil Kok Lanas yang juga Ketua Pembangkang bertindak keluar dewan setelah tidak puas hati dengan alasan bahawa soalan yang dikemukakan ada yang ditolak oleh Speaker Dewan.

Pada masa itu hanya 5 orang ADUN Pembangkang dari 6 orang bertindak keluar dewan. Wakil Pengkalan Kubur, YB. Datok Hj. Noor Zahidi b. Hj. Omar tidak hadir persidangan.

Walaupun Speaker Dewan, YB. Hj. Nasaruddin Daud berulangkali menjelaskan sebab penolakan soalan tersebut antaranya soalan yang dikemukan sudah ditanya pada sidang yang lepas, namun Ketua pembangkang baru itu tidak berpuas hati dan bertindak keluar dewan bersama ahli pembangkang lain.

Mengulas tindakan itu menurut Speaker memperlihatkan tindakan kurang matang pembangkang sedangkan ADUN Kerajaan juga ditolak soalannya namun tidak bertindak keluar dewan.

Ahli Majlis mesyuarat Kerajaan, YB. Nik Amar mengatakan tindakan itu adalah gimik politik sahaja.

Selain itu ADUN-ADUN Kerajaan yang bangun untuk bertanya soalan lisan, mengesahkan terdapat 2 hingga 3 soalan mereka yang ditolak tetapi mereka tidak keluar dewan.

Semasa sesi rehat pada sebelah pagi, Speaker dewan semasa diminta pengesah mengatakan bahawa inilah kali pertama seingatnya ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan disebabkan alasan ada soalan yang ditolak.

Selepas sesi rehat pagi, semua ADUN pembangkang tidak masuk ke dewan, dan begitu juga disebelah petang sidang bermula pada jam 2.30 petang semuanya tidak masuk ke dewan.

Perak beri air percuma, ganjaran ke IPTA


Kerajaan Negeri Perak akan membekalkan 20 meter padu air percuma kepada penduduk miskin yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bermula Ogos ini, kata Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bernama melaporkan bahawa, kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 15,000 penduduk miskin di negeri ini untuk menerima kemudahan itu dengan anggaran kos perbelanjaan yang ditanggung Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM2 juta sebulan.

"Pemberian air percuma itu adalah sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk miskin di Perak bagi meringankan beban mereka berikutan harga barang yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Nizar yang juga pengerusi LAP berkata, bekalan air percuma itu akan diberikan kepada mereka yang mempunyai meter individu di kediaman masing-masing.

Perak kini merupakan negeri kedua selepas Selangor yang membekalkan 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun lepas sebagai memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya umum Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga memberi ganjaran RM1,000 seorang kepada anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya bagi menuntut wang ganjaran itu, pelajar perlu datang sendiri berjumpa dengan Exco pendidikan, Nga Kor Ming dan perlu membawa dokumen pengenalan diri dan surat tawaran ke IPTA.

"Hanya segelintir sahaja pelajar yang datang ke pejabat ini untuk meminta bantuan melanjutkan pelajaran ke IPTA setakat ini atau mungkin mereka tidak mengetahui adanya sumbangan seperti itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Perak untuk mereka yang melanjutkan pengajian ke IPTA telah ditutup pada 30 Jun lepas.

Ahli PAS kecewa dengan himpunan PROTES


Suasana awal perhimpunan PROTES hari ini tidak seperti yang dijangkakan.Ramai ahli PAS terutamanya Pemuda datang dengan semangat berkobar-kobar untuk membantah kenaikan harga minyak . Mereka sanggup bermalam di Masjid dan Stadium untuk menyertai himpunan membantah kenaikan harga minyak pada hari ini. Walaubagaimanapun ramai yang balik awal kerana mungkin tidak merasa selesa dengan program yang sedemikian rupa. Selepas tengahari padang mula kosong dan tempat duduk penonton pun semakin jarang.Bila aku melihat ramai ahli-ahli PAS yang balik awal, menunjukkan mereka nyata kecewa dengan program ini. Nyata semangat jihad untuk memperjuangkan hak rakyat telah luntur. Mereka merasa sia-sia datang ke program itu.Perlu diingat, dalam apa jua program termasuk himpunan bersih sebelum-sebelum ini ahli-ahli PAS akan meramaikan himpunan tersebut. Mereka sanggup mengambil cuti kerja dan datang ke Kuala Lumpur untuk berdemonstrasi bersama-sama. Kehendak dan semangat mereka mesti di ambil kira oleh penganjur.
Maka dengan itu anak2ku PROTES kat umah je..

PROTES



PROTES... Siri ucapan pembangkang mengkritik kerajaan menaikkan harga minyak, berkuat kuasa awal bulan lalu, mewarnai perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) bermula pukul 10 pagi tadi. Perhimpunan akan berlarutan sehingga 12 tengah malam ini.Anwar dijangka berucap pada perhimpunan itu pada pukul 9 malam ini, sekali gus memulakan kempen jelajah seluruh negara bagi menjelaskan isu dakwaan meliwat terbaru dihadapi beliau. Sejak pagi tadi, pemimpin peringkat pertengahan Pakatan Rakyat menyampaikan ucapan mereka di samping persembahaan pentas.

Pemimpin-pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijadual berucap selepas pukul 5 petang.

Peserta tidak puas hati bantahan dibuat di stadium



Para peserta Perhimpunan Protes Turun di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), Kelana Jaya hari ini melahirkan kekesalan atas tindakan pihak berkuasa yang meminta pihak penganjur perhimpunan mengadakannya di dalam stadium secara tertutup.

Seorang peserta yang datang daripada negeri Pantai Timur yang enggan dikenali berkata, tindakan polis dan kerajaan yang memaksa jawatankuasa penganjur mengadakan perhimpunan di dalam stadium bertujuan mahu menutup gambaran sebenar 'amarah' rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, jika demonstrasi itu dibuat secara terbuka, atau di jalan raya, rakyat akan dapat melihat dengan jelas 'kemarahan' yang ditunjukkan terhadap kerajaan atas sikap sembrono itu.

"Siapa yang akan dapat tengok betapa tidak puas hatinya kami sebagai rakyat yang kian teraniaya dengan kezaliman kerajaan.

"Tujuan demonstrasi jalanan adalah untuk membuka mata rakyat di luar sana bahawa mereka perlu melakukan sesuatu yang akan merubah nasib dan masa depan negara ini," katanya.

Pada masa sama, dalam satu ucapan ringkas kepada para peserta perhimpunan di stadium, jurucakap Suaram. Kohila Yanesegaran berkata ini merupakan kali pertama dan terakhir perhimpunan seumpama itu diadakan.

KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SEBENAR - DATO' SERI TUAN GURU PRESIDEN PAS


Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar. Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya dari membunuh oleh kerana itu kita tidak boleh menyibarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya.

Sesungguhnya Islam meletakkan garispanduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diri daripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat. Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi. Sekiranya tidak ada empat orang saksi maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam. Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah swtr kerana dosa itu termasuk di dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah swt di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad saw dan diperingatkan oleh para ulamak disepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak disaat yang serba mencabar dan meruncing ini.

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Kepimpinan Ulama'







Datanglah beramai-ramai dan jangan lupa bawa air untuk hilangkan dahaga dan ....

Piala YB speaker Kelantan.



KOTA BHARU..5 Julai -kejohanan bolasepak veteran Piala YB.SPEAKER DUN KELANTAN Memulakan kejohanannya semalam di Stadium Sultan Muhamad ke iv dengan di hadiri oleh wakil-wakil rakyat dan Penyelia Dun serta peminat-peminat bolasepak tempatan.Majlis perasmian kejohanan telah di sempurnakan oleh Yb.Speaker Dun,Ust Nasaruddin hj Daun yang juga Adun Meranti.turut berucap ialah Yb.Abd.Fattah Mahmud Exco Pembangunan Insan,Belia,Sukan dan NGO.


Kejohanan yang masuk tahun ke 3 ini di sertai oleh 24 pasukan veteran seluruh negeri Kelantan ini bertujuan merapatkan jalinan persahabatan antara pemain-pemain bolasepak veteran yang masih lagi aktif dalam sukan selain menjaga kesihatan.


perlawanan pembukaan kejohanan ini ialah di antara pasukan Aza Kadok bertemu Kedai Ikan yang berkesudahan Aza Kadok tewas 2-1.Sementara perlawanan kedua di pertemukan Ketereh melawan Dun Kijang(johan 2006) dimana Dun Kijang membenamkan Ketereh dengan jaringan besar 5-0.

"Sumpah dengan junjung Al Quran untuk tentu kebenaran" Nik Aziz


KB: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Sambil menyokong cadangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung perkara itu, beliau berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

"Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan itu, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Cadangan Mufti Perlis

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mohd Asri supaya kedua-dua individu yang dikaitkan dengan kes liwat iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan "bermubahalah" atau bersumpah.

Dalam kenyataannya semalam, Mohd Asri berkata isu liwat yang membabitkan Anwar sudah semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

Komen Mufti Perak

Manakala Mstar Online melaporkan Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dr Harussani berkata demikian ketika diminta pendapat beliau tentang cadangan mubahalah (bersumpah) yang dicadangkan oleh Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abdin semalam.

Katanya lagi, "Setiap keterangan yang diberikan perlu dibuktikan. Jika tiada keterangan untuk dijawab, barulah beliau (Anwar) perlu bersumpah.”

Sebelum ini, Dr. Asri telah menggesa Anwar yang dituduh meliwat kali kedua dan pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya bermubahalah’ atau bersumpah.

Katanya lagi,"Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini... 'Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya."

Ketika ditanya samada beliau bersetuju atau tidak untuk meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah berhubung dakwaan liwatnya, dia berkata,"Keterangan mesti diberikan oleh orang yang didakwa (Anwar). Apabila sesuatu perkara itu dizahirkan, ia mesti ada bukti.

"Sekiranya tidak ada bukti, barulah diambil pendekatan bersumpah ini,” tambah Dr. Harussani ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Kata Dr. Harussani lagi, Anwar perlu memberi bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak terlibat dengan dakwaan tersebut.

Namun apabila diminta pandangan lanjut, Dr. Harussani berkata, “Saya tak nak komen lagi sebab tak nak terlibat tentang hal ini.”

Pertelingkahan parti politik

Beliau menganggap isu liwat ini timbul disebabkan pertelingkahan antara dua parti politik yang berlaku sekarang.

Difahamkan terdapat perbezaan pendapat tentang hukum liwat di negara ini. Ada ulama yang mengatakan sebatan 100 kali rotan dan ada yang berkata tidak pasti. Ini adalah kerana undang-undang Islam di Malaysia hanya merangkumi kes zina sahaja dan bukan kes liwat.

Peta Ke Himpunan Protes Di Stadium Kelana Jaya 6 Julai.



Jika anda tertanya-tanya dan Mencari jalan ke Himpunan PROTES Di Stadium Kelana Jaya pada 6 Julai ini. silakan copy peta ini.

Untuk yang tidak biasa dengan jalan-jalan di KL…bolehlah menggunakan LRT Putra di KL Sentral dan berhenti di Stesen LRT Kelana Jaya. Dari Stesen Kelana Jaya, ambil ‘Public Transport’ bas atau teksi untuk menuju ke Stadium Kelana Jaya.

Balasubramaniam, keluarga dilaporkan 'hilang' !


Penyiasat Persendirian Balasubramaniam yang mencetuskan kontroversi telah dilaporkan 'hilang' selepas mencetuskan kontroversi berhubung dua surat akuan bersumpah berkaitan pembabitan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dengan kes Altantuya Sharibuu

Ini termasuk kehilangan isteri Bala beserta tiga orang anaknya juga turut tidak dapat dikesan sehingga kini.

Kehilangan mereka itu telah dilaporkan oleh anak saudara mereka R Kumaresan, 27 di Balai Polis Brickfields kira-kira jam 5 petang tadi dengan ditemani oleh seorang peguam.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam Dato' Ambiga Sreenevasan Akuan bersumpah pertama Bala tidak boleh ditarik balik kerana dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

"Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Dalam kes ini semua keterangan diberi secara bersumpah tidak boleh ditarik balik," katanya.

Pada 3 Julai lalu Bala yang pernah memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, mengedarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai setebal 16 muka surat dengan mendakwa wanita Mongolia yang dibunuh itu mempunyai hubungan dengan Najib.

Bagaimanapun kurang daripada 24 jam iaitu keesokan harinya (4 Julai) Bala menarik balik beberapa perenggan dalam akuan bersumpahnya dengan mengatakan kandungan akuan itu mengenai Najib adalah tidak benar.

Perhimpunan sejuta rakyat berjalan seperti dijadualkan esok



Perhimpunan sejuta rakyat bagi membantah kenaikan harga minyak akan diadakan seperti yang dijadualkan di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya esok.

Ia dianjurkan oleh Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), yang dianggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, untuk menuntut diturunkan harga minyak yang kini membebankan rakyat.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, perhimpunan akan berjalan secara aman dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Sehubungan itu, beliau menafikan maklumat yang disebarkan melalu SMS dan emel bahawa perhimpunan tersebut telah dibatalkan.

Menurutnya, SMS dan emel tersebut adalah palsu yang disebarkan untuk mengeluarkan orang ramai mengenai perhimpunan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, program yang dirancang tidak akan dibatalkan supaya orang ramai dapat menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dan bahan bakar yang lain tanpa justifikasi yang munasabah.

Sementara itu, pihak polis telah mula mengadakan sekatan jalanraya di laluan utama menuju ke bandaraya, dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan esok.

Pada mulanya, perhimpunan tersebut dirancang diadakan di KLCC pada 5 Julai.

Bagaimanapun, lokasinya kemudiannya berubah di Padang Timur, Petaling Jaya dan tarikhnya juga ditukar kepada 6 Julai.

Penganjur mensasarkan mengumpulkan "sejuta orang" dalam perhimpunan bantahan tersebut, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Dianggarkan 3,500 petugas akan membantu mengawal keselamatan dan masalah kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Bagaimanapun pada 3 Julai lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, beliau telah menasihatkan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan.

Menurutnya lagi, jika masih ingin meneruskannya, ia boleh dipindahkan ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati, juga di Shah Alam.

Semalam, tempat perhimpunan tersebut dipindahkan ke Stadium Kelana Jaya.

Difahamkan, perubahan tempat ini diputuskan dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat malam kelmarin.

Stadium Kelana Jaya boleh memuatkan 50,000 tempat duduk. Manakala padangnya pula boleh memuatkan jumlah hadirin yang sama.

Himpunan PROTES berpindah ke Stadium Kelana Jaya



Pakatan Rakyat Seru Rakyat Berhimpun Beramai-ramai di Kelana Jaya Ahad Ini ! Kenyataan media ditandatangani Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; dan Setiausaha Agung KeADILan, Datuk Salehudin Hashim.
DATANG JANAGAN TAK DATANG.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .