Ikuti Blog ini
SUASANA CERAMAH USTAZ AKHIL HAYY DI TELUK INTAN , at 16.1.10,
TELUK INTAN -PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan majlis ceramah dengan menjemput Ustaz Akhil Hayy sebagai penceramah utama pada malam itu. Ceramah telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak. Turut menyampaikan ceramah ialah ADUN Changkat Jong YB Haji Mohd. Anuar Sudin dan Haji Mohd. Azhar Rafaie, Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merangkap Pengarah Pilihanraya PAS Teluk Intan. Ceramah telah dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Teluk Intan, Sdr. Mohamad Hamzah.
Ceramah tersebut juga telah berjaya menarik golongan muda hadir untuk mendengar ceramah. Malah banyak juga kelihatan yang hadir bersama-sama keluarga masing-masing. Mereka sanggup membentang tikar dan duduk mendengar ceramah berserta anak isteri masing-masing.
Mungkin daya tarikannya ialah kerinduan untuk mendengar ceramah penceramah utama iaitu Ustaz Akhil Hayy agak lama juga tidak datang di sekitar Teluk Intan. Bertambah meriah lagi dengan kehadiran gerai-gerai menjual makanan, buku dan barangan.
Dengan corak dan rentak ceramah yang santai menyebabkan orang ramai sanggup menunggu dengan setia ceramah Ustaz Akhil walaupun ceramah ditamatkan pada jam 12.20 pagi. Kehadiran begitu ramai remaja dan wanita dalam pelbagai peringkat umur menunjukkan bahawa ceramah Ustaz Akhil masih lagi diterima walaupun beliau baru sahaja dilanda masalah peribadi.
“Sekolah agama Islam dalam kabin, ia menyedihkan!” - Tian Chua , at 16.1.10,

Raja Rakyat: Bukti UMNO yang gagal , at 16.1.10,
Betapa hebatnya selepas 20 tahun PAS memerintah Kelantan. Pemangku Sultan Kelantan Tg Faris Petra mengimani solat hajat ribuan rakyat di Satdium Sultan Mohammad IV. Perisitiwa ini adalah satu peristiwa bersejarah kepada negara. Misi dan visi PAS khasnya PAS Kelantan mendekatkan islam kepada siapa sahaja, lebih-lebih lagi seorang pewaris raja adalah sesuatu yang membanggakan.
Hal ini atau perkara ini adalah kecil bagi UMNO. Sebab sudut pandangan dan nilai hidup UMNO dan PAS amat berbeda sekali. UMNO rasa bangga dan berjaya bilamana setiap kali raja-raja bersama rakyat akan diakhiri dengan Nyayian Karaoke bersama artis di malam hari dengan Jamuan menghabiskan duit rakyat. Atas alasan upacara rasmi dan keraian.
Sebenarnya raja-raja juga tidak amat selesa dengan cara dan gaya UMNO. Mereka sudah terbuai lama dan buaian itu menyedarkan sesetangah raja. Sebab semua itu, tiada kesudahan, matlamat hidup atas dunia bukan hanya berhibur dan nikmati nikmat keduniaan semata-mata. Jauh lebih daripada itu. perantau
Selesai serah memo, dua pelajar dan wartawan Harakahdaily ditahan , at 16.1.10,
Mereka ditahan atas alasan tidak mengendahkan arahan polis supaya bersurai kira-kira jam 3 petang.
Dua pelajar terbabit ialah Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Shahruddin Mohd Rosli yang merupakan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM).
Mohd Shahruddin bagaimanapun dibebaskan sejurus selepas itu.
Sementara itu, wartawan Harakahdaily Zulfiqar Mashoor turut ditahan kerana disyaki sebagai 'pelajar yang menyamar sebagai wartawan'
Kira-kira 50 pelajar menyertai demonstrasi itu selepas solat Jumaat yang dikawal lebih 30 polis.
Terdahulu mereka menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai di KPT, Prof Raduan.
Memorandum berkenaan berhubung beberapa tuntutan mahasiswa iaitu menuntut demokrasi kampus telus dan adil, mengembalikan autonomi universiti dan kebebasan akademik serta memansuhkan sistem pengundian secara elektronik atau e-voting.
Umno akan gagal jatuhkan TG Nik Aziz - Zaid Ibrahim ,Jumaat, Januari 15, 2010 at 15.1.10,
PETALING JAYA, 15 Jan: Bekas anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim yakin Umno akan gagal dalam usaha untuk menjatuhkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.
Wawancara itu diadakan di rumahnya dekat Tropicana pagi tadi oleh wartawan Harakahdaily Zulkifli Sulong dan Hazayani Zakaria dengan dibantu oleh Shukri Mohamad sebagai juru kamera.
Wawancara itu merangkumi pelbagai isu dari penubuhan parti Pakatan Rakyat, Dasar Pakatan Rakyat, sejarah beliau yang pernah menyaman kerajaan Kelantan kerana meluluskan undang-undang hudud serta masa depan Pakatan.
Wawancara penuh akan disiarkan selepas ini dalam bentuk teks dan juga video.
Dalam wawancara itu, Zaid ditanya kenapa beliau mencadangkan Nik Aziz sebagai pemimpin atau spiritual leader untuk Pakatan Rakyat.
Menurut Zaid, TG Nik Aziz mempunyai ciri-ciri pemimpin yang dikehendakli oleh Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
"Saya tidak dapat nafikan Datuk Seri Anwar sebagai ketua pebangkang adalah bakal Perdana Menteri kita jika Pakatan berjaya mengambil alih Malaysia tetapi untuk spiritual leader, sebagaimana yang dimainkan oleh Gandhi di India, saya rasa Tok Guru Nik Aziz," katanya.Beliau bersetuju, ekoran cadangan dan isu-isu berkaitan dengannyalah Nik Aziz dan Kelantan kini menjadi sasaran Umno dan medianya khasnya Utusan Malaysia.
"Saya yakin Umno akan gagal," kata Zaid.
Namun begitu beliau berharap isu di Kelantan sekarang dapat diselesaikan segera.
Bagi beliau, dengan kewangan besar yang bakal dimiliki Umno melalui wang ehsan, PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan perlu bimbang juga.
Tengoklah Apa Lim Guan Eng dah buat!! , at 15.1.10,
GEORGETOWN, 15 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat negeri menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam pada tahun 2010 berjumlah RM24.3 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM20.5 juta.
Menurut beliau, peruntukan tahun lalu pun melebihi apa yang Kerajaan Barisan Nasional (BN) berikan iaitu hanya RM 12.5 juta sahaja.
"Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat dapat dilihat apabila menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam iaitu meliputi peruntukan pembangunan sebanyak RM7.2 juta, peruntukan mengurus RM13.4 juta dan sebagainya RM3.7 juta, " tegasnya pada Majlis Perlantikan Majlis Syura Kerajaan Negeri, di sini, pagi ini.
Pada majlis itu, lapan orang wakil PAS Negeri dilantik menggangotai majlis itu yang diletakan di bawah kelolaan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Abul Kasim.
Mereka yang menerima watikah perlantikan daripada Guan Eng ialah dua orang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Taqiudin Hamzah dan Rosidi Husain, Yang Dipertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man, bekas Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Mazani Abdullah, Ketua dan Setiausaha Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Soid Mohd Amin dan Ustaz Suhaimi Abdullah, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri dan kawasan Bayan Baru , Ustazah Rahmah Md Isa dan Puan Asnah Hashim.
Turut dilantik ialah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Haji Yahya, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Elias Zakaria, Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang, Dato' Haji Mustaffa Kasim, Fellow Kanan Akademi Kolej Univesiti Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Univesiti Tun Husein Onn, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Pakar Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Haji Rhafoor Haji Mahmood, Profesor USM, Prof Kamarulazizi Ibrahim.
Majlis tersebut turut dihadiri olehe Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Hassan Haji Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Sazali Hussein.
TENGKU Muhammad Faris Petra mengimamkan solat hajat , at 15.1.10,
TENGKU Muhammad Faris Petra mengimamkan solat hajat mendoakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan yang ketika ini sedang gering dalam rawatan di Singapura di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Majlis doakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan
KOTA BHARU: Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, malam tadi mengimamkan solat hajat dan menyertai majlis bacaan Yassin yang disertai lebih 1,000 rakyat Kelantan yang diadakan secara terbuka dalam Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini.
Majlis anjuran Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan, bertujuan mendoakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang ketika ini sedang gering dalam rawatan di Singapura serta pentadbiran kerajaan dan rakyat Kelantan yang kini dipayungi Pemangku Raja.
Terdahulu, ketibaan Tengku Muhammad Faris Petra kira-kira jam 7 malam, disambut Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan negeri.
Solat hajat itu diadakan susulan majlis meraikan kepulangan Pemangku Raja dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa petang semalam, yang dianjurkan jawatankuasa berkenaan bagi melafazkan kesetiaan dan sokongan kepada baginda.
Pada majlis ringkas itu, Tengku Muhammad Faris Petra sempat melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang berhimpun menanti kepulangannya.
"Terima kasih, terima kasih semua kerana hadir," titahnya secara spontan sambil bersalaman dengan pelbagai lapisan rakyat, dan dianggarkan lebih 5,000 menyambut kepulangan baginda dari Kuala Lumpur.
Beliau bertitah demikian sejurus selesai mengaminkan doa selamat yang dibacakan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.
Sesi Dialog Islam - Kristian : Dialog bukan Demo ! , at 15.1.10,
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof berjaya membuka lembaran baru buat PAS terutamanya di tahun baru 2010 yang menyaksikan berbagai peristiwa hitam terjadi pada negara.
Dr Mujahid telah pergi secara rombongan bersama aktivis parti dari Parit Buntar, Perak serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Takiqudin Hamzah, Rosidi Husain, Yang Dipertua PAS Tanjung, Yacoob Omar, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Yusoff Mohd Noor dan Setiausaha PAS Jelutong, Nasir Ismail.Mereka disambut dan diberikan penghormatan kerana sudi hadir untuk memperjelaskan isu yang menjadi topik hangat ketika ini. Dialog ini diadakan semalam di Dewan Holy Spirit iaitu sebuah dewan yang berada dalam kawasan gereja Greenland, iaitu terbesar di Pulau Pinang. Selesai sahaja Dr Mujahid berucap, orang ramai yang memenuhi dewan itu bangun sambil bertepuk sebagai tanda menghormati dan menyanjung ucapan beliau.
Antara rumusan ucapan Dr Mujahid yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional itu ialah, beliau menasihatkan masyarakat Kristian jangan terpengaruh dengan mainan pihak tertentu yang mahukan negara menjadi tidak tenteram padahal masalah yang berbangkit boleh diselesaikan dengan mudah sekali.
Ia sengaja disensasikan bagi kepentingan politik pihak tertentu terutamanya melindungi isu yang tengah hangat diperkatakan. Maka sebab itu, PAS mengambil langkah menangani masalah tersebut dengan berhemat iaitu dengan berdialog bukan berdemontrasi kerana jalan berkenaan membolehkan perpecahan berlaku di kalangan rakyat negara ini.
"Sebenarnya isu ini bukan isu sensasi tapi sengaja disensasaikan oleh pihak tertentu untuk menjaga kepentingan politik sempit mereka. Bagi PAS berdialg adalah cara terbaik untuk masyarakat bukan Islam tahu keindahan perjuangan yang diwarisi Junjungan kita Nabi Muhamad s.a.w, " terangnya.
Tambahan pula Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia sudah memadai untuk memeliharaan Islam sebagai agama rasmi negara serta Perkara 11 (4) dalam kebebasan beragama masyarakat bukan Islam tidak boleh sebarkan agama mereka kepada orang Islam.
Islam juga ujarnya, melarang penganutnya membinasakan rumah ibadat bukan Islam untuk mengelak daripada dianggap Islam itu ganas sekaligus menjauhkan mereka daripada mendekati Islam secara bersungguh."Saya yakin Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia sudah memadai untuk pemeliharaan Islam serta Perkara 11 (4) yang melarang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam, " tegas beliau.
Turut memberi pandangan pada majlis berkenaan ialah Exco Kerajaan Tempatan dan Lalulintas Negeri, Chow Kon Yeow, Exco Agama Islam Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Abul Kasim dan aktivis Aliran, Anil Netto.
Negara tak stabil, tapi PM, TPM sama-sama keluar negara , at 15.1.10,
Bagi beliau, salah seorang pemimpin tersebut sewajarnya berada dalam negara kerana isu kalimah ‘Allah’ dan beberapa insiden pengeboman gereja masih gagal ditangani kerajaan.
“Wajarkah Perdana Menteri dan timbalannya meninggalkan negara, ketika negara diambang bahaya...(iaitu) isu kalimah (Allah) tak selesai-selesai dan beberapa gereja terus dibom sehingga masyarakat berasa seperti tak selamat,” jelasnya.
“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tak ada dalam negara. Najib baru bertolak semalam (ke Arab Saudi) dan Muhyiddin sekarang berada di Landon...siapa yang perlu dipertanggungjawabkan kalau apa-apa tercetus di dalam negara? KDN?”
“Dalam keadaan tenang pun, mesti sekurang-kurangnya Perdana Menteri atau Timbalannya mesti tidak boleh meninggalkan negara, inikan pula pada waktu yang begitu kecoh.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sena mendakwa, tindakan Najib dan Muhyiddin tersebut menunjukkan bahawa mereka berdua tidak serius mahu menangani ketidakstabilan politik dalam negara.
Tambahnya lagi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein wajar dipersalahkan juga kerana dilihat lebih bermain politik dari memastikan kestabilan dalam negeri kembali pulih belakangan ini.
“Sampai sekarang tiada penyelesaian (dari KDN), paling tidak tangkap saspek...kata wajah sudah dikenal pasti...(Polis perlu) siasat dan dakwa, jangan sekadar buat kenyataan politik, kerana ini (kes gereja dibom) isu keselamatan negara,” tegasnya.
“Mereka kata (keselamatan dalam negeri) terkawal-terkawal, tetapi hari ini ada lagi Gereja (Katholik St. Elizabeth) di Kota Tinggi pula yang disimbah pula dengan cat.”
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berada di Pusat Pengajian Islam Oxford (OSFIC), United Kingdom kerana menyampaikan suatu syarahan.
Manakala, Najib dengan ditemani Hishammudin pula berada di Arab Saudi kerana menandatangani suatu perjanjian dengan kerajaan tersebut.
Forum Nama Allah: Salut Untuk Anak Muda! , at 15.1.10,
Oleh HASMI HASHIM
Dewan penuh sesak. Hujan masih renyai. Di luar, pada mulanya beberapa kereta peronda polis kelihatan menunggu…
Memetik beberapa lapor, sekitar 1500 orang memenuhi Dewan Perhimpunan Cina Selangor malam itu. Saya sendiri belum pernah jadi panel dalam acara ilmu dan perbincangan yang sebegini besar khalayaknya.
Sebagai orang yang juga berkecimpung dalam arena politik, saya cukup maklum bahawa hanya ceramah politik yang akan mendapat sambutan sedemikian rupa.
Majlis ilmu dan forum, bilangannya paling ramai pun hanya ratus-ratusan sahaja. Kali ini, ia mulai menandingi ceramah politik itu sendiri! Wah, cukup membahagiakan.
Senggolan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein beberapa jam sebelum itu, dengan tanggapan perbincangan terbuka akan memburukkan keadaan, ternyata meleset.
Kata menteri itu, “kalau itulah yang awak mahu lihat, berbalah di dalam debat dan menciptakan lebih banyak meledaknya emosi? Kalau itulah yang mereka mahu, ia sangat tidak bertanggungjawab.” ~ (Malaysiainsider, 12 Januari 2009).
Ini tak lain, adalah sejenis ugutan bukan? Kita boleh berbeza pendapat, tetapi menutup ruang perbincangan terbuka adalah pandangan orang yang bukan sahaja dangkal, tetapi lemah.
Dari kiri: Dr Azwira A Aziz, pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Sdr. Hasmi Hashim, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad
Selain saya, antara ahli panel lain termasuklah yang paling dinantikan ialah Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad; Dr Azwira A Aziz, pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM; pendakwah bebas, Shah Kirit Kakulal Govindji; Dr. Khalif Muammar, Felo Institut Islam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM; dan Dr Mohd Farid Mohd Shahran, pengerusi Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM).
Bukan hanya Melayu yang hadir, tetapi juga kaum lain termasuk India dan Cina. Maknanya, bukan hanya Muslim, tetapi sudah pasti ada di kalangan penganut agama lain.
Kenyataannya, acara dimulai dengan tenang, berakhir juga dengan tenang. Kematangan moderator forum, saudara Faridzul Nasaruddin yang berulang kali menegaskan bahawa acara itu sama sekali bukan bertujuan menimbulkan ketegangan antara penganut agama manapun.
Apa yang menarik, program ini dianjurkan dengan ikatan kerjasama ketiga-tiga organisasi anak muda, sama ada Free Public Forum (FPF), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Kuala Lumpur Selangor Chinese Assambly Hall Youth (KLSCAH Youth). Tahniah buat mereka! Lebih-lebih lagi ketiga-tiga organisasi ini adalah organisasi anak muda belaka.
Sejurus itu, nampaknya mulai terus dianjurkan perbincangan di atas isu sama di beberapa tempat di seluruh negara, oleh pelbagai pertubuhan NGO dan organisasi. Hishamuddin sama sekali salah dalam melihat kematangan antara penganut agama mengurus dan membincangkan isu agama.
Perspektif Hishamuddin selain bersifat hingusan, ia tidak lain adalah perspektif kekuasaan-politik yang angkuh. Yang merasakan dirinya sahaja yang berhak dan pandai mengurus persoalan umat sementara kononnya rakyat tidak tahu mengurus dirinya sendiri. Ceh!
Ini, anak-anak muda ini, yang walaupun diberikan tekanan, mereka tetap berjaya menganjurkan program. Ini, anak-anak muda ini, tak memakai dana kerajaan dan duit rakyat jutaan ringgit untuk menyelesaikan masalah yang sebegini genting. Ini, anak-anak muda ini adalah baris depan yang akan menentukan nasib bangsa akan datang ~ dan Hishamuddin, juga Ketua Pemuda Umno yang ada sekarang, kena tahu itu.
Anak-anak muda inilah sebentar lagi akan menentang kezaliman dan kecuaian kamu.
Lebih penting, anak-anak muda ini, saya yakin, bukan ahli partinya Hishamuddin! Barangkali kerana itulah Hishamuddin jadi takut dan gementar. Tak satupun program dapat dianjurkan Pemuda Umno setiap umat Islam dilanda musibah.
Empat tahun lalu, sewaktu isu “kartun hina Nabi”, yang dilakukan oleh Pemuda Umno hanya membakar dada orang Melayu untuk menuai keuntungan politik. Sekarang, apabila timbul isu kalimah Allah, juga yang terus disimbah minyak dan api di dada orang Melayu. Penyelesaiannya, tak ada!
Isu, kemelut dan musibah yang melanda umat Islam hanya jadi bahan politik untuk mereka meraih populariti. Rumusan dan pemikiran tidak mendasar keputusan dan retorika politik mereka. Kita membaca pandangan para pemimpin itu, hampir semuanya sampah. Tak ada isi, dan biasa-biasa sahaja.
Bedebah! Dengan kuasa dan kekayaan wang ringgit yang dimiliki Umno (dan kemewahan setiap para pemimpinnya), mereka bukan hanya gagal menganjur majlis ilmu dan diskusi, malah menakut-nakutkan pula anak-anak muda dan mahasiswa yang berniat baik untuk mengurus masalah bangsa. Apa lagi kalau bukan istilah “bedebah” adalah panggilan terbaik Umno dan pemimpin pemudanya? Ya, bedebah!
Kalimah Allah untuk umat Islam semakin jelas boleh dikongsi dengan cara baik dengan penganut kristian; sama ada dari segi hukum mahupun sosio-budaya iaitu sejarah. Itu prinsip dan seruan Tuhan sendiri di dalam sekian banyak firman-Nya di dalam al-Quran.
Untuk Pemimpin Pemuda Umno, termasuk Hishamuddin, istilah yang sesuai bagi mereka adalah bedebah! Ya, bedebah!
Pemangku Raja terharu sambutan rakyat , at 14.1.10,


PENGKALAN CHEPA, 14 Jan: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Baginda tiba jam 4.28 petang dan ketika keluar dari bilik istirehat diraja, Pemangku Raja melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali kepada orang ramai.
Wajah Tengku Muhammad Faris jelas terharu dan kelihatan mengalir air mata dengan kehadiran rakyat jelata.
Baginda berpakaian baju Melayu berona merah terang.
Sebelum baginda berangkat ke istana, baginda dan pemimpin negeri mengaminkan doa dibaca Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Rahim Jusoh.
Keberangkatan pulang baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.
Dianggarkan lebih 5,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.
Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.
Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.
Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.
Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.
Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.
Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.
Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ketika jam menghampiri 4 petang bilangan rakyat tambah ramai dianggarkan hampir 5,000 orang berkumpul di lapangan terbang.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu majlis sambutan Pemangku Raja dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama NGO.
Katanya, semua pegawai kerajaan negeri di peringkat jajahan, pihak berkuasa tempatan dan parti-parti politik turut menyambut keberangkatan pulang baginda bagi menzahirkan rasa kasih serta taat setia yang tidak berbelah bagi.
“Biar pun penerimaan rakyat terhadap baginda begitu baik, namun taat setia dari mereka dan kerajaan perlu diperjelaskan.
“Malam ini sekali lagi kita akan berhimpun di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V untuk menunaikan solat sunat hajat dan kita minta rakyat hadir pada majlis itu yang bermula solat Maghrib,” ujarnya.
Tok Guru Nik Aziz: Politik suku agama suku punca Melayu lemah , at 14.1.10,
KOTA BARU – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya amalan agama suku politik suku menjadi punca kekuatan orang Melayu terhakis, sekali gus menyebabkan banyak kecelaruan di kalangan masyarakat dalam negara. “Dasar, ataupun prinsip itu ternyata bercanggah dengan apa yang dilakukan Nabi. Bercanggah dengan al-Quran dan bercanggah juga dengan sirah Nabi Muhammad SAW.
“Disebabkan percanggahan-percanggahan sedemikianlah timbulnya pelbagai kecelaruan. Dan kecelaruan itu sebenarnya berpunca dari kelemahan orang Melayu sendiri, orang Melayu yang memperlekehkan agamanya sendiri.
“Masyarakat sebenarnya celaru dengan apa yang dikatakan agama suku dan politik suku ini... bahkan disebabkan itu juga orang beragama lain cuba mencuri peluang untuk mencelarukan kita,” kata beliau.
Mursyidul Am PAS ini mengulas ancaman gejala sosial di kalangan masyarakat yang sanggup bertindak ganas membakar gereja ekoran kontroversi isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penerbitan akhbar mingguan Herald.
Padah ajaran agama suku politik suku, Nik Aziz mengingatkan kembali salah seorang pemimpin kerajaan sanggup berkata Islam sesuai dan munasabah pada zaman unta.
“Seolah-olah baginya Islam sudah tidak sesuai pada zaman ini. Ini juga satu kecelaruan.
“Jadi apa peliknya kalau orang lain pun cuba untuk mencelarukan kerana kelemahan kita sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald, Nik Aziz sebaliknya bertanya “kenapa tidak ambil Islam terus?”
“Pada asasnya saya telah jawab. Perkataan itu boleh digunakan tapi oleh kerana ada mainan di belakang, usul fekah menyebut, benda harus melibatkan perkara bahaya ia hendaklah disekat. Benda harus juga, tapi kalau ada manfaatnya, wajib.
“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,” jelasnya.
Keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar MB Perak yang sah? , at 14.1.10,

Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti dibawah ;-
1. Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Rayuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.
2. Namun begitu, pendengaran kes dihadapan 5 hakim pada 5hb November, 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam dipihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Ds. Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.
3. Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum dimana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Ds. Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim mahkamah rayuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim mahkamah rayuan bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.
4. Selain itu sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Ds. Nizar.
5. Kerana itu saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua Parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Perak.
6. Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merialisasikan hasrat Parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.
Kenyataan Media 14hb Januari, 2010
YB.Drs. Khalil Idham Lim
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.












