Ikuti Blog ini

Amerika Mahu Sekat Ekonomi Malaysia

Amerika Syarikat mungkin mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Malaysia jika kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) masih gagal menangani dua isu yang dianggap serius oleh masyarakat antarabangsa, menurut sumber-sumber diplomatik.

Pentadbiran Presiden Barrack Obama menuntut penjelasan penuh dari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak bersabit kecurian dua enjin pesawat F-5E dan siri serangan ke atas gereja serta rumah ibadat lain bersabit penggunaan kalimah Allah sejak dua minggu lalu.

Menurut sumber Wisma Putra, sekiranya Najib memandang ringan terhadap kedua-dua isu berkenaan, Washington mungkin mengenakan sekatan ekonomi. Amerika Syarikat adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara bernilai lebih dari AS43.7 bilion.

Sebarang sekatan ekonomi akan memberi kesan buruk kepada Negara yang sudah pun ditimpa defisit belanjawan yang begitu besar. Sumber-sumber Wisma Putra memberitahu bahawa nota diplomatik yang dihantar oleh Washington mencerminkan keseriusan
pentadbiran Obama yang sebelum ini hanya membuat bantahan menerusi kenyataan.

“Selepas ini, sekiranya kerajaan masih berdolak dalik dan tidak serius menangani masalah ini, tekanan lebih hebat mungkin dikenakan termasuk sekatan ekonomi,” kata sumber berkenaan.

Dalam SMSnya kepada Suara Keadilan, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Tina Malone Washington memandang berat laporan media mengenai kehilangan ejin pesawat buatan negara itu.

“Kerajaan Amerika Syarikat memandang berat laporan mengenai kecurian enjin pesawat F-5E yang dibekalkan kepada Malaysia. Kerajaan Amerika Syarikat telah meminta kerajaan Malaysi membentangkan laporan komprehensif berkaitan penyiasatan mengenai perkara ini.

Sumber Wisma Putra turut mengesahkan Amerika Syarikat juga menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia bersabit serangan bom petrol dan vandalisme ke atas beberapa buah gereja Kristian.

Serangan itu bertujuan mencetuskan provokasi dan ketegangan agama setelah Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah penerbitan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam laporannya.

Kebimbangan Amerika Syarikat itu disuarakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Antarabangsa Amerika Mengenai Kebebasan Agama, Leonard Leo.

“Bagaimana cara pemimpin Malaysia menangani perkara ini akan menentukan masa depan politik dan ekonomi negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan. -SK

BUBAR DUN : PENGUASA LAWAN RAKYAT YANG DITUTUP MATA

Riuh rendah sehari dua ini DUN Perak akan dibubarkan. Namun Zambry Kudeta masih tidak mahu membuat komen mengenainya secara detail.


Namun begitu para pemerhati telah mengenalpasti beberapa tindakan tidak demokratik yang dilakukan pihak tertentu untuk memastikan BN terus berkuasa. Samada berita itu benar atau tidak ianya perlu diselidiki. Tetapi seperti biasa semua orang tahu bahawa BN sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka tetap terus berkuasa. Halal dan haram tidak dihiraukan. Matlamat Menghalalkan cara memang sudah lama menjadi mazhab mereka.

Cerita-cerita seperti jumlah pengundi baru yang tidak munasabah; anggota polis diarah membuat kad pengenalan orang awam; nama pengundi di dua atau 3 tempat mengundi berasingan memang ada asas kebenarannya. Ini kerana mereka berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja. Di Bagan Pinang pelbagai bukti ditunjukkan di depan mata kepada SPR tetapi SPR tetap membutakan mata dan memekakkan telinga.

Saya yakin banyak lagi cara yang mereka usahakan demi mempertahankan kerajaan haram BN di Perak. Jangkamasa setahun BN merampas kuasa di Perak sudah tentu cukup untuk mereka melakukan ikhtiar untuk mengekalkan kuasa samada secara halal ataupun haram. Persoalannya adakan PR sudah bersedia dengan tipu muslihat mereka yang licik dan bodoh ini.

Apa pun tidak berserah kepada Allah setelah kita bersedia semampu mungkin.
Memang sukar untuk berdepan dengan manusia yang tidak takut kepada Allah dan janji Allah seperti ini. Tipu, ugut, rasuah, salahguna kuasa, fitnah dan sebagainya sudah menjadi wirid harian mereka.

Pilihanraya ini jika diadakan bolehlah diibaratkan sebagai Penguasa berlawan dengan Rakyat yang ditutup matanya. BN adalah penguasa PR adalah rakyat yang ditutup mata.

Selamat Berjuang, Allahu Akhbar.

Mursyidul Am baru Ikhwanul Muslimun



Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy, Mursyid Am Ke Lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke 8 dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Pada pukul 11.00 am (5.00 pm waktu Malaysia) tadi, Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am ke lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928. Dr Muhammad Badi’ menggantikan Mursyid Am Ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke 8 dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir dan anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan 3 orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Dr Muhammad Badi’ mendapat ijazah Sarjana Muda (B. Sc.) Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan) dari Universiti Kaherah pada tahun 1965, ijazah Sarjana Vet Sc tahun 1977 dari Universiti Az-Zaqaziq, Ph.D Vet. Sc tahun 1979 dari Universiti Az-Zaqaziq, Professor Madya Vet. Sc. Di Universiti Az-Zaqaziq tahun 1983, Professor Vet. Sc. Di Universiti Kaherah cawangan Bani Suef tahun 1987, ketua Jabatan Patologi, Fakulti Vet. Sc. Tahun 1990. Beliau telah menyelia 15 thesis Masters dan 12 thesis Ph.D dan berpuluh kertas penyelidikan dalam bidang Kedoktoran Haiwan (Vet. Sc.). Sekarang beliau bertugas sebagai Professor di Jabatan Patologi, Fakulti Sains Veterinar di Universiti Bani Suef, selatan Mesir.

Dalam arena Dakwah Ikhwan Muslimin, beliau menjadi anggota Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1975, Masul Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1977, Masul Tarbiyah di Ar-Rabitah, Yaman (1982 – 1986), anggota Maktab Idari di Bani Suef (1986), Masul Maktab Idari di Bani Suef (1990), Masul Tarbiyah Mesir (1994), anggota Maktab Irsyad (sejak 1996) dan anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Antarabangsa (2007) dan Penyelia Biro Tarbiyah (2007).

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Beliau bersama-sama sebahagian pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk ahli tafsir Fi Zilal Al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb dihadap ke Mahkamah Tentera pada tahun 1965 dimana Sayyid Qutd dijaatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala beliau dipenjara 15 tahun. Selepas 9 tahu, beliau dibebaskan pada tahun 1974. Pada 1998, beliau dipenjara selama 75 hari atas isu “Persatuan Ad-Dakwah Al-Islamiah”. Pada tahun 1999, Mahkamah Tentera menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Pada tahun 2008, ketika musim Pilihanraya Dewan Undangan Negeri, beliau dipenjara selama sebulan.

Nama Dr Muhammad Badi’ tersiar dalam Ensaiklopedia Ilmiah Arab dikalangan 100 tokoh Arab yang diterbitkan oleh Badan Penerangan Mesir tahun 1999.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau TaufiqNya dalam memimpin jemaah Ikhwan Muslimin yang menjadi salah satu tempat harapan ummah Islamiyah dalam mengembalikan identity Islam kedalam diri dan masyarakat Islam, berhadapan dengan penentangan dan projek gergasi Amerika, Yahudi dan barat untuk menguasai dunia dan menghancurkan Islam. “Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan akan meneguhkan pendirian dan kedudukan kamu” (Al-Quran).

Kerajaan BN Jimat 1.3 Bilion untuk Gula, Bazir 1 Billion untuk F1


Kenyataan Media


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan dasar meringankan beban tanggungan subsidi gula yang diperkenalkan Kerajaan BN sehingga menyebabkan kenaikan harga sebanyak 20 sen. Dasar ini menunjukan bahawa Kerajaan BN cuba melepaskan tanggungjawab ekonomi mereka terhadap rakyat. Mungkin pada pandangan kerajaan 20 sen adalah nilai yang kecil bagi kenaikan sekilogram gula, tapi rakyat risau dengan naiknya harga sedemikian sudah boleh dianggap besar sebab bukan gula sahaja yang ingin dibeli setiap bulan. Banyak lagi barang pengguna lain seperti tepung, beras, minyak masak dan sebagainya yang berkemungkinan besar akan naik. Jadi kerisauan ini akan terus berlaku sebab harga gula tanpa subsidi boleh berubah, begitu juga dengan harga keperluan lain yang boleh berubah.

Dasar Kerajaan BN yang mahu mengurangkan beban subsidi memang tidak digemari rakyat, apa lagi jika dalam keadaan sekarang Kerajaan BN juga mahu perkenalkan dasar GST untuk hampir semua jenis barangan serta kenaikan cukai-cukai lain. Ini membuktikan Kerajaan BN sudah tiada wang untuk memerintah sebab telah banyak dibazirkan sebelum ini. PAS memahami kesulitan Kerajaan dalam hal ini, namun sebarang kenaikan tidaklah wajar pada masa ini kerana negara masih mampu jika dasar berjimatnya betul. Walaupun Kerajaan BN bangga mengatakan bahawa telah berjimat sebanyak RM 1.3 Bilion, namun rakyat sakit hati kerana dari penjimatan itu, Kerajaan telah bazirkan RM 1 Bilion dalam budget tahun 2010 untuk tujuan memajukan sukan F1 yang bukan melibatkan kepentingan atau faedah semua rakyat.

PAS juga jelas bahawa, pelaburan RM 1 Billion itu adalah perbelanjaan hangus yang mana hasilnya tidaklah seberapa. PAS mahu kerajaan meningkatkan intergriti dan memperbaiki budget negara agar tidak membebankan rakyat. Kerajaan seharusnya bijak untuk mengunakan wang cukai rakyat dan tidak meminta rakyat berjimat sedang kerajaan membazir.

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tahniah DS Azizan!!!



ALOR SETAR - Corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum dipuji oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada titah ucapan baginda sempena menyambut Hari Keputeraan ke-82 di Istana Anak Bukit, semalam.

Baginda bertitah, corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendukung tinggi prinsip keadilan tanpa mengira kaum dan agama itu amatlah dipuji dan rakyat diingatkan agar terus memelihara suasana aman damai yang membolehkan taraf hidup rakyat ditingkatkan tanpa ada sebarang ancaman atau gangguan terhadap keselamatan.

Baginda bertitah, kemudahan asas seperti prasarana, kemudahan kesihatan dan pelajaran telah disediakan di semua kawasan penempatan yang utama dan golongan yang kurang bernasib baik turut diberikan bantuan kewangan bagi meringankan perbelanjaan sara hidup.

“Skim Kifalah yang dilancarkan yang pada tahun ini dengan memberi bantuan sejumlah RM500 kepada kepada keluarga termiskin yang meninggal dunia akan dapat membantu meringankan beban bagi membiayai kos pengurusan jenazah kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” titah baginda.

Baginda bertitah, pembinaan rumah kategori rumah mampu milik yang dilaksanakan telah memberi peluang kepada semua pihak untuk memiliki rumah yang sempurna dan mengurangkan rakyat mendiami kawasan setinggan yang tidak mempunyai kemudahan asas.

Baginda bertitah, Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat memberi peruntukan dan melaksanakan Projek Tebatan Banjir yang mampu mengurangkan ancaman banjir dengan segera demi faedah dan kesejahteraan rakyat.

Di akhir titah ucapan, baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Pasukan Keselamatan yang berusaha gigih bagi memastikan keamanan negeri sentiasa terpelihara.

Pada majlis itu baginda turut menyampaikan anugerah darjah dan bintang kebesaran Kedah kepada 72 penerima termasuk mengurniakan Jaksa Pendamai (JP) kepada Menteri Besar Kedah dan Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Penganugerahan darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK) turut diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang membawa gelaran Datuk Seri dan SM Faizal Tan Sri SM Nasimuddin turut dianugerahkan Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk.

Sumber, Sinar Harian

KEMPEN JUARA RAKYAT TANDANYA UMNO DAH NAZAK.



Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kata :
  • Umno kini dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga terpaksa mengadakan Program UMNO Juara Rakyat.
  • Usaha Umno membuka kaunter daftar pemilih dan keanggotaan Umno pada setiap siri program Juara rakyat di seluruh negara adalah kerana mereka menyedari kemerosotan sokongan rakyat khususnya generasi muda terhadap parti itu.
  • Juara Rakyat ini menunjukkan usaha terdesak Umno yang sedang dalam keadaan kritikal dari segi sokongan pengundi khususnya generasi muda.
  • Mendakwa Umno juga telah menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk menjayakan program tersebut.
  • Berharap agar PAS memandang serius mengenai gerakan daftar pemilih terutamanya di kalangan anak-anak ahli dan penyokong parti bagi mengelakkan Umno mengambil kesempatan terhadap mereka.
  • PAS perlu bersungguh-sungguh dalam isu daftar ahli dan pemilih ini kerana semua parti sedang berusaha menarik rakyat supaya mendaftar parti masing-masing.
  • Umno sedang dalam proses memulihkan imej parti itu melalui program Juara Rakyat setelah terpalit dengan pelbagai isu yang menghakis kepercayaan rakayt terhadap mereka.
  • Kita lihat program ini lebih banyak kepada usaha membaik pulih imej Umno. Tapi pada waktu yang sama rakyat melihat isu yang lebih besar yang sepatutnya ditangani oleh pemimpin Umno belum selesai.

Buaya Di Port Dickson, Penafian MB N9 Kurang Meyakinkan

Jika benar dakwaan ada buaya di pantai Port Dickson, reptilia itu telah tersesat dan tidak mungkin boleh hidup lama disebabkan sukar mencari makanan berbanding habitat asalnya, Kosmo dipetik.

Pensyarah Institut Oceanografic Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Sulung Ibrahim berkata, kehadiran buaya di kawasan pantai bukan sesuatu yang mustahil kerana ia boleh hanyut dan dibawa arus pada waktu banjir.

"Walaupun secara rasionalnya buaya dari muara Sungai Linggi tidak mungkin hanyut ke Port Dickson kerana jauh, tidak mustahil jika ia datang dari sungai-sungai kecil berhampiran,'' jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan insiden membabitkan seorang posmen, Mohamad Helme Leman, 25, dari Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka yang menerima 50 jahitan selepas mendakwa dia diserang haiwan dipercayai seekor buaya ketika mandi di pantai itu pada 2 Januari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan hari ini luka di kaki seorang pengunjung ke pantai Port Dickson bukan akibat serangan buaya atau ikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang menerima laporan dari pakar-pakar perubatan menyatakan, kesan luka tersebut mungkin disebabkan oleh punca lain tetapi bukan dari haiwan ganas.

"Ini bukan saya kata tapi menurut pakar yang meneliti kes itu, kita tidak pasti apa yang menyebabkan luka itu tapi macam-macam kemungkinan, mungkin terumbu karang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Katanya, belum pernah berlaku dalam sejarah Port Dickson, pengunjung diserang oleh binatang liar seperti buaya atau ikan yu.

Banyak pihak berpendapat kenyataan MB Negri Sembilan adalah usaha kerajaan negeri untuk memulihkan keyakinan pelancong ke pantai Port Dickson yang terjejas akibat tersebarnya berita mengenai kehadiran buaya berkenaan.

Sekalipun jaminan diberikan oleh kerajaan Negeri Sembilan terhadap keselamatan pelancong, namun laporan pakar tidak jelas dan oleh itu masyarakat masih ragu-ragu kerana rakaman kehadiran buaya itu bukan sekadar rekaan tetapi adalah berserta dengan imej yang tidak dapat disangkal.


Kelibat Buaya Di Tanjung Tuan





PORT DICKSON: “Saya tidak menyangka ketika cuba meneropong pelbagai raptor di kawasan ini tiba-tiba objek yang saya lihat dalam teropong itu adalah seekor buaya,” kata Ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Khoo Swee Seng, semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin ketika dia dan isteri bersama dua sukarelawan datang ke Tanjung Tuan dekat sini, untuk memenuhi hobinya meneropong pelbagai jenis raptor di kawasan itu dan terkejut apabila ternampak kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.

“Setiap tahun saya datang ke Tanjung Tuan sempena Minggu Melihat Raptor untuk menyaksikan penghijrahan pelbagai jenis raptor seperti helang yang menyeberang dari Pulau Rupat, Sumatera ke sini, tetapi kali ini, saya tidak menyangka seekor buaya berada di kawasan ini.

“Buaya yang dipercayai buaya air masin atau nama saintifiknya, estuarine crocodylus prosus, muncul kira-kira 20 meter dari pantai selama kira-kira 30 minit dan kelihatan bergerak melawan arus ke arah selatan,” katanya di sini, semalam.

Hina OKU: Pesuruhjaya SPRM didesak letak jawatan



Beberapa pemimpin bagi pertubuhan orang kurang upaya (OKU) melancarkan demonstrasi aman menuntut Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kasim Mohamed supaya meletakkan jawatan.

Desakan tersebut ekoran peguam yang mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa telah menghina peguam OKU yang mewakili mendiang Teoh Beng Hock, Karpal Singh di kamar perbicaraan minggu lalu.

Che Det pecah lubang lagi...pasir untuk singapura, angkara siapa?

Terjemahan dari blog Che det....

1.Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu, setiap hari 500 lori membawa pasir dari Johor ke Singapura. Kawan saya pula memberitahu bukan 500 tetapi 700 lori setiap hari. Tentunya banyak jumlah pasir tersebut.

2.Saya ingatkan kita sudah menghentikan penjualan pasir negara kita ke Singapura. kawan saya katakan pasir itu bukan pasir tetapi ianya pasir silika.

3.Singapura memerlukan untuk membuat mikrocip. Saya tidak tahu berapa jumlah pasir digunakan untuk mikrocip yang sekecil itu. Semesti banyak jumlahnya jika setiap hari mereka memerlukan sebanyak 700 lori setiap hari.

4.Menjual bahan mentah tentu kurang untungnya.Kan lebih baik ditambah nilai dengan memproses bahan mentah tersebut.

5.Rasanya tentu tidak susah memproses silika dari pasir silika. Kilang kaca memang membuatnya. Malaysia juga mempunyai kilang kacanya sendiri. Kenapa kita sendiri tidak membuat 'silicon wafer' dan kemudian menjualnya ke Singapura?

6.Saya rasa ada seseorang tidak memberitahu perkara yang betul.....


sumber:chedet

Pro-M diterima, pro-aspirasi makin hilang pengaruh

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Pro-mahasiswa (pro-M) Nasional mengucapkan tahniah kepada kumpulan pro-M di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang telah memenangi sebanyak 11 daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan dalam pilihan raya kampus, semalam.

Pengerusinya, Mohd Shafie Hashim berkata, walaupun terdapat halangan demi halangan oleh pihak pentadbiran dan 'tangan ghaib' yang tidak bertanggungjawab, namun kumpulan pro-M berjaya di UMT.

“Kemenangan ini membuktikan bahawa perjuangan pro-mahasiswa diterima oleh semua dan pro-aspirasi semakin hilang pengaruhnya,” ujarnya yang juga Pengerusi pro-M Universiti Malaya.

Katanya, kemenangan itu merupakan gelombang awal sebaik sahaja Misi-10 dilancarkan oleh pro-mahasiswa baru-baru ini.

“Selepas ini, pro-M akan terus meningkat usaha sehabis mungkin untuk memastikan gelombang kemenangan di UMT ini akan terus dibawa ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dijangka tahu keputusannya 21 Januari ini dan seterusnya meresap ke kampus-kampus utama yang lain yang dijangkakan penghujung Januari ini,” katanya.

Sejak UMT dinaik taraf sebagai sebuah universiti pada 2007, tahun ini merupakan pertama kali dalam sejarah pro-aspirasi tumbang teruk apabila dalam pilihan raya kampus yang berakhir semalam di mana telah dimenangi pro-M yang baru dizahirkan kewujudannya pada kali ini.

Tanda-tanda Pilihanraya kecil negeri Perak.


SPR Perak Pamer Daftar Pemilih Baru

IPOH, 18 Jan (Bernama) -- Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak akan mempamer senarai pemilih baru dan pertukaran alamat tempat mengundi bagi mereka yang mendaftar dari 1 Okt hingga 31 Dis 2009.

Pengarah Pilihan Raya Negeri, Ahmad Adli Abdullah berkata mereka yang telah mendaftar pada tarikh tersebut boleh membuat semakan di Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat Pos, Pejabat Penghulu dan Pejabat Daerah.

Pameran dibuka dari 20 hingga 26 Jan pada waktu pejabat.

Pejabat Pilihan Raya Negeri boleh dihubungi melalui talian 05-2494113, 05-2494120 dan 05-2494121.

-- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Beberapa perkembangan terbaru di negeri Perak memberi keyakinan akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) itu dalam sedikit masa lagi.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu beberapa petanda menuju ke arah itu sedang berlaku.

Ianya termasuk pertemuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Arab Saudi baru-baru ini sehingga Zambry didakwa sanggup meninggalkan Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak.

"Datuk Seri Zambry yang sanggup tidak hadir ke Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak baru-baru ini di lihat ada perkara lebih penting yang akan di bincangkan dengan Datuk Seri Najib di Arab Saudi," kata Mohd Nur Amin selaku pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

Selain itu menguatkan lagi keyakinan mereka akan berlakunya pilihanraya adalah maklumat yang mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengadap Seri Paduka Sultan Perak dalam satu majlis awal November lalu.

Sehubungan itu, pemuda PAS Perak mengarahkan semua jentera Pemuda PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya supaya bersedia dengan pembubaran DUN itu.

Awal Februari ini, kerajaan Perak diteraju Zambry akan mencapai usia setahun pentadbirannya.

Laporan polis berhubung kebiadapan YB Hamidah Osman


"Satu laporan polis telah telah dilakukan oleh Sdr Mohamad Jamil Bin Abdul Rahim selaku Ahli dan AJK PAS kawasan Shah Alam berhubung penyiaran gambar YB Khalid Samad yang di Super Imposed dalam blog YB Hamidah Osman. Antara fokus laporan adalah :

1. YB Hamidah dilihat mempunyai niat menghina parti berdaftar PAS dengan meletakkan logo PAS dalam gambar tersebut.

2. Menjatuhkan maruah pemimpin dan semua ahli PAS.

3. Memutarbelitkan isu kalimah Allah

4. Memberi peringatan kepada beliau agar menghentikan segala perbuatan dan memohon maaf kepada PAS

5. Menuntut agar beliau lebih merujuk kepada Ulama.

Kenyataan lisan beliau dapat diikuti menerusi
http://tvdppsa.blogspot.com




Raja Petra Bercerita Tentang Musa Hassan - 1Malaysia Wajib Baca!!!




Translated into BM by Jason Cheng:

Umpan Musa Hassan tak mengena


Raja Petra Kamarudin


KPN, Musa Hassan sedang memulakan satu ekspedisi memancing. Dia menyuruh semua pegawainya untuk menimbangkan semua cara bagi menangkap saya. Masalahnya adalah ramai antara pegawainya yang menyalurkan maklumat kepada saya, dan bukan kepadanya. Jadi, saya tahu apa yang dilakukannya pada pagi ini, malah apa yang sedang dia lakukan ketika anda membaca artikel ini.

Musa Hassan menyangka bahawa para pegawainya memantau pergerakan saya. Sebenarnya, tak satu pun daripada pegawainya yang benar-benar tahu akan kedudukan saya. Sebaliknya, saya mempunyai orang dalam yang memantau pergerakannya dan membuat laporan harian kepada saya tentang segala aktiviti yang berlaku di tingkat atas ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Pada mulanya, mereka fikir bahawa mereka dapat menggunakan anak saya bagi menjerat saya. Mereka memukul anak saya bagi memaksanya mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan jenayah. Tetapi apabila kes itu dibawa ke mahkamah, anak saya mendedahkan bahawa beliau telah dipukul dan dia menukar pengakuannya kepada tidak bersalah. Jadi, mereka tiada pilihan, selain membiarkan perbicaraan diteruskan. Nah, semasa perbicaraan itulah terungkapnya hakikat bahawa dakwaan terhadap anak saya adalah tidak benar.

Mereka kemudiannya menangguhkan perbicaraan itu dan menghantar anak saya kembali ke Penjara Sungai Buloh, di mana dia terus dibelasah. Akibatnya, anak saya naik gila, lalu terpaksa dihantar ke wad psikiatri. Dia kemudiannya diasingkan kerana dianggap sebagai terlalu berbahaya untuk dibenarkan bergaul dengan lain-lain tahanan.

Ya, mereka sangka bahawa mereka dapat menyembunyikan perkara ini daripada saya. Tetapi akhirnya, saya dapat tahu juga. Bagi saya, terpulanglah kepada pihak polis jika mereka ingin membunuh anak saya. Memanglah ini pernyataan yang saya kesali, namun anak saya adalah korban perjuangan. Sebenarnya, kita semua adalah korban perjuangan. Adakalanya, dalam perjuangan, nyawa perlu dikorbankan, sekalipun ia membabitkan nyawa anak kita sendiri.

Kita tentu pernah membaca suatu kisah semasa era Empayar Islam di Madinah, yang mana seorang ibu diberitahu bahawa anak lelaki terakhirnya telah syahid dalam peperangan. Dia menangis apabila diberitahu bahawa semua anak lelakinya sudah tiada. Tetapi dia sebenarnya menangis kerana dia tidak lagi mempunyai anak lelaki untuk dikorbankan demi perjuangan.

Inilah dasar kepercayaan kita. Perjuangan adalah lebih penting daripada segala-galanya. Adakah mereka fikir bahawa dengan membalun anak saya, maka masalah mereka akan selesai? Apa mereka fikir ia akan ‘menjinakkan’ saya? Tidak sekali-kali, malah ia akan menguatkan semangat saya kerana kini, bukan hanya perjuangan yang menjadi matlamat saya, malah ia melibatkan keadilan; darah mesti dibayar dengan darah jua.

Musa Hassan menyangka bahawa hanya kerana dia adalah pegawai tertinggi PDRM, maka itu juga bermakna bahawa dialah polis terpintar di Malaysia.

Anda nak tahu bagaimana cara polis yang pintar menjalankan siasatan? Meh saya beritahu rahsianya. Nak tahu apa yang dilakukan oleh Kevin Morais, Ketua Pendakwaraya SPRM semasa Krismas tempoh hari? Mesti anda tak tahu, bukan? Kalau anda nak tahu, dia merayakan Krismas dan Tahun Baru dengan kawan lelaki berbangsa Inggeris yang bertahun-tahun lebih tua daripadanya di Bromley, Kent, United Kingdom. Mesti anda tak tahu, bukan?

Musa Hassan, aku tahu bahawa kau mengugut para pegawai polis yang menandatangani Akuan Bersumpah yang menyabitkan hubungan kau dengan kongsi gelap Cina untuk mengubah kenyataan mereka, dan mengisytiharkan bahawa akuan berkanun mereka itu adalah pembohongan semata-mata.

Ah, dah terlambat pun. Akuan Bersumpah tu dibuat dua tahun yang lalu. Kalau nak suruh tarik balik, sepatutnya kau buat macam dengan Bala dulu… sehari selepas Akuan Bersumpah pertama keluar, Akuan Bersumpah kedua ditandatangani.

Adakah kau nak menafikan hal ni dan mengatakan bahawa RPK dan Malaysia Today berbohong? Jika ya, maka aku akan paparkan salinan semua dokumen-dokumen tu untuk membuktikan bahawa kaulah yang menipu. Bahkan kau dah digelar sebagai pembohong oleh Mahkamah Tinggi Sabah, dan dalam sedikit masa lagi, aku akan memaparkan bukti mengenai perkara ni dalam artikel yang lain.

Mereka yang berada di tampuk kekuasaan sedang berusaha meyakinkan kau untuk bersara dan seterusnya menjadi Duta Besar. Mungkin tulah yang sebaik-baiknya, memandangkan sebagai seorang anggota polis, kau memang tak boleh harap. Tapi kenapa Duta Besar? Mengapalah orang tak guna seperti si gatal yang suka meraba sering dilantik sebagai Duta Besar.

Dua negara yang sesuai untuk kau sebagai Duta Besar adalah Haiti ataupun Mongolia. Dah pasti orang Mongolia akan menyambut baik orang yang menghancurkan bukti pembunuhan Altantuya demi memastikan pembunuh sebenar terlepas dari hukuman.

Jadi, apakah rancangan kau sekarang, wahai Musa Hassan? Adakah kau akan mengemukakan 'bukti' bahawa aku memaparkan akuan-akuan berkanun palsu oleh pegawai polis, yakni supaya aku boleh didakwa di bawah Akta Multimedia? Kenapa kau tak buat begitu bagi akuan bersumpah aku sendiri? Mengapa aku disiasat atas sebab menandatangani akuan bersumpah palsu dan kemudiannya mendakwa aku melakukan Fitnah Jenayah, yang mana kebenaran akuan bersumpah tu tak material dalam dakwaan tersebut? Adakah kau takut bahawa kebenaran akan terungkap kalau kau mendakwa aku atas kesalahan menandatangani akuan bersumpah palsu?

Kau ingat aku tinggalkan Malaysia secara haram ataupun dengan menggunakan pasport palsu ataupun pasport asing. Kau tak pasti. Kau fikir aku memasuki negara lain dengan menggunakan pasport palsu ataupun pasport asing. Kau tak pasti. Malah kau tak tahu sama ada aku masih berada di negara ni ataupun tak kerana kau tak pun menemui sebarang bukti yang menunjukkan bahawa aku berada di luar negara.

Polis jenis apa kau ni? Kau naik angin kerana kononnya aku memperbodohkan kau, walhal kau memperbodohkan diri kau sendiri. Rancangan kau adalah berasaskan andaian, tetapi kau sendiri tak pasti sama ada andaian kau tu betul ataupun tak.

Aku tahu lebih banyak tentang aktiviti kau berbanding dengan pengetahuan kau tentang aktiviti aku. Sebenarnya, lebih ramai pegawai kau yang menyalurkan maklumat kepadaku daripada kepada kau. Kau cuma tahu meneka lokasi aku dan rancanganku, sedangkan aku tahu segala gerak geri kau. Malah aku tahu bahawa ketua kuncu kau, Kevin Morais, sedang berseronok dengan seorang lelaki lain di ketika kau sangka kau dah berjaya memerangkap Dato' Ramli Yusuff dan Rosli Dahlan.

Musa, kau ingat kau lagi pandai daripada akukah? Aku tahu kau mendakwa seorang pegawai polis India atas pembunuhan Kugan sedangkan sebenarnya, terdapat tiga pegawai polis yang melanyaknya hingga mati di Balai Polis Subang Jaya. Kenapa hanya seorang pegawai polis berbangsa India yang didakwa? Kenapa tak dakwa lagi dua orang pegawai polis Melayu yang juga terbabit? Adakah ia kerana kau takut kes tu mungkin berubah menjadi isu perkauman jika semua orang tahu bahawa dua pegawai polis berbangsa Melayu juga memukul Kugan sampai mati? Jadi, adakah jika pegawai polis India membunuh seorang India yang lain, maka kerajaan kekal ‘selamat’? Kau fikir kita orang semua dah lupa bahawa pada mulanya, 11 pegawai polis 'digantung kerja' dan diberi tugas pejabat dek kerana kes Kugan?

Musa Hassan, kau bukan taraf aku, malah jadi Pegawai Penyiasat pun kau tak layak. Sejak 11 tahun yang lalu, aku dah jumpa ramai daripada Pegawai Penyiasat kau. Jadi, memang aku tahu bahawa kau tak setaraf dengan dia orang. Terima sajalah tawaran untuk bersara dan kemudian dilantik sebagai Duta Besar ke Haiti ataupun Mongolia… aman sedikit PDRM. Pada hari bersejarah tu nanti, seluruh pasukan polis akan mengadakan Mardi Gras selama 30 hari. Percayalah cakap aku. Aku tahulah… sebab pegawai kau semuanya beri maklumat kepadaku.

TGNA : Kelantan Yang Aman Damai Bagi Semua Agama

Isu perkauman, agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu adalah antara isu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka bagi masyarakat Malaysia. Justeru itu, selepas tercetusnya kontroversi isu penggunaan kalimah Allah kepada “the herald” milik gereja Kristian, maka keputusan mahkamah tinggi itu telah menyentuh nilai-nilai keharmonian beragama di Malaysia.

Sehubungan itu, pelbagai pihak kalangan pemimpin dan umat Islam telah memberi pandangan, malah sanggup berdemonstrasi mempertikaikan keputusan tersebut. Paling malang, muncul pula pihak yang bersifat anti-harmoni, telah melancarkan “serangan” ke bangunan gereja.

Alhamdulillah, kejadian buruk dan malang yang boleh mengeruh keharmonian tersebut tidak berlaku di Kelantan. Ini kerana, Kelantan sejak zaman-berzaman telah mengamalkan cara hidup berteraskan agama yang berjaya menerapkan persafahaman antara kaum dan agama. Ia ses8ngguhnya selari dengan ajaran al-Quran, sebagiamana firman Allah (Surah az-Zumar, ayat 38).




Maksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

(Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Surah Az-Zumar, juz 24:38)


Rakyat Kelantan, kini dalam rahmat dan berkat Allah kerana penerimaan yang jelas dan mutlak kepada keEsaan Allah SWT. Maka, kekalutan seperti cubaan membakar gereja tidak berlaku dan tidak terfikir berlaku di Kelantan. Walaupun kita tahu, di Kelantan sekarang juga terdapat berbilang kaum dan agama. Dalam keadaan Kelantan memiliki 563 buah masjid, 60 To’kong, 22 Wat, 19 Kuil dan 15 buah Gereja, kesemuanya bebas dan aman penuh harmoni menjalankan amal ibadat dan upacara keagamaan masing-maising. Sesungguhnya, Kelantan sejak ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam telah berjaya mewujudkan perpaduan yang jitu semua lapisan rakyat di kampung, estet, pekan dan bandar.

Bagi kerajaan Negeri pula bersikap terbuka dan sedia berbincang melalui sebarang perundingan demi keharmonian hidup antara kaum. Kesemua cetusan rasa pihak Kerajaan Negeri sedia melayani dan berbincang. Pengalaman kami, telah acapkali kita berdialog, berunding dan duduk semeja bersama-sama pembesar agama dari agama Kristian, Buddha, dan Hindu. Ruang selesa kita bentangkan kepada mereka bagi mendirikan rumah ibadat atas tanah milik mereka, dan pihak Kerajaan Negeri turut menyediakan kemudahan prasarana. Ia adalah antara keselesaan yang teristimewa dinikmati di Kelantan. Maka kita tidak pernah terlibat dengan peristiwa meroboh mana-mana To’kong, Kuil, Wat hatta Gereja.

Apa yang penting, semua agama percaya kewujudan tuhan. Bagi Islam, perkataan Allah adalah nama yang Dia sendiri menamakannya, tidak manusia menamakannya. Ia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang menjadi tumpuan sekalian makhluk, Tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada sesiapa yang setara dengan denganNya.

Maka bagi agama lain, apa sahaja yang nak sebut mengenai nama tuhan, terserahlah atas hak agama masing-masing. Ia adalah antara nilai-nilai hormat menghormati mengikut kepercayaan masing-masing. Dan kepercayaan yang suci ialah beriman dengan kekuasaan Allah yang berkuasa di atas setiap ciptaan alam ini. -blog tok guru

Kerajaan Kelantan tidak rugi: Takiyuddin




KOTA BHARU - Kerajaan Negeri menafikan sebuah laporan blog yang menyatakan Kerajaan Negeri mengalami kerugian sebanyak RM50 juta akibat kesilapan yang dilakukan melibatkan urusan pembinaan Bazar Tok Guru.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri mendapat keuntungan daripada projek tersebut kerana mendapat sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal.

“Kita tidak rugi apa-apa. Kerajaan hanya sediakan tapak untuk dibangunkan bersama di antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan sebuah syarikat, Sensa Timur Sdn Bhd untuk membina sebuah bazar. Sebagai timbal balas, syarikat itu memberikan aras satu dan dua yang bernilai RM40 juta kepada kita.

"Bagaimanapun pada mesyuarat Exco baru-baru ini, kita memutuskan untuk membeli aras bawah yang bernilai RM23 juta dan kesemua lot perniagaan terbabit akan dijual semula bagi mendapatkan kembali wang yang dikeluarkan itu,” katanya, semalam.

Kelmarin Nik Abdul Aziz mengakui Kerajaan Negeri melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek embinaan Bazar Tok Guru.

Menurut blog Kickdefella, kerugian itu dikatakan melibatkan nilai sebanyak kira-kira RM50 juta iaitu RM30 juta hasil kehilangan dari pemberian tanah dan RM23 juta kerana menebus untuk mengambil balik tingkat bawah bazar tersebut.

Dalam pada itu, Takiyuddin meminta Menteri Besar supaya menjalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat tersebut kerana bimbang akan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Keputusan ini dibuat pada Rabu lepas dan minit mesyuaratnya pun belum disahkan lagi. Soalnya bagaimana maklumat ini boleh bocor dan memberikan maklumat yang salah," katanya.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Negeri juga tidak pernah menetapkan harga tertentu untuk semua lot perniagaan tersebut bagi dijual kepada peniaga daripada kedua-dua pasar berkenaan.

“Kita akan menjual semula lot-lot perniagaan ini setelah ia dibahagikan dengan harga belian aras bawah yang bernilai RM23 juta itu.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa tidak timbul isu Kerajaan Negeri rugi RM30 juta disebabkan nilai tanah itu kerana kita mendapat pulangan sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal,” katanya. SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .