Ikuti Blog ini

Hubungan romantis: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Anwar



Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta agar tuduhan liwat terhadapnya digugurkan — kedua dalam satu dekad ini — ekoran dakwaan hubungan romantis antara saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengumumkan keputusan beliau itu pagi ini.

Anwar membuat permohonan itu pada 2 Ogos lalu.
Ini merupakan kali kedua Anwar berusaha untuk membatalkan tuduhan terhadapnya, dan kali ini beliau mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Saiful dan Farah Azlina.

Dalam penghakimannya Zabidin berkata, pasukan pendakwa tidak menafikan ataupun bersetuju dengan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pembela dalam afidavit mereka berhubung dakwaan kedua-dua Saiful dan Farah Azlina, dan apa-apa yang didakwa oleh defendan akan diambil kira sebagai benar.

Bagaimanapun Mohd Zabidin menjelaskan, afidavit Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria dan pegawai penyiasat Judy Pereira sudah cukup untuk membuktikan bahawa Farah Azlina tidak akses kepada dokumen siasatan dan perbicaraan dan peranannya hanya setakat mengambil nota prosiding kes.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tuduhan terhadapnya digugurkan. Dalam permohonannya beliau mendakwa bahawa Farah Azlina Latif ada akses kepada kertas siasatan, dan ada hubungan dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Dalam afidavit pendakwa, pasukan mereka tidak menafikan ataupun bersetuju dengan bahawa adanya hubungan, tetapi menekankan bahawa Farah Azlina dan Saiful tiada akses kepada dokumen-dokumen ini.

“Mahkamah mendapati tiada salah guna dalam proses pembuktian di sini. Oleh itu, permohonan ini ditolak,” kata Zabidin.

Hakim berkata, memandangkan Farah Azlina tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan urusan soal siasat saksi, tidak akan wujud elemen Saiful “mempengaruhi” Farah Azlina ekoran hubungan membabitkan kedua-dua mereka.

“Dalam situasi ini, saya berpendapat bahawa apa-apa pengaruh SP1 (Saiful) ke atas Farah Azlina ekoran hubungan mereka tidak mungkin boleh memberi kesan ke atas pasukan pendakwaan atas alasan bahawa ia akan berkompromi dari segi integriti dan keadilan pasukan pendakwa raya,” kata beliau.

Minggu lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk memutuskan permohonan Anwar selepas peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan, merumuskan hujahan terhadap permohonan Anwar bagi membatalkan pertuduhan.

Jabatan Peguam Negara telah menafikan dakwaan itu sebelum ini.
Dalam cubaan pertama, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat menyatakan dakwaan itu lemah berdasarkan “tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur/rektum”, tetapi ia ditolak Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Zabidin pada asalnya memutuskan untuk memberi keputusan pada Jumaat, tetapi Karpal Singh meminta beliau supaya bertindak tanpa gentar atau pilih kasih, dan menyatakan bahawa buat pertama kalinya di negara ini, dan kemungkinan juga di negara-negara Komanwel dalam hal berkaitan saksi dan timbalan pendakwa raya mempunyai hubungan.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang genap berusia 63 tahun minggu lalu dibicarakan atas tuduhan meliwat Saiful, bekas pembantu peribadinya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Karpal dalam hujahannya untuk meyakinkan hakim membenarkan permohonan bagi menggugurkan pertuduhan, berkata apa jua yang dinyatakan Anwar dalam afidavitnya mengenai hubungan Saiful dan Farah Azlina bukanlah satu dengar cakap tetapi beliau mempunyai pengetahuan peribadi untuk memastikan fakta berkenaan.

Peguam itu berhujah bahawa Hanafiah dalam afidavit balas kepada afidavit Anwar mengenai hubungan itu, terpaksa bergantung kepada beberapa keratan akhbar bahawa Farah Azlina dan Saiful bahawa pada waktu berkenaan tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan. - TMI

Umno Selangor engkar arahan Tuanku Sultan....!!

Umno Selangor semakin murah.




Isu Umno mahu mempolitkkan masjid di bulan Ramadhan ini terus hangat. Siang tadi saya menerima panggilan bertalu-talu dari berbagai pihak menyatakan bantahan terhadap cadangan Umno Selangor untuk mengadakan majlis berbuka bersama PM (yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor) di Masjid Nurul Ehsan, Kg Medan, Petaling Jaya.

Malah petang tadi saya telah menemani Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hasan Ali bersama Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Sdr Khairuddin Othman bertemu dengan Dato' Menteri
Besar di rumah beliau bagi melahirkan kebimbangan PAS Selangor terhadap apa yang berlaku.

Sedang kami berada di rumah MB berbagai pihak bertandang ke masjid berkenaan termasuklah kontraktor yang mahu memasang khemah tetapi dihalang oleh pihak pimpinan masjid. Pimpinan Umno Selangor turut berada di masjid kononnya untuk berunding.

Tanpa segan-silu mereka mengguna dan menjual berbagai nama untuk melanggar masuk mengguna masjid, termasuklah nama MB, EXCO Agama malah nama istana pun turut dibabitkan.

Mujurlah pihak pimpinan masjid menghadapi isu ini dengan tenang dan membenarkan kami dan MB merundingkan suatu penyelesaian terbaik demi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Hakikatnya Umno Selangor mahu guna masjid. Surat permohonan atas nama parti itu diserahkan kepada Nazir masjid. Pihak masjid keranan menjunjung titah Tuanku Sultan telah menolak permohonan itu kerana masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik. Itu bukan arahan MB atau EXCO Agama, itu perintah Tuanku sendiri. Jangankan Umno, PAS dan PKR pun tidak pernah membuat sebarang permohonan begitu untuk guna masjid di Selangor ini!

Saya masih ingat semasa Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam tahun lalu, Pengarah JAIS mentah-mentah menolak permohonan bagi membenarkan YAB Mursyidul Am dan YB Presiden PAS berkhutbah dimana-mana masjid di Selangor. Lalu apa istimewanya Umno yang merupakan parti pembangkang di Selangor ini?

Kalau pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik kerajaan Persekutuan, pimpinan kerajaan negeri diharamkan menjejak kaki, apa pula istimewa Umno di pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik negeri.

Saya difahamkan apabila ditolak oleh Nazir, maka Umno Selangor mengguna apa sahaja talian hayat yang tinggal pada mereka, walaupun tanpa mengiku peraturan untuk memastikan agenda mereka itu dapat diteruskan juga. Surat Umno ditukar dengan surat dari Pejabat PM dan kali ini diserah terus kepada JAIS.

Apakah mereka ini sudah hilang pertimbangan sehingga menjadi jahil dan buta peraturan. Mengapa dari awal tidak buat permohonan rasmi? Jika PM mahu turun sepatuntnya Pejabat PM menghubungi Pejabat MB, tidakkah itu sopan dan mengikut saluran namanya? Kenapa perlu digunakan surat berkepala Umno, ditandatangani oleh SU Kerja Umno Negeri dialamatkan kepada Nazir.........beginikah cara Umno mengurus diri mereka?

Akhirnya setelah berunding, kata putusnya pihak negeri memberikan laluan tetapi bersyarat. Antaranya tiada sepanduk dan bendera Umno dibenar dikibarkan, tiada ucapan politik, semua pimpinan setempat termasuklah ahli parlimen, ADUN, ahli majlis dan lain-lain mesti diundang dan paling penting sekali majlis itu nanti mesti dianjurkan oleh pihak JAIS dan bukan parti politik.

Saya mendengar sendiri arahan yang diberi oleh Dato MB kepada Dato Setiausaha Kerajaan Negeri melalui telefon. Kemudiannya Dato Hasan menghubungi Nazor masjid memberikan arahan yang sama, kata Dato Hasan yang dibenar memberi ucapan adalah Nazir dan PM. Malah apabila saya bertanya kepada Dato MB, bagaimana jika Noh Omar berucap, bagaimana jika Ezam Md Nor berucap? Kata Tan Sri mereka tiada tauliah, tidak boleh, jika bercakap juga kita tangkap!

Walaupun berat kita terima keputusan negeri, tetapi kita wajib memastikan yang pihak pemohon mematuhi semua peraturan yang disebutkan di atas. Kepada ahli kariah Masjid Nurul Ehsan, raikanlah mereka tetapi berwaspada jika ada pihak-pihak lain selain yang dibenarkan itu berucap...........ambil tindakan.
Penulis Tamu - Roslan SMS

MAS rugi RM8 bilion, siapa lindungi Tajuddin

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoal pihak yang melindungi bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli menyebabkannya bebas daripada pendakwaan yang mengakibatkan kerugian syarikat itu sebanyak RM8 bilion.

Beliau ketika mendedahkan dokumen berhubung kerugian syarikat tersebut mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan tersebut sebaliknya mendedahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM).

"Siapa sebenarnya yang melindungi penjenayah ini dan kes ini daripada disiasat dan siapakah yang melindungi kes ini untuk didakwa kerana ia merupakan kes yang cukup besar.

"Laporan yang dibuat MAS kepada SPRM kenapa tindakan tidak diambil terhadap Tajuddin Ramli. Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tetapi dia dedahkan aduan itu kepada JSJK PDRM," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mendedahkan sepucuk surat oleh ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusuff bertarikh 26 Mac 2007 yang menyarankan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

"Datuk Ramli Yusuff mengadakan pertemuan khas dengan perdana menteri ketika itu yang mengatakan bahawa dalam surat ini membuktikan memang ada satu asas yang kukuh untuk mendakwa Tajuddin Ramli.

“JSJK juga membuat beberapa saranan bentuk dakwaan tetapi tidak ada satu pun tindakan drastik dibuat terhadap kes ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM memberikan jawapan yang bertangungjawab mengenai tindakannya mendedahkan aduan MAS kepada JSJK PDRM.

"Saya meminta SPRM jawab persoalan kenapa dedahkan makulmat berkaitan MAS kepada pihak yang diadu iaitu JSJK Bukit Aman yang bagi kita merupakan satu tindakan yang sangat tidak berintegriti dan membahayakan orang yang membuat aduan," katanya lagi.

Salahuddin yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa khas mengenai rasuah SPRM juga memberitahu, beliau sedang menghubungi pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Seri Azmi Khalid bagi meminta satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan kes tersebut.

Beliau juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan siasatan terhadap kes berprofil tinggi ini.

"Saya rasa pedana menteri perlu campur tangan segera dengan mengarahkan satu siasatan dilakukan dengan serius," katanya.

Dokumen yang didedahkan beliau kepada wartawan itu turut mengandungi aduan MAS kepada polis dan SPRM pada 2009 berhubung kerugian yang didakwa berpunca daripada Tajuddin. -Hrkh

PAS terajui realisasi ke Putrajaya

BUKIT MERTAJAM : PAS akan menerajui dan merealisasikan aspirasi serta cita-cita besar presiden dan parti untuk menjadikan langkah ke Putrajaya sebagai satu realiti dan bukannya dongengan semata-mata.

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semasa menyampaikan ucapan pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden anjuran Lanjah Penerangan PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nadhoh, Penanti.

Beliau juga berkata, dalam era globalisasi kini PAS harus dilihat sebagai sebuah parti yang jelas sedang menuju ke arah perjuangan universal yang memperjuangkan keadilan untuk semua.

"Waktu ini adalah masa untuk kita membuktikan bahawa PAS semakin penting dan mampu untuk menjadi sebuah parti yang proaktif, progresif serta tidak berfikiran konvensional.

"Masyarakat juga sedang melihat dan bertanya apakah PAS serius dan mampu untuk merealisasikan cita-cita besar ini," katanya.

Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS bukan lagi sebuah parti kecil yang bersifat kedaerahan atau kenegerian.

Sebaliknya, semua ahli PAS harus mengubah persepsi masyarakat bagi melihat parti itu sebagai sebuah kuasa yang mampu untuk memberi pembelaan kepada rakyat dalam skop yang lebih luas dan positif.

Tambahnya lagi, PAS harus memandang ke belakang sebagai sempadan dan melihat perjuangan serta perit jerih pemimpin yang lalu bagi membina sebuah perjuangan yang sekarang ini telah berjaya melayari bahtera untuk menuju ke Putrajaya.

Sehubungan itu, katanya maka ahli PAS harus menjadikan gerakan Islam yang selama ini menjadi teras perjuangan digarap dan berhadapan dengan rakyat untuk membawa negara ini ke mercu jaya yang menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang disegani bersama dengan rakan-rakan seperti PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. -Hrkh

MUNAQASYAH PEMUDA PAS PERAK DAN PENANG

Mubaqasyah ucapan ketua pemuda PAS pusat telah dilaksanakan di Markaz Tarbiah PAS Ayer Kuning Taiping. Munaqasyah yang menghimpunakan pimpinan PAS Perak dan Penang itu dilangsungkan pada 14 Ogos 2010.

Pembentang kertas kerja pertama ialah Dr Zuhdi yang merupakan Exco Pemuda PAS Pusat antara lain menekankan keperluan perhatian diberikan kepada pengundi melayu. Dengan tidak menafikan keperluan pengundi bukan melayu yang menjadi penentu, beliau mengingatkan bahawa undi teras PAS tetap terhadap undi melayu. Beberapa saranan telah dibuat bagi meningkatkan sokongan pengundi melayu terhadap pAS.

Ketua Pemuda PAS Pusat pula menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab pemuda Islam berjuang untuk kemenangan bagi memastikan Islam dipuncak kuasa. Dalam masa yang sama beliau mengingatkan keperluan mengisi kemenangan dengan keadilan dan kebenaran.

Bertemakan ucapan dasar Memurnikan Perjuangan dan Memaknakan Kemenangan, beliau mengingatkan keperluan kerja dan akhlak sebagai jamaah Islam. Tarbiah yang menjadi aspek penting PAS mestilah dihidupkan dan diseimbangkan dalam perjuangan. Ketidakseimbangan tarbiah akan memungkinkan masalah mengisi kemenangan.

Sebagai parti yang bertanding di kawasan majoriti melayu, PAS mesti tampil sebagai sebuah parti Islam yang mendepani kebajikan masyarakat melayu. Prisnsip PAS mestilah dipertahankan dengan memahami konsep Tahalluf yang digunapakai hari ini.

Meyakini bahawa penglibatan PAS dalam Pakatan Rakyat jauh lebih menguntungkan dakwah beliau mengingatkan ahli dan petugas PAs agar tidak lalai dari tugas dakwah. Beliau mengingatkan nasihat presiden Setia dengan kawan dan berakhlak dengan lawan adalah pendekatan PAS.

Program berakhir selepas majlis iftar. Exco Pemuda PAS pulameneruskan agenda retreat hingga esoknya.

Ucapan Ustaz Nasaruddin Tantawi menumpukan kepada tanggungjawab , peranan dan akhlak serta persiapan ahli pemuda sebagai sayap kanan dalam memperjuangkan kebanaran dan mengisi kemenangan.

Melancarkan stiker Islam Adil Untuk semua yang dikeluarkan oleh Lajnah Penerangan Pemuda.

Antara sebahagian yang hadir. Menjalinkan ukhuwwah Pemuda PAS Perak dan Penang.

Dr Zuhdi membentangkan kertas kerja.

Tetamu dan kepimpinan

Ada Sekolah Untuk Pelajar Mengandung

Sekolah Mengandung Galakkan Gejala Negatif

Pelajar yang mengandung anak luar nikah disaran meneruskan pembelajaran mereka dirumah- rumah perlindungan bukannya di sekolah kerajaan seperti mana pelajar- pelajar lain.

Tindakan itu perlu supaya mesej yang betul dihantar kepada pelajar lain bahawa mengandung anak luar nikah merupakan kesalahan.

Akan tetapi Ahli Parlimen Shah Alam Khalid samad berkata, jika pelajar hamil itu sudah berkahwin, masih boleh diterima jika mereka mengikuti sesi persekolahan seperti pelajar lain.

“Saya rasa pendekatan yang sebegitu tidak wajarlah. Bila pelajar lain nampak macam tidak ada apa- apa masalah, kita akan hantar mesej yang salah seolah- olah perkara itu adalah biasa."

"Mereka mesti diasingkan dan kita mesti tolong mereka yang tersilap langkah ini. Kita tidak mahu mereka terus tersilap langkah,” katanya.

Meskipun dikritik hebat oleh pelbagai pihak, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam masih mahu meneruskan cadangan menubuhkan sekolah mengandung kononnya untuk mengurangkan kes kelahiran bayi luar nikah di negeri itu.

Namun, Khalid menolak cadangan itu kerana ia seolah- olah membuka ruang dan membantu muda belia untuk mengandungkan anak luar nikah.


“Sekolah mengandung tu saya rasa luculah. Kalau kita hantar ke sekolah mengandung itu nampak tiada kesalahan. Malah ada pula satu intitusi khas yang membantu mereka jika mereka terlanjur."

"Akan tetapi jika mereka dihantar ke rumah perlindungan, masyarakat akan terkesan mesej yang dihantar bertapa apa yang mereka lakukan itu merupakan kesalahan yang tidak patut dituruti," kata Khalid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berpandangan pelajar yang hamil samaada sudah berkahwin atau mengandung luar nikah perlu diberi peluang untuk menuntut ilmu.

Namun, beliau menegaskan, hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan itu tetap perlu dilaksanakan.

“Penjenayah sekalipun mesti kita bagi peluang untuk mereka belajar. Kita berharap dengan ilmu yang mereka pelajari mereka boleh tentukan kelak apa yang baik dan apa yang buruk.Tetapi, hukuman keatas mereka yang lakukan kesilapan tetap perlu dilaksanakan," kata Kamaruddin.

Kementerian Pelajaran sebelum ini dilapor membenarkan pelajar- pelajar yang mengandung samada berkahwin atau tidak, untuk mengikuti sesi persekolahan sebagaimana pelajar lain.

Seorang pegawai kementerian pelajaran mengesahkan pelajar hamil masih boleh ke sekolah kebangsaan sekaligus menolak persepsi bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian, menurut portal The Malaysian Insider.

Sumber itu juga menambah tiada peraturan yang menghalang pelajar perempuan daripada menghadiri sekolah seperti biasa jika mereka telah berkahwin atau mengandung anak luar nikah.

Bagaimanapun bagi mereka yang ada rekod mengelak daripada datang ke sekolah selama 60 hari akan dibuang secara automatik. -TVS

Bajet Boros Untuk Kroni Hadapi PRU-13

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/DSC00662.JPGKEMAMAN - Bajet kerajaan negeri Terengganu yang melampaui RM2 bilion dianggap sebagai satu bajet 'boros' yang sudah menjadi agenda kerajaan Umno dan Barisan Naional (BN).

Bajet tersebut juga dilihat sebagai bajet persiapan kewangan Umno/BN Terengganu bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

"Kita membacanya diadada akhbar dan kita melihat analisa serta komentar tentang bajet tamabahn itu, kkita melihat sebenarnya bajet tambahan itu lebih kepada bajet pilihanraya bagi mengukuhkan kedudukan mereka (Umno/BN),"kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf arRawa.

Menurutnya, perbelanjaan besar dalam keadaan akaun hasil negeri Terengganu yang defisit (kurangan) akan menguntungkan pihak tertentu sahaja dalam mengagih-agihkan kontrak.

(Gambar - Turut hadir dalam majlis Iftar Ramadhan adalah Bendhari PAS kemaman, Tuan Haji Johan dan bekas Exco kerajaan Terengganu, Ustaz Awang Dagang)

Oleh itu, beliau bependapat impak maksimum dan keberkesanan dari perbekalan tambahan sebanyak RM220 juta itu tidak akan berlaku.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khusus berkenaan Bajet besar kerajaan Terengganu, selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadhan yang dianjurkan oleh Pemuda PAS kemaman dan MTD Chukai, disini semalam 14 Ogos.

Dr. Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut hairan, bagaimana pemimpin Umno/BN terengganu mendakwa bahawa kemiskinan di negeri Terengganu telah berjaya dikurangkan.

Sedangkan dalam perbekalan tambahan yang dibentangkan dalam Sidang DUN terengganu baru ini dilaporkan bertujuan untuk membasmi kemiskinan.

Mengulas perkara yang sama, Penolong Setiausaha PAS terengganu, Haji Hanafiah Mat berkata bajet tersebut adalah untuk memberi kekayaan kepada para kroni bagi memastikan calon-calon pilihanraya akan datang terdiri dari kumpulan pro kepada Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said.

"Bajet ini merupakan satu perbelanjaan yang boros yang sudah menjadi agenda Umno dan BN dan saya yakin bajet ini memberikan keayaan kepada kroni-kroni (Dato' Seri) Ahmad Said,"ujar Hanafiah.

Menurutnya, bajet tersebut juga adalah manifestasi perbalahan antara dua kumpulan yang pro kepada MB dan yang pro kepada bekas MB, Dato' Seri Idris Jusoh. -BO

Pemimpin Umno gelisah muncul matawang syariah

KOTA BHARU, 15 Ogos: Usaha kerajaan Kelantan mengembalikan umat Islam kepada matawang syariah ternyata tidak mendapat sokongan pemimpin-pemimpin Umno, biar pun mereka tahu wang kertas tidak ada nilainya.

Malah wang kertas yang dipolopori sistem kapitalis terdedah kepada spekulasi kerana amalan riba yang dipertahankan.

Namun mengapa pemimpin Umno begitu gelisah dengan kemunculan kembali matawang syariah. Ini secara tidak langsung menggambarkan tidak berputik di jiwa mereka untuk mengagungkan kembali ketamadun Islam.

Bekas pensyarah kanan UIAM, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, sepatutnya umat Islam perlu menyokong membebaskan diri mereka dari belenggu riba.

”Lemahnya umat Islam kerana ekonomi mereka diperintah oleh kuasa besar yang mempertahankan sistem kapitalis.

”Usaha Kelantan menghidupkan kembali matawang syariah dengan memperkenalkan dinar dan dirham merupakan perjuangan umat Islam sejagat, namun hanya di Kelantan sahaja sanggup melaksananya,” katanya di sini.

Pelancaran matawang syariah Dinar dan Dirham Kelantan pada Khamis lalu mendapat kritikan pemimpin-pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri dilaporkan meminta Bank Negara Malaysia mengkaji dari sudut perundangan berhubung penggunaan matawang syariah dinar dan dirham di Kelantan.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula mendakwa apa yang dilakukan Kelantan hanyalah bertujuan politik semata-mata dan bagi meraih simpati rakyat.

"Ini tindakan politik dan untuk mendapatkan sokongan politik. Nanti kerajaan pusat dikatakan tidak Islamik. Ini jelas untuk mengasak kerajaan pusat dan perkara ini amatlah mendukacitakan kami," kata Mustapa.

Manakala Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengeluarkan matawang.

Matawang syariah Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan bagi pembayaran gaji, bayaran zakat, mas kahwin dan perniagaan.

Dr Muhammad Fadzli berkata, kenyataan pemimpin Islam di negara ini begitu mengecewakan kerana mereka tiada kesungguhan untuk melihat tamadun Islam kembali menguasai dunia.

”Sebab itulah matawang dinar dan dirham disokong dan ia menjadi kebanggaan umat Islam sedunia. Sememang Umno tidak suka kerja-kerja Islam sebegini,” katanya yang anggota Exco kerajaan Kelantan.

Seorang bekas pegawai kanan kerajaan berkata, dari segi politik nampak ada kecederungan terutamanya golongan cerdik pandai untuk kembali kepada ketamadunan Islam.

Ekoran itu katanya, ada perbahasan pro dan kontra terhadap pengenalan matawang syariah yang dilaksanakan di Kelantan.

”Yang kontra merupakan mereka yang tidak yakin dengan keupayaan sistem kewangan Islam. Mereka dibelenggu dengan pengaruh sistem riba kapitalis, walaupun ada kuasa tetapi tidak ada polical will.

”Kelantan boleh teruskan sehingga dapat menaikkan imej Islam. Dan diharap kurangkan gimik dalam semua aspek,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, anggota Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa menjelaskan dinar dan dirham yang dilancarkan bukan dianggap sebagai matawang bagi menggantikan wang yang ada sekarang.

Katanya, emas dan perak berkenaan tidak pernah diumumkan sebagai matawang. "Kita tidak pernah kata sebagai matawang. Tapi dari segi syariah, ia memang boleh dianggap sebagai matawang," katanya di sini.

Menurutnya dinar dan dirham tersebut sebenarnya digunakan untuk pertukaran barangan.

"Ini kerana di mana-mana negara pun, pertukaran barang dibenarkan. Kalau kedua-dua pihak bersetuju, dia bolehlah guna dinar dan dirham untuk tukar dengan barangan," katanya.

Husam berkata, semua orang tahu kerajaan negeri tidak kuasa untuk mengeluarkan matawang sendiri. -Hrkh

Kerajaan Perak Sebijik Macam Israel, Rampas Tanah Selepas Rampas Kuasa

Umno-BN Juara Rampas Tanah Rakyat Di Perak

Tindakan kerajaan negeri Perak di bawah Umno-Barisan Nasional menyerahkan sebidang tanah milik yang kini diusahakan oleh petani di Gopeng kepada syarikat berkaitan pemimpin Umno dianggap tidak berperikemanusiaan dan mementingkan kroni.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang mendakwa ini menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa Umno-BN sememangnya merampas hak rakyat sejak lebih 50 tahun memerintah negara ini.

Berikutan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ipoh Khamis lalu berhubung tanah yang kini diusahakan bagi penternakan ikan hiasan serta digazetkan untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).

"Setelah meneliti laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kami dapati satu fakta yang amat mengejutkan, iaitu salah seorang pemegang saham dalam syarikat yang mendapat kelulusan mendapatkan tanah tersebut merupakan Timbalan Ketua Bahagian Gopeng UMNO, Mejar (B) Roslan Zakaria," kata Lih Kang dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri menyatakan tanah seluas 50 ekar yang terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng, telah diberikan kepada Safura House of Diamond Sdn Bhd.

Perkara ini dilihat pelik kerana penguasaha tanah tersebut sudah berkali-kali membuat permohonan namun semua permohonan ditolak tanpa diberikan sebab yang jelas.

Lih Kang berpendapat tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menafikan tanah kepada petani tetapi memberikan kepada pemaju satu tindakan yang tidak wajar.

Apatah lagi kerajaan negeri telah memberikan tanah tersebut kepada kroni dan ini jelas amalan rasuah dan salahguna kuasa, kata beliau lagi.

"KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya kerakusan kerajaan Umno-Barisan Nasional ini. Sekiranya perbuatan ini tidak dihentikan, ramai lagi rakyat akan menderita kerana mereka akan diusir keluar daripada tanah yang sedang mereka usahakan sekarang. Kami menyeru SPRM agar mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang bertanggungjawab dalam kes ini," tambahnya.

Lih Kang mendedahkan ini adalah kejadian yang kedua selepas kes salahguna kuasa dan skandal penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek di mana Ketua Bahagian Umno Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kassim telah diberikan kuota 10 lot tanah dalam kampung tersusun tersebut.

Beliau juga menuntut penjelasan dari Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mah Hang Soon yang merupakan satu-satunya anggota bukan daripada Umno dalam barisan Exco.

"Beliau perlu jelaskan kenapa tidak menghalang perkara ini daripada berlaku. Ini menunjukkan Umno-BN telah mereput hingga ke dasarnya, hinggakan pimpinan peringkat bahagian pun melakukan rasuah dengan rakus.

"Oleh itu, untuk mencegah kejadian ini daripada berlaku lagi, saya menggesa agar jawatan Datuk Seri Zambry selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanahdibekukan sepanjang siasatan kes ini dijalankan dan membatalkan kelulusan permohonan Safura House ke atas tanah tersebut.

"Kami juga menuntut untuk dibenarkan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tanah supaya satu sistem semak dan imbang diwujudkan," tambah Lih Kang. - GB

PAS, Mengukuhkan Dasar Islam dan Menuju Putrajaya

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/DSC00641.JPGKEMAMAN - PAS kini melangkah ke hadapan menjadi satu parti 'inspirasi' nasional untuk semua kaum dan bukan hanya untuk orang-orang Melayu, sebagaimana ia dikenali sebelum ini.

Transformasi PAS tersebut tidak meninggalkan samasekali gagasan Islam sebagai dasar perjuangannya, malah mesti diyakini lebih kukuh, bagi mempersiapkan diri menuju Putrajaya selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Dr Mujahid Yusuf aRrawa brkata demikian ketika berucap dalam Majlis Iftar yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kemaman bersama Majlis Tindkan DUN Chukai, disini semalam, 14 Ogos.

Menurutnya, PAS terbukti berjaya mengenengahkan pelbagai isu Melayu Islam bahkan menyelesaikan masalah berkaitan orang Melayu dan agama Islam dalam kerangka Pakatan Rakyat.

Selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusuf aRRawa memetik satu contoh peranan besar PAS dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, Umno Pulau Pinang yang kononnya berjuang bertahun-tahun untuk Melayu tidak berjaya mendapatkan hak tanah wakaf bagi perkuburan orang-orang Islam.

Sebaliknya, dua tahun PAS, sebagai parti kecil dalam kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah berjaya mendapat 3 ekar tanah bernilai RM22 juta untuk rezab perkuburan Islam. -BO

Ulama malang

Kasihan sungguh Fathul Bari yang malang

Yangretibase
Tulisan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya yang bertajuk 'Nasihat ulama muda Umno' dalam sebuah akhbar dalam talian baru-baru ini tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sebagai ilmuan yang hebat. Saya tidak berminat langsung untuk menjawabnya, walaupun dengan cara mudah; apalagi membuat analisis setiap fakta janggal yang diutarakannya.

Respons saya ini hanya sekadar peringatan ikhlas kepada Fathul Bari Mat Jahaya agar beliau dan kumpulan ulama muda yang bersama-samanya menyertai Umno pada 25 Jun, 2010 memuhasabah diri sendiri, menghisab diri sendiri dan mengira-ngira diri sendiri. Tertanya-tanya saya, adakah Umno itu sebuah parti politik suci yang dianggotai pula oleh ahli-ahli yang keramat sehinggakan tarikh seseorang itu menyerahkan borang untuk menyertai Umno pun dianggap keramat? Saya bimbang, tarikh keramat itu sama juga dengan tarikh sesat.

Seorang ulama akhiratkah Fathul Bari Mat Jahaya? Seorang ulama akhirat atau ulama benar sudah pasti berpegang teguh dengan mantapnya kepada kesemua 6,236 ayat al-Quran. Cukup banyak ayat Allah SWT yang melarang unsur-unsur persekongkolan, persahabatan dan persubahatan dengan pihak yang fasiq. Mengapa Fathul Bari tergamak dan berani melanggar ayat 44, 45, 47 dan 49 dalam Surah al-Maidah dan ayat 3 dalam Surah Ibrahim?

'Al-ulama warathatulanbia'. Seorang ulama itu waris para Nabi. Mana mungkin seseorang itu layak dan tergamak menggelarkan dirinya ulama jika taat setianya kepada Rasulullah tidak setepu-tepunya? Waris Nabikah dia? Seorang ulama benar yang imannya kental tidak tergoyah sedikit jua oleh godaan, cubaan dan ujian dunia yang fana ini, tetapi bertentangan sekali dengan ulama dunia yang lebih mementingkan dan mengutamakan dunia daripada akhirat.

Malu dan takut seorang ulama Rabbani hanya kepada Allah SWT, tetapi seorang ulama suk lebih takut dan malu kepada manusia. Demikian juga seorang ulama Malaki pasti tetap senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang istiqamah menjunjung tinggi akan setiap titah perintah Allah SWT dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Kesimpulannya, saya bimbang, dengan menyertai Umno, Fathul Bari Mat Jahaya dan kumpulan ulama mudanya hanyalah ulama dunia atau ulama suk yang kasih dan cinta mereka kepada dunia mengatasi kasih dan cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.

Kasihan sungguh Fathul Bari Mat Jahaya yang malang.

Yangretibase,
Kuala Terengganu.

Peratus Orang Melayu Tak Percaya Media Arus Perdana

Enam daripada 10 rakyat Malaysia tidak percaya media arus perdana manakala hanya satu dalam lima mempunyai akses kepada berita “online”, demikian menurut satu kajian yang dikeluarkan baru-baru ini.

Kajian Merdeka Center dijalankan antara 27 Jun dan 25 Julai lalu menunjukkan 57 peratus orang Melayu tidak percaya pada laporan media arus perdana berbanding 33 peratus yakin manakala 10 peratus lagi mengatakan mereka tiada maklumat.

Di kalangan masyarakat Cina pula, 58 peratus responden berpandangan bahawa mereka tidak percaya pada media arus perdana, 30 peratus percaya dan 12 peratus lagi pula tidak tahu.

Hasil kajian itu dilihat mempunyai kaitan dengan arah aliran jualan suram bagi kebanyakan organisasi media arus perdana.

Perangkaan edaran menunjukkan akhbar bahasa Inggeris dan Malaysia seperti New Straits Times, The Star, Berita Harian dan Utusan Malaysia berhadapan dengan kemerosotan jualan pada tahun ini berbanding 2009 iaitu dalam lingkungan 20 peratus.

Beberapa eksekutif akhbar mengakui liputan politik yang berpihak telah memberi kesan ke atas paras jualan.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa akses kepada alterntif media kekal rendah dengan sekitar 80 peratus responden mengatakan bahwa surat akhbar bercetak masih masih menjadi sumber maklumat utama.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita31/header.gifHanya 21 peratus yang ditemui mengatakan mereka ada membaca berita internet sepanjang sebulan lalu tetapi kebanyakan membaca media arus perdana versi online.

Majoriti responden berkata mereka tiada kepercayaan tinggi ke atas media alternatif meskipun ramai bersetuju bahawa ia sebenarnya lebih boleh dipercayai.

Ulasan-ulasan daripada perbincangan kumpulan fokus juga menunjukkan ramai merasakan kebebasan media masih terhad di negara ini disebabkan amalan tapisan yang kuat.

Beberapa peserta kumpulan fokus juga menekankan bahawa akhbar bahasa Malaysia sangat bias.

Dua penganalisis politik berkata kajian itu bukan sesuatu yang di luar dugaan sama sekali.

“Ini mungkin kerana kumpulan ini belum mendaftar sebagai pengundi ataupun tidak kisah apa yang berlaku di negara ini,” kata Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia ketika ditanya mengenai hasil kajian itu.

“Ataupun mungkin kerana harapan yang tinggi selepas 2008, mereka mungkin jadi kumpulan atas pagar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Dan, ia juga kemungkinan kerana terlalu banyak ‘politiking’, di mana rakyat sudah penat dengan keadaan itu,” katanya.

Sivamurugan menjelaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menjelaskan agenda politik mereka juga kemungkinan telah menyumbangkan penemuan itu.

Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju bahawa pemilikan media sahaja belum tentu menjamin kejayaan sesebuah parti politik.

“Dalam menguruskan maklumat, menguruskan media, mesej, kedua-dua pihak kena bekerja kuat mulai sekarang,” kata Agus ketika dihubungi.

“Jika mereka terus memintal, mensensasikan isu, mereka akan tenggelam,” kata penganalisis politik itu.

“Kini maklumat di hujung jari, sama ada media arus perdana atau internet, mereka tidak percaya setiap perkara yang mereka baca. Merek tahu bagaimana hendak menilai,” katanya lagi. -BO

Seorang Pemimpin UMNO Belasah Wang Felda RM2 juta Setahun

PKR dakwa pendapatan Pengerusi Felda RM2 juta, cabar Yusof nafi

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah hari ini mencabar Tan Sri Mohd Yusof Nor agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan juga elaun.

Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.

Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.

“Saya nak tanya kepada beliau (Yusof) berapa jumlah ganjaran yang diperoleh sebagai Pengerusi Felda yang turut mengawal anak-anak syarikat Felda?

“Betul atau tidak pendapatan beliau termasuk gaji dan elaun mencecah sehingga RM2 juta setahun?” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Beliau berkata dakwaan Yusof menerima ganjaran sebanyak RM2 juta hanya khabar angin tetapi ia penting untuk diketahui umum terutamanya peneroka.

“Saya cuma nak tahu ya atau tidak, itu sahaja. Jadi saya menantikan jawapan daripada beliau (Yusof).

“Ini kerana sebagai Pengerusi Felda yang mengawal anak-anak syarikat sudah tentu pendapatannya tinggi.

“Itu yang saya mahu tahu apakah ganjaran sebenarnya yang diperoleh beliau setiap tahun.

“Adakah ia ada mencecah RM2 juta,” kata beliau.

Felda diasaskan pada 1956 untuk membantu orang miskin kepada sebuah kawasan membangun.

Ia telah berkembang dan menjadi pembekal perladangan terbesar di dunia, dengan 811,140 hektar ladang kelapa sawit, terutama di Malaysia, dengan beberapa operasi di Indonesia. -TMI

Rasai keunikan solat Jumaat di hotel De Palma

AMPANG, 14 Ogos: Sempena Ramadhan tahun ini, kumpulan hotel De Palma mahu memperkukuhkan lagi usahanya untuk menjadi rangkaian hotel yang memenuhi syariat Islam atau Syariah Complaint.

Untuk itu, pelbagai usaha telah dibuat sejak Oktober tahun 2008 lalu apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mula membenarkannya mengadakan solat Jumaat di suraunya.

(Gambar: Surau Nurul Hikmah hotel De Palma, Ampang, penuh sesak setiap kali Jumaat)


Ketika Harakahdaily berkunjung ke hotel itu tengahari semalam, hampir 2,000 umat Islam bersesak-sesak memasuki hotel itu bagi menunaikan solat Jumaat.

Surau yang bersebelahan dengan kolam renang itu melimpah ruah hingga kolam untuk kanak-kanak di tutup dan di pasang khemah di atasnya untuk memenuhi keperluan untuk solat Jumaat itu.

Ia satu fenomena yang sangat menarik yang melanggar trend atau kebiasaan sebuah hotel yang sifatnya adalah eksklusif.

Kini, hotel De Palma Ampang telah menjadi semacam hotel rakyat apabila umat Islam dari pelbagai jenis dan latarbelakang memasuki hotel itu.

Ada yang berpakaian kemas ala petugas pejabat, berjubah ala pakaian Arab bahkan juga yang selekeh seperti pekerja warga asing yang datang untuk bersembahyang Jumaat di surau Nurul Hikmah hotel itu.

Semuanya bermula seminggu selepas hari raya Aidil Fitri iaitu bulan Ogos 2008 lalu.

(Gambar: Umat Islam dari pelbagai latar belakang bersolat Jumaat di hotel De Palma, Ampang)


"Sebenarnya perubahan ini bermula apabila Group GM (Pengurus Besar Kumpulan) kami, Datuk Haji Mohd Ilyas, balik dari Mekah. Dia melahirkan cita-cita untuk menjadikan hotel kami memenuhi syariat Islam," kata Zamir Shukri Zain, Pengurus Bahagian Bilik hotel De Palma, Ampang ketika ditemui.

Buat permulaan, kata beliau, ia tidak mendapat kelulusan dari pihak atasan namun selepas kerajaan Selangor bertukar tangan pada tahun 2008 lalu, hasrat murni itu mendapat sokongan.

Hotel De Palma adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan diuruskan oleh syarikat Biztel Sdn Bhd yang dipimpin oleh Datuk Mohd Ilyas yang kini adalah Pengurus Besar Kumpulan hotel-hotel ini.

Datuk Mohd Ilyas juga adalah Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia.

De Palma mempunyai empat hotel kini iaitu Kuala Selangor, Shah Alam dan Sepang di samping Ampang.

"Kami sedang dalam proses untuk membuka hotel kami yang ke lima iaitu di Kucing. Dan semua hotel-hotel ini adalah Syariah Complaint," kata Zamir yang juga Setiausaha Surau Nurul Hikmah ini.

Yang dimaksudkan dengan Syariah Complaint adalah semua aktiviti di hotel ini adalah tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Antaranya tidak menyediakan arak, tiada aktiviti maksiat seperti rumah urut yang diberikan pelbagai jenama itu di samping semua makanan yang disediakan adalah yang halal sahaja.

"Dulu tempat kita duduk ini adalah bar tetapi sekarang kita telah tukar kepada kopitian," kata Zamir. -Hrkh

Suhakam: Bersatu jika mahu bubarkan ISA

Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia - jika tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka bersatu menentangnya.

Diplomat negara yang telah bersara itu berkata Malaysia tanpa ISA adalah situasi yang ideal tetapi mengakui ia tidak semudah itu.

Hasmy, 66, berkata hak asasi akan hanya diletakkan di tempatnya yang sewajar di negara ini, apabila semua pihak, bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga pegawi penguatkuasa memahami hak masing-masing.

"Terpulang kepada rakyat Malaysia sama ada mereka mahu (atau tidak) mengekalkan ISA sekarang ini ataupun dalam bentuk yang lain,” katanya pada wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, baru-baru ini.

Hasmy, seorang duta ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata isu menghapuskan akta kuku besi - ISA itu tidak semudah seperti yang disangkakan.

Katanya, tindakan kerajaan untuk meminda beberapa perkara yang amat tidak disenangi rakyat tetap tidak akan disenangi kerana ia hanya berubah bentuk.

"Jika parti politik yang mahu ISA dikekalkan terus berkuasa, sama ada BN atau sebaliknya, ini kehendak rakyat; (ia sebahagian daripada) proses demokrasi.

"Saya kira jika sesuatu parti itu tidak menjuarai ISA, maka apabila mereka membentuk kerajaan - mereka mempunyai tanggungjawab bagi membubarkan akta itu,” katanya.

Hasmy berkata beliau senada dengan pendirian Suhakam bahaaw undang-undang arbitrari seperti ISA tidak secocok dengan prinsip hak asasi manusia dan lebih cepat ia digugurkan, maka itu adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Hasmy yang menganggap dirinya sebagai seorang idealis sedar bahawa ia tidak semudah itu dan menyedari Suhakam sentiasa berdepan dengan tentangan daripada kerajaan dan agensi penguatkuasaannya dalam menjalankan tugas. Malah beliau juga mengakui tidak mudah berdepan dengan kumpulan berkenaan.

"Ini telah menjadi isu sejak sekian lama. Suhakam telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. Pendirian Suhakam jelas. Kami mahu ia dibubarkan. Bagaimana untuk kita lakukannya? Kita kena yakinkan kerajaan, pihak polis,” katanya.

Hasmy berkata kerajaan dan polis mempunyai beberapa justifikasi bagi mengekalkan ISA kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan yang kompleks. Sebagai contoh, katanya, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 seringkali dijadikan alasan supaya ISA terus dikekalkan.

Tegasnya, seringkali juga agensi penguatkuasaan tidak mematuhi peraturan dan menyalah-gunakan akta itu bagi menafikan hak kebebasan untuk berhimpun dan hak untuk diwakili bagi dibicarakan di mahkamah.

"ISA ini adalah tinggalkan sejarah. Dunia sudah berubah. Darurat sudah berakhir. Tidak ada lagi komunis. Mengapa ISA perlu dikekalkan?

"Kita boleh memperketatkan undang-undang lain bagi menjamin ketenteraman awam dan keamanan. Perketatkan undang-undang hasutan atau mungkin juga adakan akta anti-pengganas.

"ISA ini agak kejam dan kuku besi. Dan pasukan keselamatan serta pihak berkuasa hanya menggunakannya bagi memudahkan kerja mereka,” kata Hasmy lagi. - M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .