Ikuti Blog ini

Menteri BN Salahkan Projek Kerajaan UMNO pasal banjir besaq di Kedah

Banjir Kedah : Menteri BN Salahkan Projek Kerajaan UMNO

Projek Kerajaan UMNO akhirnya terdedah siapa yang untung siapa yang rugi oleh menteri mereka sendiri. Selamat membaca.

MENTERI SALAHKAN PROJEK LANDASAN KERETAPI BERKEMBAR PUNCA BANJIR TERBURUK LANDA KEDAH/PERLIS.

PROJEK landasan berkembar yang menjadi antara projek kesayangan bekas Perdana Menteri yang seorang itu, akhirnya disahkan sebagai punca banjir terburuk melanda Kedah dan Perlis sejak minggu lalu.
Dan paling mengejutkan dakwaan itu bukan datangnya daripada parti pembangkang, tetapi daripada menteri kabinet sendiri, Datuk Chor Chee Heung!
Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata projek landasan keretapi berkembar itu diakui menjadi punca banjir buruk kali ini, terutama kerana pelaksanaannya tidak diseiringkan dengan pelan kecemasan jika bencana seperti banjir berlaku.
Beliau mendedahkan bahawa kepincangan yang dicetuskan oleh projek mega itu, telah menyebabkan air menenggelami sebahagian besar kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini. Dan termasuk dalam kawasan dimaksudkan beliau ialah taman di mana beliau tinggal kini!
"Saya telah tinggal di taman ini sejak 1985 dan tidak pernah air naik sehingga ke dalam rumah. Sekarang air naik empat kaki dalam rumah saya dan kawasan berdekatan," katanya.
Dakwaan Chee Heung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar memang ada rasionalnya kerana beliau memahami kawasan terbabit dan rumahnya pula dinaiki air.
Turut didedahkan Chee Heung ialah kegagalan pihak berkenaan menyediakan pelan kecemasan sehingga air banjir tersekat oleh landasan berkembar yang dibina. Aliran air itu kemudian melanda kawasan lain yang tidak sepatutnya banjir.
Beliau yang kecewa dengan keadaan banjir paling buruk berlaku itu bagaimanapun berkata telah memaklumkan masalah yang ditimbulkan oleh projek landasan keretapi berkembar kepada Menteri Pengangkutan, datuk Seri Kong Cho Ha.
Sumber dari Blog
Double-tracking project worsened flood situation in Kedah - Chor

300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor?

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS mengharapkan supaya penambahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) seramai 300,000 di Selangor pada tahun 2011 tidak mempunyai agenda politik Umno BN untuk menawan negeri itu melalui taktik undi pos.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan sasaran pertambahan mendadak anggota Rela di Selangor tidak menjadi tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos dalam pillihan raya umum akan datang.

PAS, tegasnya memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN.

“Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ujarnya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu telus dan jangan menjadi tali barut BN ketika mengendalikan urusan pilihan raya.

Baru-baru ini, tambahnya rakyat telah dikejutkan tindakan SPR berhubung kumpulan pengundi 'hilang layak undi awam' yang berjumlah 18,493 orang dalam Rang Daftar Pemilih Suku Ketiga 2010.

Dan lebih mencurigakan, katanya jumlah tiga negeri paling ramai pengundi “hilang layak undi awam” ialah Kelantan (3,187), Kedah (2,876) dan Perak (2,007).

Menurutnya, PAS menganggap itu adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno BN tidak runtuh dan diserbu oleh Paktan Rakyat di negara ini.

Justeru, beliau mengharapkan supaya semua jentera pilihan raya di semua peringkat sentiasa mengambil berat mengenai daftar pemilih dan memerhatikan senario tersebut.

“PAS mengharapkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor perlu serius menanggani perkara ini. Modus operandi untuk tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor.

“BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno,” ujarnya. -Hrkh

RON95 Cetus Api Dalam Kemalangan? Fomca Gesa Kerajaan Kaji Dakwaan

Kaji dakwaan RON95 cetus api dalam nahas

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa agensi kerajaan dan pihak berkaitan mengkaji penggunaan bahan bakar RON95.

Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dakwaan itu belum terbukti, satu kajian perlu dilakukan bagi memastikan bakar itu selamat digunakan pengguna kenderaan.

“Ada desas-desus mengenai penggunaan RON95 sebagai salah satu faktor kenderaan mudah terbakar. Bagaimanapun, dakwaan itu belum terbukti.

“Namun, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak tertentu sewajarnya mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat kebelakangan ini.

Sabtu lalu, empat bersaudara rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas bertembung sebuah treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.

Mohd Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kecuaian pemilik kenderaan menjadi salah satu faktor kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan.

“Kini kebanyakan pemilik kenderaan gemar mengubah suai kenderaan di bengkel yang tidak bertauliah sehingga berlaku masalah pendawaian yang memudahkan kenderaan terbakar,” katanya. -metro

PRK GALAS : FAKTA YANG ANDA PASTI INGIN TAHU

Pengundi Melayu :
BN 49 %
PAS 51 %

Pengundi Orang Asli :-
BN 78 %
PAS 22 %
(90 % pengundi Orang Asli keluar mengundi berbanding hanya 70 % pada PRU 2008)

Pengundi Cina :-
BN 51 %
PAS 49 %

Undi Pos :-
BN 72 %
PAS 28 %

Majoriti BN 1,190 undi, 1,001 undi datang dari undi Orang Asli dan 121 dari undi Pos dan selebihnya dari pengundi Cina.

Bolehkah BN menang tanpa tipu, rasuah?


Apabila pasukan bolasepak Kelantan mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam pusingan akhir Piala Malaysia beberapa hari sebelum PRK Galas (saya tak tengok), mereka boleh bersorak dan berbangga kerana mereka bermain bersungguh-sungguh, tidak menipu dan mengelat.

Kalau mereka menipu dan merasuah pasukan bolasepak Negeri Sembilan, lalu mereka menang, dan berbangga bahawa pasukan mereka kuat, itu adalah menipu diri sendiri dan bodoh sombong namanya. Pasukan bolasepak Kelantan buktikan bahawa pasukan mereka layak merangkul juara Piala Malaysia.

Dalam keputusan PRK Galas, Mahyudin dengan nada bodoh sombong, termasuk akhbar mendabik dada bahawa 1Malaysia diterima rakyat, kepimpinan Najib diterima dan lain-lain kenyataan yang tidak berfakta sebenarnya. Ia hanya dakwaan kosong. Apa yang berlaku, sogokan, rasuah, pemberian duit dan hadiah serta kongkongan dan tekanan dilaporkan berlaku.

Apabila Tok Guru MB Kelantan beri zakat kepoada orang Asal masuk Islam, Timbalan Pengerusi SPR segera beri kenyataan bahawa ia sogokan. Bila Najib umum, Mahyudin umum, Menteri umum sesuatu projek segera di kawasan pilihanraya, ia bukan sogokan. Beratur panjang di kaunter BN untuk terima wang selepas mengundi bukan sogokan. Agensi kerajaan termasuk JHEOA dan lain-lain sewenang-wenangnya diperalatkan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Apabila rakyat dapat diperbodoh dan dan ditundukkan dengan kuasa ugutan dan wang, mereka menang, lalu berkokoklah pemimpin BN bahawa rakyat terima mereka, 1Malaysia diterima dan lain-lain.

Saya setuju bahawa PAS perlu muhasabah dan membuat post-mortem terhadap kekalahan dalam pilihanraya, melihat dan mengkaji di mana kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun saya, dan mungkin juga yang lain tidak boleh terima kekalahan dengan cara mengelat dan rasuah.

Pilihanraya umum ke 13 sudah diwar-warkan bahawa Pakatan Rakyat insya Allah akan menguasai Putrajaya. Najib juga sudah war-warkan akan mempertahankan Putrajaya dari jatuh ke tangan PR. Demi kuasa yang mesti dipertahan, BN akan mengelat dan merasuah dengan lebih hebat kepada rakyat. Al-harbu khid’ah perang itu penuh tipu daya. Bagaimana pula perancangan dan strategi PR menghadapi dan mengatasi tipu daya BN dalam PRU 13 nanti?

Nik Nasri Malek,

Kemaman, Terengganu.

MB Kedah Bidas Muhyiddin Politikkan Isu Banjir

DS Azizan bidas Muhyiddin, dakwaan tidak berasas

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana lewat melawat mangsa banjir yang disifatkan terburuk pernah berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, sebagai pemimpin nombor dua, sepatutnya Muhyiddin tiba lebih awal untuk meninjau nasib penduduk Kedah, termasuk melawat bilik operasi banjir negeri untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini.

“Setelah tujuh hari bencana berlaku, baru (beliau) datang meninjau mangsa banjir. Air banjir pun sudah surut dan sebahagian (mangsa) balik ke rumah masing-masing. Sepatutnya datang lebih awal, baru nampak situasi sebenar,” katanya sebelum memulakan konvoi melawat mangsa banjir ke lima pusat penempatan sekitar daerah Kota Setar dan Anak Bukit.

Lima pusat penempatan banjir itu ialah Sekolah Wawasan Taman Aman, Sekolah Kebangsaan (SK) Sematang Gunong, Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, SK Seberang Nyonya dan Kuarters Polis Taman Derga Jaya.

Mengulas kenyataan Muhyiddin kelmarin, kononnya Kerajaan Kedah lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa kepada Pusat, Azizan berkata, itu dakwaan tidak berasas kerana semua agensi bawah Kerajaan Negeri termasuk Pusat bekerjasama dengan baik menangani bencana ini.

“Kita ada Jawatankuasa Bencana Alam peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, bilik gerakan banjir peringkat daerah termasuk semua agensi terlibat seperti polis, tentera, sektor awam bekerjasama dengan baik. Tiada sentimen politik langsung,” katanya.

Azizan berkata, kenyataan itu hanya berdasarkan laporan pemimpin UMNO yang sengaja mahu mencetuskan isu, sebaliknya Muhyiddin tidak ke lokasi yang betul bagi mendapatkan maklumat tepat.

“Saya terkilan kerana apa yang disebarkan tidak betul. Sepatutnya datang negeri orang, kenalah tanya saya dulu mengenai perkembangan terkini. Bukan buat andaian semata-mata,” katanya.

Ditanya mengenai desas-desus kononnya setiap mangsa banjir akan memperoleh RM500 seorang, Azizan berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menjanjikan bantuan seperti itu, seeloknya dirujuk kepada Pusat mengenai dakwaan tersebut.

“Rujuklah kepada Kerajaan Pusat, mungkin mereka yang mahu beri. Kita cuma sampaikan bantuan secara keseluruhan,” katanya. -SH

ZAMBRY KADER MENIPU RAKYATNYA

MenGALAS Perjuangan yang Masih Jauh

http://episodeperjuangan.blogspot.com

1. Keputusan pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi sedikit sebanyak membuatkan kita sedih apabila keputusannya tidak berpihak kepada kita [ Pakatan Rakyat ] di saat kita sangat dambakan kemenangan ke atas Barisan Nasional .

2. Namun kita tidak boleh berputus asa , jauh sekali untuk kecewa dengan perjuangan yang kita dokong setelah kita yakin bahawa perjuangan ini adalah benar dan suci . Justeru keputusan pilihanraya yang tidak berpihak kepada kita bukan bererti kita kalah atau menyerah kalah.

3. Sebaliknya kekalahan kita dalam pilihanraya kecil baru - baru ini membangkitkan kembali semangat untuk terus berjuang dengan memperbaiki segala kelemahan dan membetulkan segala kesilapan .

4. Sewajarnya kita bersikap positif dan senantiasa optimis terhadap masa depan perjuangan Islam yang kita dokong ini. Tanpa perlu kita saling tuding menuding atau salah menyalah antara satu sama lain , sebaliknya kenal pasti kelemahan dan kekurangan yang perlu diperkasa dan diberi nilai tambah untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang .

5. Kita selamanya tidak boleh bergantung kepada kelemahan musuh untuk mencipta kemenangan bahkan kita mesti miliki keupayaan sendiri untuk melakar peta kemenangan dan tentunya kita mempunyai keistemewaan tersendiri sebagai sebuah Gerakan Islam untuk mencapai matlamat perjuangan ini.

6. Tanpa memandang rendah pada tahap kekuatan dan kemampuan Barisan Nasional , kita jangan hanya menuding punca kekalahan dalam pilihanraya kepada mereka , kerana sifat mereka sebagai musuh politik kita , pastinya mereka akan melakukan apa sahaja demi mencapai kemenangan .

7. Persoalannya kenapa kita boleh dikalahkan oleh mereka sedang mereka juga boleh dikalahkan oleh kita. Sebagai contoh , pasca pilihanraya umum yang lalu [ 2008 ] , kita telah melalui 13 kali pilihanraya kecil dan kita Pakatan Rakyat memenangi 8 daripadanya iaitu Permatang Pauh , Penanti , Permatang Pasir , Bukit Gantang , Bukit Selambau , Kuala Terengganu , Manek Urai dan Sibu . Sementara Barisan Nasional menang 5 kerusi iaitu di Batang Ai , Bagan Pinang , Hulu Selangor , Batu Sapi dan Galas .

8. Senario pilihanraya kecil ini menyaksikan masing - masing parti mempertahankan kerusi yang telah di menangi masing - masing dalam pilihanraya umum kecuali kerusi Hulu Selangor dan Galas berjaya dirampas oleh Barisan Nasional sementara kerusi Kuala Terengganu dan Sibu berjaya dirampas oleh Pakatan Rakyat .

9. Realiti ini menunjukkan kedua - kedua parti tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan yang dicapai apalagi untuk angkuh dan congkak dengan sokongan yang diperolehi , kerana politik moden hari ini jelas menunjukkan bahawa , sesebuah parti kini boleh menang dan boleh kalah dengan mudah . Bukan sahaja kerusi tetapi juga kerajaan . Buat masa ini secara realitinya telah ada 5 buah negeri yang mengalami pertukaran kerajaan malah kerajaan persekutuan juga hampir bertukar tangan apabila kini telah hilang majoriti dua pertiga . Termasuklah kerusi - kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan yang majoritinya beralih tangan kepada Pakatan Rakyat .

10. Ini adalah fakta yang mesti diinsafi oleh semua termasuk kita , walaupun kita telah berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan selama 20 tahun . Tempoh yang dipertahankan ini bukan untuk dibangga jauh sekali untuk berasa angkuh dan sombong , tetapi ianya diraikan untuk menimbulkan rasa syukur dan insaf betapa besarnya amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul sebagaimana ia dirasai pada hari pertama kita mengambil alih pemerintahan di Kelantan pada 1990 yang lalu.

11. Kita kalah di Galas dan Batu Sapi saat kita sedang siap menghadapi pilihanraya Sarawak dan juga pilihanraya umum kelak . Saya kira tidak perlu kita ratapi kekalahan yang diterima kerana ia tidak mungkin lagi merubah keputusan , sebaliknya fokus kepada persiapan strategik untuk memenangi pilihanraya umum ke 13 . Post Mortem yang teliti , benar dan jujur mesti dibentang untuk memastikan pergerakkan kita dihari esok berjalan lancar sebagaimana dirancang .

12. Usah kita berasa malu dan hina untuk mengakui kelemahan justeru ia tidak menghilangkan sedikit pun kemuliaan kita asal sahaja kita bermaksud lurus dan ikhlas. Malah ini bukan masanya kita mahu menilik "hidung tinggi" dan menggilap "kasut kilat" sebaliknya ini adalah detik dan ketikanya kita merendah diri , mengakui kelemahan , bersedia ditegur dan dimuhasabah serta apa yang paling penting ialah sedia berubah ke arah yang lebih baik .

13. Kita juga mesti realistik . Elakkan sentimen dalam membaca situasi dan jauhi emosional dalam merangka strategi. Mesyuaratlah dengan hati yang damai dan jiwa yang tenang tanpa pra sangka. Bawa jiwa yang setia pada jamaah dan wala' pada perjuangan Islam yang didokong. Bajai ukhuwwah dan rapatkan saff kita . Akur pada fakta dan bertindak dengan bijak berasaskan keputusan jamaei .

14. Sayugianya kita insaf bahawa kemenangan adalah kekal milik Allah swt. Allah jua lah yang akan menganugerahkan kemenangan tersebut . Apa yang kita mahu ialah kemenangan yang dikurniakan secara redha kepada kita bukan kemenangan yang diberi secara istidraj [ beri dalam murka ] .

15. Kekalahan kita di Galas dan Batu Sapi bukan pengalaman pertama yang dialami oleh parti tetapi sejak tahun 51 , entah berapa kali parti kalah namun tidak pernah pula generasi terdahulu patah hati dan semangat dalam meneruskan perjuangan sehinggalah ia diwariskan kepada kita hari ini . Ingatlah perjuangan ini tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak diasaskan pada hari ini . Bukan kita yang memulakan perjuangan ini , maka demikian juga bukan kita yang akan mengakhiri perjuangan ini .

PAS PERAK HANTAR PETUGAS DAN BANTUAN KE KEDAH

Para sukarelawan amal dari PAS Perak telah bergegas ke Kedah sejak semalam lagi. Bantuan berupa keperluan asas seperti air mineral, beras, biskut, lampin pakai buang dan sebagainya telah dihantar ke Kompleks PAS Kedah. Pimpinan PAS Perak juga turut berada di sana bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Pimpinan, ahli dan seluruh pemuda PAS di Kedah sejak banjir menimpa telahpun bertungkus lumus membantu mangsa banjir. Pimpinan PAS dan EXCO Kerajaan Negeri juga telah turun padang. Kerajaan Negeri Kedah pula telah memperuntukan RM 1 juta untuk mangsa banjir.
Banjir adalah musibah Allah SWT, bila ia turun banjir tidak mengenal siapa, semua terlibat dengan musibah ini, orang PAS, UMNO, PKR, DAP, yang tidak ada parti juga terlibat dengan musibah ini. Ia tidak khusus hanya pada golongan tertentu.
Jadi wajar semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan agama turun padang bagi membantu mangsa banjir. Semua pihak mesti berasa terpanggil untuk berhadapan dengan musibah ini. Tidak wajar sebelah pihak mendakwa turun padang dan menafikan orang lain yang turut bertungkus lumus sejak musibah ini menimpa.
Alhamdulilah Pakatan Rakyat begitu prihatin terhadap musibah ini. Kerajaan PR Selangor menyumbang RM 100 ribu untuk mangsa banjir di Kedah, begitu juga Pulau Pinang. Pemuda PAS pula menubuhkan Sekretariat Banjir bagi menyelaraskan tenaga pemuda dari seluru negara yang ingin berbakti di Kedah.

Dalam situasi krisis banjir yang semakin parah, ada juga pemimpin daripada Barisan Nasional yang cuba mengambil kesempatan untuk bermain politik.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan rasa kesal terhadap sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang cuba mempolitikkan krisis banjir di Kedah dengan menyalahkan kerajaan PAS Kedah lembap dalam membantu mangsa banjir.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata dalam keadaan semua agensi kerajaan negeri dan semua pihak tengah bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah, kenyataan Shahrizat memperlihatkan kehadiran Ketua Wanita Umno itu bukan untuk membantu tapi untuk berpolitik.

Shahrizat, kelmarin dipetik menyalahkan kerajaan negeri Kedah tidak menyediakan pengangkutan untuk membantu untuk menghantar makanan kepada penduduk di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir terutama di Padang Terap.

Sepatutnya beliau sebagai menteri boleh 'coordinate' dengan Jabatan Kebajikan di bawahnya dengan tentera dan sebagainya untuk mendapat kenderaan-kenderaan berat, kenderaan pacuan empat roda, trak dan sebagainya untuk mengharungi kawasan masuk air, dan juga mendapatkan bot-bot besar.

misabah.blogspot.com

Banjir: BN hanya berlakon, tuduh melulu

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.

(Gambar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak turun bertanya khabar mangsa banjir di pusat pemindahan)

"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh Barisan Nasional.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.

"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.

Menurutnya juga, keadaan banjir di negeri itu sudah semakin pulih namun ada beberapa kawasan yang masih ditenggelami air.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri masih meneruskan pemberian bantuan khususnya bekalan makanan dan air bersih.

"Banjir makin pulih dan sebahagian besar mangsa sudah pulang.Tapi masak dan makan minum masih di pusat penempatan. Dijangka esok sebahagian besar mangsa akan pulang ke rumah masing-masing.

"Bantuan masih diperlukan kerana kita nak pastikan setelah pulang dari pusat pnempatan, mereka dapat bagi tumpuan untuk cuci rumah yang mengalami banyak kerosakan dan harta benda.

"Kita akan bagi apa-apa sumbangan yang ada dalam stok kita khususnya air bersih kerana di kawasan tertentu bekalan air terputus," katanya lagi.

Mahfuz juga memaklumkan, misi bantuan banjir di kawasannya akan bergerak ke Kampung Empa dan Kampung Seberang Paya di Dun Bukit Lada hari ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan itu yang terputus hubungan dengan kawasan lain sejak beberapa hari yang lalu.

"Penduduk di sana terputus hubungan dengan kawasan lain. Bomba pun tak berani nak pergi sebab bot mereka kecil dan arus deras," jelasnya.
Bekalan makanan juga akan dihantar ke Dun Bukit Pinang hari ini. -Hrkh

Baru Sebulan Nikah, Bergelar Janda Apabila Suami Mati Lemas Dihanyutkan Arus Deras

Suami lemas ketika cuba selamatkan isteri

Gambar: Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Nor Faridah Mat Amin,26, ditenteramkan oleh keluarga terdekat ketika menunggu di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas kematian suami, Mohd Hazrul Abdul Jalil,26, akibat lemas semasa berkelah di Sungai Jin, Kampung Pasir Kubur, Sungai Lembing dekat sini, hari ini.

KUANTAN: Seorang lelaki, yang baru sebulan berkahwin mati lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama isteri dan keluarganya di Sungai Jin di Kampung Pasir Kubur, Sungai Lembing, dekat sini hari ini.

Mohd Hazrul Abdul Jalil, 26, yang tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari sungai itu, disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Ketika kejadian Mohd Hazrul yang bekerja dengan Lembaga Pertubuhan Peladang di Perak bersama isteri Norfaridah Mohd Amin, 26, ibu dan adik lelakinya berkelah di sungai itu.

Adiknya, Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, berkata kesemua mereka turun ke sungai untuk mandi selepas makan pada jam 12 tengah hari dan abang serta kakak iparnya yang turun ke kawasan dalam, secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

"Masa itu abang dan kakak ipar dihanyutkan bersama tetapi abang cuba menolak kakak ipar ke atas permukaan air sebelum mereka dihanyutkan ke kawasan cetek dan diselamatkan tetapi abang tidak sedarkan diri," katanya.

Beliau berkata, setelah dibawa ke daratan, abangnya diberikan bantuan penafasan oleh orang ramai namun petugas kesihatan yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu memaklumkan Mohd Hazrul sudah meninggal dunia.

Mohd Helmi berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halamannya di Pulau Tambun, Pekan untuk urusan pengebumian setelah bedah siasat dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.-- Bernama

Mengapa PAS kalah di Galas






















Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus. Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat

Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008

Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada BN. Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Kekalahan PAS di Galas - Tok Guru Nik Aziz



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas semalam yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

Beliau meragui keputusan tersebut menunjukkan kehendak sebenar pengundi di DUN Galas kerana mendakwa ada unsur ugutan dan sogokan terhadap pengundi.

Menurutnya, BN menanggung dosa jika rakyat memilih parti itu kerana tekanan dan bukan membuat pilihan secara bebas.

"Kita kecewa. Kalau rakyat terima sungguh (BN) sebagaimana kehendak dia tolak Pas itu tidak mengapa. Tapi kalau tolak Pas ambil BN kerana perkara 'tertentu', kerana ugutan, kerana sogokan, kerana apa-apa, maka dosa dia (BN) tanggung sampai ke akhirat.

"Ini kerana dia tidak beri peluang kepada rakyat memilih. Kita sebut pilihan raya, tahu-tahunya jadi 'tekanan raya', itu berdosa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau hairan bagaimana pada malam sebelum hari pembuangan undi, seorang menteri Kabinet boleh mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan menang besar.

"Saya ragu kerana keesokan hari nak mengundi, malam itu saya tengok siaran di televisyen, seorang menteri mengatakan bahawa BN akan menang banyak.

"Mana dia tahu BN akan menang banyak sedangkan esok baru nak mengundi, makna ada benda dia (BN) buat," katanya.

Beliau memberi amaran, 'dosa' yang akan ditanggung BN kerana setiap kegiatan manusia termasuk urusan politik tidak akan terlepas daripada agama dan undang-undang Allah.

Tok Guru Jawab Isu Nor Deris



Mohd Nor Deris Kurang Ajar dengan Tok Guru Nik Aziz

Panas : Adakah Doa TG Nik Aziz Terhadap Najib Mula Dimakbulkan?

Artikel ini diambil dari blog Anak Sungai Derhaka

Maaf ya sekadar bertanya.. Doa TG Nik Aziz ada diakhir entry.. korang aminkanlah..

Pagi tadi Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Dan menurut Ketua Pengarah Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan Perdana Menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi. Berita di baca di SINI

Najib tidak selesa dalam perut??

Bila disebut Najib tidak selesa dalam perut maka teringatlah aku bahawa suatu ketika dulu TG Nik Aziz yang kecewa dengan penafian hak Kerajaan Negeri Kelantan keatas royalti minyak oleh Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Najib telah berkata "Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kalau korang dah lupa sila baca di SINI


Kita doa sampai pecah perut orang itu.. ditujukan khas buat Najib..

Adakah ada kaitan antara sakit perut Najib itu dan Doa Pecah perut TG Nik Aziz? Hanya Allah SWT yang tahu…

Aku sekadar bertanya ya..

Dari Ali Radiallahu-Anhu ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Doa itu adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi. (Riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .