Ikuti Blog ini

Artis Gila Babi Dan Songkok Tinggi (Ustaz Azhar)




Media Umno Kena Belasah Teruk Oleh DSAI.

Bukankah Polis Saja Yang Memiliki Video Itu?

PDRM Dan SKMM Cari Individu Yang Memuat Naik Sebahagian Lagi Klip Video Seks

KUALA LUMPUR: Polis telah melancarkan siasatan bagi mengesan individu yang memuat naik sebahagian lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks melibatkan individu mirip pemimpin pembangkang pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan polis mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dimulakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama selepas berita mengenai klip video aksi seks itu tersebar di internet.

"Sehingga kini kita masih belum kenal pasti identiti mereka yang memuat naik klip itu," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini Khamis.

Ditanya sama ada polis telah menerima laporan berhubung penyiaran klip terbaru itu, Khalid berkata walaupun sehingga kini tiada laporan polis dibuat mengenainya tetapi polis masih boleh menjalankan siasatan.

"Tidak semestinya laporan perlu dibuat. Siasatan masih akan dijalankan. Perkara yang paling penting adalah mencari siapa yang bertanggungjawabdalam hal ini," katanya.

Semalam heboh diperkatakan mengenai penyiaran sebahagian lagi rakaman video seks dengan durasi 47 saat yang dikatakan melibatkan individu mirip pemimpin pembangkang yang telah dimuat naik di internet antaranya di laman web perkongsian video disukai ramai YouTube and beberapa blog.

Pada 4 April lepas, satu klip video berdurasi yang sama juga dipercayai melibatkan individu yang sama tersebar luas di internet.

Khalid ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan klip video pertama itu, berkata pihak pendakwaan telah meminta pegawai penyiasat untuk menyiasat dengan lebih terperinci daripada beberapa sudut lagi.

"Pihak pendakwaan melihat lebih terperinci daripada penyiasat. Kami tidak dapat nyatakan bila ia (siasatan) akan siap"," katanya.

Katanya ia adalah proses biasa dalam sesuatu siasatan apabila ada individu yang akan dipanggil memberi keterangan atau dipanggil semula untuk beberapa kali bagi membantu siasatan.

Pada 21 Mac lepas, rakaman video seks yang dikatakan melibatkan individu mirip pemimpin pembangkang dipertontonkan kepada beberapa wakil media oleh pihak yang menggelarkan diri "Datuk T" di sebuah hotel di sini.

Misteri "Datuk T" terungkai apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah bersama bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim mengaku mereka bertanggungjawab di atas penayangan video tersebut dan "Datuk T" merupakan singkatan "Datuk Trio".

Penayangan video itu menyebabkan Anwar membuat laporan polis. - BERNAMA

Polis belum kenalpasti siapa yang menaikkan video klip berkenaan?

Bukankah kenyataan itu mendedahkan samada polis lemah sehingga dua video klip dimuat-naik ke youtube tetapi tidak dapat dikesan atau polis melindungi pesalah tersebut.

Video seks berkenaan dilaporkan sebelum ini HANYA ada satu salinan dimana yang diserakan oleh Datuk T itulah video seks yang sebenar. Polis telah membuat kenyataan video itu adalah tulen, bererti video yang berada pada polis itu sebagai tulen.

Kemudian bagaimana pula video seks yang dimuat-naik ke youtube itu? Apakah ia salinan video seks yang tulen berkenaan yang sepatutnya HANYA polis saja memilikinya?

Dan bagaimana pula seorang blogger UMNO (papagomo) begitu cepat tahu ada video seks kedua di youtube dan kemudian menyiarkannya di blognya?

Dan apakah polis telah lakukan siasatan terhadap papagomo atau sedang bekerjasama dengan papagomo?

Loceng dibunyikan. Kredibiliti dan integriti polis sekali lagi dipertikaikan rakyat!

Ketua Gereja Kecam TV3 Kerana Tayangkan Siri Kedua Klip Video Seks

Petaling Jaya: Seorang pemimpin Gereja Katholik membidas TV3 dengan tindakan mereka menyiar potongan dari video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar IbrahimTV3.

Biskop Paul Tan, yang juga Presiden Konferens Bikop-biskop Katholik Malaysia, mengecam tindakan itu sebagai sesuatu kebiadaban yang tidak boleh dimaafkan.

Semalam, stesyen TV yang ada kaitan dengan kerajaan tersebut telah menyairkan potongan dari apa yang disifatkan bahagian kedua video yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wanita dikatakan warga China.

“Dari awal lagi, kita melihat satu sikap yang serba membolehkan telah menjadi ciri kepada sikap pihak berkuasa terhadap episod jijik berkenaan,” kata Tan.

“Sekarang sikap itu menjadi lebih biadab: pemaparan bahan yang keji dan buruk dilkakukan di TV awam untuk ditontoni oleh seluruh rakyat lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak.

“Kebiadaban ini tidak boleh dimaafkan dimana kelemahan pihak berkuasa yang tidak bertindak tegas dari untuk menghapuskan ia dari peringkat awal sebagai satu kesilapan yang amat besar.

Tan menggesa pihak berkuasa untuk bertindak tegas dan mengheret mereka yang memiliki dan menayang video seks sebelum “satu kejahatan melahirkan lebih kejahatan lagi selepasnya.”

“Sikap membenarkan tayangan berkenaan, adalah relatifnya merupakan wajah kepada tindakan syaitaniah yang merupakan penyumbang jelas terhadap kerosakan moral yang kita temui di dalam kehidupan.

“Para penjaga undang-undang dan moral (pihak polis) tidak boleh membiarkan penayangan kejahatan yang kurang ajar ini. Mereka perlu bertindak, jika tidak rakyat akan menanggung risikonya,” tegasnya.

Orang bukan Islam tahu penayangan video berkenaan tidak sepatutnya dilakukan. Ini orang Islam sendiri melakukan tayangan berkenaan. Sungguh menjijikkan.

Kerana hati busuk untuk aibkan Anwar, soal samada Anwar itu pelakon di dalam video seks atau tidak, tak jadi soal, yang penting orang kampung yang tidak ada internet perlu disogokkan dengan tayangan berkenaan.

Kerana sememangnya UMNO hidup di atas sumber dan dasar fitnah. -GB

Khir Toyo Dakwa Cina Nak Hapuskan Hak Orang Melayu



Bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo mendakwa kempen 1 Melayu 1 Bumi adalah jawapan orang Melayu kepada usaha kaum Cina memperkasakan DAP untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Khir merujuk kepada kemenangan besar DAP menawan 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan pada pilihanraya negeri Sarawak 16 April lalu.
"Ramai orang bukan Cina, terutamanya bumiputera, melihat sokongan kaum Cina kepada Pakatan lebih merupakan sokongan kepada pemerkasaan kuasa politik orang Cina melalui DAP bagi menghakis dan seterusnya menghapuskan apa-apa sahaja keistimewaan bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia," kata beliau dalam blognya hari ini.

DAP menegaskan bahawa corak pengundian menunjukkan kemenangan besarnya di Sarawak tidak berpaksi kepada undi Cina sahaja.

Sebalikny parti itu juga mendapat peratusan sokongan membanggakan daripada kaum Bumiputera di negeri itu.

Susulan pilihanraya negeri itu, Utusan Malaysia mencadangkan Umno melancarkan gerakan 1Melayu 1Bumi untuk menyatupadukan orang Melayu dalam memperjuangkan agenda kaum itu.

Bagaimanapun cadangan itu tidak diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencanang slogan 1Malaysia.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno seperti Naib Presiden Zahid Hamidi menyokong cadangan Utusan itu.

Khir hari ini turut memberi sokongan kepada gerakan 1Melayu untuk menyatu padukan orang Melayu.

Beliau turut mempertahankan Perkasa yang akan melancarkan kempen 1 Melayu 1 Bumi Sabtu ini di Alor Setar.

"Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?" tanya Khir.
Menurut Khir, soal slogan 1 Melayu 1 Bumi itu boleh dianggap perkauman atau tidak, bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.

Jika konsep itu bertujuan menyatukan kaum bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya.

"Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia," tambah beliau.

Berhibur mengikut hukum syarak mendapat pahala

http://buletinonline.net/images/stories/berita46/ridzwanhashim.jpgKUALA NERUS - Orang-orang muda diseru membuat perubahan dengan menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) serta tidak bimbang dengan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu, Ustaz Ridzwan Hashim, ia adalah kerana Umno adalah sebuah parti sekular yang hanya mementingkan keduniaan semata-mata.

Katanya, Islam adalah agama fitrah yang tidak bercanggah kehendak naluri manusia.

"Kita kena berani membuat perubahan dan anak-anak muda jangan bimbang (untuk berubah) kita (PAS) ini bawa Islam, dasar-dasar kita (adalah) dasar-dasar Islam,

"Islam agama fitrah (dan) Islam tidak akan bawa satu undang-undang, satu peraturan yang bercanggah dengan kehendak fitrah manusia,"ujarnya ketika berucap pada Malam Kesenian Islam, di Padang Bola Batu Enam, disini, 25 April.

Oleh itu, beliau selaku Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus berkata Islam membenarkan umatnya berhibur dan bersukan bahkan anya mendapat pahala sekiranya dilakukan mengikut hukum syarak (Islam)

Sebaliknya, menurutnya, PAS tidak berkompromi dengan aktiviti sukan dan hiburan yang melalaikan sebagaimana yang dianjurkan oleh Umno-BN.

Katanya Umno-BN menganjurkan pelbagai program semata-mata untuk kepentingan politik tanpa mengira dosa dan pahala.

Malam Kesenian Islam anjuran Pemuda PAS Kuala Nerus telah menampilkan kumpulan nasyid tempatan Shoutul Amal dan artis yang juga pendakwah, Mohd Radzi Abdul Hamid, bekas vokalis kumpulan rock tahun 90an.

Persembahan Radzi yang diselang selikan diantara nyanyian berunsur nasihat dan ketuhan dengan ceramah tazkirah telah menarik minat lebih 500 orang anak muda sekitar pekan Batu Enam. -BO




Tuntutan Cuepacs bukti pendedahan PAS benar

KUALA LUMPUR, 27 April: Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji guru tahun ini, ekoran bebanan hidup akibat kenaikan harga barangan, membuktikan segala pendedahan yang dibuat oleh PAS berhubung perkara itu selama ini adalah benar.

Walaupun kerajaan BN menafikan pendedahan PAS bahawa kenaikan harga petrol, diesel, gas dan barangan utama lain membebankan orang ramai termasuk penjawat awam, tuntutan Cuepacs yang mewakili sektor awam ternyata dengan sendirinya telah mengakui apa yang dikatakan oleh PAS selama ini.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) menegaskan, setiap pihak termasuk kerajaan BN tidak boleh menafikan kenaikan harga barangan sememangnya membabankan hidup rakyat, malahan menyebabkan rakyat mengalami himpitan hidup yang amat teruk, sehingga Cuepacs sendiri terpaksa memohon kerajaan melakukan penyelarasan gaji guru tahun ini.

Menurut beliau, PAS amat bersimpati dengan bebanan hidup yang dihadapi oleh orang ramai termasuk para penjawat awam ekoran kenaikan harga barangan di negara ini dan ia perlu diberikan tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan BN.

Katanya, disebabkan realiti itulah, PAS dan Pakatan Rakyat telah pun menyusun perkara itu dengan kemas dengan menjanjikan pemberian elaun khas sebanyak RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberikan amanah oleh orang ramai memerintah negara ini dalam PRU Ke-13 ini, seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Itu dah ditegaskan oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam Janji 100 Hari Pertama Pakatan Rakyat, namun ia ditertawakan oleh kerajaan BN dengan mengatakan kerajaan akan bankrap jika dilaksanakan perkara itu.

"Pada hal hujah kerajaan BN itu ternyata meleset kerana janji itu sendiri dibuat oleh Pakatan Rakyat setelah mengambil kira segala aspek termasuk kemampuan kerajaan dari segi kewangan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bernama hari ini melaporkan, Cuepacs memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji tahun ini, berikutan kenaikan harga barangan yang semakin membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan harga barang itu menyebabkan perbelanjaan penjawat awam bertambah lebih RM500 setiap bulan sedangkan pendapatan bulanan tidak berubah.

Katanya, penyelarasan yang boleh dibuat dengan mengambil kira purata perbelanjaan tambahan penjawat awam itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka.

Selain itu, beliau berkata, Cuepacs turut mencadangkan agar bantuan sara hidup (COLA) semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan.

"Ini kerana kos sara hidup di luar bandar juga semakin meningkat seperti di bandar," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir Pelajaran (Keptan) Perlis di Kangar.

Cuepacs juga, katanya, mencadangkan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

"Mana ada rumah yang boleh disewa RM180 sebulan di kawasan bandar malah di luar bandar juga sewa rumah telah meningkat,” katanya.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, PAS memang bersetuju dengan tuntutan itu, malah ia bukan sahaja perlu mengambil kira penyelarasan gaji guru, tetapi juga penjawat-penjawat awam lain.

"Malah dalam hal ini, PAS dan Pakatan Rakyat sendiri berharap agar sektor awam sendiri turut menyokong segala perkara yang dijanjikan seperti yang digariskan dalam Buku Jingga kerana itu semua telah mengambil kira segala keperitan hidup rakyat di semua peringkat," katanya.

Selain itu, katanya, sektor awam dan orang ramai di semua peringkat juga perlu menyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana turut berhasrat untuk melakukan pelbagai kebaikan lain lagi jika diberikan mandat memerintah negara, termasuk untuk menangani masalah tol seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Kenaikan tol juga telah kita kenalpasti sebagai punca bebanan hidup rakyat. Jadi jika masalah tol dapat ditangani dengan baik, ia pasti akan turut mengurangkan bebanan hidup kakitangan awam dan semua pihak," tegas beliau. -Hrkh

Penggal Parlimen Capai 3 Tahun, Tiada Pilihanraya Kecil Selepas Ini

Penggal Parlimen Genap Tiga Tahun, Tiada Lagi Pilihan Raya Kecil Parlimen

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen tidak perlu diadakan selepas Khamis memandangkan penggal Parlimen ke-12 ini telah mencapai tempoh mandat tiga tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Selepas tarikh itu, sekiranya berlaku kekosongan kerusi yang disebabkan oleh kematian atau penyandangnya hilang kelayakan, maka PRK (pilihan raya kecil) tidak diadakan," katanya kepada BERNAMA pada Rabu.

Beliau berkata perkara itu adalah sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang.

Tarikh 28 April ialah hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008. Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata tempoh akhir bagi mengadakan PRK untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lepas.

"Sepertimana Parlimen, PRK juga tidak boleh lagi diadakan bagi DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan berakhir, kecuali ada keperluan khas" katanya.

Keperluan khas itu termasuklah jika berlaku situasi di mana kerajaan pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat atau DUN, menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau negeri.

"Jika speaker memaklumkan kepada SPR situasi di mana kerajaan sedia ada tidak boleh lagi membentuk kerajaan kerana hilang majoriti dalam dewan, PRK boleh diadakan.

"Tetapi setakat ini situasi ini tidak pernah berlaku. Walaupun di Dewan Rakyat kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, tetapi masih mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan," katanya.

Selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, sebanyak 16 PRK telah dijalankan, iaitu empat bagi kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN, membabitkan kos lebih RM11 juta.

Perincian perbelanjaan bagi setiap pilihan raya kecil ialah

Permatang Pauh (RM409,000),
Kuala Terengganu (RM325,416),
Bukit Gantang (RM460,971),
Bukit Selambau (RM318,000),
Batang Ai (RM391,700),
Penanti (RM514,600),
Manik Urai (RM548,003),
Permatang Pasir (RM461,367.93),
Bagan Pinang (RM449,485),
Hulu Selangor (RM1.2 juta),
Sibu (RM1 juta),
Batu Sapi (RM1.290 juta),
Galas (RM1.047 juta),
Tenang (RM1.1 juta),
Merlimau (RM755,000) dan
Kerdau (RM915,000).

Ditanya persediaan SPR untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Abdul Aziz berkata badan itu belum bersedia sepenuhnya sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini.

"Pilihan raya umum ini perkara serius, banyak benda yang perlu kita sediakan, kita harap tidaklah diadakan secara mengejut-mengejut.

"Kita perlukan masa. Pilihan raya umum bukan perkara main-main, ia perkara serius dan banyak yang perlu kita lakukan," katanya tanpa menjelaskan maksud 'masa terdekat'.

Bagaimanapun beliau meminta masyarakat umum tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum memandangkan kerajaan masih mempunyai banyak masa sebelum tempoh mandatnya berakhir.

"Kerajaan sekarang ada tempoh dua tahun lagi sebelum mandat berakhir pada April 2013, biarlah kerajaan sekarang mentadbir negara, mereka ada lima tahun," katanya.

Sebar berita fitnah haram di sisi Islam – Dr Haron Din


Menurut beliau, larangan Allah terhadap fitnah secara jelas terkandung dalam Al Quran seperti disebut dalam surah An Nur dan Al Hujurat.

Ketika dihubungi KeadilanDaily hari ini, Dr Haron bagaimanapun berkata, beliau merujuk kepada semua berita yang berunsur fitnah dan tidak menyatakan kepada mana-mana pihak tertentu.

“Saya kata, adalah haram menyebarkan berita yang berbaur fitnah,” ujarnya.
“Pemberita yang menulis tentang sesuatu fitnah memanglah haram. Kita bercakap secara umum. Saya tak refer kepada mana-mana pihak. Itu terpulang kepada pengertian masing-masing,” ujarnya.

Semua Kata Itu Bukan Anwar. Cuma Fitnah Dari Datuk T Dan UMNO

Nurul Izzah: Itu bukan Anwar

Nurul Izzah Anwar - naib presiden PKR dan anak sulung Datuk Seri Anwar Anwar - sekali lagi mengulangi bahawa orang dalam video seks - sebahagian lagi daripadanya disebarkan di internet hari ini - bukan bapanya.

Nurul menegaskan bahawa beliau serta keluarganya berdiri teguh bersama Anwar, dan mengulangi bahawa pelakonnya bukan ketua umum PKR itu.

Beliau menyifatkannya sebagai satu usaha jijik untuk memusnahkan semangat berjuang mereka serta reformasi yang sangat diperlukan di negara ini.

"Kami tidak akan tunduk ataupun takut dengan taktik sedemikian," kata Nurul Izzah dalam pesanan teksnya kepada Malaysiakini. -mk


Klip kedua video seks muncul, Eskay beri sampel DNA

Sedutan klip dari blog papagomo yang muncul tengah hari tadi.


KUALA LUMPUR, 27 April – Satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi pembangkang telah dimuat naik dalam laman Internet.

Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.

Klip video tersebut dimuat naik pada Rabu di dalam laman ‘Youtube’ dan laman web blogger Papagomo, www.papagomo.com kira-kira 1.30 tengah hari ini, lapor Bernama Online.

Sebelum ini pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.

Pada 21 Mac lalu, tiga individu yang menggelarkan diri mereka “Datuk T” telah mendedahkan kewujudan video seks yang didakwa mereka membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Terdahulu, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, yang mendedahkan video seks yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memberi sampel DNA beliau kepada pihak polis.

Eskay berkata beliau telah diminta datang ke Bukit Aman untuk memberikan sampel DNA itu dan juga untuk memberi keterangan tambahan untuk membantu siasatan kes video seks itu.

“Saya secara sukarela telah memberi sampel DNA kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes video seks,” katanya kepada pemberita di luar pintu masuk Bukit Aman.

Katanya, beliau berada di Bukit Aman dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan turut ditanya beberapa soalan oleh pihak polis.

Eskay berkata beliau akan mengadakan satu sidang akhbar esok untuk memberikan situasi terkini mengenai video itu. -TMI


Baru sebentar GB sudah ulas. Petikan:

Terima kasih kepada pihak yang memuat-naik video itu di youtube kerana dengannya kita akan dapat melakukan penganalisaan yang lebih tepat mengenai lelaki yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang itu.

Pembesaran imej-imej akan membuktikan DENGAN JELAS bahawa lelaki itu BUKAN Anwar Ibrahim.

Lihat:



Jika dilihat dari jauh gambar dari video itu hitam putih itu nampak seolah-olah ia mirip Ketua Pembangkang. Disebarkan bertujuan untuk mengaibkan Anwar. Tetapi penelitian yang lebih rapi dengan apa kaedah sekalipun akan menjurus kepada rumusan bahawa ia bukan Anwar.

Hanya si bengong yang mabuk, yang tembel matanya dan yang busuk hatinya akan menyatakan ia Anwar Ibrahim!

Tukar kerajaan selesai masalah rasuah

KUALA LUMPUR, 28 April: PAS berpendapat hanya dengan menukar parti pemerintah sahaja akan mampu menyelesaikan masalah rasuah dalam negara.

Bercakap dalam wacana anjuran Sinar Harian bertajuk 'Rasuah Pemusnah Tamadun' di Shah Alam petang semalam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, masalah rasuah dalam negara kita sukar diatasi kerana berpunca dari peringkat pemimpin atasan negara.

Ujarnya, ia berbeza dengan prinsip Pakatan Rakyat yang menolak amalan rasuah dan telah dibuktikan pada negeri-negeri diperintah mereka.

"Faktor terpenting kenapa terjadinya rasuah adalah kerana pemimpin itu sendiri melakukannya. Oleh itu perubahan mesti dibuat dari peringkat atasan.

"Dalam konteks Malaysia, satu-satunya cara memerangi rasuah adalah dengan menukar kerajaan sedia ada. Jika perkara ini tidak boleh dilakukan, jangan mimpi gejala rasuah ini boleh diselesaikan," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Selain Nizar, wacana tersebut turut menampilkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk seri Abu Kassim Mohamed, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd Nor dan Pengasas ESQ Leadership Centre, Dr Ary Ginanjar Agustian.

SPRM perlu jadi badan bebas

Abu Kassim pula dalam hujahnya berkata, apa yang perlu diperjuangkan oleh seluruh rakyat dan pihak yang menentang rasuah adalah undang-undang bagi membolehkan SPRM manjadi sebuah badan bebas.

Hanya dengan itu katanya, SPRM mampu menjalankan tugas membenteras jenayah rasuah dengan lebih berkesan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas SPRM yang ditubuhkan di bawah parlimen turut mengesyorkan kepada kerajaan agar hak pendakwaan kes rasuah diberikan sepenuhnya kepada pihak SPRM dan bukan lagi di bawah kuasa Peguam Negara, bagi menjadikan badan itu lebih bebas.

Materialistik punca utama rasuah

Sementara itu, Dr Ary Ginanjar berkata punca utama rasuah di negara ini adalah sikap individu yang terlalu materialistik.

Rakyat negara ini katanya terikut-ikut dengan amalan negara barat sehingga mengenepikan nilai murni.

"Apabila hati sudah terbentuk, tiadak mustahil rasuah akan selesai.

"Sebenarnya kekuatan kita apabila kita mengabdikan diri kepada Allah," katanya. -Hrkh

Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

KEBENARAN TERSERLAH – PERJUANGAN KASE DIAKUI

Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia khasnya pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yang disiarkan dalam akhbar theSun bertarikh 27/4/2011 di mukasurat 03. Beliau mengulas pertanyaan wartawan tentang keputusan Kerajaan menyenarai hitam pemilik kenderaan hanya setelah kesalahan yang dilakukan dibawa dan dibuktikan di Mahkamah. Antaranya beliau menyebut seperti berikut :

“It’s not (being lax). It’s only fair; innocent until proven guilty – that is the basic principle of law. Only when they are found to be guilty of their offences in court, will they be blacklisted”

Menyorot kembali polisi Kerajaan sebelum ini di mana Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan kaedah senarai hitam pemilik-pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu iaitu dengan menghalang segala transaksi melibatkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan) dan lesen memandu jika didapati pemilik kenderaan dan pemegang lesen mempunyai “perkara yang belum selesai” di dalam rekod JPJ dan PDRM. Tidak pernah pada bila-bila masa semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan mereka. Sebaliknya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen terus dihalang transaksi dengan JPJ melainkan mereka membayar dahulu segala kompaun bagi setiap perkara yang terdapat di dalam rekod JPJ dan PDRM. Ekoran tindakan tersebut, balai-balai polis, kaunter-kaunter pejabat pos dan JPJ dikerumuni para pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar kompaun-kompaun kerana terdesak dan takut mereka akan disenarai hitam. Mereka terpaksa bersusah payah beratur, mengambil cuti dan ada juga yang terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan bank untuk melangsaikan kompaun sedangkan semua kesalahan yang direkodkan di dalam sistem JPJ dan PDRM masih belum dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ bertegas mengatakan mereka mempunyai kuasa untuk melakukan senarai hitam tersebut melalui peruntukkan Seksyen 17(1)(d) dan Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Kami di Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) secara konsisten menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada tahun 2009 di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Pengarah Jabatan pengangkutan Jalan Negeri Sarawak. Kami di KASE telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Menteri Pengangkutan pada Ogos 2010 dan kemudiannya menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Walaubagaimana pun jawapan yang diterima pada waktu itu tetap sama iaitu Kerajaan mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam walaupun kes Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan sebaliknya.

Desakan demi desakan dilakukan sehinggalah pada 23/3/2011 Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menarikbalik perlaksanaan senarai hitam atas kesalahan yang dikeluarkan Notis Pol 170A atau lebih popularnya “Saman Ekor”. Alasan yang diberikan beliau ialah Jemaah Menteri mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara bahawa keputusan perlu ditangguhkan sehingga suatu kes rayuan diputuskan di Mahkamah.

Kami di KASE menyambut baik keputusan tersebut. Walaubagaimana pun keputusan tersebut dengan jelas, nyata dan terang menunjukkan bahawa Kerajaan telah mendera, menindas, menzalimi dan memaksa rakyat khasnya pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar dan mengakui sesuatu perkara yang belum pasti dan belum diputuskan kesalahan mereka oleh Mahkamah. Tindakan Kerajaan sebelum ini jelas membuktikan prinsip “innocent until proven guilty” (tidak bersalah melainkan dibuktikan salah) yang disebut oleh Timbalan Menteri itu tidak diendahkan. Kenapa setelah berjuta-juta duit rakyat diperas melalui tindakan senarai hitam baru sekarang hendak disebutkan prinsip “innocent until proven guilty”. Adakah semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini Kerajaan tidak pernah tahu prinsip “innocent until proven guilty”?

PDRM pula dengan bangganya mengumumkan bahawa sehingga Februari 2011 sejumlah lebihkurang RM496.7 juta telah berjaya dikutip. Kutipan ini hasil daripada perlaksanaan kaedah ugut dan paksa oleh Kerajaan selama ini. Kerajaan mengugut akan menghalang transaksi pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu jika kompaun tidak dijelaskan. Hasil ugutan itu, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen berpusu-pusu membanjiri balai polis, pejabat pos dan JPJ untuk membayar kompaun sedangkan kesalahan mereka belum dibuktikan. Inikah prinsip “innocent until proven guilty” yang dipegang oleh Kerajaan? Bayar dahulu – salah atau tidak bukan isunya? Rakyat Didahulukan! Adakah PDRM tidak perlu menggunapakai prinsip “innocent until proven guilty”? Adakah duit kompaun lebih penting daripada pembuktian kesalahan?

Keputusan menarikbalik senarai hitam juga dikatakan ekoran nasihat Jabatan Peguam Negara. Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan pada tahun 2009 tetapi hanya pada Mac 2011 baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat kepada Jemaah Menteri bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam itu tidak betul. Negara amat malang mempunyai “penasihat” seperti ini. Sudah berjuta-juta duit rakyat dikaut, sudah berapa ramai rakyat disusahkan baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat bahawa tindakan Kerajaan tidak betul?

Kami di KASE ingin mendesak kepada Kerajaan untuk menjelaskan beberapa perkara. Pertama, atas prinsip undang-undang apa Kerajaan berpendirian bahawa Kerajaan boleh menghalang transaksi sebelum ini jika sekarang ditarik balik atas prinsip “innocent until proven guilty”? Kedua, siapa yang memberikan nasihat kepada Kerajaan untuk melaksanakan senarai hitam walau pun keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa tindakan itu salah? Ketiga, jika sekarang ditarik balik kerana prinsip “innocent until proven guilty”, bagaimana status mereka yang telah membayar kompaun sedangkan mereka tidak pernah didapati salah oleh Mahkamah? Mereka membayar kerana ugutan senarai hitam oleh Kerajaan, bukannya mengaku kesalahan.

Akhirnya KASE mendesak Kerajaan melakukan perkara-perkara berikut :

a) Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen atas tindakan senarai hitam tanpa bukti sebelum ini.

b) Memulangkan segala bayaran kompaun yang telah dibuat oleh para pemilik kenderaan dan pemegang lesen akibat perlaksanaa kaedah senarai hitam sebelum ini.

c) Mengeluarkan rekod kesalahan yang tidak dibuktikan di Mahkamah daripada sistem PDRM dan JPJ melainkan semua kesalahan tersebut dibawa dan dibicarakan di Mahkamah.

d) Menghapuskan semua saman-saman ekor dan perkara-perkara yang tidak dibuktikan kesalahan di Mahkamah daripada rekod JPJ dan PDRM.

Sekiranya tindakan ini tidak dilakukan, KASE berpendapat bahawa Kerajaan sememangnya tidak bertanggungjawab dan telah bertindak zalim kepada rakyat. Di mana slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan? Kebenaran Akhirnya Terserlah....


ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
27/04/2011

Perpaduan Pakatan Rakyat Gagal Ditandingi BN

SHAH ALAM 27 APRIL: Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 akan datang Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat semakin rancak dalam merancang agendanya untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat(PR) sekali gus merampas kembali negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang adalah amat mustahil, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, ini kerana kekuatan PR dari aspek perpaduan tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana parti termasuk perikatan Barisan Nasional(BN).

"Apabila sokongan rakyat semakin sukar diperolehi Umno-BN akan cuba merencana pelbagai taktik kotor untuk menghancurkan perpaduan dalam PR iaitu antara PAS dan PKR khususnya.

"Jadi saya lihat politik Umno terlalu lemah kerana tidak mampu meyakinkan rakyat terhadap isu berkaitan Datuk Seri Anwar," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin Umno-BN yang dilihat bertindak memanipulasikan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini berhubung pendiriannya terhadap kes fitnah video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media kawalan Umno-BN, Utusan Malaysia minggu ini dilapor memaparkan kenyataan-kenyataan jahat apabila cuba untuk melaga-lagakan Mustafa Ali dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berhubung pendirian Pas untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Tegas Mahfuz, beliau turut menolak sebarang dakwaan songsang berhubung perselisihan pendapat antara Pas dan PKR sehingga mencetuskan salah faham antara pemimpin tertinggi gagasan itu.

"Saya yakin bahawa apa yang dilihat oleh rakyat adalah kesetiaan Pas bersama PR," kata beliau.

Mahfuz menambah, beliau yakin rakyat sentiasa berfikiran positif berhubung pendirian dan sokongan tidak berbelah-bagi parti itu terhadap gagasan Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, peranan media alternatif amat diperlukan bagi melaporkan maklumat yang telus agar tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut berhubung siasatan polis terhadap penayangan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Mahfuz berkata Pas tidak pernah mengiktiraf mana-mana hasil siasatan polis seperti yang diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar baru-baru ini.

Jelasnya, ini kerana polis terlebih dahulu menunjukkan sikap pendakwaan terpilih terhadap Anwar.

"Pas tidak percaya apa jua bentuk keputusan yang dibuat polis terhadap hasil siasatan video seks ini kerana pihak berkuasa itu sedari awal telah memperlihatkan sikap memihak (Umno-BN).

"Ini sekali gus menunjukkan bahawa polis sendiri terlibat dalam konspirasi video fitnah itu semata-mata untuk memburukkan nama baik Anwar serta mencalarkan hubungan dalaman PR," katanya.

Pelopor Harakah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 27 April: Salah seorang pelopor akhbar Harakah, Ustaz Mashhudi Bunyani, 68, meninggal dunia sekitar jam 8.30 pagi ini di rumahnya di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Allahyarham yang menghidapi strok sejak beberapa tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak-anaknya di rumahnya setelah mengadu sesak nafas secara tiba-tiba.

Kematiannya di luar jangkaan isteri dan anak-anaknya kerana sebelum itu Allahyarham kelihatan sihat, malah rancak berbual-bual dengan ahli keluarganya.

(Gambar: Salahuddin Ayub bersama para petugas mengkafankan jenazah Allahyarham Ustaz Mashhudi. Foto: Wan Zahari)

Pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan sekadar mengejutkan seluruh ahli keluarga dan seluruh kakitangan Harakah, malah kesemua rakan-rakan yang mengenalinya.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Selamah Hussain, 59, dan 9 orang anak merupakan petugas awal akhbar Harakah sejak akhbar itu mula diterbitkan, manakala jawatan terakhirnya di Harakah adalah sebagai Pengarang Rencana.

Beliau berhenti dari berkhidmat sepenuh masa di akhbar Harakah sekitar empat tahun lalu kerana menghidapi strok, tetapi masih terus terlibat sehingga ke akhir hayat bagi pengisian kolum 'Mauidzah' Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semasa hayatnya, Allahyarham turut menyumbangkan masa, tenaga dan kebolehannya bagi kerja-kerja penyusunan buku, terutama buku-buku Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terbitan unit buku Harakah.

Jenazah Allahyarham dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz, Sungai Penchala dan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penchala.

Selain kakitangan Harakah dari kesemua bahagian di ibu pejabatnya di ibu negara, antara pemimpin PAS terawal yang menziarahinya Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Subky Latif.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengimami solat jenazah.

Anak ketiga Allahyarham, Nasrullah, 35, menjelaskan, kematian Allahyarham diterima dengan reda oleh kesemua ahli keluarganya kerana ia sudah termaktub dalam ketentuan Allah.

"Walaupun pemergiannya merupakan satu kehilangan amat besar kepada kami, tetapi kami bersyukur kepada Allah kerana arwah ayah meninggal dunia dengan senang atau dalam keadaan mudah," jelasnya. -Hrkh

Gani Patail lebih berkuasa dari Najib?

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan satu realiti – orang yang paling berkuasa di negara ini mungkin bukan Perdana Menteri.

Ini kerana Datuk Seri Najib Razak terpaksa meraih mandat daripada rakyat setiap lima tahun dan menjawab kepada Parlimen apabila perlu. Orang yang tidak perlu berbuat demikian adalah Peguam Negara. Jawatan itu kini disandang oleh Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau tidak perlu ke Parlimen, tetapi hanya ke pejabat Perdana Menteri dan hadir pada mesyuarat Kabinet untuk memberi nasihat dan penjelasan dari masa ke semasa.

Pejabat Peguam Negara di Malaysia mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pihak mana yang perlu diheret ke mahkamah, yang mana boleh dilepaskan.

Peguam Negara juga berhak menentukan pertuduhan apa yang harus dikenakan terhadap seseorang, tidak kira jika pertuduhan itu menyimpang daripada laporan polis yang dibuat oleh pengadu.

Semalam, Ketua Pendakwaraya Yusuf Zainal Abideen mengesahkan kuasa mutlak pendakwaan di tangan Gani apabila beliau berhujah pada perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yusuf Zainal mengaku dalam laporan polisnya, pengadu Saiful Bukhari Azlan mendakwa beliau dipaksa melakukan hubungan seks itu.

Namun, Peguam Negara menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mendakwa Anwar atas tuduhan kononnya beliau dan Saiful melakukan seks luar tabii secara sukarela.

Kuasa mutlak


Yusuf memberitahu mahkamah bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa Anwar di bawah apa juga undang-undang.

Malah, mengikut Yusuf, sekali pun Saiful “menukar” ceritanya, ia tidak menjejaskan pendakwaan selagi ada “bukti” untuk menyokong tuduhan itu.

Begitu besar kuasa yang ada pada Peguam Negara. Persoalan yang lojik yang akan ditanya oleh rakyat adalah apa jadi dengan laporan polis Saiful bahawa beliau dipaksa melakukan perbuatan itu?

Bagaimana fakta penting ini boleh diketepikan begitu sahaja oleh Peguam Negara… jika benar motif utama beliau adalah menegakkan kebenaran semata-mata, demi memberi keadilan kepada pengadu dan tertuduh.

Namun persoalan ini tidak akan dijawab, kerana Peguam Negara tidak bertanggung jawab kepada Parlimen.

Tidak ada ruang untuk rakyat atau wakil rakyat memperinci hubungan Peguam Negara dengan Pejabat Perdana Menteri dan kaitannya dengan keputusan-keputusan pendakwaan yang dibuat.

Pada tahun 1994, Peguam Negara ketika itu Tan Sri Mohtar Abdullah mengambil keputusan untuk menggugurkan tuduhan rogol terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik atas alasan “kurang bukti” beliau melakukan jenayah itu terhadap gadis berusia 15 tahun.

Dipenjarakan

Sebaliknya yang didakwa adalah Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau dipenjarakan 18 bulan kerana mendedahkan perlakuan Rahim.

Tan Sri Mohtar adalah juga Peguam Negara yang bertanggungjawab untuk tidak mendakwa Rahim atas tuduhan rasuah RM40 juta, sekaligus menolak segala bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh Badan Pencegah Rasuah.

Jelas kuasa Peguam Negara adalah mutlak. Pejabat Peguam Negara menggunakan pertimbangan sendiri yang “rahsia dan agak istimewa” tetapi tidak menjanjikan ketelusan dan keadilan serta kesamarataan yang menjadi tonggak prinsip keadilan.


Rekod tiga Peguam Negara terakhir, Tan Sri Abu Talib Othman, Mohtar dan Gani tercemar kerana cara mereka menggunakan kuasa-kuasa mutlak yang diberikan kepada mereka.

Mereka dilihat bersekongkol dengan pemerintah yang mahu menjayakan agenda sempit politiknya.

Contohnya peranan Abdul Talib dalam pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas dan lima hakim lain pada tahun 1984.

Dalam kes Anwar, Gani menjadi sasaran utama kerana dituduh membawa pendakwaan yang rapuh dalam fitnah liwat pertama pada tahun 1998 dan ulangannya pada masa sekarang.

Rasanya tidak perlu menoleh terlalu jauh kebelakang untuk memperinchi rekod Gani. Dakwaan yang dibuat oleh Datuk Mat Zain Ibrahim, pengawai penyiasat polis dalam kes mata lebam Anwar bahawa Gani mereka-cipta bukti dalam kes Ketua Pembangkang adalah dalam pengetahuan umum.

Membekalkan pelacur

Anehnya, dakwaan-dakwaan itu tidak pula mengundang sebarang pendakwaan daripada Gani, walaupun ia memberi tamparan hebat kepada kewibawaan pejabat Peguam Negara.

Pada tahun 1998, peguam kepada Datuk S Nallakarupan, Manjeet Singh Dhillion mendedahkan Gani menuntut supaya Nalla merekacipta bukti terhadap Anwar kononnya Nalla membekalkan pelacur kepada Anwar.

Berikut petikan surat rasmi yang dihantar oleh Manjeet kepada Peguam Negara ketika itu Datuk Mohtar:

“That in exchange for a reduction of the present charge to one under the Arms Act he wanted Nallakaruppan to co-operate with them and to give information against Anwar Ibrahim, specifically on matters concerning several married women. Dato Gani kept changing the number of women and finally settled on five, three married and two unmarried.

That he would expect Nallakaruppan to testify against Anwar in respect of these women.”

Terjemahan: Bahawa sebagai syarat untuk mengurangkan tuduhan (daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri) kepada Akta Senjata Api beliau mahu Nalla memberi keterangan terhadap Anwar, khususnya membabitkan beberapa wanita yang bersuami. Datuk Gani mengubah-ubah jumlah wanita yang harus dinyatakan oleh Nalla dan akhirnya mahukan Nalla memberi keterangan supaya Anwar mengadakan hubungan dengan lima wanita, tiga yang bersuami dan dua lagi belum kahwin.

Meninggal dunia


Hanya Datuk Mohtar tahu kenapa beliau tidak mengambil tindakan terhadap Manjeet kerana membuat tuduhan begitu serius terhadap Gani.

Hanya Gani tahu kenapa beliau sendiri tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Manjeet ketika itu, mahupun sekarang.

Mohtar sudah pun meninggal dunia namun Gani masih hidup dan malah mempunyai lebih kuasa sekarang untuk mempertahankan kewibawaan dan keluhuran kerusi Peguam Negara yang diisandangnya.

Seseorang pengamal undang-undang, tidak kira sama ada pendakwaraya, peguambela atau hakim tidak boleh menghalalkan matlamat dengan apa cara pun.

Keadilan hanya boleh ditegakkan apabila pengamal undang-undang tidak dipengaruhi oleh sesiapa dan tidak menjadi sebahagian daripada agenda politik mana-mana pihak.

Setiap tindakan yang diambil haruslah konsisten dan bebas daripada sebarang telunjuk pemerintah, jika tidak keluhuruan sistem undang-undang itu pasti tercalar dan ternoda sehingga sukar disucikan semula.

Apa yang jelas ialah pejabat Peguam Negara kini disifatkan sebagai cabang pemerintah yang begitu berkuasa dan kebal daripada perincian rakyat.

Tindak-tanduk Peguam Negara tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat mahupun Parlimen.

Keruntuhan badan kehakiman mana-mana negara berakar umbi daripada keputusan-keputusan pendakwaan oleh Peguam Negara yang dicemari dengan pertimbangan politik kerajaan memerintah.

Malaysia tidak terkecuali daripada hakikat ini.

Begitu juga keluhuran sistem keadilan akan sentiasa terpelihara jika Peguam Negara melihat diri beliau sebagai penjawat awam (public servant) dan bukannya kakitangan kerajaan dengan maksud yang sempit. -M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .