Ikuti Blog ini

Hina peneroka: JKPP Felda mahu saman Isa

AMPANG, 28 Nov: Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda memberi tempoh 14 hari kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka.

Kata-kata penghinaan itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Melang Inn Kuala Pilah baru-baru ini.

"Kita telah melantik peguam untuk menuntut Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari dan menyiarkannya sekurang-kurangnya di lima buah akhbar.

"Jika enggan memohon maaf, kita akan meneruskan tindakan saman terhadap beliau," kata Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru, Shamsuddin Othman (kiri).

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Kira-kira 15 anggota mereka turut serta pada sidang media itu termasuk pimpinan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang diketuai Azizah Bahari.

Dalam rakaman ucapan yang turut ditayangkan kepada media, Isa dilihat mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Dia juga secara jelas menujukan kenyataan-kenyataan itu kepada Shamsuddin yang disebutnya dalam ucapan itu dengan nama "Pak Sam".

Bagaimanapun tindakan Isa itu dianggap menghina seluruh peneroka kerana Shamsuddin adalah ketua peneroka Felda kebangsaan yang mewakili seluruh peneroka.

Menurut Shamsuddin lagi, penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal prolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada Felda Global Ventures untuk disenaraikan.

Sedangkan pendapatan Felda daripada tanah-tanah itu sekarang ini sekitar RM2 billion setahun.

"Ini kali pertama dalam sejarah, pengerusi Felda hina peneroka, tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu dalam video itu juga, Isa secara tersekat-sekat menggelarkan 'JKPP' sebagai 'JKK'.

"Setelah hampir setahun bertugas tetapi masih tidak mengetahui nama dan fungsi JKPP membuktikan Tan Sri Isa tidak layak menerajui Felda," katanya. -Hrkh


Shahrizat: Lembu itu laki saya, bukan saya!

Shahrizat: Saya tiada kaitan dengan projek lembu
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan isu berkaitan dengan projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Justeru kata Ketua Wanita Umno itu, beliau tidak akan menggunakan perhimpunan agung Umno minggu ini untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang berkaitan NFC.
"Saya tidak akan jelaskan (isu NFC) tetapi ada satu, dua mesej yang nak saya jelas kepada pihak di luar sana semasa persidangan Wanita Umno nanti. Tunggulah. Sebagai pemimpin, kita kena banyak bersabar, tenang dan jangan cepat melatah.

"Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita Umno," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Shahrizat berkata beliau tidak akan menghalang mana-mana perwakilan untuk berbahas isu berkenaan NFC pada perhimpunan agung sayap itu Rabu ini.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC, yang mana suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail menjadi pengerusi eksekutifnya.

"Dalam politik (parti) mana tidak ada masalah, tambahan pula pembangkang, dia takut kerana Wanita Umno kukuh bersatu padu dan dia cuba untuk menggoyahkan Wanita Umno tetapi Alhamdulillah, Umno dan Wanita Umno tetap kental.

"Keimanan kita, keikhlasan kami tidak akan berganjak dan kita tak akan mudah melatah walau apa pun pembangkang nak buat sebabnya kita ikhlas dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara," kata Shahrizat. -M'kini

SMS Fitnah: S/U Politik Idris Jusoh Dipenjara Setahun

Kuaka Terengganu: Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat Nasional (BN) dan SMS fitnah kepada bekas setiausaha sulit menteri besar Terengganu.

Hakim Mahkamah Sesyen M Bakri Abd Majid menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan itu.

Bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh itu dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga bulan untuk kesalahan mengugut Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Permaisuri Abd Halim Jusoh dan Adun Ajil Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu Wan Ahamad Wan Muda, yang kini timbalan setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu dijalankan berasingan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan Ahmad Ramzi diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin.

Dalam penghakimannya, M Bakri berkata mahkamah perlu mengikuti perkembangan semasa sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan yang menyaksikan perbuatan jenayah juga berubah termasuk menggunakan medium baru seperti internet.

"Kecederaan reputasi atau harga diri, tidak kurang pedihnya dengan kecederaan fizikal. Sehubungan itu hukuman perlu dijatuhkan seiring dengan perkembangan ini," katanya.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, Ooi Chooi Gaik and Nur Azimul Azami.

Pihak pembelaan ketika merayu hukuman diringankan berkata ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan ia juga tidak melibatkan keganasan serta tidak memberi kesan kecederaan kepada mana-mana pihak. Pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dan meminta setiap hukuman dijalankan berasingan.

Dalam hujahnya, Mohd Jazamuddin berkata walaupun perbuatan tertuduh tidak mendatangkan kecederaan fizikal, ia telah menjatuhkan reputasi Wan Ahamad, sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beberapa anggota keluarga Ahmad Ramzi termasuk isterinya dilihat hadir di mahkamah. - BERNAMA

Sepertimana biasa, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan sepertimana biasa juga, berkemungkinan Mahkamah Rayuan bakal "melepaskannya".

Semua orang tahu, sistem kehakiman negara masih terus pincang selagi negara masih diperintah BN. -GB

‘Tanya Cina Kelantan, adakah saya khianati mereka’

KOTA BHARU, 28 Nov: Seramai 40 orang peserta rombongan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Parit Buntar menegaskan mereka tetap akan menyokong perjuangan di hadapan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mereka menyatakan demikian sempena lawatan rasmi mengunjungi Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, di kediaman rasmi, di sini petang ini.

Rombongan yang sebahagian besarnya terdiri dari kaum wanita serta bekas penyokong MCA diketuai Pengerusi DHPP kawasan tersebut, Ricky Tang.
(Gambar: Tuan Guru menerima cenderahati daripada Ricky Tang.)

Ricky dalam ucapannya memberitahu, masyarakat bukan Islam di negeri ini khususnya kaum Cina sering diberi bayangan buruk berhubung perjuangan PAS dengan tujuan menakutkan mereka.

“Bagaimanapun, semakin mereka ditakuti sokongan terhadap PAS semakin bertambah dari tahun ke tahun dan pihak lawan sudak tidak boleh berbuat apa berhubung ledakan sokongan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan terbabit meninjau perkembangan kehidupan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri ini sejak 21 tahun lalu melalui golongan terbabit.

“Tuan-tuan boleh bertanya masyarakat Cina Kelantan, adakah saya selaku ketua kerajaan mengkhianati mereka sama ada dari segi ekonomi, agama, kebudayaan, sosial dan sebagainya?

“Tuan-tuan tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang tidak tepat dari orang tertentu tanpa merujuk sendiri dari masyarakat bukan Islam di negeri ini,” ujarnya.

Tuan Guru turut melahirkan rasa bertuah serta terima kasih kerana sudi mengunjunginya, walaupun dalam keadaan demam, namun kerana rasa gembira untuk bertemu masyarakat terbabit, beliau gagahi juga. -Hrkh

Isu Lembu : Shahrizat Dah Menghilangkan Diri..Siapa Tahu Dimana Dia Sekarang??

Semenjak Lembu Keluarga Shahrizat menjadi isu hangat seantero dunia..pemilik NFC Datuk Salleh cuba menegakkan benang yang basah namun tidak berjaya. Hampir berbuih mulutnya bercakap umpama buih mulut datuk sabery chik ketika berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari.

Ketika lembu-lembu milik keluarga Shahrizat lena diulit mimpi indah di kondominium menerung, Datuk Shahrizat pula lari entah dimana, menyepi tanpa berita, sepatah kata pun tiada. Rasa Sk Datuk Shahrizat ni bisu agaknya.

Datuk Shahrizat dah cabut lari kemana?? Kalau ada sudah tentu dengar suaranya,  lantang bersuara bila menghentam musuh politik, nampak kelibat berbibir merah berjambul didepan. Takkan senyap aje Datuk?? Duit Rakyat yang 'dikebas' takkan nak habiskan sorang-sorang? RM250 Juta..banyak tu datuk.  Golongan marhaen seperti Sk ni tak pernah merasai duit sebanyak tu. Tapi bila dapat pada menteri yang tak amanah rasa macam kecil nilainya.

Sk sebelum ni pun pernah jugak menceburkan diri dalam bidang penternakan, tapi hayat projek tak panjang musnah di tengah jalan akibat tiada dana untuk menyambung nyawa, dana pinjaman tekun, Bank Pertanian tak diluluskan, maybe Sk tiada berjawatan besar sebagai sandaran. Tak terfikir pulak ada satu lagi tempat yang boleh meng ‘aprove’ kan pinjaman tanpa bayaran balik. Kerja mudah!!!

Kerusi  Lembah Pantai yang menjadi idaman datuk  janganlah diimpikan lagi. Selagi tiada penyiasatan dilaksanakan, gunakanlah pitih yang dikebas untuk bersuka ria. Tapi Awas!!!! Habuan dunia memang sedap, habuan akhirat akan menyusul nanti.

Kemana agaknya Datuk mami ini menghilangkan diri?? Kemana engkau menyepi?? Adakah Datuk Najib telah ‘zip’ kan bibir merah Shahrizat?? Satu persoalan...

Berani kerana benar, takut kerana salah. -SK

Bukti Kehebatan Nama Allah Terhadap Binatang(Video)

Anda sangat digalakkan untuk meniru aksi ini di rumah,terutama ketika ingin menyembelih binatang.


Janji TiPU untuk rakyat Kelantan

Sama seperti sebelum ini, setiap kali menjelang pilihan raya, pelbagai janji-jani ditaburkan bagi memancing undi pengundi di negara  ini.
Menaburkan janji dalam politik Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, ia telah lama diamalkan khususnya bagi pihak yang memiliki  kuasa lantaran merasakan dengan kuasa yang adalah yang memberi mereka keupayaan untuk melaksanakan janji.Adakala janji-janji yang ditaburkan ini akhirnya berjaya memberikan pulangan dan tidak kurang juga janji yang akhirnya memakan diri  sendiri.
Bagi sesetengah pihak pula, ada yang menganggap janji-janji yang ditawarkan ini lebih merupakan janji golongan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya.

Lazimnya janji-janji yang ditaburkan ini turut memberi persepsi sebagai satu rasuah politik dan juga ugutan terhadap pengundi.

Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti politik yang paling berkuasa dalam negara turut tidak ketinggalan dalam menaburkan  janji setiap kali musim pilihan raya berlangsung samada pilihan raya kecil atau pun umum.

Analisis janji TiPU selesaikan masalah air

Kali ini, giliran Timbalan Presiden Umno (TiPU), Muhyiddin Yassin pula mengambil giliran berjanji rakyat Kelantan agar memberikan  kemenangan BN di Kelantan jika mahukan masalah air di Kelantan diselesaikan.
Bagaimanapun, bagi rakyat Kelantan yang mungkin cepat tersinar dengan janji-janji TiPU ini, adalah amat wajar terlebih dahulu  melakukan analisis prestasi BN dalam menguruskan bekalan air di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Di Sabah contohnya yang merupakan kubu kuat BN sehingga dianggap sebagai negeri simpanan tetap yang sentiasa tidak  menghampakan untuk BN menjamin kemenangan mereka, adakah pengurusan airnya berada di tahap nombor satu terbaik?

Sekiranya, analisis mendapati rakyat negeri Sabah menikmati bekalan air bersih paling sempurna, tiada pencemaran dan liputan bekalan  air mencapai sehingga 99 peratus dari keseluruhan Sabah, maka pengundi Kelantan amat wajar untuk memegang janji TiPU itu.

Kesimpulannya, sekiranya bekalan air di Sabah seperti yang dinyatakan di atas, maka rakyat Kelantan dianggap tidak wajar sekiranya  masih teragak-agak untuk memberi undi kepada BN.

Bagaimana pula sekiranya analisis dibuat didapati dalam Audit Air menyatakan bekalan air di Sabah hanya mampu meliputi 75 peratus  sahaja dari keseluruhan negeri di bawah bayu itu?

Adakah sekiranya BN menjadikan faktor geografi sebagai alasan, ianya boleh diterima sedangkan pada masa yang sama berbilion  ringgit boleh dibazirkan setiap tahun bagi projek mega lain.

Faktor geografi sebagai alasan


Bolehkah alasan geografi diterima apabila kemajuan teknologi masa kini menyaksikan banyak projek merentasi hutan, bukit-bukau,  kawasan pergunungan dengan jarak beratus-ratus kilometer berjaya dilaksanakan bukan sahaja di negara luar malah di Semenanjung  Malaysia.

Kalau projek yang melibatkan struktur yang besar boleh dilakukan mengapa tidak projek yang hanya melibatkan sambungan paip bagi  menyalurkan kepentingan asasi rakyat tidak boleh.

Bagaimana pula sekiranya dari 75 peratus itu juga didapati, kualiti air mentahnya buruk, loji rawatan air tidak dilengkapi peralatan,  makmal dan kakitangan yang berkelayakan seperti sepatutnya?

Bagaimana lagi sekiranya dari 75 peratus kawasan yang menerima bekalan air itu juga didapati amat jauh dari mematuhi standarad  piawaian pengurusan air?

Bagaimana sekiranya didapati pemfloridaan tidak mencukupi, dan pembersihan tangki-tangki atau kolam di loji tidak dijalankan dengan  sempurna dan terancang?

Bagaimana sekiranya di Sabah tiada stesen percontohan air yang sempurna, program jaminan kualiti air Sabah tidak memuaskan  seperti komen yang dinyatakan dalam Audit Air 2008?

Bagaimana pula sekiranya 75 peratus pengguna di kawasan penerima bekalan air yang kualitinya tidak terjamin itu terpaksa membayar  tarif air tertinggi di Malaysia iaitu 90 sen?

Cuba periksa pula, berapakah tarif purata bagi 35 meter padu air bagi sebuah lagi negeri yang juga sama seperti Sabah, kubu kuat BN   iaitu Johor dengan purata 93 sen untuk satu liter padu.

Untuk menilai samada janji TiPU ini boleh diguna pakai dalam menentukan undian rakyat Kelantan, mereka juga harus mengetahui di  Sabah masih banyak kawasan yang masih bergantung bekalan air dari sumber air paip graviti yang tidak dirawat?

Mereka juga harus mengetahui bahawa terdapat sumber air paip graviti ini datangnya dari kawasan yang telah dijadikan ladang kelapa  sawit, keruh, kemungkinan telah tercemar dengan baja, racun rumput, keladak pasir dan tanah.

Tahukah pengundi di Kelantan bahawa masyarakat kampung-kampung di Sabah yang bergantung sumber air dari paip graviti yang  dimulakan semenjak 70-an dahulu terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kos penyelenggaraan.

Wajar juga rakyat Kelantan memikirkan adakah kerajaan pusat tidak boleh berbuat apa-apa atau sekurang-kurangnya membantu  kerajaan negeri disebabkan tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi masalah air di Kelantan.

Berapa PRU BN janji nak selesai masalah air di Sabah?

Satu perkara yang tidak kurang juga pentingnya, rakyat Kelantan wajiblah bertanyakan kepada rakan-rakan di Sabah, pernahkah atau  sudah berapa banyak pilihan raya umum (PRU) BN berjanji untuk menyelesaikan masalah air bagi membeli undi pengundi Sabah  sebelum ini.

Setelah pengundi-pengundi di Kelantan selesai membuat analisa persoalan-persoalan di atas, tentunya mereka mampu menilai dan  mendapat jawapan samada janji TiPU ini boleh dipercayai atau sebaliknya sekaligus menentukan lambang mana yang mahu dipangkah  nanti.

Penulis tidaklah maksudkan janji yang dilafazkan oleh TiPU ini adalah tipu, sebaliknya penulis hanya cuba mengajak pengundi Kelantan  sama-sama menganalisis sama ada janji ini mempunyai nilai kredibilitinya atau sebaliknya.

Negeri Kelantan, rakyat Kelantan punya, maka rakyat Kelantan berhak menentukan pilihan mereka sama ada BN atau PAS dan saya hanya  cuba membantu mereka membuat sedikit analisis janji-janji TiPU ini.  Tepuk dada tanya selera!

Nazli Ibrahim * Free Malaysia Today

Ini Petanda PR Akan Kuasai PRU-13


Demo MTUC
Terdapat seramai 5 juta pengundi di negara kita diwakili oleh golongan pekerja dan golongan ini telah mengumumkan perang dengan kerajaan yang memerintah sekarang. Begitulah kata MTUC yang menggesa agar Pakatan Rakyat mengadakan MOU dengan mereka bagi menjamin bahawa PR akan menarik balik undang-undang berkenaan.
MTUC akan mengadakan siri bantahan demi bantahan dan kempen ke seluruh negara bagi menentang pindaan akta berkenaan yang dilihat tidak menjaga kepentingan golongan pekerja.
Ini satu lagi peluang keemasan Pakatan Rakyat mempertingkatkan sokongan rakyat terhadap mereka dalam PRU-13 nanti. Tidak menghairankan jika PR mampu menggantikan BN selapas ini jika mereka ikhlas dan bertekad memberikan keadilan kepada semua golongan termasuklah golongan pekerja.
Baca laporannya di sini.

Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci

Sempena sambutan maal hijrah, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru anak-anak muda supaya bangkit dari tidur yang panjang.

Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hassan dalam perutusan yang dikeluarkan semalam berkata, kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat.

Katanya,kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan.

“Setiap individu  khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk  melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt.

“Bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerak kerja menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar, namun itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang .

“Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci,” kata Nasrudin.

Menurutnya,  hijrah kaya dengan kisah pengorbanan sama ada nyawa dan harta.

Sambutan maal hijrah peringkat kebangsaan diadakan di Putrajaya pagi tadi. -BO

PRU: Anwar mahu bersihkan PKR dari pengkhianat

pkr congress 2011 271111 anwar speech 01Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada "pengkhianat" dalam parti yang perlu dibersihkan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Katanya, langkah itu penting memandangkan pilihan raya umum ke-13 merupakan penentu kepada PKR dan juga lanskap politik negara.

Anwar juga berkata proses berkenaan juga penting memandangkan parti itu kini sudah dua kali ganda lebih kuat berbanding ketika memasuki gelanggang pilihan raya 2008.

"Dari awal saya kata kita akan saksikan pengkhianatan. Setiap pilihan raya kecil (ada wakil rakyat PKR) lompat. Dekat pilihan raya umum lagilah, harga kian naik," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR Kelapan di Pulai, Johor.

Memetik ucapan setiausaha agung, Saifuddin Nasution sebelumnya, Anwar berkata Nabi Muhammad SAW sendiri tidak akan memaafkan pengkhianat walau tetap memaafkan orang kafir Quraisy yang diperanginya sebelum itu.

Anwar membangkitkan perkara itu dalam latar kongres yang kali pertama diadakan di Johor – kawasan yang tidak pernah dimimpikan untuk dijelajahi PKR pada pilihan raya 2008, katanya.

Namun, dengan keterbatasan pengaruh itu, PKR dan Pakatan Rakyat tetap berjaya menawan lima negeri pada 2008, katanya yang turut memberi amaran kepada golongan yang mahu mencari peluang dalam parti.

"Kalau khianat, terajang awal-awal. Jangan tolak ansur dengan pengkhianat. Kekuatan Umno hanya beli orang sebab dia ada wang. Wang apa? Wang rasuah. Kalau (semangat) kuat tak ada apa yang dapat patahkan kita.

"Kalau PKR kekal mantap, tiga parti ini (PAS-PKR-DAP) tetap bersatu, kita akan tawan Putrajaya," katanya lagi disambut tepukan para perwakilan.

Anwar bagaimanapun mengakui bahawa tindakan seorang demi seorang wakil rakyatnya yang berpaling tadah sebelum ini merupakan kesilapannya sendiri kerana salah memilih calon.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada anggota jentera partinya yang kelihatan terlalu  "lumayan" selepas memenangi pilihan raya 2008.

"Saya setuju, ada percubaan untuk meronyeh dan merosak cita-cita ini. Ada ahli majlis nampak terlalu lumayan. Ini buka ruang untuk kita tegur.

"Saya beri ingatan, setuju dengan lontaran setiausaha agung, jangan andaikan kerana mahu ke Putrajaya kita sanggup bertolak ansur di kalangan jentera," katanya lagi.

Malah, beliau turut memberi amaran untuk tidak memberi peluang lagi kepada "orang yang tak layak" dan yang tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Terdahulu, setiausaha agung Saifuddin Nasution dalam ucapannya dengan berang menempelak wakil rakyat tertentu parti itu yang tidak dapat menghadirkan diri ke program berkenaan.

"Saya kecil hati sebab ada wakil rakyat yang tak dapat datang. Kita tak boleh jadi wakil rakyat, ahli parlimen atau apa sekalipun tanpa platform parti.

"Ada 365 hari setahun, bloklah tiga hari untuk kongres. Apa alasan tak dapat datang? Tak ada duit?

"Kalau PKR nak mulakan budaya baru, mulakan sekarang. Tak ada tempat untuk oportunis dalam parti," katanya lagi. -M'kini

Perutusan TG Nik Aziz : Hijrah Ke Arah Dakwah Bernegara


Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

– Surah al-Nisa’ ayat 100

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah.

Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar

Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.

Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT.

Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah.

Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat.

Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT.

Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H.

Satu lagi kemelut Najib: Kabinet arah semakan semula Akta Perhimpunan Aman

Satu lagi kemelut Najib: Kabinet arah semakan semula Akta Perhimpunan Aman
Dalam usaha untuk meminimakan kerosakkan, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah melihat semula Rang Undang-undang Perhimpuanan Aman yang telah dikritik oleh pelbagai kumpulan masyarakat dan dikatakan bakal menjadikan Malaysia lebih teruk daripada Myanmar dari segi kebebasan hak asasi dan demokrasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz telah dipilih untuk menjadi kambing tambatan dan Najib yang sudahpun lemah itu dilindungi kerana harga politik kemelut terbaru ini mungkin terlalu besar untuk beliau bayar.

Secubit Garam

Berdasarkan laporan yang belum disahkan daripada akhbar bahasa Cina, Kabinet telah mengarahkan Nazri untuk menyemak semula rang undang-undang itu yang mengandungi senarai peruntukan yang menyukarkan rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat mereka mengenai apa jua isu.

Sehinggalah perkara ini dapat disahkan, saya akan ambil ia dengan secubit garam. Tetapi, ini sepatutnya langkah yang terbaik yang harus diambil oleh BN. Pokoknya, bagaimana mereka hendak menyelamatkan Najib dalam prose itu? Beliau sudahpun dalam masalah kerana populariti beliau telah menurun selepas Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lepas dan sekarang beliau buat satu lagi kesilapan. Untuk mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai rang undang-undang itu dan Nazri telah membentangkannya semasa beliau berada di luar negara adalah sesuatu yang sangat bodoh.” Ujar timbalan Presiden PKR Tian Chua kepada Malaysia Chronicle.

“Najib semestinya telah memeriksa kandungannya sebelum memberi lampu hijau kepada Nazri. Ini bersama dengan ISA dan pemansuhan undang-undang darurat sepatutnya menjadi legasi beliau jadi mustahillah beliau tidak tahu menahu mengenainya apa lagi beliau dan sepupu beliau Hishamuddin (Menteri dalam Negeri) telah beriya mempertahankan undang-undang itu. Kebocoran ini mungkin hanya untuk menguji reaksi rakyat dan ini menunjukkan betapa lemahnya pentadbiran beliau selepas satu demi satu kesilapan yang mereka lakukan.

Pusingan U pantas

Sememangnya Najib, beberapa hari yang lepas telah mengisytiharkan bahawa Rang Undang-undang Perhimpuanan Aman merupakan satu “langkah besar untuk kerajaan”. Tetapi, dengan protes terkini daripada Majlis Peguam, nampaknya Najib tidak dapat melompat dengan lebih cepat.

Berdasarkan laporan akhbar cina, Najib telah mengarahkan Nazri untuk meminda rang undang-undang tersebut dan menspekulasi bahawa jumlah hari pemberitahuan kepada polis mengenai perhimpunan diubah daripada 30 kepada 10, namun tetap jauh lebih besar berbanding 5 hari yang diberi kepada rakyat Myanmar untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum mereka berkumpul di tempat awam.

“ini bukanlah suatu undang-undang yang kami sebagai peguam boleh lihat masuk ke dalam statut tanpa berbuat apa-apa. Ia bukanlah undang-undang yang kami mahu generasi akan datang untuk warisi dengan senang-senang tanpa bantahan dari kami. Sekiranya undang-undang ini masuk ke dalam buku statut, generasi akan datang akan mewarisi sebuah negara yang jauh daripada moden dan progresif.” Ujar Presiden Majlis Peguam Negara, Lim Chee Wee pada hari Jumaat.

“Adalah sangat memalukan yang Burma boleh mencadangkan satu undang-undang yang lebih demokratik berbanding kita. Ia merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia kerana kita dijanjikan demokrasi tetapi sekarang ia jelas bukan.” Kata pemimpin Bersih Ambiga Sreenevasan, seorang peguam terkenal dan bekas Presiden Majlis Peguam Negara.

Tiada jaminan tulen, undang-undang ini akan memberi kuasa penuh kepada polis dan rayuan sepenuhnya kepada menteri. Ini bukan demokrasi.” Kata Pemimpin Pembangkan Anwar Ibrahim kepada wartawan. Beliau kemudiannya memimpin Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk menentang rang undang-undang tersebut di Parlimen.

BN perlu rang undang-undang itu untuk sekat perbezaan pendapat


Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar percaya bahawa Umno-BN akan tetap meneruskan rang undang-undang itu supaya ia dapat menyekat mana-mana penyuaraan pendapat yang akan muncul seiring dengan PRU 13 nanti.

“Mereka tahu Bersih 3.0 akan berlaku oleh sebab itulah mereka mahukan undang-undang ini.” Shamsul memberitahu partinya semasa krogress yang berlangsung pada hari Jumaat, hasil daripada perhimpunan yang meminta pilihanraya yang adil dan bebas disertai oleh beribu-ribu rakyat di Kuala Lumpur pada tahun 2007 dan Julai lepas.

“Sekiranya mereka sekat kita, dan jika ada berlaku penipuan, kita akan gunakan jalanan. Lupakan pilihanraya dan kita guna jalanraya!”

Malaysia Chronicle

Datuk Ismail Kamus Tokoh Maal Hijrah 1433 Selangor

SHAH ALAM – Penceramah dan pendakwah agama bebas Datuk Ismail Kamus dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433H Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Beliau menerima wang tunai RM20,000 daripada kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, pingat Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah yang disampaikan Tengku Sulaiman Shah, wakil kekandanya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketika ditemui pemberita, Ismail berkata beliau bersyukur dan gembira kerana sumbangannya dalam menegakkan syiar Islam dihargai kerajaan negeri.

Tokoh Saudara Kita pula disandang pemilik restoran makanan Cina Muslim Muhammad Chan Abdullah, 58, manakala pesara guru agama Said Husin, 80 yang mempunyai 19 anak, dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia Jamaludin Elias, 48, menerima anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000 sumbangan kerajaan negeri dan LZS, sijil penghargaan, pingat Maal Hijrah, sepersalinan pakaian serta pakej mengerjakan umrah. – BERNAMA

Isu air tak jejas sokongan rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Penganalisis politik Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berpandangan, isu air yang dimainkan pihak tertentu menyerang Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin PAS, tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti Islam itu.

Beliau yang juga Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu tersebut bukan baru di negeri itu malah rakyat negeri itu sendiri tidak melihat isu itu sesuatu yang besar kepada mereka kerana memahami kekangan yang ada pada kerajaan negeri.

"Bukannya saya hendak katakan kerajaan Kelantan itu tidak ada kelemahan, kelemahan memang ada, misalnya dalam isu air. Memang airnya keluar perlahan, airnya kotor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi itu tidak menjadi isu besar bagi rakyat Kelantan.

"Mengapa demikian? Ini kerana kerajaan Kelantan ada satu tiang besar dan kukuh yang sukar digoncang, iaitu kepimpinan Tok Guru dan ketelusan pentadbiran sehingga rakyat faham kerajaan negeri tidak boleh menyediakan prasarana yang baik kerana tidak ada wang disebabkan oleh tiada bantuan dari kerajaan pusat," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Media dan pemimpin Umno sejak dua minggu lalu menyerang Kelantan dengan mendakwa air di negeri itu tidak bersih dan berisiko membawa penyakit.

Ianya termasuk akhbar Umno, Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’.

Mereka juga mendakwa kononnya air yang dibekal Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB), mengandungi logam berat serta E-coli.

Bagaimanapun dakwaan itu dibidas kerajaan negeri dengan membawa fakta dari Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

Laporan itu mendedahkan bahawa negeri-negeri ditadbir kerajaan BN mengandungi kadar pencemaran bakteria E-coli lebih tinggi berbanding Kelantan.

Negeri Perlis mencatat pencemaran E-coli paling tinggi dalam negara iaitu 1.21% diikuti Pahang (1.12%), Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%), Perak (0.90%), Kelantan (0.88%) dan Johor (0.55%).

Mengulas lanjut, Mohammad Agus yang juga anak Kelantan berkata, biarpun isu tersebut dimainkan, namun baginya rakyat Kelantan tidak terpengaruh apatah lagi keyakinan rakyat terhadap kejujuran kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat tinggi.

"Dalam keadaan tertekan seperti sekarang ini pun Kelantan sukar digugat oleh kerajaan pusat dari segi sokongan rakyat kepadanya. Kenapa?

"Ini kerana kerajaan Kelantan mempunyai darjah integriti, ketelusan dan kejujuran politik yang tinggi," katanya. -Hrkh

Akta Polis bersalin kulit jadi Negara Polis


Bil ataupun Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentang oleh BN di Parlimen merupakan satu insiden hitam bagi sebuah negara demokrasi. BN mengambil sistem demokrasi untuk negara tetapi takut dengan sistem itu sendiri.

Apa yang akan dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen ini merupakan satu tindakan yang mengekang perhimpunan secara aman dan nampaknya kerajaan yang memerintah amat gerun dengan kebangkitan rakyat untuk menyuarakan suara dan manifestasi mereka secara terbuka. 

Cadangan ini adalah bercanggah dengan kehendak perlembagaan yang membenarkan rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka melalui perhimpunan secara aman. Demokrasi hanyalah dalam bentuk pembungkusannya sahaja tetapi sebenarnya di dalam bungkusan itu penuh dengan elemen kuku besi (diktator) dan jika BN mengambil kesempatan untuk mendapatkan kelulusan dengan sokongan ‘simple majority’ di Parlimen, ia tidak lain dari tindakan menekan terhadap gerakan fikiran rakyat untuk melakukan perubahan.

Bagi pendapat saya secara peribadi, BN akan teruskan membentangkan bill ini dan akan mendapat kelulusan ‘simple majority’ di dewan parlimen. Tidak ada siapa yang boleh menyangkalnya jika BN masih mahukan akta yang menekan ini untuk dikenakan kepada rakyat.

Perhimpunan tidak dibenarkan di semua tempat dan ini adalah cara BN untuk mengelakkan insiden seperti Bersih 2.0 untuk berlaku sekali lagi. Tentunya bill ini merupakan tanda-tanda yang kerajaan BN tidak akan melaksanakan pilihan raya secara adil dan bill ini penting untuk mengelakkan reaksi marah rakyat yang ramai.

Saya tidak mahu komen banyak tentang isu ini. Hanya saya hendak bersama dalam isu menentang bill ini kerana ianya akan menjadikan negara ini sebagai apa yang dikatakan sebagai Negara Polis (police state) dan ianya tidak ada bezanya dengan sebuah negara yang berkepimpinan diktator yang bersalutkan demokrasi.

Saya telah sebutkan beberapa kali yang demokrasi di negara ini telah beransur-ansur mati. Jika pilihan raya diadakan kali ini saya berkeyakinan yang isu ini akan dapat diatasi jika semua rakyat bersatu; tidak kira apa bangsa sekali pun untuk pergi ke peti undi dengan aman dan terus sahaja memberikan undi kepada mana-mana parti selain dari UMNO dan BN.

Dengan cara ini tidak payah lagi kita hendak bertengkar dan berbahas. Bagi saya masa untuk berbahas sudah tidak ada lagi kerana UMNO dan BN tidak akan dapat mengubati penyakit rendah diri itu lagi. Penyakit itu sudah menjadi kanser tahap empat. UMNO tidak akan berubah lagi.

Kita sepatutnya tidak merasa bersalah lagi untuk meninggalkan UMNO itu kerana ianya lebih membawa penyakit dari membawa yang baik untuk rakyat. Rakyat tidak diberikan kebebasan untuk berfikir. Kita hanya dibenarkan untuk mengangguk sahaja dan tidak dibenarkan mengeleng.

Jika ini cara UMNO memimpin dan membina pembangunan rakyat, kita akan menjadi rakyat yang tolol dan tidak boleh berbeza fikiran lagi.

Apabila saya membaca apa yang sedang berlaku ini, ada juga keinginan saya untuk keluar memberikan pandangan dalam ceramah-ceramah dan perhimpunan bagi menambah usaha untuk bersama-sama membetulkan keadaan yang tidak baik yang sedang menyelubungi politik negara.

Kita tidak juga boleh menyalahkan BN menggubal akta seperti ini. Kita mesti faham mereka yang sedang berkuasa ini amat takut dan gerun untuk menerima kekalahan yang saya rasa akan mereka alami. Selalunya mana-mana kerajaan yang akan jatuh selalunya bersikap seperti apa yang kita lihat sedang dilakukan oleh BN sekarang ini.

BN tidak gentleman. Mereka terlalu seronok dengan kuasa dan tidak mahu melepaskannya walaupun mereka tahu mereka tidak berkelayakan lagi untuk mentadbir negara. Tetapi mereka masih mahu berkuasa, maka tidak hairan kenapa mereka menggubal dasar-dasar yang ketat dan dianggap gila oleh mereka yang berfikir.

Jika rakyat benar-benar hendak mengelakkan akta seperti ini wujud, caranya ialah untuk tidak memberikan kuasa lagi kepada mereka yang bertanggungjawab menggubal akta yang tidak senonoh ini. Jika mereka tidak lagi berkuasa, maka mereka tidak akan lagi berada di tampuk kuasa untuk menggubal dasar-dasar yang menekan seperti ini.

Kita mesti mengakui yang peralihan kuasa itu adalah fenomena normal dalam sesebuah negara demokrasi. Jika mereka yang terpilih melanggar semangat demokrasi itu rakyat mempunyai hak untuk memberikan mandat itu pada pihak lain, dan itu bukan sekali-kali merupakan kesalahan. Memberikan sokongan kepada pihak lain itu bukannya satu tindakan yang kriminal. Kita boleh melakukannya tanpa takut kepada mana-mana pihak.

Sebenarnya rakyatlah yang bertanggungjawab. Jika mereka masih memberikan sokongan dan seterusnya mandat untuk berkuasa maka rakyatlah yang patut dipersalahkan. Mereka yang berkuasa sekarang memang tidak merasa bersalah kerana melakukan kesalahan itu adalah kerja mereka.

Rakyatlah yang bertanggungjawab sama ada akta ini mahu diteruskan atau dibubarkan. Itu sahaja komen dari saya. Jika kita kaji secara halus tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling kita, untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya kali ini bukanlah satu perkara yang mustahil malahan ianya merupakan keadaan yang agak mudah bagi parti-parti pembangkang untuk memenangi pilihanraya ini.

Ingat kepada slogan ABU (Asalkan Bukan UMNO), undilah mana-mana parti yang lain. Insyaallah segala akta yang menekan boleh kita hapuskan.
- Aspan Alias
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .