Ikuti Blog ini

Isu Turun Bendera Najib: Tiada Sebab Minta Maaf - SMM & BEBAS


Kami tidak akan minta maaf turun bendera Najib, kata SMM dan Bebas

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Kumpulan mahasiswa yang menurunkan bendera wajah Datuk Seri Najib Razak di pekarangan ibu pejabat Umno di sini kelmarin menegaskan, mereka tidak akan memohon maaf kepada perdana menteri atas insiden itu.

Sebaliknya, pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), yang mengadakan demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum insiden itu berkata, pihaknya tidak nampak perlunya mereka harus memohon maaf.

“Kami tidak akan meminta maaf. Kita tak perlu meminta maaf. Tindakan menurunkan bendera Datuk Seri Najib selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula seharusnya dilihat sebagai satu mesej jelas mahasiswa bahawa perdana menteri perlu serius mendengar suara kami, suara rakyat” kata Pengerusi SMM Ahmad Syukri Abdul Razak ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah di pekarangan ibu pejabat Umno petang kelmarin.

Sebelum itu, mereka menyerahkan memorandum kepada wakil Suhakam.

Difahamkan insiden menurun dan menaikkan semula bendera wajah Najib terjadi sebelum majlis penyerahan memorandum kepada Saifuddin.

Dalam kenyataan dikeluarkan tengah hari tadi, Saifuddin mengulangi pendiriannya mengutuk perbuatan menurunkan bendera wajah Najib tetapi menegaskan, insiden itu tidak akan mengganggu komitmen kerajaan meminda AUKU.

Saifuddin menambah, beliau membuat kenyataan ini bagi mengulangi dan menjelaskan pendiriannya seperti yang telah nyatakan dalam Twitter dan Facebook kelmarin bahawa insiden menurunkan bendera gambar Najib selaku Presiden Umno di PWTC adalah perbuatan terkutuk.

“Dan bahawa pihak yang bertanggungjawab iaitu SMM dan Gerakan Bebas mesti meminta maaf,” katanya lagi.

Pemuda Umno juga mengecam insiden itu semalam.

Saifuddin menambah: “Saya ingin menjelaskan bahawa kehadiran saya di tempat insiden itu hanyalah semata-mata untuk menerima Memorandum daripada SMM dan Bebas.”

Mengulas lanjut pendirian mereka, yang diputuskan malam tadi, Ahmad Syukri berkata tindakan menurunkan bendera, yang dipercayai dilakukan oleh seorang peserta demonstrasi, sebenarnya tidak menggugat kedudukan mana-mana pihak termasuk Najib sendiri.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya ingin menyampaikan mesej yang jelas kepada Najib dan ahli-ahli politik supaya jangan membuat kenyataan bersifat retorik dan sandiwara semata-mata.

“Kita telah melihat sandiwara politik sejak kebelakangan ini, bermula dari 16 September, bahawa ISA, peruntukan Akta Polis akan dimansuhkan bagi memberi kebebasan perhimpunan, tetapi lain yang berlaku
.

“Datuk Seri Najib kata mahu memansukan peruntukan dalam AUKU tetapi masih mahu membuat rayuan (berhubung kes empat pelajar UKM). Jadi, bagi kami ini semua satu sandiwara politik,” kata beliau lagi sambil menambah, “mahasiswa mahu memberi amaran dan mesej yang jelas kepada kerajaan, kepada perdana menteri.”

“Insiden menurunkan bendera hanyalah ekspresi, luahan perasaan pelajar. Kalau retorik politik ini berterusan, mahasiswa akan menggerakkan seluruh tenaga pelajar untuk mengubah rejim semasa menerusi saluran demokrasi nanti,” katanya lagi.

Ketika ditanya apakah tindakan mereka enggan memohon maaf bertentangan dengan pendirian sederhana diperlihatkan oleh Saifuddin yang sanggup menerima memorandum mereka kelmarin, Ahmad Syukri berkata, pihaknya tidak melihat ia akan menjejaskan imej timbalan menteri itu.

“Sebaliknya kami berharap Datuk Saifuddin akan lebih berani memperjuangkan keterbukaan dan kepentingan generasi muda,” katanya lagi. -TMI


'Bendera Najib': Siswa enggan mohon maaf


Penganjur perhimpunan yang menyaksikan bendera Datuk Seri Najib Razak diturunkan di ibu pejabat Umno pada Sabtu lalu tidak akan memohon maaf kerana merasakan ia merupakan hak mereka untuk bersuara.


Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Abdul Razab menjelaskan, tindakan itu merupakan lambang hilangnya keyakinan mereka terhadap kepimpinan perdana menteri.


Katanya, ini ekoran agenda tranformasi yang diperkenalkan gagal meyakinkan rakyat dalam beberapa dasar, seperti berlakunya tangkapan bawah Akta Keselamatan dalam Negeri ISA selepas diuumum akan dimansuh.


Justeru, bercakap dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Ahmad Syukri berkata, kumpulan mahasiswa tidak akan mengeluarkan sebarang permohonan maaf.


Semasa perhimpunan menuntut kebebasan akademik kelmarin, kumpulan mahasiswa merendahkan bendera Najib yang terletak sebaris dengan semua bekas presiden Umno.


Mereka menggantikannya dengan kain rentang pro kebebasan akademik untuk beberapa minit sebelum sebelum menaikkannya semula.


Tindakan itu menimbulkan kemarahan pemimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang menuntut permohonan maaf dibuat. -mk

Najib tidak bersuara isu ini !!


Malaysia negara ke-empat paling rasuah di dunia tetapi Najib tidak bersuara
Malaysia negara ke-empat paling rasuah di dunia tetapi Najib tidak bersuara

Untuk dekad pertama dalam abad ini, Malaysia telah kehilangan RM 1.08 trillion (US$338 billion) dalam pengaliran wang haram yakni, merupakan ke-empat tertinggi di antara negara-negara membangun.
Untukjangka masa 2000-2009, Cina telah kehilangan US 2.74 trillion dalam pengaliran wang haram dan merupakan negara membangun yang menduduki tempat pertama aliran wang haram ini menurut laporan ranking negara yang diterbit.

Mexico menduduki tempat ke-dua dengan US504 billion dan Russia US501 billion. Negara jiran kita yang terdekat adalah Filipina di tempat ke 13 yang kehilangan IS12 billion.

Pengaliran wang haram dapat dilihat sebagai penanda aras atau petunjuk kepada skala rasuah. Ini bermaksud Malaysia mempunyai sekumpulan pemimpin yang paling rasuah di rantau Asia Tenggara dan juga yang ke-empat paling rasuah di dunia dengan meletakkan sejumlah besar wang untuk dikerjakan di luar negara.

Laporan Global Financial Integrity (GFI) melaporkan pada Januari, sejumlah RM930 billion telah mengalir keluar Malaysia dari 2000 hingga 2008. Ini bertambah kepada RM 218 billion setahun daripada RM 71 billion pada masa itu. Malaysia kehilangan RM150 billion kepada pengaliran wang haram pada 2009.

Laporan itu mengulas bahawa “pertambahan itu lihat di beberapa negara Asian.” Ia juga menambah “Dengan bertambahnya pengaliran kapital haram dari Malaysia, ia telah mengecilkan jumlah pengaliran capital yang bersih ke negara sejak beberapa tahun ini.”

Rasuah, kecurian dan pemberian faedah

Loceng amaran dibunyikan seawal Januari 2011 oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim yang mempersoalkan sifat pemaaf kerajaan terhadap masalah pengaliran wang haram melalui rasuah dan pengecualian cukai.

Menurut laporan tersebut, rasuah, pencurian dan pemberian faedah adalah antara penyumbang kepada pengaliran wang haram ini dan ia dominan di negara timur tengah, utara Afrika dan negara membangun di Eropah.

Pemalsuan inbois import/eksport yang dikenali sebagai salah nilai pula menyumbang kepada separuh daripada jumlah pengaliran wang haram terutamanya di Asia dan barat.

Untuk menangani masalah ini, Gabenor Bank Negara Dr Zeti Akhtar Aziz telah membentangkan Akta Wang Perkhidmatan Perniagaan pada Mac lepas, dan berkuatkuasa Disember lepas. Akta ini menyokong pembangunan yang lebih dinamik, kompetitif dan professional bagi industri perkhidmatan perniagaan, dengan mengukuhkan kawalan terhadap pengubahan wang haram, pembiayaan kekejaman dan aktiviti haram menurut bank negara.

Tindakan separuh jalan

Penguatkuasaan akta itu nampaknya sudah terlambat kerana ia Cuma tindakbalas spontan terhadap masalah yang sudah wujud sejak sedekad lepas. Selepas sedekad, Malaysia sudahpun kehilangan RM 1.08 trillion hasil perbuatan BN. Inilah kerajaan yang telah membazirkan wang sejak sekian lama dan sudah sampai masanya untuk terjadi sebuah letupan ekonomi yang menghuru-hurakan negara.

Dengan kadar inflasi pada 3.4% pada September dan adalah yang tertinggi sejak 27 bulan, dan 3.5 % pada Jun, inflasi makanan kekal sebagai kebimbangan utama; meningkat kepada 5% dari tahun ke tahun sejak September dan dari 4.6% pada Ogos. Rakyat Malaysia akan menepuh masa-masa yang sukar dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Dan apakah reaksi daripada Menteri Kewangan mengenai semua ini? Tiada.

Tiada satu pun usaha cerita indah daripada Najib

Sebaliknya, kita telah disajikan dengan begitu banyak pengumuman untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pendapatan tinggi dan semakin banyak projek mahal yang menemui kegagalan seperti NFC. Dengan secara tiba-tiba mahu meningkatkan gaji penjawat awam adalah suatu usaha untuk mendapatkan lebih banyak cukai dan pada masa yang sama mendapatkan sokongan penjawat awam untuk PRU 13. Segala usaha-usaha ini adalah semata untuk memastikan kemenangan pada pilihanraya kelak sementara keadaan negara semakin berkecamuk.

Hakikat bahawa pengaliran wang haran dari Malaysia dari tahun ke tahun telah meningkat daripada RM71 billion kepada RM218 billion setahun telah memberi indikasi bahawa langkah-langkah yang kurang berkesan telah diambil oleh Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara untuk menangani masalah tersebut. Pendek kata, usaha mereka gagal. PM Najib Razak yang juga menteri kewangan tidak mempunyai apa-apa pencapaian yang membanggakan sepanjang perkhidmatan beliau walaupun sudah mentadbir sejak April 2009.

Kementerian Kewangan yang sunyi sepi telah mengundang persoalan –Adakah Najib orang yang patut dipersalahkan dalam kegawatan ekonomi negara? Adakah ia suatu keutamaan bagi menteri kewangan? Adakah BN bekerja keras untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara?

Isu-isu ini telah benar-benar memberi bayangan bahawa kita mungkin akan kecundang seperti Greece dan ramalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala bahawa kita akan bankrap pada tahun 2019 disebabkan negara tidak mampu membayar hutangnya yang semakin bertambah.
Malaysia Chronicle

Mahasiswa bukan budak hingusan

KUALA LUMPUR, 19 Dis: “Saya ucapkan selamat berjuang, sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh mahasiswa yang berani dan benar,” kata Nasrudin Hassan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata mahasiswa adalah agent of change dan ilmu yang mereka miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda dan ia merupakan aset untuk berani, yakin dan bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil.

“Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak, dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, mereka mampu bangkit membentuk gelombang third force yang berkesan ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan peradaban seperti rasuah, pecah amanah, ketidaktelusan dan sebagainya.

Katanya, kerajaan sekali-kali tidak wajar mengkesampingkan tuntutan mereka apatah lagi memperkecilkan mereka.

“Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya, sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. Usah gentar berkelana di alam buana ini, menggalas cita-cita perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, tidak sekadar berjuang untuk membebaskan mahasiswa tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada thaurah yang mula menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa.

Kini, ujar beliau mereka mula melepaskan diri dari pasung puaka yang membelenggu leher mereka sejak sekian lama.

“Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.
“Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan. Jangan abaikan salah satu dari keduanya. Ilmu adalah senjata berkesan bagi perjuangan yang kita dukung,” tegasnya.

Beliau menambah, ada senjata tetapi tidak menghunusnya untuk perjuangan suci itu hanya memperlihatkan kita lemah.

“Demikian juga berjuang tanpa senjata (ilmu) membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar,” jelasnya. -Hrkh


Peluang Menang di DUN Bandar Cerah

KUALA TERENGGANU – Berdasarkan suasan politik semasa dan pemikiran terbuka serta matang para pengundi Cina di Kuala Terengganu, PAS yakin peluang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar adalah amat cerah.

Menurut Pesuruhjaya PAS, Haj Mohd Abdul Wahd Endut, dengan kerja kuat ahli dan penyokong, PAS dan Pakatan Rakyat boleh menang kali ketiga di DUN tersebut.
“Kita rasa dengan macam ini (keadaan) peluang kita cerah, DUN Bandar kita akan menang, macam dulu, kita menang walaupun 100 undi ,

"walaupun kalah dalam parlimen DUN Bandar kita menang walaupun sedikit tapi ini (adalah) satu peluang,”katanya ketika ditemui media selepas lawatan mesra beliau ke Kampung Cina, dekat sini, Sabtu 17 Disember.

Katanya, PAS telah dua kali menang di DUN Bandar sebelum in pada tahun 1990 dan 1995.

Oleh itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, dengan kerja kuat ahli dan penyokong, PAS bersama Pakatan Rakyat akan dapat merampas kembali DUN Bandar buat kal ketiga.

Sementara itu, Pengerusir Penjaja Statik Kampung Tiong, Choi Chu Kan (gambar kiri, berbaju merah) yang mengambil kesempatan bertemu dengan Wahid mengadu kerajaan Umno dan Barisan Nasional tidak memberikan bantuan kanop sebagaimana yang diberikan setiap tahun.

"sebagai Pengeusi di sini, jadi sebab BN tak boleh membantu kamp untuk (dpatkan) kanopi (sepertimana) setiap tahun, tahun ni tak tahu apa, (dia cakap) banyak alasan, cakap sultan mari.....tak tahu apalah, (ada) banyak masalah,

"saya minta Haji (Wahid) tolong, kta bukan nak banyak, dua puluh sahaja,"ujarnya.

Kata Choy, ia adalah amat penting kepada para peniaga, terutamanya waktu hampir kepada Tahun Baru Cina.

Sebagai respon, Wahid berkata, belau akan cuba membantu mendapatkan kanopi sebagai kegunaan para peniaga tersebut.

Turut sama dalam lawatan itu ialah ADUN Ladang, Dato' Tengku Hssan Omar, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Dr Balachandran dan ahli Jwatankuasanya, Pengerusi DAP Ng Chai Hing serta para petugas muslimin dan muslimat PAS DUN Bandar. -BO

SBPA: Cuepacs akan berhimpun di JPA jika sesi temu PM gagal

KUALA LUMPUR — Cuepacs sedang mempertimbangkan perhimpunan ‘protes’ di pekarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya jika pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Khamis ini berkenaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) tidak menemui penyelesaian.
Perhimpunan itu dirancang untuk diadakan pada 27 Disember.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, perhimpunan itu bertujuan melahirkan perasaan tidak puas hati kakitangan awam berkenaan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.
Rasa tidak puas hati itu dilihat sebagai yang pertama dalam sejarah Cuepacs — sebelum sesuatu sistem saraan baru dikuatkuasakan.

“Tengok dulu, jika pertemuan dengan Perdana Menteri pada 22 Disember ini tidak menemui hasil yang diharapkan, maka kami akan mengadakan perhimpunan selepas mesyuarat majlis kongres pada 27 Disember.

“Mesyuarat majlis am akan membuat pendirian akhir. Kami mahu JPA mendengar rintihan ahli-ahli Cuepacs mengenai SBPA, kita akan berhimpun di Blok C1 (bangunan JPA di Putrajaya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider di akhir perhimpunan dan taklimat bantahan mengenai SBPA kepada sekitar 2,000 ahli jawatankuasa kesatuan gabungan Cuepacs di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

JPA mengeluarkan pekeliling pelaksanaan SBPA pada 7 Disember lalu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Perhimpunan dan taklimat hari ini diadakan bagi menerangkan rasa tidak puas hati berkenaan kandungan SBPA.

Cuepacs mahu JPA menangguhkan urusan opsyen SBPA selain membatalkan dasar pemisah, yang salah satu tujuannya ialah menghentikan kakitangan yang gagal memperlihatkan prestasi yang baik.

Dasar pemisah juga akan digunakan untuk seseorang kakitangan awam berhenti kerja dan datang balik kemudian.

Selain itu, badan induk kesatuan sekerja ini juga mahu kerajaan mengkaji semula komponen SBPA dengan mengadakan perundingan bersama pihaknya.

Cuepacs juga mahu kerajaan menjelaskan pelaksanaan perubahan gaji antara tujuh dan 13 peratus ekoran pelaksanaan sistem gaji satu lapis berbanding gaji tiga lapis sekarang.

Malah, ia juga mendakwa proses naik taraf gred-gred di bawah SBPA masih belum selesai.

Cuepacs memutuskan bantahannya ke atas beberapa aspek SBPA ketika mengadakan mesyuarat majlis kongres di Kuala Perlis minggu lalu.

Pada sidang media 7 Oktober lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata SBPA mewujudkan empat hierarki perkhidmatan awam iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

Di bawah SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, peruntukan gaji secara ‘single point’ tanpa kenaikan gaji tahunan diberikan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan kenaikan gaji tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi.
SBPA juga menyediakan peruntukan jadual gaji sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sekarang mereka berada dalam sistem gaji tiga baris atau tiga lapisan.
Kesemua 1.4 juta kakitangan awam termasuk mereka yang masih di bawah Sistem Saraan Baru (SSB), yang diperkenalkan pada 1991 sebelum digantikan dengan SSM akan diberi opsyen sama ada mahu menerima SBPA ataupun sebaliknya.

Jika mereka memlih untuk kekal dalam SSB dan SSM, mereka akan menikmati sistem saraan lama. -TMI

Sumpah Laknat: Apabila Mahathir Menyamakan Tarafnya Dengan Saiful..


Tun Mahathir cuba alih isu

KUALA LUMPUR : Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilihat berada dalam keadaan terdesak dan tertekan apabila tindakan beliau meminjam dari Bank Dunia sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.

Ketika dihubungi harakahdaily, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank Dunia pada tahun 1999.

"Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman juga telah didedahkan oleh laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan Menteri Kewangan krtika itu.

"Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain," katanya.

Tambahnya lagi pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.

Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek "Malaysia Education Sector Support Project", "Malaysia Social Sector Support Project" dan "Malaysia Year 2000 Technicial Assistance Project" manakala pada 18 Jun 1998 bagi projek "Malaysia Economic Recovery and Social Sector Loan".

"Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai 'hero' yang tidak akan tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap 'kapitalis'.

"Tetapi sekarang segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk kepentingan sendiri.

Katanya, dalam isu itu Mahathir yang sepatutnya perlu bersumpah bukan Anwar, dan seluruh rakyat sedang menunggunya.

"Beliau sepatutnya bersumpah yang beliau tidak pernah memohon bantuan dari Bank Dunia, dan jika laporan tersebut itu tidak benar maka beliau perlu mengambil tindakan undang-undang.

"Tapi adakah beliau seberani itu untuk bertindak, yang saya pasti beliau akan terus menyerang Anwar kerana baginya isu Bank Dunia sewaktu Anwar berada dalam kabinet beliau," kata Mahfuz.


KEADILAN dedah bukti Dr M buat 38 pinjaman Bank Dunia

KUALA LUMPUR: KEADILAN mendedahkan bukti pautan memuatkan senarai pinjaman Bank Dunia kepada Malaysia pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini sekaligus membuktikan tohmahan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ejen Barat dan perkakas Bank Dunia, tidak benar, sebaliknya Mahathir berbohong dan cuba memutar belit fakta sebenar.

Rujukan pautan itu di sini

Semakan berdasarkan pautan itu, Mahathir melakukan sebanyak 38 pinjaman antara 18 Mei 1982 hingga 30 Mac 1999.Walaupun Mahathir kerap memfitnah Anwar, bekas Presiden Umno itu bersekongkong dengan Jack Abramoff untuk melobi bagi bertemu Presiden Amerika Syarikat, George W Bush.

Sedangkan, Anwar ketika masih Menteri Kewangan pernah menulis kepada Bank Dunia bahawa Malaysia tidak lagi memerlukan bantuan institusi kewangan itu.

“Kini sudah terang lagi bersuluh, politik hipokrit usang serta propaganda fitnah pasti tewas kerana kebenaran pasti muncul.

“Sewajarnya sebelum mantan Perdana Menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al Quran, eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel,” kata kenyataan media KEADILAN hari ini.


Dr M cabar Anwar tunjuk surat pinjaman Bank Dunia

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dr Mahathir berkata beliau adalah orang yang menolak pinjaman daripada Bank Dunia pada masa itu tetapi, sekiranya apa yang didakwa oleh Anwar itu benar, sila tunjukkan surat itu.

"Saya tahu kalau kita terima pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.

"Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di Masjid dengan al-Quran. Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Wehdatul Ummah ke tiga di Butterworh hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah berita online (Malaysiakini) hari ini, yang melaporkan bahawa Anwar telah membuat dakwaan mengejutkan terhadap 'bekas mentornya' Dr Mahathir bahawa bekas perdana menteri itu pernah menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Anwar terkenal sebagai orang yang memperkenalkan cara-cara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada masa itu.

"Saya biasa cakap kepada dia (Anwar), kalau kita buat pinjaman kepada bank dunia, kita tidak akan ada gaji yang cukup untuk bayar kepada pegawai-pegawai kita. Tetapi dia telah ikut cara-cara bank dunia sampai rosak fikirannya," katanya.

Sementara itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut bersama berkata beliau boleh menjadi saksi bahawa Dr Mahathir adalah orang yang menolak pertolongan bank dunia dan apa yang didakwa oleh Anwar itu tidak benar.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau masih ingat ada satu ketika wakil daripada bank dunia dan IMF telah datang untuk mencari Dr Mahathir untuk membincang tentang cara untuk elakkan krisis pada 1999.

"Wakil bank dunia itu telah mencadangkan kepada Dr Mahathir untuk menambah kadar faedah rumah, kerajaan pula tidak boleh belanja dan bank negara harus tarik balik semua pinjaman untuk elakkan krisis ekonomi.

"Namun Dr Mahathir memberitahu mereka bahawa cadangan itu akan membawa kepada 'bloods in the street' dan mereka berkata 'let it be bloods in the streets' tetapi cadangan itu telah dibantah keras oleh Dr Mahathir yang kemudiannya menghalau wakil bank dunia itu keluar dari pejabatnya pada ketika itu," katanya.- Bernama

Bagi UMNO, sumpah dijadikan mainan bibir. Semata-mata untuk meyakinkan orang lain terhadap sesuatu perkara.

Sumpah laknat sudah banyak kali diulas oleh ramai ulamak sebelum ini dan yang jelas: di dalam Islam, sumpah tidak boleh dipermain-mainkan.

Apabila keadaan cukup terdesak, dengan tujuan untuk berlindung dari terbuka keaiban, kini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mendedahkan dirinya seorang yang setaraf Saiful yang pernah melafazkan sumpah laknat - yang mana di dalam kes Saiful, akhirnya laknat itu menimpa dirinya apabila pertunangannya terputus dan kes hubungan intimnya dengan peguam Pendakwa Raya Farah Azlina terbongkar. Kesan sumpah laknat Saiful BELUM BERAKHIR.

Begitu juga sumpah laknat Datuk T. Kini Tun Mahathir pula mengekorinya.

Berlagak semacam terlalu pandai agama, mencabar orang lain bersumpah laknat di Masjid dengan al-Quran, sedangkan ajaran Al-Quran sendiri ditinggalkan malah ditentang.

Jangan lupa bahawa Mahathir telah banyak kali menghentam hukum dan undang-undang Islam, malah menghina sunnah Rasululah saw. Sebelum ini kita telah mendedahkan bahawa beliau terlupa dan buta bahawa anaknya yang bernama Mirzan adalah seorang ahli lembaga pengarah syarikat arak.

Seorang bapa yang membenarkan anaknya bergelumang dengan puca rezeki yang haram di sisi agama. Orang sebegitu hendak dilayan bersumpah dengan Al-Quran? -GB

VIDEO PANGLIMA LUDAH UMNO MENGAMUK !!!!



PANGLIMA JUARA LUDAH SEDUNIA
SIAP ADA BUNYI "KHEEEKKKK PTUIHHHH" TU
MEMANG HERO TAMIL LA HANGPA NI
MACAM CERITA WONDERPET PUN ADA
NAK MELUDAH PUN ADA HATI BERTAKBIR



Bantah Auku: Mahasiswa turunkan ‘bendera Najib’ di PWTC

Isi Borang BR1M. Wang RM500 Itu Milik Rakyat - TGNA

TG Nik Aziz seru rakyat Kelantan isi borang BR1M

KOTA BHARU, 17 Dis: PAS akan mensasarkan keahlian seramai 100,000 ahli seluruh Kelantan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Pengerusi Lajnah Pemerkasaan PAS Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood, berkata setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu mendaftar keahlian seramai 2,000 orang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas satu majlis yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Putik malam tadi.

Sambungnya, usaha itu dibuat bertujuan untuk menarik lebih ramai lagi orang ramai khususnya pemuda menjadi ahli PAS.

“Mood sekarang juga turut memperlihatkan PAS sebagai sebuah parti yang menjadi impian masyarakat terutama sekali golongan pemuda bakal penentu masa depan negara,” ujarnya.

Lebih 2,000 orang anggota parti seluruh Kelantan menghadiri program tertutup itu.

Turut berucap pada majlis itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan, Datuk Omar Mohamed dan Fatah sendiri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menyeru rakyat Kelantan mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) termasuk orang PAS.

Bantuan itu, katanya tiada kena mengena dengan keahlian mana-mana parti kerana wang yang diagihkan milik rakyat.


“Tak ada kena mengena dengan perlu tanda tangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

“Andainya ia bermasalah atau penyokong PAS dipertikaikan dalam menerima sumbangan wang ini, kita akan ketahui sebenar sumbangan itu untuk membantu rakyat atau tujuan politik,” ujarnya. -Hrkh

Kemuncak Kezaliman Umno: Anwar Ibrahim Dibunuh




Angkara siapakah ini? Pagi ini penganjur program Ceramah dan makan malam Cabang Padang Serai PKR terkejut dengan perbuatan biadap meletakkan satu "mayat palsu dikapan" dekat tapak program tersebut. Tetamu khas program malam ni Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden N Surendran.
sumber  di sini

Cuepacs: K'jaan jangan cari penyakit ..

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Isu projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) turut menjadi perhatian perhimpunan membantah Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) petang ini, dengan pemimpin kanan Cuepacs memberi kerajaan amaran - jangan mencetuskan “perang” membabitkan kakitangan awam yang rata-rata tidak puas hati dengan sistem gaji baru ini.

Pelaksanaan SBPA dilihat akan menjadi satu lagi ujian kepada pentadbiran Najib menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.
Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata, pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, sudah pun mencetuskan rasa tidak senang di semua lapisan perkhidmatan awam khususnya mereka dalam Kumpulan Pelaksana.

Kumpulan Pelaksana sebelum ini dikenali sebagai kakitangan Kumpulan Sokongan I dan II.

“Saya minta kerajaan jangan cetuskan perang, kakitangan awam ada 1.4 juta orang, saya berharap kerajaan jangan wujudkan pertikaian dengan melaksanakan SBPA,” kata beliau yang menimbulkan isu NFC, projek ternakan lembu yang dikaitkan dengan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Shahrizat Abdul Jalil, yang juga Ketua Wanita Umno, dalam ucapannya.

Kemudian ketika ditemui The Malaysian Insider, Zainal yang juga pemimpin kanan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia berkata, ramai beranggapan bahawa projek NFC yang menggunakan RM250 juta dana awam itu sebagai satu pembaziran.

“Mengapa RM250 juta boleh dibazirkan dalam projek lembu, kata nak keluarkan lembu dalam setahun dalam sekian-sekian jumlah, tetapi tak jadi, gagal,” soal beliau yang menyamakan mengapa kerajaan tidak boleh memberi manfaat lebih baik bagi kakitangan awam menerusi SBPA.

Masalah dan kegagalan projek NFC ditimbulkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Kerajaan kata gunakan hampir RM3 bilion untuk melaksanakan SBPA, siapa rasai jumlah yang besar? (Difahamkan) seramai 36 penjawat Kumpulan Premier dapat bahagian peruntukan (dalam bentuk perubahan gaji) hampir RM200 juta, hanya sekitar RM300 juta bagi Kumpulan Pelaksana,” katanya lagi.

Rata-rata kesemua pemimpin yang bercakap pada perhimpunan petang ini melahirkan rasa tidak puas hati yang timbul khususnya berkaitan perubahan gaji di bawah SBPA.

SBPA menyediakan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis sekarang.

Ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perubahan gaji - kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus.

Ia sebahagian daripada langkah menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Cuepacs mendakwa kenaikan gaji bagi kebanyakan kakitangan awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus, yang turut menjadi harapan.

Satu slaid yang ditunjukkan kepada lebih 2,000 orang yang menghadiri perhimpunan hari ini menunjukkan penjawat kategori JUSA C menerima kenaikan hampir 45 peratus di peringkat permulaan gaji berbanding Sistem Saraan Malaysia (SSM).

SBPA akan menggantikan SSM.

Maklumat itu menunjukkan kategori Satu JUSA C menerima gaji permulaan RM$6,595 di bawah SSM dan akan dibayar RM$12,000 jika menerima SBPA, Kategori Dua (SSM RM$7,236; SBPA RM$12,645), Kategori Tiga (SSM RM$7,939; SBPA RM$13,345), Kategori Empat (SSM RM$8,710; SBPA RM$14,115) dan Kategori Lima (SSM RM$9,480; SBPA RM$14,885).

Cuepacs mahu membangkitkan lima poin komponen dalam SBPA semasa pertemuan dengan Najib minggu ini.

Dua poin utama ialah menangguhkan urusan penerimaan opsyen dan membatalkan dasar pemisah atau ‘exit policy’.

Bantah Auku: Mahasiswa Bangkit Tuntut Hak, Turunkan ‘Bendera Najib’ Tanda Protes

Desakan untuk memansuh Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971, memuncak apabila lebih 300 mahasiswa berhimpun dan berarak secara aman.

Protes itu digerakkan Solidariti Anak Muda (SMM) dan disertai Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Gerakan Menuntut kebebasan Akademik (Bebas), Legasi Mahasiswa Agresif (LMA).

Seawal jam 1 petang, mahasiswa berhimpun depan masjid jamek sebelum berarak ke bangunan Maju Junction untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ketika berarak, mereka melaungkan slogan mendesak kerajaan menghapuskan Auku dan memberi amaran betapa gelombang mahasiswa bakal menjejaskan hayat politik Umno Barisan Nasional (BN)

Mereka juga menyatakan tidak gentar untuk dipenjara demi memperjuangkan usaha memansuhkan Auku, bukan sekadar memindanya.

Orang awam yang kagum dengan keberanian mahasiswa yang dikawal polis termasuk anggota cawangan khas (SB), turut memberi sokongan.

Depan bangunan Maju Junction, mereka kemudian duduk memegang kain rentang dan melaung desakan supaya mahasiswa diberi kebebasan bersuara dan akademik.

Selepas 10 minit, Pesuruhjaya Suhakam, Shaani Abdullah menerima memorandum daripada mahasiswa dan menyifatkan perarakan itu tidak menyalahi undang-undang.

“Perlu pelbagai cara bagi dapatkan perhatian. Berhimpun adalah satu cara dan mereka berhak melakukannya. Memorandum ini akan dipanjangkan kepada kerajaan,” kata Shaani.

Mahasiswa kemudian berarak ke bangunan Umno – Putra World Trace Centre (PWTC) bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketika Saifuddin berucap menggunakan pembesar suara, seorang mahasiswa, Adam Adli, 22, dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dilihat menurunkan bendera yang tertera wajah Najib sebagai protes.

Tindakan itu mencuri tumpuan peserta lain sehingga mengakibatkan pengawal keselamatan kelam kabut menaikkan semula bendera berkenaan.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat.

Saifuddin melalui twitter mendesak mahasiswa memohon maaf atas tindakan itu tetapi SMM hanya akan membuat kenyataan seawal-awalnya hari ini.



Mahasiswa bangkit tuntut hak, perjuang kebebasan


KUALA LUMPUR, 17 Dis: Mahasiswa hari ini bangun mendesak hak kebebasan mereka serta menuntut agar kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta tidak takut ditangkap kerana memperjuangkan kebebasan.


Gabungan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang mengadakan perhimpunan perarakan dari Masjid Jamek ke Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan seterusnya ke bangunan Umno menuntut agar kerajaan hari ini peka dengan hak yang dikehendaki oleh pelajar.


Pengerusi Sigma Gamis, Rohayu Rusli memjelaskan bahawa hari ini anak muda Malaysia mencipta sejarah telah turun ke jalanan menyatakan pendirian hak bersuara serta prinsip bahawa mahasiswa mahasiswi dan anak muda Malaysia.


"Kita tidak akan pernah berhenti menyuarakan kebenaran dan keadilan, menuntut hak yang selama ini dikekang.


"Hari ini juga turut memperlihatkan bahawa partisipasi mahasiswi dalam himpunan, turut bersuara, turut hadir membarisi barisan anak muda, sejarah hari ini memberi amaran kepada pemerintah agar tidak bersenang lenang sedangkan rakyat dan mahasiswa dalam keperitan," jelasnya.


Sementara itu, Presiden Gamis, Akram Taib Azamudden semasa berucap menberitahu hari ini menyaksikan satu himpunan dan perarakan laungan kebenaran memenuhi Bandaraya Kuala Lumpur.


"Ini bukti bahawa mahasiswa cukup muak dan benci terhadap akta zalim yang kita tuntut untuk dimansuhkan.


"Gamis mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bebas, Safwan Anang serta seluruh pimpinan front mahasiswa yang telah menggerakkan kekuatan ahli untuk terjun bersama ke lapangan rakyat menyatakan pendirian kebenaran," katanya.


Dalam pada itu beliau agar pihak kerajaan, bebaskan mahasiswa untuk memanfaatkan seluas mungkin daya intelek yg mereka pasak sewaktu di universiti.


Katanya lagi, Gamis akan terus mendokong apa sahaja kebenaran khususnya Bebas dengan menggerakkan seluruh jentera dalam memastikan kebenaran itu tertegak selari dengan tuntutan Islam.


Suhakam teliti memorandum


Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah yang menerima memorandum dari gabungan mahasiswa itu menjelaskan pihaknya akan meneliti kandungan memorandum tersebut dan ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa.


"Saya melihat apa yang mahasiswa hari ini bangkit menuntut hak mereka dalam menyuarakan kebebasan dan bagi saya ia bukan satu jenayah jika mereka berhimpun kerana negara ini adalah sebuah negara demokrasi.


"Kita mempunyai pelbagai cara untuk menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab dan apa yang dilakukan oleh mahasiswa hari perlu diambil perhatian oleh kerajaan.


"Kerajaan perlu beri perhatian terhadap isu yang dibangkitkan ini, hak kebebasan bersuara tidak salah di negara ini dan kerajaan sepatutnya perlu meneliti Auku adakah ia perlu dipinda ataupun dimansuhkan terus," jelasnya.


Ketika ditanya mengenai Persidangan Meja Bulat yang dianjurkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, beliau memberitahu itu adalah cara terbaik bagi menyelesaikan kemelut Auku sekarang.


"Cara perbincangan yang diadakan hari ini adalah satu yang baik, kita perlu mendengar pendapat dari semua pihak sebelum sesuatu perkara itu diputuskan.


"Saya pasti setiap pihak yang dijemput berpeluang menyatakan pendapat mereka terhadap perlaksanaan Auku di sebalik kesannya terhadap pelajar serta pendidikan di negara ini, kerajaan perlu menilai sebelum membuat sebarang keputusan," sambungnya lagi. -Hrkh

Kuala Lumpur Dilanda Banjir Kilat. Mana Menteri Wilayah Persekutuan?


Keadaan lalu lintas di ibu negara lumpuh hari ini berikutan banjir kilat di Jalan Tun Razak semasa waktu puncak apabila warga kerja pulang, berikutan hujan lebat.

Kawasan sekitar Perpustakaan Negara dilaporkan ditenggelami air dan dikatakan merebak sehingga ibu pejabat agensi berita Bernama yang terletak berhampiran.

Sebelum ini, kawasan itu bukan tempat yang kerap berlaku banjir. Dua minggu lalu Kajang juga dilanda banjir kilat yang terburuk sejak 1971.

Sementara itu, Bernama melaporkan kira-kira 30 kanak-kanak terkandas di sebuah tadika di Jalan Semarak berhampiran pusat latihan TM akibat banjir kilat.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, dua bot dikerahkan bagi membawa keluar kanak-kanak berkenaan secara berperingkat.

"Sekarang ini kami dalam proses menyelamatkan mereka ke tempat yang lebih selamat sedikit demi sedikit," katanya dipetik agensi berita nasional itu. -mk

Mana menteri Wilayah Persekutuan yang hanya sibuk hendak merampas tanah di Kg.Baru sehingga tidak perasan kawasan ibukota mudah dilanda banjir kilat?

Mana wartawan arus perdana yang baru-baru ini sibuk menuduh kononnya berlaku pencurian pasir apabila berlaku banjir di Kajang baru-baru ini semata-mata untuk memburukkan imej Kerajaan Selangor? Ada orang curi pasirkah di tengah-tengah Jalan Tun Abdul Razak? -GB

Foto Bernama:










Mohd Sabu: PAS Sertai BERS✔H 3.0 Jika Pilihanraya Sebelum 8 Tuntutan Ditunaikan

Pas mengingatkan kerajaan sekiranya lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak ditunaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), parti itu akan menyertai perhimpunan Bersih 3.0, yang dijangka diadakan Februari depan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, sekiranya PRU13 diadakan menggunakan sistem sedia ada, pihaknya percaya agak sukar untuk Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya kerana sistem pilihan raya itu belum bersih dan telus.

“Jika tuntutan Bersih 2.0 belum ditunaikan, penganjurnya bercadang buat himpunan Bersih 3.0. Kali ini ahli Pas wajib hadir untuk tuntut pilihan raya yang bersih,” katanya, ketika berucap pada ceramah perdana ‘Parlimen akan dibubarkan’, di Markaz MTD Sri Burhan Tok Sibil, Jalan Datuk Kumbar, malam kelmarin.

Menurutnya, kerajaan sewajarnya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di dunia Islam kebelakangan ini, yang menyaksikan kerajaan bertukar tangan melalui tunjuk perasaan hingga menyebabkan ramai rakyat terkorban.

“Kita hanya tuntut lapan perkara secara aman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) janji bersihkan daftar pemilih namun kita mahu lihat hasilnya sebelum PRU13,” katanya.

Mohamad turut meminta supaya tafsiran kehakiman dibuat terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan kerajaan, kerana didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

“Kita sudah failkan kes ini dan peguam kita akan mohon supaya hakim dapat menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu. Rakyat tiada hak langsung untuk berhimpun kelak, sehingga Majlis Peguam yang arif dalam perundangan pun turut bantah,” katanya. -SH

Peneroka tuntut kekalkan Datuk Dzulkifli, Isa undur


KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.

Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.

Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.

Difahamkan, Dzulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.

Memorandum yang diserahkan kepada  wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.

Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.

Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Dzul, benci Isa".

Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.

"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Dzul.

"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Dzulkifli kerana menganggap Dzulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Dzul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau. -Hrkh

Sultan Kedah, Kelantan Sebagai Yang Dipertuan Agong & Timb Yang Dipertuan Agong

Pelantikan Sultan Kedah Sebagai Agong Dianggap Penghormatan Bersejarah Kepada Negeri

ALOR SETAR: Pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua bermula Selasa merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh penduduk Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.

"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini Isnin.

Azizan berkata beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Katanya agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan akan terus dijaga.

"Pastinya pesanan serta pandangan Tuanku yang konstruktif, galakan dan tunjuk ajar kepada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan menjadi suntikan dan panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri," katanya. - BERNAMA


Sultan Mahmud V Sangat Dekat Di Hati Rakyat


KOTA BAHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri itu.


Tengku Muhammad Faris Petra, 42, putera sulung Sultan Ismail Petra, yang sering membahasakan diri baginda sebagai "kita", telah menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.


Baginda yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai "kita".


Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat yang dikenali sebagai berbaju "gumbang", berkopiah putih ketika melawat rakyat.


Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.


Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.


Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.


Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di masa lapang gemar membaca, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.


Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.


Baginda adalah Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) dan turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.


Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 27. - BERNAMA
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .