Ikuti Blog ini

[BERGAMBAR] Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam Bersama Ustaz Azhar Idrus Malam Tadi






Ribuan orangramai hadir untuk mendengar Kuliah Soal Jawab Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi bersama Abby Abadi, Faizal Tahir dan Man Raja Lawak...

Faizal Tahir, Bila Lagi Nak Ikut Jejak Langkah Ali XPDC, Sham Kamikaze, Bob Lokman, Aishah, Abby Abadi & Zuar XPDC?... Macam Tak Lama Lagi Jer...

 





Kafir Harbi Tidak Wujud Selagi Tidak Tertegak Negara Islam - Haron Din

SHAH ALAM : Tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar, tegas Datuk Dr Haron Din.

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS ketika dihubungi TVSelangor berkata, polemik itu perlu hentikan segera kerana ia ditakuti boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Ujar beliau definisi kafir harbi itu merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh umat Islam.

Beliau juga mengingati agar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan kenyataan dan melabelkan sesuatu golongan itu agar berhati-hati serta berdasarkan hujah yang kukuh dalam menyampaikan pandangan.

“Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar.
“Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Sebelum ini, kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah, dipetik Utusan Malaysia menyatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.TVS

VIDEO: Depa neh JELES tengok Noh Omar KAYA



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengulangi bahawa beliau tidak terlibat mengusahakan projek udang di Tanjung Karang seperti didakwa DAP.

Menurutnya, jawapan yang diberikan pengarah Syarikat Pristine Agrofood dalam reaksi segera kepada dakwaan terbaru DAP membuktikan beliau hanya menyewakan tanah miliknya dan bukan mengusahakan projek udang itu.

"Jawapan saya sama seperti yang dijelaskan (Pristine Agrofood) dalam Malaysiakini pagi tadi.

"Semuanya jelas saya cuma menyewakan tanah sahaja kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut," kata Noh Omar kepada Malaysiakini sewaktu ditemui di majlis berbuka bersama media di Bukit Kiara malam tadi.-M'kini

Tidak kah kita tersentuh?


Tamrin Berjanji Kempen Habis-habisan Bersama PAS Kerana Yakin PAS Sangat Ikhlas



Tamrin keluar Umno, serah borang sertai PAS

Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.

Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.

Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.

Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.

"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.

"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.

Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.

"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.

"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan Umno," katanya. -HD


Dato' Tamrin Tun Ghafar sertai PAS..


Alhamdulillah, mlm ini di KUIZM Taman Melewar, Dato' Tamrin serah borang menyertai PAS kepada YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya mula rapat dengan beliau setahun yang lalu dalam majlis makan tengahari bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau kerap menghubungi saya kerana berminat dengan perjuangan membela warga Felda. Sarapan pagi, makan tengahari dan minum petang adalah rutin kami bila bertemu di KL.

Beliau juga memperkenalkan kepada saya ramai bekas pemimpin UMNO dan tokoh2 VIP yang ingin tahu mengenai isu Felda. Saya seronok bersahabat dengan beliau. Apapun persepsi orang mengenai beliau, saya punya keyakinan dan sangka baik yg mendalam kesedaran beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan.

Banyak yang beliau ceritakan mengenai sejarah perjuangan ayahndanya, Tun Ghafar Baba. Bahkan kisah silamnya pun dia bagi tau. Dia tak mahu hipokrit; seolah2 masuk PAS ada agenda tertentu.

Saya mula cadangkan beliau sertai PAS sebulan setengah yang lalu. Walaupun dia dapat tawaran yg sama dari kekawan lain, dia setuju dengan pandangan saya.

Saya bertemu dengan beliau di Masjid Negara pada 11 Julai lalu dan menziarahi Maqam Pahlawan khususnya kubur Allayarham Tun Ghafar. Selepas itu ke rumahnya kerana beliau mengisi borang PAS di situ. Saya pencadang kepada borang keahlian beliau.

Saya cuma maklumkan hal ini kepada Dr Samsuri, Setpol Presiden PAS, Nasaie Ismail, SU Akhbar Presiden dan Sdr Adly Zahri Pesuruhjaya PAS Melaka agar dpt dibincangkan tarikh sesuai beliau sertai PAS. Borang beliau saya serah kepada Ust Md Khairul SU Kerja PAS Pusat.

Beliau maklumkan ujian nak sertai PAS. Ada pihak nak ugut beliau jika teruskan hasrat sertai PAS. Semlm lepas majlis buka puasa ANAK di Gombak, kami masih bincang lagi. Saya kata pada dia, PAS adalah parti yang memperjuangkan kebenaran dan Gerakan Islam. Sisa hidup kita;sumbang tenaga, idea dan wang ringgit utk ISLAM.

Tentulah saya gembira bila Dato' Tamrin masuk PAS. Masa dia isi borang PAS, menitis airmata saya terharu atas kesediaannya. Kalau ada orang nak perlekeh dan kutuk dia, terpulanglah. Kita bukan maksum, sempurna dari sebarang kesilapan...

Meskipun detik bersejarah malam ini, saya tidak dpt bersamanya, namun jauh di sudut hati saya timbul rasa bangga anak Bekas Timbalan Perdana Menteri bersama PAS. Alhamdulillah, syukur pada Allah!


oleh: Mazlan Aliman





Mengapa Polis Terang-terangan Beri Layanan Istimewa Kepada Shahrizat?


Gesa KPN jawab mengapa Shahrizat dapat layanan istimewa polis

KUALA LUMPUR 10 Ogos: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran mempersoalkan layanan istimewa polis terhadap pimpinan Umno semasa hadir ke perbicaraan mahkamah.

Katanya, Umno menggunakan polis seperti pasukan keselamatan peribadi mereka apabila mengawal ketat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang hadir ke mahkamah pagi semalam.

“Umno gunakan polis umpama pengawal keselamatan peribadi. Mengapa pimpinan Umno boleh dapat layanan istimewa seperti yang diperolehi Shahrizat?” tulis Surendran dalam twitternya.

Berikutan itu, beliau mahu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar menjawab berhubung perkara ini.

“KPN mesti jelaskan mengapa pimpinan Umno seperti Shahrizat boleh dapat eskot polis bila hadir ke mahkamah. Mengapa ada layanan istimewa?" soal Surendran lagi.

Terdahulu, sekumpulan polis berkawal di luar mahkamah menyambut ketibaan Shahrizat bersama konco-konconya, sebelum mengiringi beliau masuk ke mahkamah.

Turut serta, penyokong-penyokong beliau termasuk kalangan Wanita Umno diangkut menaiki van ‘Skuad Sayang’ untuk memenuhi ruang mahkamah. -KD

Pakat doa saya masuk PAS - Tamrin


KUALA LUMPUR:
Sambil berseloroh, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Tamrin Abdul Ghafar berkata beliau akan menyertai PAS apabila telah mendapat ilham.

Beliau yang kini masih lagi ahli Umno berkata, banyak pihak sebelum ini mengajaknya menyertai parti Islam itu namun belum tergerak hati berbuat demikian walaupun sering tampil berceramah di pentas PAS.

"Tunggu la, dapat ilham nanti saya join la. Tuan-tuan doa la malam ni untuk saya supaya saya cepat sikit masuk PAS," katanya sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian menjawab soalan hadirin pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) di sebuah restoran di Gombak semalam.

Soalan tersebut berhubung pelbagai gesaan agar beliau meninggalkan Umno dan menyertai Pakatan Rakyat ekoran dilihat tidak sebulu lagi dengan pimpinan Umno pada hari ini.

"Saya secara peribadai lebih seronok dengan tuan-tuan ni, cuma bila PAS nak terima saya.

"Saya dah ikut Mazlan (Aliman) lama dah, tapi baju hijau tak dapat lagi. Mana boleh join PAS stakat pakai skaf," katanya berseloroh lagi sambil merujuk gambarnya di poster di belakang pentas.

Poster tersebut mempamerkan gambarnya memakai skaf hijau dengan tulisan PAS dalam satu ceramah di ibu negara sebelum ini.

Sementara itu, beliau turut ditanya apakah amanat terakhir Tun Ghafar kepada anak-anak.

Beliau berkata, Tun banyak kali berpesan agar anak-anak berjuang untuk kepentingan rakyat.

"Kami dinasihatkan kalau berjuang berjuang utk rayat. Itu pesan dia banyak kali.

"Dia kata biar kita miskin (dunia) tak mengapa, janji tuhan tahu kerja baik kita," katanya. -Hrkh

3 pemimpin tertinggi ajak Fauzi masuk PAS


WAWANCARA Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari berkata, beliau membuat keputusan menyertai PAS pada 20 Mei lalu selepas tiga pemimpin tertinggi parti itu tampil mengajak sendiri.

Katanya, ketiga-tiga pemimpin itu presidennya Datuk Seri Abdul Awang, timbalannya Mohamad Sabu serta naib presiden Datuk Husam Musa,

Sambil ketawa kecil, Fauzi mendedahkan beliau pernah menolak "pujukan" Abdul Hadi atas alasan faktor usia dan keluarga sebelum serius memikirkan "harapan" PAS itu ketika bertemu Husam, exco kanan kerajaan Kelantan.

"(Husam kata) kemasukan datuk (Fauzi) dalam PAS, setelah mereka bincang sama-sama mereka, akan memberi kelebihan. Jadi saya pun (fikir), kalau nampak macam serius, Tok Guru Abdul Hadi dah jumpa, Mat Sabu mula-mula sekali.

"Beliau (Husam) sendiri nampak harapan macam itu sekali. Kalau begitu, saya masih ada nilai atau ada sedikit yang boleh membantu. Kalau begitu, saya akan masuk secara rasmi. Saya akan mengisi borang," katanya.

Fauzi berkata, antara sebab pelawaan itu dibuat kerana kedudukannya dalam polis memberi kelebihan kepada PAS bagi menarik sokongan atas pagar.

Bertukar 23 kali dalam 32 tahun
Beliau berkata, beliau pernah mengenali Abdul Hadi dan Mohamad, sewaktu berkhidmat di Kelantan sekitar awal 90-an.

Katanya, mereka pernah terlibat sama dalam majlis dialog bersama ketua polis negara ketika itu, tetapi "tidak rapat".

Hubungannya dengan Mohamad pula terjalin apabila pemimpin PAS itu pernah membangkitkan di parlimen itu "pertukarannya" daripada Dang Wangi.

Mohamad, ketika itu anggota parlimen Nilam Puri, mempersoalkan di Dewan Rakyat, apakah pertukaran itu dibuat selepas Fauzi aktif membanteras jenayah, maksiat dan pelacuran sekitar Kuala Lumpur.

"Sejak daripada itu (kami) berkenalan. (Saya) jalin sejak dalam kerajaan dahulu," katanya yang tidak menafikan turut menerima pelawaan menyertai Umno.

Fauzi bagaimanapun menjelaskan, beliau sebenarnya dihantar ke Jepun untuk berkursus dan menganggap ia "perkara biasa" dalam pasukan polis.

Sebanyak 23 kali beliau ditukarkan sepanjang 32 tahun perkhidmatan beliau, tambah Fauzi.

Ketika diwawancara Malaysiakini, Fauzi berkata PAS mempercepatkan kemasukannya dengan mengadakan majlis khas besar-besaran di kawasan Hulu Sepetang berdekatan tempat kelahirannya Batu Kurau di Taiping.

Ditunggu macam pengantin

Menceritakan detik kemasukannya itu, Fauzi berkata, beliau yang tiba agak lewat kerana menghadiri kenduri sebelumnya, merasakan pengalaman disambut seperti pengantin.
"OK, (bila) sudah sampai, ia bagi satu kepuasan kepada mereka (penyokong PAS). Semacam tunggu pengantin akhirnya, sampai juga," katanya.

Ditanya sama ada menerima tekanan selepas menyertai PAS, Fauzi - yang berkhidmat selama 32 tahun dalam polis - mengakui perkara itu.

"Pendek kata, ada bantahan-bantahan (pada hasrat saya). Tapi majoriti menyokong. Bantahan ini hingga menyebabkan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pihak lain.

"Kadang ia tidak menyerang kepada saya, tidak berhubung dengan saya, tapi Datin Fauziah (isterinya). Dia rasa tertekan," katanya.

Bagi menenangkan keadaan, Fauzi juga berkata beliau pada awalnya mengelak diwawancara, mengelah berceramah selama sebulan, bahkan bercuti ke Singapura untuk menenangkan keadaan.

Beliau bagaimanapun menganggap tekanan itu "tidak ada apa-apa" jika dibandingkan dengan ugutan bunuh yang diterimanya sewaktu bertugas sebagai OCPD di Dang Wangi tidak lama dahulu kerana tegas membanteras jenayah dan maksiat.

"Tapi saya simpan. Saya, tak sampai buat laporan (polis)," tegasnya yang pernah menjadi OCPD Dang Wangi selama setahun sembilan bulan bermula pada 1989.

'Jeneral' daripada sekolah
Bercerita tentang peribadinya, Fauzi berkata memilih kerjaya sebagai polis kerana minta terhadap pakaian seragam daripada bangku sekolah hingga ke Universiti Malaysa (UM).

Malah, beliau sering memakai baju seragam pasukan keselamatan sejak bersekolah lagi.

"Kawan-kawan memang panggil saya 'jeneral' zaman sekolah lagi, bukan zaman universiti sahaja. Sebab apa-apa hal, saya nak jadi jeneral," katanya sambil menambah beliau datang daripada keluarga petani dan penoreh getah.

Fauzi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Besar pada 1957-1962, sebelum melanjut pelajaran di peringkat menengah di Sekolah King Edward VII di Taping pada 1963-1970.

Beliau melangkah ke UM pada 1971 hingga 1974 dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang sejarah sebelum bekerja sementara sebagai penoreh getah dan mengajar di tiga buah sekolah sewaktu menunggu keputusan menyertai polis.

Merasakan permohonannya tidak diterima, beliau mengambil keputusan untuk bekerja tetap sebagai wartawan di Angkasapuri pada 1975 sebelum dipanggil ditemuduga sewaktu masih berkhidmat sebagai pengamal media.

Beliau bernasib baik kerana bahagian pentadbiran menimbang permohonan beliau untuk 'menukar' kerja atas dasar "kerajaan kepada kerajaan" sehingga beliau bersara pada 25 September 2006 selepas hampir 32 tahun berkhidmat.


Fauzi diwawancara oleh Kuek Ser Kuang Keng, Abdul Rahim Sabri dan Koh Jun Lin.

BERSIH & Pakaian BERSIH Tidak Haram


Janji Bersih bukan politikkan Merdeka - Pak Samad

Kuala Lumpur: Datuk A.Samad Said menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka 30 Ogos ini sebagai cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu janji Bersih lalu ditunaikan.

"Memang tidak wujud (mempolitikkan sambutan merdeka), oleh kerana Bersih sendiri itu pun bukan badan politik, apa lagi dengan gabungan badan-badan yang lain.

"Untuk IGP berfikir bahawa ini satu perlawanan oleh Bersih, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan di Gombak petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar gabungan NGO itu tidak mempolitikkan sambutan ambang merdeka dengan berbaju kuning di Dataran Merdeka 30 Ogos ini.

Semalam 26 NGO termasuk Bersih menyatakan hasrat untuk 'menguningkan' Dataran Merdeka dalam program dinamakan "Janji Bersih" bagi menuntut janji kerajaan untuk memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil pada malam ambang merdeka itu nanti.

"Kuning bukan warna yang haram. Kehadiran dengan baju kuning itu hanya simbolik.

"Perjuangan itu untuk menuntut janji bersih (yang belum ditunaikan)," katanya.

KPN perlu jelas bahawa tidak ada unsur politik di dalam program JANJI BERSIH kerana ia dibuat bersama 26 kelompok NGO. NGO bukan parti politik.

Dan lagi, KPN perlu menghormati keputusan mahkamah yang telah mengisytiharkan bahawa BERSIH bukan pertubuhan haram. Dan pemakaian baju BERSIH berwarnna kuning tidak salah di sisi undang-undang. Lihat berita-berita yang dilampirkan ini: -GB

Bersih 2.0 Bukan Pertubuhan Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 1 Julai tahun lepas yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata beliau membenarkan petisyen 14 anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, termasuk Datuk S. Ambiga, untuk membatalkan perintah menteri itu berdasarkan Bersih 2.0 terdiri daripada gabungan badan berdaftar.

Dalam penghakiman setebal 30 muka surat, Rohana memutuskan keputusan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebuah pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan atau mengambil kira fakta yang tidak relevan.

"Pada pendapat saya, keputusan itu dicemari kerana dibuat secara tidak rasional," katanya.


Rohana berkata alasan mengeluarkan pengisytiharan mengikut Sekysen 5 Akta Pertubuhan 1966, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman oleh menteri (responden pertama Hishammuddin), tidak boleh berubah dalam tempoh beberapa hari.

"Adalah tidak munasabah bagi sesebuah pertubuhan yang didapati menyalahi undang-undang untuk alasan serius, seperti digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara pada 1 Julai, dan kemudian tidak lagi pada 5 Julai 2011," katanya.

Pada 8 Julai tahun lepas, Ambiga dan 13 anggota berkenaan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Hishammuddin yang mengisytiharkan gerakan itu sebagai pertubuhan haram.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai responden.

Selain memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan perintah itu, mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Rohana berkata walaupun boleh dikatakan Bersih 2.0 adalah sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud memudaratkan keselamatan sebelum perintah itu dibuat, ia tidak boleh menjadi kes seminggu, kerana selepas itu alasan berkenaan tidak lagi sah atau digunakan.

Rohana berkata mahkamah juga turut menimbangkan notis kehakiman kenyataan awam menteri (Hishammuddin) yang membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau menekankan bahawa keputusan untuk mengharamkan Bersih 2.0 adalah menceroboh hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya.

Selain itu, beliau berkata tiada tindakan diambil di bawah Akta Pertubuhan terhadap pemohon walaupun mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan itu selepas menteri membuat pengisytiharan.

"Secara ringkas, Bersih 2.0 tidak boleh menjadi sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud menjejaskan keselamatan pada 1 Julai 2011, kemudian tidak lagi seminggu selepas itu. Malah sekiranya ia adalah sedemikian, jadi pengisytiharan itu harus diketepikan sewajarnya,"
kata Rohana.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata beliau perlu mengkaji penghakiman bertulis itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, seorang peguam pemohon, K. Shanmuga memberitahu pemberita dengan keputusan itu, Bersih 2.0 bukan lagi sebuah pertubuhan haram.
-mstar


Mahkamah bebas ahli PAS pakai baju Bersih

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskan tanpa melepaskan dua ahli PAS yang ditangkap di Rompin 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0.

Mohd Fadzli Ramly, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Ketika dihubungi, Mohd Fadzli berkata beliau masih belum berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mahkamah masih belum memulangkan baju-T yang dirampas daripadanya sebelum ini.

"Ini tuduhan mengarut dibuat akibat rasa terdesak kerajaan Umno dan BN hendak menyusah dan menakut-nakutkan rakyat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami akan ambil tindakan saman ke atas kerajaan," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman.

Sebelum ini mereka dituduh di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana memakai baju sebuah pertubuhan haram.

Pendakwaan dilakukan ketua unit pendakwaan negeri Pahang, Kalmizah Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-duanya dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, turut meraikan pembebasan mereka ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusuf Embong dan ahli-ahli PAS.
-HD

Tampal sticker Ustaz Azhar Idrus merupakan satu kesalahan.

Jangan pelik.
Ia benar2 berlaku di malaysia bahkan telah ada individu yang disaman disebabkan menampal sticker ustaz azhar idrus. Lihat larh sendiri penyata saman kat bawah neh ;

Notis saman

Lokasi di saman ialah di perkarangan UITM. Patutlah pun. Ada student yang menampal sticker UAI di kenderaan nya dan telah ternampak oleh penguatkuasa undang2 di UITM sebab tue dia menyaman individu tersebut.  Gamaknya dia ingat UAI = PAS  dan UITM = UMNO. So bila ada PAS di kawasan UMNO, maka ia menjadi satu kesalahan dan perlu disaman.

Macam itu pun boleh. Tak pernah lagi jumpa kes menampal sticker merupakan satu kesalahan sehingga menyebabkan anda di saman. Inilah yang pertama. Confirm kena masuk buku sejarah of malaysia.. errr bukan. Sejarah of world neh. Rasanya hanya di malaysia jek  sticker boleh menyebabkan anda di saman. -sumber

[VIDEO] Budak Bawah Umur Rompak Kafe Siber


Macam tak percaya pula melihat sekumpulan remaja yang semuda ini boleh bertindak mengalahkan samseng, merompak dan menghunuskan pisau pada mangsa mereka tanpa rasa takut pada Tuhan, pada undang-undang.

Apalah perasaan ibu bapa mereka kalau melihat perbuatan biadap dan kurang ajar permata hati mereka ini

Mungkin depan famili, pijak semut pun tak mati tapi hakikatnya mereka adalah penjenayah yang sanggup berbuat apa saja demi mencapai matlamat untuk dapat wang secara mudah.

Apalah nak jadi pada remaja sekarang….- Mynewshub 


PANAS! : Pendedahan Khas Isu Rampasan Kuasa



Kisah sebenar Rampasan Kuasa

Nama Abdullah Antong pernah dilanda kontroversi apabila dilihat menjadi dalang dalam insiden rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2009. Beliau baru-baru ini telah mengisytiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Tindakan tersebut telah membuatkan BN dalam keadaan sangat takut kerana beliau banyak mengetahui tentang krisis politik di Perak itu. Perakite Daily bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir telah mewawancara beliau untuk mengetahui lebih lanjut.

Misbahul Munir/ Perakite Daily :

Baru-baru ini Saudara telah mengiystiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat melalui satu program Hi-Tea yang dianjurkan oleh PAS Perak. Apakah faktor yang mendorong tindakan tersebut?

Abdullah:

Saya berkhidmat selama 29 tahun dengan kerajaan sebelum bersara November 2010, suasana politik yang tidak selesa pada saya, menyebabkan saya tidak berminat untuk menyambung khidmat dan bersara wajib pada umur 56 tahun. Di usia yang sudah mencecah 58 tahun saya tergerak hati untuk mengisyitiharkan diri sebagai penyokong PAS.

Faktor utama ialah Allah telah memberi saya hidayah untuk memilih PAS dan tindakan ini bukanlah disebabkan atas desakan mana-mana pihak dan individu, walaupun saya kenal rapat dengan beberapa pimpinan PAS.

Faktor lain ialah berdasarkan pemerhatian dan penilaian selama berkhidmat selama 11 bulan dengan Pakatan Rakyat, saya ikhlas menyatakan banyak perbezaan antara Pakatan Rakyat dengan BN terutama ketelusan, kesungguhan, keupayaan dan juga keperibadian kepimpinan yang tidak dapat ditandingi oleh pimpinan Umno-BN.

Walau bagaimanapun seperti kebanyakan rakan-rakan lain yang menyertai PAS adalah kerana mendapat hidayah dan kesedaran daripada Allah.

Saya menyokong PAS bukan ada apa-apa kepentingan, juga bukan mendapat imbuhan dan balasan. Saya tidak berniat langsung untuk menjadi pemimpin PAS atau menjadi calon. Saya hanya mahu bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk tumbangkan BN dalam PRU akan datang.

 
 
Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Saudara pernah dilabel sebagai konspirator dalam insiden rampasan kuasa yang berlaku di Perak oleh blogger-blogger dan masyarakat khususnya penyokong Pakatan Rakayat yang mungkin tidak tahu situasi sebenar. Apakah perasaan Saudara apabila ditohmah sebegitu rupa, dan di waktu itu apakah kedudukan yang sebenar ?
 
Abdullah:

Secara peribadi saya berasa sedih kerana saya tidak boleh menjelaskan perkara sebenar ketika itu disebabkan tiada platform dan ruang untung menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.

Sehinggakan jiran-jiran saya berpandangan serong kepada saya yang dianggap telah bersekongkol dengan BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya ingin jelaskan dan tegaskan bahawa saya tidak terlibat langsung dengan apa yang dipanggil konspirasi apatah lagi sebagai konspiratornya. Saya hanya pegawai kerajaan yang berjawatan Setiausaha Dewan Negeri, bertanggungjawab ke atas perjalanan sidang dewan dan juga yang berkaitan dengannya dan juga bertanggungjawab ke atas perjalanan mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang juga diberi tugas mencatat dan menyediakan kertas dan minit mesyuarat.

Dalam DUN Bos saya ialah Speaker Dewan Negeri, dalam mesyuarat EXCO bos saya ialah Menteri Besar dan dalam perkhidmatan kerajaan bos saya pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri. Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

Di awal kemelut politik berlaku, tidak ada yang mengenali saya ketika itu. Nama saya hanya muncul apabila saya menyanggahi arahan Speaker DUN Perak.

Saya bertegas bahawa tindakan-tindakan adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan, saya tidak upaya elak berbuat demikian kerana terpaksa menerima arahan pihak atasan.

Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontrovesi iaitu sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker yang sah ketika itu, YB V Sivakumar sebagai tidak sah.

Atas sebab kenyataan saya itu, tercatat memori dan sejarah dunia apabila sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan Rakyat dihalang memasuki dewan.

Jadi kenyataan itu tidak ada kaitan dengan konspirasi rampasan kuasa oleh BN.

Saya mahu tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat termasuklah dalam urusan ‘membeli’ Adun dan sebagainya.
 
Dalam kesempatan ini saya ingin bersihkan nama saya yang dianggap menjadi “conspirator” dalam insiden rampasan kuasa oleh BN itu.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang apabila Adunnya melompat parti tetapi Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan Pakatan Rakyat serta disokong oleh beberapa pakar perundangan bertegas bahawa Nizar tetap sebagai Menteri Besar yang sah. Jadi apa pandangan saudara ketika itu?

Abdullah:

Harus diingat, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan, dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihanraya semula diadakan. Ini tercatit didalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Dato’ Seri Nizar tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan beliau tdak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya.

Saya lebih chenderong untuk setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Apa pandangan En Abdullah ketika insiden V Sivakumar diusung keluar yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Speaker?

Abdullah:

Apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan, BN ketika itu tidak nampak ada satu lagi institusi ataupun jawatan penting iaitu Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum mendapat menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

Jadi jika inginkan kuasa sebenar kerajaan dalam sidang DUN, BN ketika itu perlukan kuasa sepenuhnya di dewan dan ini yang mereka terlepas pandang.

Semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN, pada masa yang sama V Sivakumar masih duduk di kerusinya.

Tiba-tiba Timbalan Speaker, YB Hee Yit Fong telah adakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik, saya baca buku perintah tetap tentang tindakan Hee itu namun saya tidak menjumpai satu fasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku, ini bermakna Peraturan Tetap Dewan telah dilanggar.

Saya tidak pasti siapa yang mengusung V Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ianya bukan staff dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

En Abdullah ada pengalaman yang lama dengan BN berbanding dengan Paktan Rakyat yang cuma 11 bulan, jadi apakah perbezaan yang ketara antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan BN?

Abdullah:

Semasa mula-mula Pakatan Rakyat memulakan tugas, kami tertanya-tanya bagaimana corak pemerintahan dan adakah Pakatan Rakyat mampu memerintah. Saya sendiri tidak berapa yakin dengan gabungan tiga parti ini ketika itu.

Sebagai pegawai kerajaan, saya menjalankan tugas seperti biasa. Kami pegawai kerajaan hanya sebagai pelaksana terhadap dasar dan polisi kerajaan Pakatan Rakyat, apa yang mereka putuskan, kami wajib melaksanakannya asalkan tidak bertentangan dengan etika perkhidmatan.

Perbezaan yang sangat ketara ialah Adun-Adun Pakatan Rakyat terutama EXCO sangat mesra dan mudah mendampingi pegawai dan kakitangan kerajaan dan tiada kerenah birokrasi. Tidak pernah sebelum ini seorang Menteri Besar boleh turun makan tengah hari di kantin bersama pegawai-pegawainya melainkan Dato’ Seri Nizar.

Semua Exco Pakatan Rakyat termasuklah dari kalangan DAP cukup merendah diri dan tidak sombong ataupun egois.

Pemerintahan Pakatan Rakyat sangat telus sehinggakan Nizar sering menasihatkan kepada Exco-Exconya supaya tidak mengambil kepentingan parti melainkan kepentingan rakyat.

Dari segi ketekunan, saya dapati diperingkat awal mesyuarat EXCO mengambil masa panjang cuma berhenti untuk makan dan solat. Menteri Besar dan barisan EXCO begitu teliti terhadap semua kertas mesyuarat sama ada mahu melulus atau menolak.

Semua EXCO telah diberi peluang untuk memberi pandangan sebelum keputusan dibuat.

Menteri Besar dan Exco tidak pernah mengarahkan saya mendahulukan mana mana kertas, terserah kepada saya sebagai setiausaha memilih kertas yang akan dibawa.

Dalam soal penjimatan kos jamuan keraian anjuran kerajaan negeri juga dikurangkan termasuklah makanan sewaktu mesyuarat EXCO. Setiap kali mesyuarat EXCO kos makanan kurang daripada RM45 seorang berbanding dulu hanya untuk minum pagi sahaja RM 45 seorang.

Waktu solat, surau di pejabat SUK sangat meriah dan imarah tanpa paksaan untuk berjemaah . Dato’ Seri Nizar sendiri akan mengimamkan solat berjemaah seterusnya menyampaikan tazkirah. Ini sangat berbeza dengan pemerintahan BN.

Ketika bulan Ramadhan dihiasi dengan pelbagai program seperti tazkirah setiap pagi, semua EXCO, ADUN yang muslim serta beberapa pegawai kerajaan termasuk SUK, pegawai kewangan dan Mufti diberi peluang menyampaikan tazkirah Ramadhan selama 10 minit .

Ia sangat mengesankan sekali. Ada EXCO DAP beritahu saya mereka tiada masalah turut berminat mendengar tazkirah pagi.

Pemberian bubur lambuk yang dibuat sendiri oleh kakitangan SUK dan pimpinan Pakatan Rakyat serta pelbagai lagi program untuk mengimarahkan bulan Ramadhan.

Ini baru perkara-perkara kecil, belum sentuh bab lain seperti pemberian air percuma, pengecualian kompaun, pemberian tanah hak milik kekal kepada Kampung Tersusun dan Kampung Baru, bantuan RM 1,000 kepada pelajar-pelajar yang ke IPT, dan sebagainya.

Setiap kali mesyuarat EXCO, Dato’ Seri Nizar bersama barisan exco sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan ini menggambarkan betapa tekun serta bersungguh-sungguhnya kerajaan PR untuk membantu rakyat.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Semasa pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan dahulu, PAS dan Menteri Besar sering dimomokkan sebagai "boneka" atau "kuda tunggangan" DAP, Dato’ Seri Nizar pula hanya ikut telunjuk EXCO DAP dalam membuat apa sahaja keputusan. Jadi apa pandangan Saudara?

Abdullah:

Saya lihat inilah yang menjadi modal utama BN bagi memberi persepsi buruk masyarakat terhadap PAS dan ini adalah tidak betul sama sekali.

Dalam mesyuarat Exco Pakatan Rakyat, mereka tidak langsung membawa kepentingan peribadi saperti saranan Menteri Besar supaya perkara dielakkan.

Tuduhan BN yang mengatakan DAP menguasai mesyuarat dan mengikut arahan DAP ternyata fitnah semata-mata. Semua perkara dibincangkan secara terbuka dan Dato’ Seri Nizar memberi peluang kepada semua ahli mesyuarat menyatakan pandangan mereka.

Saya mengambil contoh satu kes menggazetkan tapak surau di Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham selaku Adun kawasan tersebut pergi melihat sendiri keadaan surau tersebut.

Pada mulanya mesyuarat mewartakan setengah ekar untuk kawasan surau itu, Dato’ Ngeh mencadangkan untuk meluaskan lagi tapak surau tersebut kepada satu ekar bagi memudahkan parkir kereta umat Islam yang hendak beribadah. Ini membuktikan DAP tidak mempunyai sikap anti Islam dan perkauman.

Berlaku lagi satu kes meluluskan satu tapak tokong Cina di Tambun. Kawasan yang terletak di tepi gua tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai untuk medirikan tokong. Ulasan dari Jabatan yang berkaitan tidak bersetuju dan menasihatkan tidak diluluskan.

Mesyuarat menerima cadangan syor tersebut, lalu menolak permohonan tapak tokong. Saya tidak lihat Exco dari kalangan DAP yang membantah keputusan itu atau mempertahan permohonan tersebut dan mereka semua setuju.

Saya lihat persefahaman antara Ecxo sangat baik dan menghormati Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar walaupun DAP majoriti.

Misbahul Munir/HARAKAH:

Selepas mengisytiharkan diri sebagai penyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, adakah terdapat kekangan-kekangan dan tawaran yang datang dari kerajaan BN Perak?

Abdullah:

Sahabat-sahabat saya tiada masalah dengan tindakan saya menyertai PAS, ada juga yang membantah. Ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saya muncul kembali Mereka fikir, selepas pencen saya berdiam diri dan tidak peka dengan politik semasa.

Seorang bekas pegawai tinggi kerajaan ada berjumpa saya menasihatkan saya supaya membatalkan hasrat untuk menyertai PAS. Saya tidak pastilah, itu kehendak dia ke atau diminta oleh pemimpin Umno untuk memujuk saya.

Saya hairan kenapa mereka sangat terkejut dengan tindakan saya, adakah ianya isu hangat, adakah saya ini terlalu bahaya dan kemunculan saya akan meresahkan BN. Sedangkan ramainya bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS dan Pakatan Rakyat seumpama satu fenomena masa kini.

Kemungkinan juga kerana saya banyak mengetahui cerita dan rahsia. Saya tahu ada perkara yang boleh diceritakan, ada rahsia yang tidak boleh didedahkan. Perkara-perkara kecil yang tidak menjadi rahsia kerajaan bolehlah saya kongsikan.

Sampai sekarang ini, mereka masih memerhatikan saya dan mengikuti perkembangan ini. Saya juga diminta berjumpa dengan orang politik Umno-BN untuk kononnya ingin mentarbiah atau “brainwash” saya. Saya ucap terima kasih sahajalah kerana saya telah memilih halatuju sendiri.

Saya berharap mereka tidak mengganggu saya sebagai rakyat yang cintakan demokrasi. Saya pasti saya tidak akan memperolehi apa apa dari kerajaan negeri hatta sebidang tanah RPT pun selepas ini.

Misbahul Munir/HARAKAH:

Untuk yang terakhir ni, apa seruan En Abdullah kepada seluruh rakyat Perak dalam PRU akan datang.

Abdullah:

Saya nak beritahu,BN sekarang ini bukanlah kuat sangat, mereka dapat kuasa pun bukan dengan cara demokrasi. Pakatan Rakyat dapat mandat dari rakyat melalui PRU yang lalu sekalipun dengan majoriti yang kecil. BN dapat kuasa setelah 3 orang Adun mengkhianati mandat rakyat.

Oleh itu, saya rayu dan seru seluruh rakyat Perak buat perubahan dengan berani pada PRU akan datang. Kembalikan semula kuasa Pakatan Rakyat melalui kuasa rakyat. Saya yakin Insya Allah, Paktan Rakyat akan kembali memerintah Perak selepas ini. Percayalah saya telah mengalami pengalaman yang manis selama 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah dan saya akan bersama- sama seluruh rakyat Perak untuk meraikan kemenangan dalam PRU13 akan datang.

"Qiam With Me" Bersama Sultan Kelantan



Sejarah negeri Kelantan sekali lagi tercipta 'Qiam with me' bersama Sultan Kelantan di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan Serambi Mekah....

Istana bukan tempat kemegahan...sebaliknya menjadi tempat pengabdian diri kepada Allah... Tahniah Sultan Kelantan... rakyat Kelantan mencari Lailatul Qadr bersama Sultan di Istana Kelantan....
















Ribuan sertai qiam bersama Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Ribuan rakyat negeri Kelantan tidak melepaskan peluang untuk menghidupkan Ramadhan bersama Sultan Kelantan dalam program Qiam With Me di Istana Negeri di sini malam tadi.

Program julung-julung kali diadakan itu menerima sambutan luar biasa rakyat yang mahu bersama sultan kesayangan mereka Sultan Muhammad V.

Suasana malam tadi menyaksikan Dewan Jubli Perak, di Istana Negeri, Kubang Kerian itu penuh malah kesemua khemah diluar dewan juga sesak.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat Terawih bersama Sultan Muhammad V.

Turut hadir pada program itu, saf kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus sebelum masing-masing diberikan masa untuk berehat.

Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.
-HD

'Fatwa' Utusan: DAP buat 2 laporan polis





PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang memaklumkan dua laporan polis telah dibuat berhubung laporan muka depan akhbar Umno, Utusan Malaysia yang bertajuk 'Haram Sokong DAP' kelmarin.

Menurutnya laporan polis itu dibuat masing-masing di di Pulau Pinang dan juga di Perak.

"Apa yang dipaparkan itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta merupakan satu jenayah yang besar berbentuk hasutan.

"Kita telah membuat laporan polis di Pulau Pinang dan Perak terhadap apa yang disiarkan," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam.

Membidas laporan itu Kit Siang juga berkata, DAP tidak pernah menentang Perlembagaan Persekutuan khususnya kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini dan apa yang dinyatakan oleh akhbar tersebut tidak benar serta fitnah.

"Pendirian DAP jelas kita menerima dan hormat di dalam Perlembagaan Islam adalah agama rasmi.

"Malah pendirian kita tetap sama dengan Umno yang mana pendirian Perdana Menteri sebelum Tun Mahathir Mohamad telah mengatakan Malaysia negara sekular dan Islam adalah agama rasmi," katanya.

Tegasnya, tindakan utusan itu tidak bertanggungjawab dan hanya untuk memecahbelah rakyat Malaysia.

Sehubungan itu beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pandangan terhadap sikap Utusan itu.

Pelampau agama


Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan Utusan yang juga lidah rasmi Umno itu sebagai lebih kepada kempen pelampau agama.

"Hanya kerana DAP tidak menyokong negara Islam dan hudud maka mereka kata sokong DAP adalah haram.

"Kenapa tidak kepada MCA yang juga jelas menentang negara Islam dan Hudud, malah Umno juga turut tidak mahu melaksanakan hudud di negara ini," tegas Anwar.

Katanya, Pakatan Rakyak akan terus mengekalkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan mempertingkatkan penghayatan Islam dalam masyarakat serta negara bukannya melempar tuduhan sedemikian demi kepentingan politik sempit. -Hrkh

Atlet Wanita Arab Saudi Diberi "Standing Ovation" Di Olimpik, London



Kata orang, kemenangan bukanlah perkara utama, namun lebih penting ialah penyertaan dalam sesuatu acara sukan. Dalam hal ini, Sarah Attar diberi penghormatan dan tepukan gemuruh oleh penonton di stadium ketika menyertai acara larian 800 meter di Sukan Olimpik London.

Standing ovation yang diberikan kepada Sarah bukanlah kerana dia menang acara itu, namun dia merupakan atlet wanita pertama yang mewakili Arab Saudi dalam acara di trek di Olimpik.

Penyertaan Sarah merupakan saat bersejarah apabila Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi membenarkan atlet wanita negara itu menyertai Sukan Olimpik di London.

Sarah menamatkan larian sebanyak dua pusingan trek itu hampir 45 saat di belakang pemenang acara itu, iaitu atlet Kenya, Janeth Jepkosgei Busienei yang menamatkan larian pada catatan 2 minit 01.04 saat.








Sarah, 19, merupakan pelajar seni di Pepperdine University di Malibu, California. Dia memiliki dua kerakyatan dan memilih untuk mewakili Arab Saudi, negara asal bapanya. 

Bercakap selepas acara larian itu, dia berkata "Peluang mewakili Arab Saudi merupakan suatu penghormatan dan amat membanggakan. Saya harap penyertaan ini dapat memberikan impak yang besar."


Mengikut rekod, catatan yang dibuat oleh Sarah dalam acara yang 800 meter di Olimpik ini 4 saat lebih perlahan daripada catatan peribadinya. Namun begitu, atlet ini diberitakan lebih gemar acara 1500 meter berbanding dengan acara 800 meter. -DCM









Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .