Ikuti Blog ini

Fenomena Amanat dan Takfir

Saya tidak menduga petikan ucapan saya diawal 80-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk UMNO selepasnya, telah dijadikan satu polemik. Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh UMNO, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka FELDA dan penyelewengan yang berlaku kepada FELDA, riuh-rendah pembongkaran Deepak, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan UMNO-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini. Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah kehadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah kebelakang.

Isu “takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular di dalam UMNO, diseluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam di zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 60an. Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik,ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Di waktu itulah kita mendengar istilah ‘hantu kum-kum’ dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat dizaman kita bitu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku diseluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka diatas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan paraulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya.Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku.

Ramai di kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal60an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti : “Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak  cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh  makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri” dan sebagainya. Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya  tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga keperingkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab,Mursyid Am Ikhwan Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku “Nahnu Dua’at La Qudat” (Kita Pendakwah Bukan Hakim Yang menjatuhkan hukuman). PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut UMNO tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluardaripada BN pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS dibawah pimpinan Datuk Asri, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya “Batas – Batas Iman dan Kufur” dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan UMNO yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu capan saya di selidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah. Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab :”Ya ! Sebenarnya itu ucapan saya “. Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam UMNO secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan NGO Islam, dengan ruang terbuka dengan UMNO boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. UMNO tidak menjawab.

Tiba-tiba Presiden UMNO di masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam UMNO supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak UMNO yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak UMNO melantik pengerusi dan penentuan masa. PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan UMNO, padahal UMNO lah yang membuka pintunya. Akhirnya UMNO terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh  di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara dari kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 80an dahulu. Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan UMNO yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang  tidak diingini." (al-Furqaan : 63)


Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
10 Januari 2013

Gambar TG Nik Aziz sambut hari lahir












TGNikAziz1TGNikAziz2 

Selamat hari lahir Tok Guru!! Semoga panjang umur dan sihat selalu….Info TG Nik Aziz dari Wikipedia;
TG Nik Aziz lahir pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
TG Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.[3] Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.
Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran ‘Tuan Guru’ di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.
Pendidikan
TG Nik Aziz mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir.[4] Ketika belajar, beliau pernah menjadi salah seorang saksi kepada Perang Arab-Israel.[perlu rujukan]
Beliau juga pernah belajar di:
Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936
Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan
Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu
Universiti Deoband, India – 1952
Universiti Lahore, Pakistan – 1957
Universiti al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
Universiti al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.
Beliau mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.[4] – Wikipedia

[HKR 112] Mat Sabu: Tiada Perarakan, Cuma Berjalan Lenggang Lenggok Ke Stadium Merdeka..



Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa penganjur tidak akan mengadakan perarakan ke Stadium Merdeka bagi perhimpunan 12 Januari.

"Tidak ada perarakan, cuma berjalan lenggang lenggok secara bersantai ke sana," katanya sambil diiringi ketawa kecil wartawan.

Tambahnya, penganjur akan memaklumkan kepada ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar mengenai kesediaan Stadium Merdeka untuk membenarkan lokasi itu digunakan bagi perhimpunan tersebut.

Selain itu, penganjur juga akan menghantar wakil untuk bertemu ketua polis daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad esok bagi menyelaras kerjasama berhubung perhimpunan tersebut.

"Hasrat IGP mahukan perhimpunan ini himpunan yang bersejarah, aman, teratur sebelum pilihan raya umum kerana selepas ini Pakatan Rakyat akan mengambil alih melalui proses demokrasi.

"Himpunan ini akan menjadi rekod kepada negara dunia ketiga dengan memberi isyarat kepada SPR dan pengamal media kerajaan supaya menunaikan tuntutan rakyat.

"Kita tak mahu ambil alih (negara) melalui pertumpahan darah," katanya.

Selain itu, pihaknya akan menghantar delegasi itu bertemu dengan OCPD Dang Wangi Zainuddin Ahmad esok untuk menyelaraskan kerjasama bagi menjaya perhimpunan tersebut, katanya.

Seorang lagi anggota jawatankuasa penganjur, Tian Chua berkata beliau tidak melihat bahawa kekacauan akan berlaku dalam perhimpunan berkenaan.

"Pihak penganjur dan polis sentiasa mengadakan perbincangan dan dialog untuk memastikan ia berjalan dengan lancar," kata Tian.

Polis juga tidak meletakkan syarat yang melarang orang membawa kain rentang pada perhimpunan tersebut dan pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan pada hari tersebut.

"Polis tidak akan membuat sekatan jalan raya. Polis memberi jaminan tidak akan ada halangan. Dan kita ada wakil untuk bantu orang ramai ke stadium.

Seorang lagi anggota jawatankuasanya, Hishamuddin Rais berkata, perhimpinan berkenaan antara lainnya akan diisi dengan ucapan pemimpin parti politik, NGO dan diselang seli dengan lagu dan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Pihak penganjut juga akan membaca deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, katanya. -mk


Comandan Berjalan Lenggang Lenggok HKR #112 Stadium Merdeka

Masjid Negara -
YB Khalid Samad, YB Azmin Ali, YB Mujahid

Pasar Seni -
YB Elly Wong, YB Siti Mariah, YB Teresa Kok

Masjid Rahman(UM) -
Adam Adli, YB Nurul Izzah, Safwan Anang, Raja Iskandar, YB Ng Swee Lin

KLCC -
Mazlan Aliman, YB Husam Musa, YB Teng Chang Kim

Jalan Sultan -
Ishak Surin, YB Fuziah Salleh, Wong Tak, YB Tan Kok Wai

KL Sentral/Brickfields -
Arun (PSM), Rajaratnam, Faizal OkU, Mariah Chin

Menjelang PRU13, Putrajaya Arah Media Tempatan 'Menipu Rakyat'


KUALA LUMPUR, 10 Jan — Putrajaya telah memberitahu media tempatan untuk “melembutkan hati rakyat” dan menyediakan lebih banyak berita baik sebelum pilihan raya umum (PRU) tahun ini bagi menunjukkan rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata eksekutif yang menghadiri siri mesyuarat secara senyap-senyap sejak Hari Tahun Baru.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa pengarang berita akhbar dan televisyen juga diberitahu untuk memainkan cerita ekonomi yang positif dan bantahan komuniti perniagaan terhadap perhimpunan jalanan seperti perhimpunan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) hujung minggu ini di Stadium Merdeka.

“Menteri mahu kami 'melembutkan hati rakyat' 'dengan berita positif dan program, “kata seorang eksekutif media yang menghadiri mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

“Tumpuan adalah lebih kepada masyarakat Cina dan India kerana BN merasakan tidak mendapat sokongan yang cukup daripada mereka,” tambah eksekutif tersebut.

BN mengalami kekalahan bersejarah pada pilihan raya 2008, kehilangan empat negeri dan lebih satu pertiga daripada 222 kerusi parlimen kepada beberapa parti pembangkang - kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat (PR) di bawah bekas timbalan perdana menteri yang dipecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perubahan undi dikaitkan dengan rasa tidak puas hati meluas di kalangan masyarakat Cina dan India, yang membentuk minoriti signifikan dalam negara 28 juta penduduk.

Tetapi pakatan pembangkang sukar untuk mengembangkan pengaruh melalui media massa kerana kerajaan mengawal radio dan televisyen kebangsaan Radio Televisyen Malaysia (RTM), agensi berita Bernama dan cabangnya Bernamatv dan Radio24.

Kementerian Rais juga bertanggungjawab kepada perlesenan penyiar swasta seperti Syarikat Televisyen Malaysia Bhd (STMB), Astro, TV AlHijrah dan stesen radio swasta.

Difahamkan menteri telah meminta senarai program-program positif yang akan disiarkan dalam beberapa bulan akan datang menjelang pilihan raya 2013 yang kini dijangka akan diadakan sebelum minggu pertama April.

Mandat untuk kerajaan BN tamat pada 28 April ini tetapi pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan pilihan raya lebih awal.

“Menteri mahu senarai program yang akan dikemukakan kepada kepimpinan BN,” kata seorang lagi eksekutif media yang menghadiri mesyuarat sama.

Tetapi eksekutif tersebut berkata terdapat kekeliruan oleh kerana kebanyakan kumpulan media sudah mengemukakan berita dan program-program mereka kepada Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Terdapat terlalu ramai orang yang meminta senarai itu tetapi menteri menegaskan kita perlu menghantarnya semula,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan BN sudah menubuhkan bilik perang pilihan raya di Putrajaya, memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti media termasuk Jelajah Janji Ditepati - dianjurkan oleh TV3 dari STMB, yang merupakan sebahagian daripada Media Prima Bhd, kumpulan media dikaitkan dengan parti dominan BN, Umno.

Bilik perang pilihan raya juga mengendalikan aktiviti siber, termasuk membayar rombongan cybertroopers untuk memastikan BN dapat bersaing dengan PR yang telah menggunakan rangkaian sosial dan laman web untuk kesan lebih besar.

Walaupun adanya operasi itu, kementerian Rais sudah terbukti lebih berkesan dengan program-program di RTM dan mendapatkan penyiar swasta untuk menggeluarkan berita positif kerana kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar masih bergantung kepada televisyen dan radio untuk berita dan maklumat mereka.

Malaysia mempunyai penembusan jalur lebar di bawah 70 peratus manakala tiga daripada lima isi rumah melanggan pembekal televisyen satelit Astro – turut mempunyai RTM, TV3 dan stesen tempatan lain-lain yang dikawal ketat.

“Kerajaan tahu bahawa orang masih menonton televisyen dan mendengar radio jadi ini pengaturcaraan positif boleh membuahkan hasil, “kata eksekutif televisyen tempatan yang berkata meja perniagaan beliau telah diminta untuk menyiarkan lebih banyak berita ekonomi positif.

Beliau mengatakan, rakan-rakan di media cetak juga diminta untuk melakukan tinjauan pendapat dari orang ramai, pemandu teksi, bas, dan peniaga bagi menunjukkan penghinaan mereka kepada perhimpunan jalanan yang sering dianjurkan oleh pembangkang untuk pelbagai sebab.

“Putrajaya mahu kita menunjukkan bahawa rakyat perlu menghormati Akta Perhimpunan Aman dan bukan protes semata-mata hujung minggu ini kerana ia boleh menyebabkan kesukaran ekonomi,” tambah eksekutif tersebut.

Polis dan pengurusan Stadium Merdeka sudah meluluskan perhimpunan, pertama kali dalam sejarah kerana perhimpunan sebelumnya telah diharamkan dan menyebabkan kepada keganasan.

Penganjur perhimpunan bagaimanapun berhujah bahawa protes itu sebenarnya meningkatkan perniagaan untuk peniaga-peniaga kecil dan syarikat-syarikat pengangkutan awam. ~tmi

Dua Pemimpin Dunia Yang Menghafal Al-Quran



HHafiz (penghafal Al-Quran) dan juga pemimpin negara. Itulah dua gelaran yang disandang oleh Mohammed Mursi dan Ismail Haniya.

Mursi tercatat sebagai Presiden Mesir pertama yang hafal Al-Quran.Beliau yang mempunyai nama lengkap Mohammed Mursi Issa Ayyat ini bersama isteri dan seluruh ahli keluarganya adalah penghafal Alquran.

Mursi menjadi Presiden ke-5 Mesir sejak 30 Jun 2012 yang lalu. Mursi menjadi Anggota Parlimen di Majlis Rakyat Mesir pada penggal tahun 2000-2005 dan seorang tokoh terkemuka di Ikhwanul Muslimin.

Sejak 30 April 2011, beliau menjabat jawatan Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sebuah parti politik yang didirikan oleh Ikhwanul Muslimin setelah Revolusi Mesir 2011. Beliau dipilih sebagai calon presiden dari FJP pada pilihan raya umum presiden Mei-Jun 2012 yang lalu.

Pada 24 Jun 2012, Lembaga Pemilihan Umum Mesir mengumumkan bahawa Mursi memenangi pilihan raya umum Presiden dengan mengalahkan Ahmed Shafik, Perdana Menteri terakhir di bawah kekuasaan Hosni Mubarak.

Selain Mursi, pemimpin dunia yang juga penghafal Al-Quran adalah Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya. Bahkan anaknya yang bernama Aid berjaya menyempurnakan hafalan Al-Quran dalam 35 hari dan memperoleh gelaran mumtaz (sempurna).

Baik Mursi mahupun Haniya memiliki akar yang sama, iaitu Ikhwanul Muslimin.

Mursi mewakili sayap politik Ikhwan di Mesir melalui Parti Kebebasan dan Keadilan. Sedangkan Haniya adalah pemimpin Hamas yang didirikan oleh Syaikh Ahmad Yassin sebagai pemimpin perjuangan Ikhwanul Muslimin di Palestin. -HalimIslam

Selamat datang para pencinta perubahan


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kedatangan semua peserta ke himpunan bersejarah bagi rakyat Malaysia pada 12 Januari ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) bakal menyaksikan jutaan rakyat Malaysia berhimpun bagi menuntut sebuah kerajaan yang adil dan bersih.

Katanya, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang menggabungkan 8 tuntutan daripada pelbagai NGO dan organisasi ini merupakan satu himpunan mega yang terakhir sebelum pilihanraya umum 13 nanti.

DPPWP juga, ujarnya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara kerana telah menyatakan komitmen untuk mengawal keselamatan ketika himpunan itu berlangsung.

“Kerjasama yang penuh daripada pihak polis ini perlulah disambut para peserta himpunan dengan memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan himpunan ini.

“Dengan komitmen yang telah diberikan oleh KPN ini maka seharusnya rakyat Malaysia tidak perlu gentar lagi untuk turun berhimpun di Stadium Merdeka pada Sabtu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, DPPWP ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan dan sekitar Lembah Klang untuk bersama-sama hadir ke himpunan aman itu.

Katanya, DPPWP mensasarkan seramai 10,000 orang anak muda WP dan Lembah Klang yang akan turut sama hadir menyertai himpunan bersejarah itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang inginkan perubahan dalam arus politik tanah air dan yang inginkan Malaysia bebas dari segala gejala yang tidak bermoral oleh pemimpin Malaysia seharusnya hadir bagi bersama-sama menuntut perubahan.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia bangkit menyatakan hasrat dan hak kita,” ujarnya.

Justeru, kata beliau DPPWP sekali lagi menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk hadir dengan memakai pakaian sama ada berwarna hijau, merah, jingga dan kuning.

Tambahnya lagi, para peserta juga disarankan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur ini.

“DPPWP juga inginkan mengingatkan kepada para peserta supaya menjaga akhlak semasa berhimpun nanti dan jangan mudah termakan dengan provokasi-provokasi daripada mana-mana pihak.

“Hadirlah dengan jiwa yang aman, dengan harapan yang menggunung dan penuh iltizam kepada Allah SWT agar Umno BN dapat dikuburkan dalam PRU13 akan datang,” ujarnya.

Selamat Datang Para Pencinta Perubahan! -Hrkh

Mana Mufti ketika Mahathir dan Najib beri amanat bercanggah dengan Islam


Panas!!! Mahkamah arah keahlian Isa Samad dibuang dari KPF


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zaleha Yusuf hari ini memutuskan bahawa Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tersilap apabila mengekalkan keahlian Tan Sri Isa Samad di dalam Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Justeru itu, beliau telah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh lima orang peneroka Felda Jengka, Pahang bagi mencabar keputusan SKM tersebut. Pada pendengaran pagi tadi, Zaleha bersetuju dengan hujah peguam para peneroka dan memerintahkan perintah deklarasi bahawa keputusan SKM adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memerintahkan perintah Mandamus iaitu perintah yang mengarahkan KPF mengambil tindakan memadamkan dan membuang nama Isa dari rekod keahlian KPF dengan kadar serta merta. Hakim juga memerintahkan kos RM3,000 dibayar oleh SKM kepada peneroka yang manjadi pemohon dalam kes semakan kehakiman tersebut.

Dengan keputusan mahkamah hari ini selesailah kemelut dan kontroversi status keahlian Isa Samad di dalam KPF.

Sebelum ini status keahlian Isa Samad menjadi isu hangat kerana berdasarkan undang-undang kecil KPF beliau tidak layak menjadi ahli KPF. Keahlian KPF hanya dibenarkan kepada peneroka, isteri dan anak peneroka dan kakitangan tetap Felda. Isa tidak termasuk dalam mana-mana kategori tersebut.

Dipercayai keahlian Isa Samad tersebut diluluskan sebelum ini sebagai usaha untuk melantik beliau menjadi Pengerusi KPF. KPF adalah satu-satunya anak syarikat Felda yang belum dapat dikuasai oleh Isa Samad.

Ramai percaya bahawa KPF adalah lubuk emas kepada Felda yang telah lama diintai oleh Isa. Usaha untuk mengheret KPF ke dalam penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) juga gagal sebelum ini. Keahlian Isa Samad telah dicabar oleh beberapa orang peneroka yang menjadi ahli KPF dan isu keahliannya telah dibawa ke Panel Pertikaian SKM pada Mei 2012.

SKM telah membuat keputusan yang dikira aneh kerana meskipun ia bersetuju keahlian Isa Samad adalah bercanggah dengan undang-undang kecil KPF namun dalam masa yang sama ia juga memutuskan keahliannya tidak boleh dibuang atau dipadam dari rekod keahlian KPF.

Dengan keputusan SKM tersebut lima orang peneroka telah mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh peguam para peneroka iaitu Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Pada bulan Oktober iaitu sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF, Hakim Tuan Abang Iskandar memberi kebenaran untuk para peneroka meneruskan semakan kehakiman ke atas SKM dan hakim juga memerintahkan perintah interim menggantung keahlian Isa Samad dan melarang apa-apa pelantikan beliau sebagai Pengerusi KPF di dalam mesyuarat agung tersebut. Pada hari ini Hakim Datuk Zaleha secara muktamad mengarahkan keahlian Isa Samad dibuang dari rekod KPF.

Dalam perbicaraan hari ini para peneroka diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin manakala SKM diwakili oleh Mohd Zainudin dan KPF pula diwakili L.Doshi. - Hrkh

[HKR 112] Penggunaan Stadium Merdeka Diluluskan!






Himpunan 12 Jan: Penganjur dibenar guna Stadium Merdeka

Naib presiden PKR Tian Chua berkata bahawa pengurusan Stadium Merdeka membenarkan panganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat menggunakan tempat bersejarah berkenaan bagi perhimpunan 12 Januari.

"Pihak pengurusan balas kepada panitia Perhimpunan Kebangkitan Rakyat bahawa pemohonan mengguna Stadium Merdeka dibenarkan. Hidup rakyat," katanya dalam satu tulisan di Twitter hari ini.

Tambahnya, jawatankuasa berkenaan kini sedang mengadakan mesyuarat bagi persiapan terakhir, susulan perkembangan itu.-mk



Sidang Media selepas Mesyuarat HKR


SAMM beri amaran jangan timbulkan provokasi

KUALA LUMPUR, 9 Jan ― Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak yang menentang perhimpunan agar jangan menimbulkan provokasi pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Menurut penyelaras SAMM Wilayah Persekutuan Azmir Mustapha, beberapa hari ini aktivis-aktivis SAMM seluruh negara diganggu dengan SMS berbaur ancaman dan ugutan dari pihak yang mendakwa diri mereka dari Perkasa, Pekida, Pemuda Umno dan 80 NGO untuk menghalang perhimpunan in.i

“Regim usang ini sedang menghayati zaman-zaman akhir pemerintahan mereka dengan melakukan provokasi, sabotaj dan menggunakan samseng upahan untuk menakutkan aktivis pro perubahan.

“Saya memberi amaran kepada pihak ini untuk tidak sama sekali menyerang kumpulan rakyat yang hadir ke KL112, sekiranya anda menjual, kami sedia membelinya,” kata Azmir selepas menyerahkan bunga kepada pihak polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Penyerahan bunga itu diserahkan kepada Sarjan Mejar M Nazir iaitu pemangku timbalan ketua balai polis Dang Wangi, sebagai tanda penghargaan SAMM kepada pihak polis yang menjaga keamanan di negara ini.

SAMM juga mengajak pihak polis untuk bersama-sama datang ke perhimpunan pada Sabtu ini di Stadium Merdeka.

Walau bagaimanapun, pihak polis diwakili Nazir enggan menerima risalah yang cuba diserahkan SAMM kepada pegawai polis.

Semalam, pihak polis menurut penganjur perhimpunan akan mengawal perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Januari ini dan akan memastikan ianya aman dan menjadi “peristiwa bersejarah.”

Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan ini akan menjadi “peristiwa bersejarah” di mana mereka belajar dari peristiwa lepas.

Gabungan menuntut perubahan pilihan raya Bersih 2.0 cuba mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka pada 9 Julai 2011 tetapi dibatalkan oleh pihak berkuasa pada saat akhir.

Pada perhimpunan ketiga Bersih pada 28 April lalu, kerajaan menawarkan stadium bersejarah tersebut selepas gabungan tersebut memilih Dataran Merdeka tetapi tawaran Putrajaya ditolak kerana dikatakan terlalu lambat.

Perhimpunan 12 Januari ini menyaksikan beberapa kumpulan membuat tuntutan mereka menjelang pilihan raya 2013, termasuk menutup kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, membayar royalti lebih adil kepada negeri pengeluar minyak, pendidikan percuma dan pilihan raya bersih dan adil.
-TMI

HKR : Saya akan datang biar pun keuzuran – TG Nik Aziz

 
KOTA BHARU: “Saya akan pergi biar pun dalam keadaan uzur dan bertongkat pada penyerahan memorandum kepada Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan 11 Januari ini.

“Apa sahaja tindakan menuntut royalti yang diusahakan anak muda kita saya akan sokong demi mendapatkan harta kerajaan dan rakyat Kelantan.

“Saya akan pergi dengan bertongkat. Tongkat lambang kekuatan, polis ada tongkat dia sendiri,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bercakap selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini katanya biar pun dalam keuzuran namun kerana menuntut hak rakyat beliau bersedia hadir.

"Ambo sokong R nak serah memo kepada Petronas. Tak sokong guano itu hak kita. Ambo orang mula-mula nak saman Petronas.

"Sepatutnya kalau ramai orang berhimpun kerajaan kena bagi, baru betul demokrasi... ini tidak," ujarnya lagi.

Menurutnya, royalti jelas hak Kelantan, namun kerana tindakan khianat mereka menafikan sehingga sekarang.

Beliau juga berkata, semua negeri pengeluar minyak dan gas iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak wajar memakai baju berlogo R dan berwarna merah.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R), Mohd Hisyamuddin Ghazali, berkata memorandum itu akan diserah kepada Pengerusi Petronas pada jam 2 petang di PWTC.

Katanya, majlis penyerahan memorandum itu juga akan dihadiri aktivis R dari Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya himpunan sehari sebelum Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini akan disertai anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam musa dan Presiden R Malaysia, Nazri Deraman.

Selain itu Pengerusi R Terengganu, Fauzi Abu Samah, Pengerusi R Pahang, Nordin Majid dan Adun Batu Burok, Syed Azman Syed Ahmad. -Hrkh

LAWATAN KERJA BAKAL MENTERI DALAM NEGERI KE BUKIT AMAN?


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bersalaman dengan CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM semasa lawatan Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat KL 112 di Bukit Aman semalam.

Pelbagai isu dibangkitkan...Hari ini jam 4.00 petang di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur akan diadakan persidangan media khas.

Himpunan Kebangkitan Rakyat KL 112 pasti diadakan jua Sabtu ini 12 hb Januari 2013.

1) Menuntut Pilihanraya Adil & Bersih
2) Bebaskan Tahanan ISA
3) Martabatkan Bahasa Ibunda
4) Menuntut Pendidikan Percuma
5) Selamatkan Kampung warisan & Tradisi
6) Selamatkan Alam Sekitar
7) Pulangkan Royalti Minyak Kelantan
8) Selamatkan FELDA


APABILA PRU BERSIH... PASTI UMNO TERSISIH.

[IKTIBAR] Kaya Pada Usia Muda Buat Safwan Tenggelam, Tak Ingat Mengucap



Seperti kemiskinan, kekayaan boleh menjadi dugaan hidup, apatah lagi memilikinya pada usia muda.

Maklumlah masa muda merupakan waktu di mana nafsu mahu mencuba segala nikmat dunia berada di puncak dada.

Itulah pengalaman dikongsikan Safwan (bukan nama sebenar). Sebagai permulaan cerita dia menyatakan kesyukuran kerana perjalanan hidupnya sejak kecil sering dipermudahkan.

Di sekolah walaupun bukan pelajar paling cemerlang, prestasi pelajarannya dalam kategori baik. Dikelilingi kawan-kawan, Safwan menjalani kehidupan remaja dalam suasana gembira.

“Sejak sekolah rendah saya ada empat kawan rapat – Jeff, Azrul, Din dan Min. Kami membesar dan bermain sama sejak kecil sebab tinggal berjiran. Kami seolah-olah tak dapat dipisahkan,” ujar Safwan.

Selepas tamat SPM, bagai sudah berjanji kelima-lima mereka mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPT sama, mengambil kursus serupa. Hal ini membuatkan persahabatan mereka tambah erat.

Ketika bergelar penuntut mereka jalani hidup bersama; daripada aktiviti pelajaran hinggalah aktiviti luar lain. Keseronokan merempit, mencuba dadah dan mengunjungi pusat hiburan turut diterokai berlima. Lebih daripada itu, mereka turut menjalankan perniagaan menjual ganja dan pil khayal.

“Kami sepakat tak mahu kerja dengan orang Jadi lepas tamat belajar kami gunakan keuntungan jual ganja untuk buka perniagaan bersama,” kata Safwan.

Pada mulanya mereka mengusahakan perniagaan kafe siber.Hasil diperoleh agak lumayan namun lama-kelamaan, ia kian merosot membuatkan mereka mula mencongak peluang perniagaan baru.

“Sudah rezeki Tuhan nak bagi, kami dapat kontrak eksport lintah ke Jepun. Peluang itu terus diambil. Kami usahakan ternakan lintah di tanah yang dipajak,” ujar Safwan.

Sejak itu kehidupan mereka berubah agak total. Memanglah sebelum ini mereka tidak susah sangat dari segi duit, namun saat itu hidup bertukar lebih mewah lagi.

Walaupun selepas diagihkan kepada lima, jumlah untung diterima masih sangat besar untuk dibelanjakan apatah lagi bagi orang muda seperti mereka. Langkah kian panjang.

Semua keseronokan dunia ingin dicuba.

Aktiviti melancong dan berbelanja sakan menjadi perkara biasa. Pada masa sama judi, minuman keras dan perempuan turut menjadi makanan harian. Meskipun rumah sewa mereka masih di Lembah Klang, ibu bapa dan keluarga jarang-jarang sekali dikunjungi. Safwan, Jeff, Azrul, Din dan Min hanyut dalam kehidupan sendiri.

“Mungkin sebab keluarga ada juga bekalkan ilmu agama waktu kecil, kadang-kadang masa tengah khayal dek minuman keras atau dadah kami sempat berbual soal kehidupan. Bertanya satu sama lain, sampai bila nak macam ni? Apa yang kita buat ni berdosa tahu? Tapi walaupun masing-masing tahu dan setuju susah untuk tinggalkan perkara haram. Maklumlah benda seronok kan,” ucap Safwan.

Tak ingat mengucap

Satu hari, ketika sedang melepak, Min mengajak mereka semua ke satu tempat untuk berjudi. Namun apabila kawan-kawan lain tampak bermalas-malas, dia ambil keputusan untuk bergerak dahulu.

“Kami janji akan datang kemudian. Tapi tak sampai 15 minit lepas dia beredar, saya dapat satu panggilan daripada telefon bimbit Min,” ujar Safwan.

Panggilan bagaimanapun dibuat oleh orang lain. Menurut pemanggil, Min terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuching. Safwan dan lain-lain segera ke tempat kejadian.

Setibanya di sana, Min masih sedar namun sudah tak mampu bersuara. Safwan, Din dan Jeff menemaninya dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur manakala Azrul, memandu kenderaan sendiri.

“Dalam ambulan, kami saling berpandangan dalam keadaan panik lihat Min sedang nazak. Petugas ambulan minta kami ajar Min mengucap tapi entah macam mana terpacul dari mulut Jeff, ‘kami tak ingat macam mana nak mengucap pakcik’.

“Petugas itu kemudiannya mengajar Min mengucap. Min menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas itu,” ujar Safwan.

Selepas kematian Min, mereka berempat agak tersentak. Aktiviti harian dan perniagaan diteruskan seperti biasa tapi tak serancak dulu. Apabila duduk bersama mereka lebih banyak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.

Begitu pun, sekali sekala pengambilan dadah dan alkohol masih diteruskan. Keseronokan dunia tetap digunakan untuk merawat hati yang sedih kerana kematian sahabat.

“Satu malam, Jeff tiba-tiba ajak kami balik ke rumah ibu bapanya kerana rindukan ibunya. Oleh sebab keluarga Jeff dah macam keluarga sendiri kami nak ikut tapi mahu menyusul kemudian dengan kereta berasingan,” kata Safwan.

Bawa haluan sendiri

Bagai dejavu, tidak lama selepas Jeff keluar, Safwan sekali lagi menerima panggilan telefon daripada orang tak dikenali. Katanya Jeff kemalangan! Maka mereka bergegas ke tempat kejadian. Sepanjang perjalanan kesemua mereka bagai tak keruan kerana masih diimbau kejadian menimpa Min yang belum pun sampai sebulan.

“Jeff meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Kami terduduk menerima berita itu. Ia terlalu sukar dihadamkan fikiran Belum pun hilang terkejut kehilangan Min, kini Jeff pula menyusul,” ujar Safwan.

Kali ini kematian Jeff benar-benar meninggalkan impak. Safwan, Azrul dan Din bagai kehilangan kata-kata. Semuanya terlalu mengejut.

“Kami mula berbual tentang dosa yang pernah dilakukan bersama-sama. Kami sama-sama setuju ini wake up call dari ALLAH agar kami bertaubat,” ujar Safwan.

Seminggu selepas kematian Jeff, Azrul dan Din menemui Safwan di sebuah restoran. Azrul menyatakan hasrat untuk membawa diri, sementara Din lebih banyak berdiam.

“Selepas pertemuan itu, saya tak lagi tahu khabar berita mereka. Kedua-duanya menghilangkan diri begitu sahaja. Sampailah dua tahun lalu, saya bertemu Azrul secara tak sengaja di Pulau Pinang. Penampilannya sudah jauh berubah. Dia masih menyatakan kekesalan atas dosa lampau.

“Din pula sampai sekarang tak tahu apa khabar berita. Terakhir saya dengar, dia sertai tabligh,” kata Safwan.

Bagi Safwan sendiri, kematian Min dan Jeff meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Dia mula mendekatkan diri dengan keluarga dan kembali pada tuntutan agama.

Perniagaan yang diusahakan bersama kawan-kawan baiknya sebelum ini turut dijual kerana terlalu banyak kenangan mengusik jiwa untuk diteruskan. Buat masa ini, dia mengambil keputusan untuk bekerja makan gaji sahaja.

“Kubur kedua-dua sahabat saya itu tidak jauh dari kawasan perumahan, jadi setiap hari saya akan melewatinya setiap kali pergi dan balik kerja. Sekurang-kurangnya, ia mengingatkan saya bahawa kematian sangat dekat dengan manusia tidak kira berapa usia kita.

“Maka rugilah jika kita terlalu leka dengan nikmat dunia hingga abaikan persediaan ke alam kekal kelak,” ujar Safwan yang baru menginjak ke usia 28 pada 8 Disember 2012 lalu. -SH

12 Januari: Buktikan kita manusia


RENUNGAN
Sabtu ini - 12 Januari ini akan berlangsung Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR). HKR adalah kesinambungan kepada Bersih 1, 2, dan 3. Ia adalah kemuncak kepada manifestasi kebangkitan rakyat untuk menuntut satu pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini. Keperluannya begitu besar sekali tanpa pilihan raya yang adil dan bersih maka kepimpinan yang lahir menerusi proses ini selamanya tidak bersih dan membawa imej dan sifat kepimpinan sejati.

Perlu disedari sesuatu yang lahir dari sistem yang tidak bersih, ia akan menatijahkan hasil yang tidak baik. Saya beranologi, macam mana kita mengharapkan akan lahir anak ayam dari telur itik. Seribu kali telur itik itu diram oleh ibu ayam, ia tetap melahirkan anak itik kerana ‘gen’ itik berada dalam telur itu.

Nah begitulah juga dengan sistem atau proses melahirkan pemimpin mestilah dari proses dan sistem yang betul dan baik barulah lahir pemimpin yang suci murni berjiwa besar dan akan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara dengan adil dan bersih.

Kenapa banyak kepincangan berlaku di dalam negara kita hari ini, sebabnya bukan lain kerana negara dipimpin oleh mereka yang tidak lahir dari sistem atau proses yang suci. Pilihan raya kita dipenuhi dengan strategi dan taktik penipuan. Pemnimpin yang ada hari ini tidak ubah seorang anak yang lahir dari hasil persundalan kedua orang tuanya. Sifat buruk, keji yang dimiliki oleh kedua orang tuanya sedikit sebanyak menurun kepada anaknya.

Himpunan itu mulanya dirancang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pihak penganjur telah pun membuat permohonan tetapi hingga saat ini tiada kelulusan yang diberikan. Dua hari lepas wakil penganjur berkunjung ke pejabat stadium berkenaan untuk bertanya khabar mengenai status permohonan mereka tidak ada seorang pun pegawainya keluar menemui wakil berkenaan.

Sikap kurang mesra pegawai stadium itu, sebenarnya kurang ajar,  membayangkan bahawa tidak akan ada kebenaran dari pihak muzium untuk menjadikan stadium itu venue himpunan berkenaan.

Di mana venue himpunan itu dijangka akan diketahui tengah hari ini. Berdasarkan sikap dolak dalih pihak kerajaan sebelum ini saya percaya Stadium Merdeka itu tidak akan dibenarkan untuk dijadikan tapak himpunan. Sekali lagi pihak stadium akan menjadikan soal permit sebagai alasan seperti mana DBKL menjadikan alasan tidak ada permit untuk mereka tidak membenarkan Dataran Merdeka menjadi tapak protes duduk dan bantah yang tidak lama dulu.

Ketidaksediaan memberi permit ini adalah sebahagian dari tanda-tanda kelemahan dan kenazakan kerajaan UBN itu sendiri. Jadi ia tidak aneh dan pelik lagi sebab sikap itu menjadi tanda-tanda kehancuran yang jelas . Sedar atau tidak, negara ini tidak ada kebebasan. Penguasa politik negara ini mencekik darah sesiapa saja demi menyelamatkan kuasa. Transformasi yang dilaungkan oleh Najib Razak hanyalah laungan yang tidak sedikit pun memberi makna.

Tidak mengapa, sama ada himpunan itu ada permit atau tidak, ia tidak perlu jadi persoalan dan alasan untuk tidak hadir. Sebelum ini dalam beberapa siri himpunan yang diadakan tidak pernah pun mendapat permit. Permit hanya diperuntukkan tetapi tidak pernah dilaksanakan. Namun ternyata himpunan berjaya. Puluhan ribu keluar menggabungkan diri menyatakan protes dan menzahirkan perasaan terhadap apa yang diingini. Walaupun ditangkap dan didakwa namun rakyat tidak pernah serit. Walaupun dipukul dan dilakukan berbagai penganiayaan terancang, rakyat tidak merasa menyesal, gerun dan serik. Bahkan ketiadaan permit itu dianggap sebagai lesen besar untuk hadir.

Sekatan untuk rakyat berhimpun seperti hari kebangkitan rakyat itu sudah tidak dapat dihalang dan disekat lagi. Rakyat sudah jadi gila dan hilang kewarasan dalam menerima larangan yang tidak berasas. Hujah kerajaan menghalang himpunan sudah tidak munasabah lagi. Setiap apa yang berlawanan dengan naluri rakyat adalah satu keputusan yang dianggap gila oleh rakyat.

Atas maksud dan tujuan seperti disebut di atas tadi semua rakyat yang cintakan terlahirnya pemimpin yang bersih, adil dan bertanggungjawab perlu menyertai HKR Sabtu ini. Ia adalah penting dan menjadi klimaks kepada perubahan yang ditunggu menjelang pilihan raya umum nanti. Senario yang berlaku 12 Januari nanti akan menjadi petanda dan gambaran awal apakah keputusan pilihan ke-13 kelak. Dari situ akan mencerminkan apakah UBN atau kuasa zalim, penindas dan kolot akan tumbang atau terus tegak atas kerusi kekuasaan.

Suka disebut tuntutan untuk melahirkan proses pilihan raya yang adil dan bersih ini bukan hak pembangkang saja, tetapi ia adalah hak semua rakyat negara ini. Kalau kebetulan UBN masih menang setelah dibersihkan apa yang tidak bersih dan diperbetulkan apa yang tidak betul (adil) itu, ini bermakna rakyat akan mendapat pemimpin yang diidam-idamkan. Bukan bererti pemimpin yang bersih dan adil nanti datangnya dari pihak Pakatan Rakyat. Bertolak dari maksud dan nawaitu tidak ada sebab untuk sesiapa juga menolak acara berkenaan.

Justeru setiap rakyat negara ini yang cintakan kedamaian, tidak kira cenderung kepada mana-mana ideologi, PAS, Umno, DAP, MIC, MCA, PKR dan lain-lain yang berazam membuang kotoran kekuasaan yang ada harus hadir bagi menyatakan sokongan dan menggabungkan semangat mempertahankan hak. Jangan mengira himpunan itu milik siapa tetapi apa yang perlu difikirkan maksud dan tujuan himpunan itu adalah untuk Malaysia.

Perjuangan menegakkan kebenaran, keadilan dan hak bukan milik sesuatu kelompok tetapi milik semua antara kita.

Usah gentar dan takut sama-samalah memaknakan hidup kita ini yang asalnya dari nasak perjuangan. Jangan jadikan diri kita sebagai tunggul kayu tempat segala macam haiwan, unggas bertengek dan membuang najis di atas yang bisa diperlakukan apa saja oleh UBN.

Kita adalah manusia, kita adalah rakyat. Ayuh...ayuh... bangkit! [wm.kl.8:18 am 09/01/13] - http://msomelayu.blogspot.com

[HKR 112] Diharap Polis Kotakan Janji Jadi Fasililator, PERKASA Jangan Nak Jadi Popular!


Himpunan 12 Jan: Pakatan gembira dengan jaminan polis

Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat yang mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini gembira dengan jaminan polis untuk berperanan sebagai pemudahcara dalam pada perhimpunan pada 12 Januari di ibu negara.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata Ismail dalam mesyuarat berkenaan turut menyatakan kesediaan untuk menjadikan perhimpunan pada hari tersebut sebagai "detik bersejarah" selepas "belajar daripada kekurangan" yang berlaku semasa perhimpunan sebelum ini.

"Tan Sri Ketua Polis Negara sebut peranan polis sebagai fasilitator. Hubungan polis dan wartawan pada perhimpunan itu, mereka akan menyediakan marsyal untuk memandu petugas media berdasarkan (peruntukan) seksyen Akta Perhimpunan Aman.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua supaya tertib dan kami ingatkan mereka yang hadir datang dalam suasana mood festival, bagi membantu menjamin kelangsungan perhimpunan.

"IGP mahu menjadi (perhimpunan ini) sebagai saat bersejarah, iaitu belajar daripada kekurangan yang terdahulu.

Mereka berhasrat untuk memberi khidmat yang terbaik, untuk memastikan semua hak mengikut undang-undang dan perlu dihormati," kata Saifuddin.

Saifuddin berkata demikian selepas delegasi penganjur himpunan seramai 11 orang yang diketuai Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, bertemu dengan Ismail di Bukit Aman pada kira-kira jam 2.30 petang ini. -mk

Himpunan Kebangkitan Rakyat: Perkasa lapor polis

KUALA LUMPUR: Perkasa membuat laporan polis terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) anjuran Pakatan Rakyat pada Sabtu ini.

Timbalan Ketua Penerangan Perkasa Abdullah Mansor membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Abdullah dalam laporan polisnya berkata, pihaknya bimbang pembangkang sengaja mengadakan himpunan itu sebagai cubaan untuk menghidupkan suasana seperti di Dataran Tahrir, Mesir kerana mendapat maklumat kumpulan itu akan berkumpul di Dataran Merdeka.

“Perkara seperti ini sudah beberapa kali berlaku, termasuk mereka pernah membohongi Tuanku Yang diPertuan Agong (YDPA) untuk mengadakan himpunan haram Bersih 3.0.

“Bersih 3.0 akhirnya mencetuskan rusuhan dan kacau bilau menyebabkan banyak harta awam rosak dan menjejaskan keselamatan awam,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Beliau berkata, wujud juga keluhan daripada peniaga dan pemandu teksi sekitar Kuala Lumpur yang bimbang perniagaan mereka bakal terjejas sekiranya berlaku rusuhan akibat HKR.

Sehubungan itu, pihaknya berkasa polis dapat mengambil tindakan menghalang himpunan itu kerana bimbang berlakunya rusuhan lagi seperti himpunan lain anjuran pembangkang.

‘Countdown’ HKR akan bermula pada malam 11 Januari di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dan akan berterusan pada esoknya di sekitar sini.

Tiga lokasi mulanya berkumpul seperti yang dicadangkan penganjur adalah Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), Masjid Negara, Kelab Sultan Sulaiman sebelum berarak menuju ke Stadium Merdeka -FMT


Tabik Dr Asri!!

DrAsri 

Apa yang tidak terlintas di fikiran kita tetapi Dr Asri mampu menterjemahkan dan mempermudahkannya isu kalimah Allah dengan sebaris ayat. Ayat mudah dan senang untuk difahami bagi memudahkan pemahaman masyarakat. Juga cara bijak pandai menjawab!!

lagunegeri 

Contoh perkataan Allah dalam lirik lagu untuk negeri Selangor dan Kedah. Negeri-negeri lain juga menggunakan perkataan Allah dalam lirik lagu negeri masing-masing. Kita nak buat lagu lain ke??
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .