Ikuti Blog ini

Larangan media, perang mulut Nazri-BNBBC masih berterusan

Perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lalu, terus berlarutan.

Selepas melabelkan BNBBC seperti kebudak-budakan, Rabu lalu, Nazri semalam mencabar pula kelab itu supaya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memecat beliau sebagai menteri.

"Jika mereka tidak mahu berbuat demikian Isnin ini, jangan banyak cakap. Kalau tidak tahu peraturan, duduk diam-diam," tegasnya dalam satu laporan media semalam.

Nazri membuat cabaran itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing, kelmarin, yang membidas beliau kerana mengkritik kelab itu mengambil keputusan sendiri membuka pita menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen.

Tindakan yang dilihat mengingkari keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, itu dibuat oleh BNBBC kerana mereka tidak bersetuju dengan peraturan yang menyusahkan petugas media.

Rabu lalu, Nazri yang kecewa dengan tindakan BNBBC itu, menganggap perbuatan berkenaan seperti kebudak-budakan dan contoh buruk kerana keputusan membuka atau menutup kawasan lobi daripada petugas media belum diputuskan Speaker.

Tiong bagaimanapun membalas kritikan Mohamed Nazri yang disifatkannya sebagai melampau dan BNBCC dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan tindakan yang akan diambil berikutan kenyataan menteri berkenaan.

Isu itu bermula pagi Selasa lalu apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat terkejut dengan kewujudan pita halangan yang menghalang mereka memasuki Lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan 'bercelaru'.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik balik semula keesokan harinya berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama wakil media.

Mohamed Nazri yang mempertahankan kenyataannya terhadap BNBBC menjelaskan kelab itu tidak pernah menemuinya untuk membincangkan isu berkenaan.

"Mereka sebaliknya bertindak melulu tanpa berjumpa saya sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, untuk mendapatkan penjelasan. Mereka perlu ingat ini Parlimen, kita tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

"Kalau tidak puas hati, bawa isu itu ke dalam Dewan Rakyat dan bukannya bertindak seperti itu. Bagaimana sebuah kelab yang dilantik oleh Perdana Menteri lebih tinggi kuasa daripada Speaker," katanya.

Mohamed Nazri juga kesal dengan tindakan Ting yang dianggap seperti 'kacang lupakan kulit' kerana beliau sendiri yang mencadangkan Ahli Parlimen Bintulu itu mengetuai BNBBC.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .