Presiden Parti Maju Sabah, Dato' Yong Teck Lee mencadangkan Dato' Anifah Aman mengetuai anggota Parlimen Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak untuk mengubah landskap politik negara.
"Anifah muncul ketika semua parti komponen BN Sabah menyerang SAPP yang kononnya menyanjung tinggi semangat BN. BN sabah lebih pentingkan kepentingan mereka daripada membela hak dan kepentingan rakyat Sabah.
"SAPP mengkagumi pendirian Anifah yang berani menentang konsep serta dasar pecah perintah BN yang diamalkan di Sabah," katanya.
Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis adalah adik kepada Ketua Menteri Sabah Dato' Seri Musa Aman, merupakan bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Baru-baru ini beliau bersama Dato' Abdul Ghafur Salleh, menolak perlantikan semula sebagai Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sejak selepas Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac lepas, Anifah dan beberapa rakannya dilaporkan lantang mengkritik pemimpin-pemimpin tertentu BN, khususnya dari Umno.
Dalam kenyataannya semalam, Teck Lee berkata, SAPP amat menghargai sokongan terbuka Anifah kepada pendirian parti dalam banyak perkara.
"Kita menyokong Ahli Parlimen Kimanis untuk mengetuai Ahli-Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik Sabah dan Sarawak melakukan proses perubahan politik," katanya.
Presiden SAPP itu menegaskan, keadaan politik negara sekarang ini adalah merupakan waktu yang terbaik dan terbuka luas, tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk perubahan yang dikehendaki.