Ikuti Blog ini
SAPP buat kejutan politik, Pakatan Rakyat kena bincang ,Jumaat, Jun 20, 2008 at 20.6.08,
Tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) membuat kejutan politik dengan mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan suatu perkembangan menarik di Malaysia hari ini.
Berikutan itu, Pakatan Rakyat disarankan membincangkan perkara tersebut agar sesuatu tindakan yang bakal dibuat mendapat natijah yang baik dan berkesan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berpendapat cadangan pihak tertentu bagi membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri perlu dihalusi terlebih dahulu.
Katanya, tindakan tersebut perlu dibuat dengan teratur dan berstrategi serta tidak perlu tergesa-gesa agar tidak menjadi sia-sia.
"Ini tidak boleh tergesa-gesa. Undi tidak percaya ini 'benda' (perkara) besar. Parti Pakatan Rakyat pun kena bincang perkara ini.
"Sebab, jika buat undi tidak percaya tetapi bilangan sokongan tidak cukup dan gagal. Itu akan jadi 'backfire', sebab undi tidak percaya bukan boleh buat tiap-tiap minggu," ujarnya ketika bercakap pada sidang media, di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, semalam.
Menurutnya, cadangan membawa usul undi tidak percaya juga terikat dengan peraturan Parlimen yang perlu dipatuhi dan tidak boleh dibuat selalu.
"Undi tidak percaya bukan boleh selalu buat dan dia ada 'time frame'. Maknanya, tidak boleh tergesa-gesa dan mesti dibincangkan dan diatur strategi macam mana, hendak pastikan bahawa bilangan paling kurang pun dengan 'simple' majoriti.
"Saya rasa mungkin tidak boleh dilakukan dalam masa sidang yang singkat ini sebab notis dua minggu diperlukan oleh Speaker Dewan," ujarnya.
Namun begitu katanya, jika tersilap langkah dan perhitungan tindakan parti SAPP tersebut diibaratkan mengejutkan 'singa' yang tidur.
Menurutnya, kesepakatan dan kerjasama diperlukan agar sesuatu tindakan yang bakal diambil tidak membawa kesan 'backfire' terhadap Pakatan Rakyat hari ini.
"Dari satu sudut jika tidak buat persiapan rapi dengan kenyataan yang macam ini seperti mengejutkan 'singa tidur' sebenarnya. Ertinya, BN akan melihat betul-betul ada ancaman dan Pakatan Rakyat kena bincang juga perkara ini," tegasnya.
Katanya, parti SAPP belum lagi bertindak keluar meninggalkan komponen Barisan Nasional (BN) tetapi sekadar akan menyokong usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Parti SAPP merupakan antara parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah yang diketuai oleh Presidennya, Dato' Yong Teck Lee.
Baru-baru ini presidennya telah mengumumkan dua Ahli Parlimennya iaitu Dato� Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato� Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin ini.