Ipoh : Ummat Islam hari ini sedang dalam dilema berhadapan dengan krisis identiti dan kualiti beragama bilamana pegangan terhadap tiga elemen penting dalam agama iaitu Taqwa, Al-Quran dan Jihad semakin luntur dalam penghayatan mereka.
Demikian dinyatakan oleh Ust Nasaruddin At-Tantawi sewaktu menyampaikan tazkirah Ramadhannya di Dataran MBI selepas solat Terawih malam tadi.
"Tiga elemen tersebut amatlah penting dan ketiga-tiganya terangkum dalam tarbiyyah Ramadhan yang sedang kita lalui ini,” katanya.
Beliau seterusnya merujuk kepada ayat 183 surah al-Baqarah dan menjelaskan bahawa Allah memerintahkan kita berpuasa dengan tujuan supaya kita menjadi ummat yang bertaqwa – la- ’allakum tatakun.
"Juga dalam ayat seterusnya – Syahru Ramadhanalladzi unzila fihil-Quran....menerangkan tentang diturunkan al-Quran dibulan Ramadhan sebagai petunjuk kepada ummat manusia ’wa-bayyinati minal huda –serta keterangan-keterangan yang jelas yang menunjukkan bagi membezakan antara ’cahaya’ dan ’kegelapan’ antara ’benar’ dan ’bathil’ , antara ’sesat’ dan ’petunjuk’ antara 'iman’ dan 'kufur’, ” kata Nasaruddin.
"Di bulan Ramadhan juga berlakunya peperangan Badar al-Kubra , peperangan yang memisahkan antara Islam dan Kafir Quraisy ; mengingatkan kita bahawa Ramadhan juga adalah Bulan Jihad dijalan Allah,” terangnya lagi.
"Ummat Islam hari ini semakin leka dan lalai akibat diserang budaya hiburan yang mengasyikan.Mereka tidak membaca al-Quran , sebaliknya membaca majalah-majalah hiburan. Mereka menatap siaran hiburan di TV yang penuh dengan program hiburan yang melalaikan ,” katanya.
"Negara kita paling hebat dengan acara hiburan sehinggakan artis yang terkenal sebagai simbol sex turut mengadakan konsert di Malaysia walaupun pihak kita telah memprotes hingga kepintu stadium!” kata Nasaruddin.
Beliau juga merujuk kepada rancangan tv 'Tom-Tombak’ dimana , sejak awal-awal lagi kanak-kanak sudah di asuh dengan hiburan yang melekakan.
Beliau berkata , serangan pemikiran sebegini adalah untuk melemahkan semangat jihad ummat Islam sehinggakan sensitiviti terhadap agama semakin malap.
"Apabila sesuatu kaum meninggalkan jihad maka ummat itu akan menjadi hina,” kata Nasaruddin.
"Ummat Islam juga keliru tentang Islam itu sendiri melainkan mereka yang benar-benar belajar agama. Mereka semakin keliru dengan timbulnya istilah Islam Hadhari,” katanya lagi.
Nasaruddin menceritakan tentang terdapatnya seorang doktor palsu yang telah sekian lama membuka klinik dan telah ramai masyarakat mendapatkan perkhidmatan nasihat dan perubatan dari doktor tersebut. Tiada seorang pun mengesyaki bahawa doktor tersebut seorang doktor palsu kerana nasihat dan ubat yang diberikannya kebetulannya ’menjadi’.
Diceritakan, kata Nasaruddin, maka adalah seorang datang mengadu kepada doktor itu tentang kehilangan lembu ; lalu diberikannya ubat untuk dimakan.
Selepas makan ubat yang diberikan, orang tersebut tiba-tiba mengalami sakit perut, lalu dia pun pergi memenuhi hajatnya di sebuah semak. sekonyong-konyong, dia terjumpa lembunya yang hilang ada di situ!
Maka semakin ramailah manusia percaya tentang kehebatan doktor tersebut. Mereka tidak ada perasaan curiga dan syak wasangka terhadapnya.
Datang pula seorang yang kehilangan isteri berjumpa doktor tersebut dan mengadukan halnya. Doktor itu memberikannya 12 biji pil untuk ditelan sekaligus.
"Insya’Allah, lepas telan kesemua pill ini , anda akan ketemu dengan isteri anda yang hilang itu,” kata doktor tersebut.
Tanpa berfikir panjang, orang itu pun menelan pil-pil tersebut lalu tiba-tiba dia jatuh 'nazak’ .
Maka berkerumunlah jiran sekampung jauh dan dekat sanak saudaranya termasuklah isterinya yang hilang itu.”
Walaupun dalam keadaan yang nazak, orang tersebut masih sempat berkata kepada orang-orang di sekelilingnya, "Betul, dan sangat mujarab nasihat dan ubat pemberian doktor itu!”.
Dan orang ramai semakin percaya.Walaupun doktor tersebut telah diberkas oleh pihak Kementerian Kesihatan kerana tidak mempunyai 'sijil’ kedoktoran yang sah , orang ramai masih percayakan kepada doktor palsu tersebut.
"Inilah yang berlaku terhadap ajaran dari langit Ayah Pin dan juga Islam Hadhari,” kata Nasaruddin
Demikianlah krisis identiti dan kualiti yang sedang menjalar dalam kehidupan ummat Islam di seluruh negara. Mereka keliru dengan ajaran Islam yang sebenar sebaliknya menerima ajaran Islam yang palsu.