Ikuti Blog ini

Kuku Besi -menindas rakyat yang berani bangkit bersuara








Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Umno, menggunakan kuasa kuku besi untuk menindas dan membungkam rakyat Malaysia yang berani bangkit bersuara demi kebenaran dan integriti.

"Mereka teguh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap segala penyalahgunaan kuasa, korupsi dan politik perkauman yang sering dimainkan oleh elit pemerintah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar turut mengulangi kecamannya terhadap ISA dan penggunaannya untuk menahan penulis blog serta aktivis terkenal Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh yang juga exco kerajaan Selangor, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

"Pada 8 Mac dan kemudiannya pada 26 Ogos, rakyat Malaysia menyuarakan hasrat mereka agar terbentuknya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu untuk memenuhi aspirasi rakyat.

"Barisan Nasional yang diketuai Umno sudah sekian lama mengabaikan tanggungjawab ini," kata Anwar yang juga penasihat PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun, tegas Anwar, mereka gagal untuk memenuhi tuntutan perubahan, malah sanggup untuk menggadaikan negara ini bagi menyelamatkan diri sendiri serta untuk mengekalkan kuasa mereka.

"Kita tertanya-tanya sejauh mana kerajaan ini sanggup untuk menidakkan keadilan, menghancurkan institusi kenegaraan dan mengadu domba rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Kami secara tegas menolak politik perkauman yang dimainkan oleh ahli politik Barisan Nasional yang diketuai Umno, apa yang berlaku jelas merupakan satu usaha mereka untuk mengalih perhatian rakyat
dari masalah dalaman Umno yang kian memburuk.

Masyarakat berbilang kaum

"Kami pimpinan Pakatan Rakyat bertekad serta berjanji bahawa kami tetap komited untuk membina masyarakat berbilang kaum yang teguh.

"Kami ingin menyorot pandangan semua kepada kenyataan Pakatan Rakyat yang dikeluarkan pada 8 September lalu.

"Kenyataan itu membuktikan iltizam kami untuk menjunjung jaminan yang termaktub di dalam Perlembagaan termasuklah kedudukan Islam sebagai agama rasmi, hak rakyat Malaysia untuk mengamalkan
agama masing-masing, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak kaum masing-masing untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dan kedudukan Raja-Raja Melayu serta kedudukan istimewa
orang Melayu dan bumiputera lainnya.

"Kami menggesa kerajaan untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa operasi yang bermotifkan politik ini sudah berakhir," katanya.

Anwar berkata, sebagai rakyat negara ini yang bertekad untuk mematuhi semangat keperlembagaan, "kita sudah tidak mahu lagi hidup di dalam ketakutan".

"Kami menggesa sesiapa sahaja yang ditahan dibawah ISA mestilah dibebaskan segera.

"Kami juga menawarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakan-rakan kita yang ditahan serta keluarga mereka tatkala melalui saat-saat sukar ini," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .