Ikuti Blog ini

Faatihah, puteri sulung Menteri Besar Perak. Berpelajaran, tegas dan mesra

 Pandangan pertama pada Faatihah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 24, orangnya tenang dan terkawal. Mungkin kerana sebagai anak sulung, dia mempunyai tanggungjawab besar dan menjadi anak harapan keluarga.

Bapanya baru beberapa bulan menjadi Menteri Besar Perak, walau semuanya masih baru, gadis berkulit cerah ini mahu segalanya berjalan lancar terutama perjalanan jadual kerja ibunya. Dahulu menjaga adik-adik kini orang kuat ibunya pula.

Faatihah yang dipanggil Kak Yong dalam keluarganya senang mesra membuatkan kita selesa bersamanya, bagaikan sudah kenal lama. Sifat ibu dan bapa, nampaknya diwarisi gadis manis ini. Namun, dalam kelembutannya, semakin lama bersembang, kita tahu dia seorang yang tegas dan berani.

 Setahun yang lalu, Faatihah menjadi guru sementara mengajar Bahasa Arab, mengaji Al-Quran dan fardu Ain. “Baru setahun lebih saya balik dari Jordan, tahun ini memang rancang hendak mula bekerja, mungkin selepas keadaan lebih terurus dan teratur maklumlah semuanya masih baru. Sekarang tanggungjawab dan perhatian saya lebih kepada emak dan abah yang memerlukan bantuan saya. Terutama emak, saya jadi pembantu dan penasihat tidak rasmi tetapi ia satu tugasan yang penting dan tidak boleh dipandang remeh.”

Faatihan merupakan lulusan BA Universiti Mu’tah, Jordan (Undang-Undang Syariah).

Bercerita tentang detik awal dia dan keluarga menduduki kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Faatihah seperti ibunya juga, sukar percaya apa yang terjadi di depan mata.

“Abah memang mudah bergaul dengan masyarakat. Saya yakin dengan tugas baru pun dia dapat menyesuaikan diri dengan baik dan dapat melaksanakan tugasnya. Abah ni bekerja cepat dan cepat menangkap sesuatu perkara baru. Sama juga ketika dia belajar lima bahasa.” Mohammad Nizar boleh menguasai lima bahasa, Melayu, Inggeris, Cina (Mandarin, Cantonese, Hokkien), Tamil dan Urdu.

Menurut Faatihah, bapanya amat aktif dengan kegiatan kemasyarakatan seperti kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi serta menyampaikan khubah jumaat. Terlibat juga membantu fakir miskin, program bersama masyarakat bukan Islam dan juga beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pendek kata, permasalahan rakyat memang di dalam genggamannya. Kini tiba masa dia membela nasib mereka pula.

Mohammad Nizar bapa yang lembut dan boleh bertolak ansur dengan anak-anak tetapi dia sangat marah jika anak-anak melewatkan solat. Tambahan lagi jika mereka berlengah-lengah dengan membuat perkara yang bukan-bukan. Ini membuat Faatihah dan adik-adiknya mendisiplinkan diri dan sedar ketegasan si bapa bertempat.


MB makan tengahari di kantin.

“Abah juga tidak kedekut pujian. Cemerlang dalam peperiksaan, mana-mana matapelajaran atau sukan pun dia akan beri pujian membuatkan kita rasa penting dan dihargai. Begitu juga sekiranya aktif dalam persatuan. Jika anak berperangai baik pun abah akan puji,” cerita Faatihah sambil menyambung abahnya tidak kisah meminta maaf dengan anak-anak sekiranya dia melakukan sebarang kesalahan.”
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .