Ikuti Blog ini

TPM Thai baru letak jawatan ekoran pertempuran di Parlimen


PENYOKONG-penyokong antikerajaan mencari tempat berteduh apabila pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata di Bangkok, Thailand.

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Chavalit Yongchaiyudh mengemukakan peletakan jawatannya ekoran pertempuran pagi ini antara polis dan penyokong anti kerajaan yang mengakibatkan lebih 70 orang cedera, manakala menteri Kabinet dan berpuluh-puluh Ahli Parlimen terperangkap dalam bangunan Parlimen.

Chavalit, bekas Perdana Menteri pada lewat 1990-an, yang kembali menyertai Kabinet di bawah Perdana Menteri baru, Somchai Wongsawat bulan lepas dan bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan keselamatan, berkata beliau memikul tanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku pagi ini.

Selepas dilantik, beliau memulakan rundingan antara kerajaan dan Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) bagi menamatkan penawanan mereka ke atas Rumah Kerajaan sejak 26 Ogos, namun pelan damainya itu terbantut ekoran penahanan dua pemimpin PAD oleh polis pada minggu lepas.

Sebagai balasan, beratusratus penyokong PAD berarak ke perkarangan Parlimen malam semalam untuk menghalang Somchai daripada membentangkan dasar baru kerajaan tetapi polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata pada 6.20 pagi untuk menyuraikan tunjuk perasaan itu.

Somchai berjaya menyampaikan ucapannya yang dipulaukan oleh parti pembangkang Demokrat, namun terpaksa memanjat pagar untuk keluar dari pekarangan Parlimen selepas penunjuk perasaan menyekat semua laluan keluar.

Somchai, yang juga Menteri Pertahanan, mengadakan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi tentera di Supreme Command tetapi tiada tandatanda tentera diajak bersama.

Dalam pertempuran antara PAD dan penyokong pro kerajaan berhampiran Rumah Kerajaan bulan lepas, seorang terbunuh manakala lebih 40 orang cedera dan keadaan hanya pulih seperti sedia kala selepas tentera tanpa senjata bertindak mengawal keadaan.

Menurut wartawan yang berada di dalam bangunan itu, sebahagian besar daripada anggota Kabinet, Ahli Parlimen dan senator masih terperangkap manakala bekalan elektrik serta air pula dipotong.

"Malah bekalan makanan juga hampir habis. Satusatunya pasar mini yang ada di dalam bangunan kehabisan bekalan air dan kami juga tidak dapat keluar," kata seorang wartawan ketika dihubungi.

Kira-kira 11 pagi, polis bertempur dengan penunjuk perasaan di beberapa kawasan menuju ke bangunan Parlimen, di Royal Plaza dan berhampiran Biro Polis Metropolitan.

Bagaimanapun di beberapa tempat lain di ibu kota ini, keadaan tenang dan warga Bangkok menjalankan aktiviti seharian mereka.

Sekurang-kurangnya dua anggota polis cedera semasa pertempuran itu apabila mereka diserang oleh penunjuk perasaan yang bersenjatakan objek tajam seperti paip PVC, kayu dan batang buluh. Seorang lelaki hilang sebelah kaki selepas terkena bekas gas pemedih mata.

Dalam pertempuran pagi ini, kirakira 1,500 anggota polis melontar 40 hingga 50 bekas gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menyekat semua jalan menuju ke Parlimen.

Pol Mej Jen Amnuay Nimmano dari Biro Polis Metropolitan Bangkok berkata polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi membolehkan Anggota Parlimen dan senator menyertai ucapan dasar itu tetapi menafikan ada menggunakan kekerasan.

Royal Household Bureau berkata Permaisuri menyumbangkan Bt100,000 kepada Hospital Vachira tempat penunjuk perasaan yang cedera dirawat manakala beratus-ratus penyokong PAD dari dalam dan luar ibu kota kini bergerak menuju ke Parlimen serta Rumah Kerajaan.

Pada Ahad, polis menahan pemimpin PAD dan bekas jeneral tentera Chamlong Srimuang ketika beliau pergi mengundi dalam pemilihan Gabenor Bangkok.

Dua hari sebelum itu, Chaiwat Sinsuwongse menjadi pemimpin pertama yang ditahan.

Selepas beriburibu penyokong PAD menyerbu Rumah Kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, pada 26 Ogos, polis memperoleh waran tangkap ke atas sembilan pemimpin teras gerakan anti kerajaan. Kesemua mereka menghadapi pelbagai tuduhan, termasuk khianat, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

PAD semakin menonjol selepas parti itu mengetuai tunjuk perasaan besar-besaran di ibu kota ini pada 2006, yang membawa kepada penyingkiran bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang ketika ini hidup dalam buangan di Britain.

Pertempuran terbaru hari ini memberi satu lagi tamparan kepada industri pelancongan yang terjejas teruk selepas Rumah Kerajaan ditawan.

Insiden itu juga berlaku pada masa yang salah memandangkan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) membawa lebih 800 pengusaha pelancongan dan anggota media dari seluruh dunia hari ini bagi menunjukkan negara itu selamat untuk dikunjungi.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .