JERANTUT, 2 Nov - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mengingatkan para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat supaya tidak mempercayai sama sekali laporan media arus perdana.
Katanya media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan lainnya mendokong aspirasi Barisan Nasional dan menjadi alat propaganda parti itu. Media berkenaan mempunyai agenda politik di dalam setiap laporannya.
Secara sinis Husam berkata, adalah wajar jangan membaca media jenis berkenaan bagi mengelakkan 'pening kepala' atau 'naik darah'.
"Buat apa kita mengeluarkan wang untuk membelinya kemudian kita menjadi pening kerananya. Elok jangan baca atau menonton media berkenaan.
"Media berkenaan sama ada berbahasa Malaysia, Inggeris mahu pun Tamil mempunyai agenda tertentu,"beliau berkata demikian ketika berdialog dengan para penyokong Pakatan Rakyat di Kompleks Imam Syafie, dekat sini.
Menjawab isu yang ditimbulkan, Husam mengatakan rakyat pelbagai bangsa bersetuju kuasa politik negara kekal ditangan orang Melayu dan parti politik Melayu ialah PAS dan Umno. Umno sering memomokkan jika Umno jatuh kononnya kuasa politik Melayu akan jatuh, itu tidak benar.
Menurut Husam, Umno kini sangat bermasalah sehingga ketahap ada pemimpinnya memberi kenyataan untuk melelong parti itu ditambah pula dengan isu ekonomi yang semakin meruncing sedangkan dalam pilihan raya lalu kekuatan Umno tidak tergugat kerusi Umno masih utuh tetapi Umno berada dalam keadan lemah ditambah pula dengan masalah ekonomi, jika tidak ditangani dengan berkesan boleh menyebabkan rakyat menderita.
Senario yang berlaku meyakinkan Husam gelombang perubahan akan berlaku sehingga ke Johor negeri kelahiran Umno.
Bagaimanapun Husam bimbang gelombang perubahan tidak berlaku di Pahang.
Katanya Pahang perlu menang sekurang-kurangnya enam kerusi parlimen bagi membolehkan PAS mensasarkan 40 kerusi parlimen sebagaimana disebutnya sebelum ini.
Menurut Husam beliau lebih suka jika perubahan kuasa berlaku melalui pilihan raya walaupun tidak menolak peralihan kuasa boleh berlaku melalui cara lain tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjatuhkan Umno yang telah berkuasa lebih 50 tahun itu.
Jelas beliau, plan peralihan kuasa Abdullah-Najib juga mungkin merubah pendirian ahli parlimen BN, begitu juga kawalan terhadap anggota parlimen BN juga semakin meningkat berikutan kebimbang dan khuatir terhadap adanya anggota parlimen BN ingin berhijrah kepada Pakatan Rakyat.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, jika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa daripada BN antara perkara utama yang akan diperbaiki ialah Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan pilihan rakyat berjalan mengikut lunas demokrasi serta memperbaiki sistem pengurusan ekonomi.
Turut hadir pada majlis itu termasuklah Pesuruhjaya PAS Pahang,Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh; Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Abdul Majid Hassan; Dr Hamzah jaafar dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang N. Balasubramaniam .
Ustazah Noridah dalam majlis tersebut telah menyampaikan sumbangan kepada masyarakat kaum India sempena Hari Deepavali.