Ikuti Blog ini

Obama diharap bawa suasana baru politik dunia - Mursyidul Am PAS


KOTA BHARU, 5 Nov: Mursyidul Am PAS menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini.

Di Washington Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.

Barak Obama

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama.

"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap pada kemenangannya di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago. Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.

Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.

"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.

Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.

Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.

"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.

Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh. Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyatnya.

Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dengan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin negara umat Islam.

"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .