Majlis Peguam Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mempertikaikan keputusan melarang peguam persendirian mewakili Speaker DUN Perak V Sivakumar seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Presidennya S Ambiga berkata keputusan mewajibkan penasihat undang-undang negeri mewakili Sivakumar, boleh mencemarkan prosiding yang membabitkan pertelingkahan antara BN dan Pakatan Rakyat.
Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan demikian susulan permohonan peguam Menteri Besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri BN, berhubung penggantungan mereka daripada menghadiri sidang DUN.
Ambiga berkata, dua perkara haruslah diambil kira dalam isu ini.
Pertama, setiap peguam bertindak mengikut arahan anak guamnya dan dalam kes ini, tambah Ambiga, Sivakumar tidak pernah meminta penasihat undang-undang negeri berbuat demikian.
Kedua, penasihat undang-undang sendiri berada dalam kedudukan konflik kerana beliau mewakili Dr Zambry dalam kes menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan wakil rakyat BN itu.
"Bagaimana mungkin beliau (penasihat) atau jabatannya boleh bertindak bagi pihak Speaker yang dicabar oleh Dr Zambry?" kata Ambiga dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman rasmi badan.
"Wajar diingatkan, keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan. Mahkamah bertanggungjawab menegakkan prinsip tertinggi keadilan, kesaksamaaan dan kebebasan."
Ambiga juga menyifatkan Speaker tidak mempunyai pilihan kecuali terus mengadakan sidang tergempar DUN di luar bangunan rasminya setelah dihalang oleh polis.
Kesahan tindakan polis ini membangkitkan persoalan yang serius, tambahnya.
Apatah lagi, tegasnya, tindakan polis itu bersandarkan arahan setiausaha DUN yang hanya seorang pegawai pentadbiran yang tidak mempunyai kuasa untuk menafsir sama ada sesuatu persidangan dewan itu sah atau sebaliknya.
"Polis dengan itu telah bertindak secara tidak wajar apabila mencanggahi kehendak Speaker dan DUN. Kesilapan ini diburukkan lagi oleh keputusan Mahkamah Tinggi," kata Ambiga.
Majlis Peguam juga mengesyorkan agar diadakan pilihan raya baru untuk keluar daripada krisis politik Perak yang berlarutan lebih sebulan.
"Tidak ragu-ragu bahawa akan ada lagi kes (baru) yang difailkan di mahkamah. Dan, orang awam terpaksa melalui kesan ketidaktentuan (politik semasa).
"Situasi ini sukar dipertahankan dan memerlukan satu perkara yang akan menyelesaikan secara konklusif - pilihan raya baru.
"Kini ada pintu peluang bagi keadaan ini berlaku. Biarkan orang ramai memutuskannya," kata Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini ekoran "episod drama politik" terbaru yang disaksikan di Perak sejak pagi tadi ini.
Krisis politik Perak yang bermula 25 Januari lalu hari ini menyaksikan beberapa detik menarik dan mencemaskan serta menimbulkan pelbagai tanda - ke mana menujunya amalan demokrasi di negeri itu.