
Kebetulan petang kelmarin saya bertanya beberapa orang yang ditemui mengenai perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri. Seperti dijangka pelbagai jawapan diterima. Mereka yang dikenali memberi jawapan yang lebih berterus terang, mereka yang kurang atau tidak saya kenali memberi jawapan acuh tak acuh, 'tengok dulu', 'entahlah' atau 'okey kot'.
Bendera Mongolia........Siapa nak kibar separuh tiang esok?
Antara yang disoal mengenai Najib itu ada satu jawapan yang menarik, ia datang dari seorang kenalan saya. Katanya dia sedang mencari-cari bendera Mongolia untuk dikibarkan tepat jam 10.00 pagi esok (pagi ini). "Apa kena mengena perlantikan Najib dengan pengibaran bendera Mongolia pula?", tanya saya. "Aku nak kibar bendera Mongolia setengah tiang, tanda berkabung bagi pihak Altantuya! Perlantikan Najib menandakan kes bunuh Altantuya tidak akan dibicarakan dengan adil di mahkamah. Mahkamah tidak akan memberi jawapan mengapa Altantuya dibunuh. Kesian keluarga Altantuya, sapa-sapa yang masih ada hati perut jom kibar bendera Mongolia separuh tiang esok," katanya bersungguh-sungguh.
Saya tidak pasti sama ada mengibarkan bendera Mongolia separuh tiang itu suatu idea yang bijak atau tidak. Bagaimanapun jika ada sesiapa yang pemikirannya sama dengan rakan saya itu dan ingin mengambil tindakan yang sama, silakan.