Ikuti Blog ini

Debat jalan terakhir selesai masalah ummah - Nik Aziz




KOTA BHARU - Umno kini benar-benar gelabah dengan pelawaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat mengenai isu mengapa Umno tolak Islam.

Rata-rata pemimpin Umno menolak pelawaan tersebut kecuali Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Puad Zakarshi yang kononnya sedia berdebat dengan Mursyidul Am PAS.

Sedangkan pada awal tahun ini beliau gagal hadir pada wacana di Kota Bharu dengan alasan yang diadakan-adakan, biar pun pada peringkat awal menyatakan persetujuan datang.

Menteri Besar berkata, kenapa pemimpin Umno menolak pelawaan untuk berdebat sedangkan debat merupakan cara yang paling baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah sebagaimana tuntutan Islam dan demokrasi.

"Seperti mana di mahkamah, dua orang peguam berhujah mengemukakan bukti atau berdebat untuk menentukan samada salah atau tidak seseorang tertuduh," katanya pada persidangan media di pejabatnya hari ini.

Sabtu lalu beliau mempelawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak berdebat mengenai sebab apa pemimpin parti itu menolak Islam.

Bagaimanapun pemimpin Umno termasuk bekas presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak cadangan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, calon-calon presiden di Amerika Syarikat termasuk Barrack Obama sebelum ini berkempen secara debat.

"Begitu juga di Indonesia debat melibatkan calon-calon presiden dan calon-calon wakil presiden bagi menghadapi pilihan raya Presiden tidak lama lagi. Jadi mengapa pemimpin Umno menolak," kata beliau.

Sedangkan katanya, debat ialah jalan terakhir setelah nasihat dan pelbagai cara yang digunakan sebelum ini tidak diendahkan.

"Semasa Allah swt menjadikan Nabi Adam as, Tuhan berdialog dengan Malaikat seperti diceritakan dalam al-Quran.

"Islam menyuruh kita berdebat mengenai dasar kerana dunia ini kepunyaan Allah swt, maka kita perlu mengikut arahan atau pun kehendak-Nya, tidak boleh pandai-pandai malakukan apa sahaja.

"Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad saw membawa Islam merangkumi iman dan ihsan supaya menjadikan perkara ini sebagai dasar dan bukannya berpandukan nasionalis semata-mata," ujarnya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .