KOTA BHARU, 21 Mac: Biar pun hampir setahun Datuk Seri Najib Razak menerajui pentadbiran negara, namun orang harapannya di Kelantan dikatakan belum mampu menguasai agensi kerajaan pusat di sini.
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) merupakan dua agensi pusat masih lagi diterajui orang Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kada sehingga kini masih lagi di bawah Tan Sri Annuar Musa, manakala Kesedar kekal di bawah Datuk Ramzi Abdul Rahman.
Kedua-dua agensi itu biar pun bertanggungjawab membangunkan industri pertanian di Kelantan, namun ada peranan sampingan berkaitan politik tidak dapat dinafikan.
Ini dapat dilihat apabila bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dikendalikan di bawah kedua-dua agensi itu mempunyai kaitan rapat dengan Umno.
Malah, setiap permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui agensi terbabit akan dipantau pemimpin Umno dan pemohonnya perlu mempunyai keahlian parti tersebut.
Begitu juga pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas, Kesedar mempunyai peranan penting bagi membantu calon Barisan Nasional (BN).
“Ekoran kegagalan Najib meletak orangnya di Kada dan Kesedar sehingga kini menyebabkan perancangan politiknya di sini tidak meluas.
“Lagi pun kedua-dua pengerusi yang menerajui agensi terbabit sudah ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu. Annuar misalnya hanya sibuk dengan bola sepak dan seperti sudah melupai dunia politik,” kata sumber Umno di sini.
Oleh itu, beliau mendesak Najib meletak muka baru di Kada dan Kesedar bagi memastikan perancangan Perdana Menteri untuk membangunkan sektor pertanian Kelantan lebih berkesan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan difahamkan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Che Salleh disebut-sebut bakal menggantikan Annuar di Kada dalam masa terdekat ini.
Kata satu sumber, Fatmi baru-baru ini difahamkan meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Najib untuk membolehkan dia menerima jawatan baru di Kada.
Begitu juga katanya, di Kesedar pemimpin baru yang rapat dengan perdana menteri akan dibawa bagi menggantikan Ramzi.
Ramzi yang juga Ketua Umno Kuala Krai merupakan bekas Setiausaha Politik Abdullah.
Begitu juga Annuar mempunyai hubungan rapat dengan Abdullah apabila dilantik sebagai pengerusi Perhubungan Umno Kelantan ketika eranya sebelum digantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed oleh Najib.