BACHOK, 28 Mei: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tidak pernah berhasrat untuk membina masjid sebaliknya ingin melihat rakyat sendiri yang berbuat demikian.
"Saya beritahu Exco kerajaan tak usah buat masjid, kerajaan hanya bantu yang rakyat buat sebab kita nak tengok rakyat Kelantan sendiri buat masjid, biar walau harga paling murah sekalipun ia tetap masjid yang dibina oleh rakyat.
"Contoh Nabi Muhammad sendiri sewaktu sampai di Madinah, Nabi Muhammad sendiri derma untuk beli tapak Masjid Madinah yang ada sekarang ini," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil sikap demikian semata-mata untuk melihat rezeki yang diraih oleh rakyat Kelantan dapat dicairkan melalui kerja-kerja kebajikan.
"Kita mahu lihat orang Kelantan cari duit bukan saja untuk beli beras tetapi menderma sebagai contoh derma untuk bina masjid.
"Ini bererti dengan rezeki yang kita dapat itu kita juga membeli pahala," tambahnya.
Sementara itu, biarpun penggunaan masjid sebagai gelanggang politik terus menjadi pertikaian di kalangan sesetengah pihak namun beliau yang juga Mursyidul Am PAS akan tetap meneruskan agenda tersebut di dalam pentadbirannya di negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik di zaman pemerintahan baginda.
"Nabi Muhammad sendiri berpolitik di masjid, kalau tak percaya, cakap di mana Nabi Muhammad buat ucapan-ucapan lantik pegawainya kalau tidak di masjid.
"Lantik pegawai di dalam masjid, menyusun strategi perang di dalam masjid, berdamai dalam masjid, berubat orang sakit dalam masjid termasuk terima rombongan luar pun di masjid," katanya selepas majlis perasmian Masjid Abdul Rahman, di sini semalam.
Beliau membidas golongan yang berpendapat masjid tidak boleh dijadikan tempat untuk berpolitik sebagai cara orang Eropah tetapi bukan cara Nabi Muhammad s.a.w. -Hrkh