Ikuti Blog ini

Kakitangan Awam Diperalat Untuk Sabotaj Negeri Pakatan Rakyat

Umno-BN Letak Pegawai Kerajaan Pusat Sabotaj Negeri Pakatan Rakyat

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus bukan sahaja menunjukkan sikap dwi standard, tetapi juga menggalakkan pegawai perkhidmatan awam supaya tidak bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba mempertahankan pegawai kerajaan yang disifatkan beliau sebagai 'Napoleon kecil' dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.

"Malah, Tan Sri Muhyiddin menggelar Nik Ali seorang pegawai yang patut dicontohi dan melihat tiada kes keingkaran yang dilakukan. Sama juga, Ketua Setiausaha Negara yang telah berkata tiada tindakan akan diambil ke atas Nik Ali.

"Di atas komen memudaratkan oleh PM dan TPM, menunjukkan dengan jelas yang kerajaan Umno-Barisan Nasional sedang menggunakan 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam untuk merumitkan kerajaan Pakatan Rakyat demi kepentingan politik sendiri.

Isu itu bermula apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Nik Ali berterus terang mengenai kos dan kerugian perobohan dua buah pintu gerbang di Taman Botani Pulau Pinang berharga RM150,000 yang dibina di bawah Kementerian Pelancongan.

Binaan itu dirobohkan berikutan kritikan orang ramai kerana binaan itu tidak mempunyai nilai seni dan kebudayaan negeri itu.

Guan Eng menyifatkan tindakan Nik Ali, yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyelia projek itu cuba mensabotaj pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau juga mendedahkan sepucuk surat yang dihantar SDO tersebut pada 13 Oktober kepada Jabatan Saliran dan Pengairan memberi kata dua terhadap peruntukan RM5 juta dari Kementerian Pelancongan.

Surat itu menyatakan kerajaan perlu menyelesaikan "isu-isu tertangguh" di Taman Botani" tersebut atau pembiayaan projek akan ditarik balik.

Nik Ali sebaliknya mengadakan sidang media dan menuduh kerajaan negeri membenarkan aktiviti mencuri pasir di Balik Pulau.

Menurut Tony, Najib mempertahankan kesalahan yang dilakukan Nik Ali yang telah membuat keputusan sendiri dengan mengadakan sidang media dianjurkan Umno serta menggelar Guan Eng sebagai biadap pada sidang media berkenaan.

"Pemimpin BN tidak dapat menerima keadaan di mana sebuah kerajaan berdasarkan kecekapan, kebertanggungjawaban dan telus akan melebihi prestasi BN. Sebaliknya telah memilih untuk menyemai 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam untuk sabotaj dasar-dasar pemerintahan yang beri manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Menurut Tony, Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bersifat pilih kasih terhadap kakitangan perkhidmatan awam dan telah bekerja dengan ramai kakitangan kerajaan yang memberi prestasi cemerlang terhadap pentadbiran dan dasar kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak akan menerima kehadiran 'Napoleon kecil' seperti Nik Ali kerana peranannya hanya untuk menjaga kepentingan peribadi beliau dan Umno-BN.

"Kehadiran dan galakan diberikan kepada 'Napoleon kecil' akan hanya mengakibatkan unsur kebocoran, rasuah dan ketidakcekapan dalam mekanisme pentadbiran kerajaan, dan akan merumitkan kemasukan pelaburan asing dan tempatan kerana melihat tiada perubahan praktikal dilakukan Kerajaan meskipun dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB)," tegas Tony lagi. -SK


Pegawai sabotaj Kerajaan Kedah?

ALOR SETAR - Ada pegawai Kerajaan Negeri didakwa enggan bekerjasama dengan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) kerana bersikap pro-UMNO dan cuba mensabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Wan Salleh Wan Isa berkata, pegawai ini juga dikenal pasti aktif berpolitik secara senyap sekalipun menyedari tindakan itu melanggar etika penjawat awam.

Wan Salleh berkata, kerenah birokrasi yang dihadapinya sewaktu menjadi wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat kawasan Kuah, Langkawi sebelum ini, turut membelenggu wakil rakyat PR di negeri ini.

“Jika masalah ini tidak diberi perhatian, saya bimbang wakil rakyat PR akan terus menjadi mangsa sabotaj pegawai pro-UMNO ini kerana mereka seolah-olah ada agenda tertentu untuk menjatuhkan PR.

“Saya ada terima maklumat kumpulan ini menerima arahan daripada orang tertentu untuk memporak-perandakan PR,” katanya.

Wan Salleh berkata, pegawai kerajaan perlu mengenepikan sentimen politik untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan proses pentadbiran berjalan lancar dan berkesan.

Menurutnya, sekiranya masalah sentimen politik ini berlarutan, beliau bimbang rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Sebagai contoh, sebelum ini saya menerima peruntukan wakil ADUN sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan permasalahan kawasan Kuah, Langkawi.

“Bagaimanapun, saya hairan dengan sikap pegawai terlibat yang seakan cuba menyulitkan urusan saya untuk menggunakan peruntukan itu dengan pelbagai cara, sedangkan permohonan saya sebelum itu diluluskan Pejabat Menteri Besar Kedah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Sikap seperti ini jika dibiarkan akan menganiaya rakyat kerana peruntukan itu digunakan untuk rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pelawaan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad supaya beliau masuk UMNO, Wan Salleh menolak.

“Saya letak jawatan wakil ADUN Angkat kerana tak tahan dengan kerenah pegawai pro-UMNO, bukan tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri,” katanya. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .