Ikuti Blog ini

Saman ekor: Kerajaan kemaruk duit rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS berpandangan tindakan saman ekor menampakkan kerajaan begitu kemaruk duit rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ianya bertentangan dengan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, realiti yang berlaku adalah saman diutamakan, rakyat dibebankan.

Katanya, PAS bimbang rakyat yang menjadi mangsa saman ekor yang dilonggokkan sejak sekian lama akan tertekan untuk membayar saman.

Justeru, ujarnya jalan mudah untuk membayar saman ialah dengan meminjam daripada along.

“Kalau ini berlaku maka akan bertambah masalah sosial di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, tegasnya, PAS mendesak supaya saman ekor dibatalkan, dan mencadangkan supaya dihadapkan mereka ke muka pengadilan, bukan memakai undang-undang rimba.

“Cukuplah rakyat terlalu menderita dengan kenaikan harga barang dan kos hidup melambung dan dibebani pula dengan saman ekor,” katanya lagi.

PAS juga, katanya tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan bahawa pihak polis akan mengurangkan bayaran saman bagi setengah kesalahan jalanraya supaya meringan bebanan kesalahan jalan raya.

Beliau berkata, apa yang dituntut oleh PAS dan rakyat yang menjadi mangsa, saman ekor mesti dihapuskan kerana ia menyalahi prosedur undang-undang.

PAS, tambahnya mempersoalkan kenapa begitu mudah kerajaan menyiksa rakyat dengan menyaman mereka yang belum tentu bersalah.

Beliau mempersoalkan kaedah manakah yang mereka ambil untuk mendenda rakyat tanpa dibawa ke pengadilan.

“Kenapa pihak polis dan JPJ menunggu begitu lama untuk disenarai hitam mereka yang bersalah sejak tahun 2000?

“Apakah ini bukan satu kezaliman terhadap rakyat di negara ini?” soalnya.

Sekarang, katanya sudah ada 1.07 juta orang yang menjadi mangsa.

Apa yang paling malang sekali, tambahnya semua kereta akan disenarai hitam selagi atas nama tertuduh.

“Semua kenderaan tidak dapat cukai jalan. Tindakan ini merugikan negara kerana cukai jalan dan insuran tidak boleh diperbaharui,” ujarnya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .