UMNO BN dilihat berada di dalam zon tidak selamat di dalam pilihanraya kecil Merlimau apabila talian hayat terpaksa digunakan dengan menurunkan semula Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan pelbagai gula-gula pilihanraya dan janji.
Semalam, 86 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah terpilih menerima ganjaran yang diperkenalkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan.
Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima RM7,500, manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900.
Guru besar terbabit antara 925 atau 12.10 peratus bilangan sekolah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) di seluruh negara pada tahun lalu.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid melihat Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini sudah ketandusan idea sehingga terpaksa mencuri dasar Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk dijadikan sebagai "gula-gula" kepada rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
"Mengapa harus ambil item yang telah dibuat dalam buku jingga untuk dijadikan sebagai panduan? Ini menunjukkan bahawa sekarang ini tahap mereka sebagai pencuri dan tidak tahu membuat kerja, meniru orang dan mengambil dasar orang untuk dijadikan dasar mereka," kata Abdullah.
Menurut beliau, tindakan Umno-Bn itu sekaligus membuktikan bahawa dasar yang direncanakan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu dapat dilaksanakan jika menawan Putrajaya kelak.
"Ini saya lihat sebagai mencuri dan meniru buku jingga dan kita yakin buku jingga ini merupakan satu transformasi dan dasar yang jelas kepada rakyat untuk mengangkat wacana martabat rakyat," jelasnya.
Perkara ini sekaligus menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa negara akan bangkrap jika Pakatan Rakyat menaikkan gaji mahupun insentif kepada pendidik di negara ini.
"Kerajaan Barisan Nasional telah berada dalam kegelapan, ketakutan yang jelas menunjukkan bahawa mereka sekarang berada di hujung tanduk kehancuran mereka sendiri,"katanya.