

Dalam masa yang sama, anggota parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul pula diangkat sebagai "hero" kerana versinya yang mempertahankan bahawa Anwar bukan "pelakon" dalam video 22 minit yang ditayangkan di sebuah hotel mewah di ibu negara minggu lalu.
Selain Anwar sendiri, hampir semua pemimpin kanan Pakatan hadir, termasuklah Murysidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan exconya.

Bagaimanapun, ketua pembangkang meminta penyokongnya tidak mempedulikan isu itu sebaliknya memfokuskan kepada perjuangan mereka melalui 'Buku Jingga' dengan mengutamakan isu tata kelola pentadbiran negara supaya berjalan betul.
Beliau juga berkata, tiga parti dalam Pakatan - PKR, DAP dan PAS - sudah selesai dalam pembahagian kerusi dan sehubungan usaha menumbangkan BN dan menamatkan pentadbiran 30 tahun Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hendaklah digiatkan.
"Taib Mahmud ini sudah sama lama (bekas presiden Mesir) Hosni Mubarak," katanya disambut gelak ketawa ribuan penyokong yang hampir memenuhi stadium itu.

Mengulas itu video seks yang dikaitkan dengan dirinya, Anwar mempersoalkan kewibawaan Rahim dan membandingkannya dengan isu yang sama melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek sebelum ini.
"Dalam kes Soi Lek, siapa edar ditangkap. Dalam kes ini, siapa edar dirai. Kebetulan namanya (orang itu) Rahim Thamby Chik," sindir Anwar yang berbaju Melayu dan bersongkok dalam ceramah itu.
Sambil mengaitkan Rahim dengan dakwaan rasuah yang membelenggu bekas pemimpin kanan Umno itu sebelum ini, Anwar juga mendakwa isu video itu ditimbulkan kerana pendakwaan terhadapnya di mahkamah dalam kes liwat membabitkan Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah "lemah".