Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganjurkan Pertandingan Mencipta Video BERSIH 2.0 untuk mempromosikan perhimpunan itu yang diadakan pada 9 Julai ini di ibu negara.
Sehubungan itu, mereka menjemput mana-mana individu atau kumpulan yang berminat untuk menyertai pertandingan itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM500 bagi tempat pertama, RM200 (kedua) dan RM100 bagi tempat ketiga.
Ketua penerangannya Herman Samsudeen berkata pihaknya menetapkan sembilan syarat pertandingan berhubung pembikinan video BERSIH 2.0.
Syarat-syarat tersebut adalah:
- Minimum durasi video adalah 2 minit dan maksimum 5 minit
- Memaparkan gambar atau rakam video berkaitan rakyat
- Memaparkan gambar atau rakam video himpunan Bersih
- Memasukkan maklumat tarikh dan tempat himpunan BERSIH 2011
- Memasukkan maklumat lapan tuntutan BERSIH
- Muzik atau petikan suara atau ucapan sebagai latar digalakan (Keutamaan kepada ucapan pemimpin PAS)
- Penggunaan ayat al-Quran atau Hadis digalakan
- Setiap video dikehendaki meletakan nama pencipta dan nama “Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan" sebagai penerbit.
- Video yang dicipta hendaklah tidak menyentuh sensitiviti atau menghina mana-mana kaum, agama, individu atau parti.
"Video yang telah siap hendaklah dimuatnaik ke laman web Youtube mengunakan akaun peserta," katanya sambil menambah mereka digalakkan mempromosikan video itu untuk mendapatkan rating penonton.
Menurutnya lagi, penilaian terhadap video itu dibuat berdasarkan kepada pematuhan syarat pertandingan, mesej yang disampaikan, susunan jalan cerita, kualiti gambar, komen serta jumlah penonton dalam Youtube.
"Peserta yang telah memuatnaik video mereka hendaklah menghantar link video berkenaan di Youtube ke email - hermansamsudeen@gmail dengan tajuk "Pertandingan Video" dan menyertakan nama peserta, nombor kad pengenalan serta nombor telefon bimbit," katanya.
Tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 18 Julai manakala keputusan tiga video terbaik akan diumumkan pada 25 Julai ini melalui dalam blog DPPWP dan email kepada pemenang. -M'kini