KUALA LUMPUR, 27 Sept: "Syukur alhamdulillah, anak saya sudah pulang. Semoga Harakah terus maju," demikian bunyi SMS yang dikirim oleh Sujut Esmon (gambar) kepada Harakahdaily jam 8.44 pagi semalam.
Sujut, seorang peniaga, 45, dan keluarganya kini menghela nafas lega apabila anaknya yang hilang, Muhamad Akram, 16, telah pulang ke rumahnya sekitar jam 9.00 malam, Ahad, 25 September lalu.
Menurut beliau, kepulangan Muhamad Akram disedari oleh salah seorang anaknya yang masih kecil lalu terus memberitahu kepada isterinya yang juga emak kepada anak-anaknya itu dengan nada penuh kegembiraan.
"Kepulangan anak saya itu kemudiannya terus dimaklumkan oleh isteri saya kepada saya yang berada di pasar untuk menjalankan perniagaan sekitar jam 10.00 pagi 25 September lalu menerusi SMS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Muhamad Akram, pelajar Pondok Beta Hilir, Kota Bharu, Kelantan, menurut beliau, pulang ke rumahnya dengan dihantar oleh seorang lelaki lalu terus masuk dan mendiamkan diri di dalam biliknya.
"Apabila ditanya oleh emaknya atau isteri saya tentang ke mana dia pergi dan apa yang berlaku ke atasnya sejak kehilangannya itu, dia hanya menjawab tidak tahu dan tidak ingat.
"Sehingga hari ini, saya, isteri dan seluruh keluarga kami masih tidak diberitahu oleh anak saya itu ke mana dia pergi dan apa sebenarnya yang berlaku ke atas beliau selama ini kerana dia masih kelihatan seperti trauma dan kebinggunggan," jelasnya.
Harakahdaily pada 23 September lalu atas tajuk "Pelajar Hilang Sejak 13 September Lalu Gagal Dikesan" melaporkan, Muhamad Akram hilang dan tidak dapat dikesan sejak 13 September lalu apabila beliau didapati masih belum pulang ke asrama sekolahnya di Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, Kelantan hingga ke hari itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta berkerjasama mengesaninya serta melaporkan kepada keluarganya dengan segera jika menemuinya di sebarang tempat bagi menyelamatkan beliau dari segala kejadian tidak diingini.
Ketika berkunjung ke pejabat Harakahdaily, Sujut yang tinggal di B8-10-8, Flat Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani anaknya bagi menyelamatkan Muhamad Akram dan membolehkan beliau menjalani kehidupan seperti biasa.
Di samping mencari di pelbagai tempat termasuk di Tanah Merah dan Machang di Kelantan dengan kerjasama sanak saudara dan rakan-rakan, kehilangan Muhamad Akram turut dilaporkan oleh Sujut kepada pihak polis di Balai Polis Kota Bharu pada 15 September lalu.
Selain itu, berita kehilangan pelajar yang mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 6 inci, berkulit putih dan berbadan sederhana itu turut disiarkan di TV3 pada 22 September, sebelum dimaklumkan oleh beliau kepada Harakahdaily pada 23 September lalu.
Menurut Sujut, sebaik sahaja berita kehilangan anaknya itu disiarkan oleh Harakahdaily, beliau menerima sekitar 10 SMS daripada pembaca dari seluruh negara termasuk dari Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah yang meminta beliau bersabar dengan kehilangan anaknya itu.
Dalam masa yang sama, para pembaca itu juga turut memberitahu kepada beliau yang mereka akan turut mendirikan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya anaknya itu selamat dan pulang segera ke rumah.
"Selain itu, ada juga dari mereka itu yang turut membantu saya dengan menunjukkan cara-cara tertentu dengan kaedah Islamik dalam usaha untuk menyelamatkan anak saya itu agar pulang ke rumah dengan selamat, termasuk menyuruh saya membaca surah Yaasin sebanyak 40 kali," katanya.
Berkat doa dan kerjasama daripada mereka, beliau bersyukur kepada Allah kerana anaknya benar-benar telah pulang ke rumahnya di Petaling Jaya pada 24 September lalu, iaitu setelah selama satu malam berita mengenai kehilangan anaknya itu disiarkan di Harakahdaily.
"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas jasa mereka yang tolong berdoa, solat hajat dan bekerjasama dengan saya dalam usaha mencari serta menyelamatkan anak saya itu sehingga dia pulang ke rumah dengan selamat.
"Jasa semua pihak terbabit tak dapat saya membalasnya. Hanya kepada Allah saya serahkan segala-galanya untuk membalas jasa semua pihak," katanya.
Disebabkan Muhamad Akram masih tidak memberitahu kisah kehilangannya itu kepada beliau dan emaknya, beliau masih tidak mengetahui kejadian itu dengan lebih jauh.
Namun kepada emak saudaranya, Zalina Samat, 50, iaitu adik kepada isterinya atau adik iparnya yang tinggal di Nilai, Muhamad Akram telah menceritakannya dengan ringkas.
"Berdasarkan ceritanya kepada adik ipar saya itu, setelah bertolak dari Stesyen Bas Hentian Putra pada jam 10.00 malam 12 September dan sampai di Stesyen Bas Kota Bharu pada 13 September lalu dan selesai bercakap dengan saya menerusi telefon, dia telah pulang semula ke Stesyen Bas Hentian Putra di Kuala Lumpur.
"Dia pulang semua ke Stesyen Bas Hentian Putra bersama seorang rakan. Selepas itu, dia juga turut tinggal dengan kawannya itu di Hentian Putra, sehingga dihantar pulang ke rumah pada 24 September lalu," katanya.
Selain itu, jika semasa keluar rumah pada 12 September lalu, Muhamad Akram membawa beg besar yang berisi pakaian, kepulangannya ke rumah hanyalah dengan membawa beg sandang sahaja.
"Saya tidak dapat membuat apa-apa rumusan mengenai kisah kehilangannya itu. Saya juga tidak mahu menekannya untuk bercerita lebih lanjut sekarang sebab takut dia tension. Saya terpaksa menunggu lebih lama sehingga dia boleh dan bersedia menceritakannya dengan baik suatu hari nanti.
"Buat masa ini biarlah dulu dia tenangkan dirinya. Selain itu, saya juga akan membuat laporan balik kepada pihak polis tentang kepulangan anak saya itu. Tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana dia selamat dan sihat," ujar beliau. -Hrkh