

Wanita itu adalah antara lebih 5,000 penyokong yang berhimpun di luar kompleks mahkamah sejak awal pagi ini untuk mendengar keputusan kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebahagian besar mereka yang datang berpendapat Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah tetapi menggagahkan diri untuk datang dan meneruskan saki baki perjuangan tanpa ketua umum PKR itu.

"Kita tahu pengadilan macam mana yang akan kita terima tetapi rakyat Malaysia tetap akan menuntut Keadilan!” kata bekas speaker Perak V Sivakumar.
Tetapi keadaan sekitar bertukar kepada kekeliruan seketika apabila diumumkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan beliau dibebas dan dilepaskan.
Setelah mendapat pengesahan berita itu, penyokongnya terus melonjak keseronokan dan menjerit, "Anwar tidak bersalah!".
Ramai yang kelihatan bergembira sambil memeluk satu antara lain seolah-olah Malaysia telah memenangi kejohanan bolasepak Piala Dunia.

Di kamar perbicaraan, isteri Anwar Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terus memeluk suaminya dengan gembira dan menahan sebak setelah merana dan trauma sejak perbicaraan bermulka pada tahun 2008.
Sejurus itu, pasangan berkenaan keluar dari bangunan mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya. Mereka disambut tepukan gemuruh dengan laungan “reformasi” terus bergema sehingga menyebabkan keadaan hinggar binggar seketika.

"Kita telah dengar tadi bahawa saya kini bebas. Tetapi ini bukanlah mengenai kebebasan saya. Tugas kita sekarang ialah untuk membebaskan rakyat ... Bebaskan rakyat! ... Bebaskan rakyat." -M'kini