Ikuti Blog ini

Gelombang unggu tuntut kerajaan bebas rasuah


Jalan-jalan sekitar Petaling Jaya, Selangor hari ini menyaksikan gelombang ungu apabila kira-kira 4,000 sebahagian besar mereka wanita berarak dari dua lokasi berbeza dalam usaha  menuntut untuk kerajaan bebas rasuah dan bersih tadbir urus yang bersih.

women's day rally 180312Sambil berpakaian ungu dan sarung tangan putih, mereka berkumpul di dua tempat berasingan - tasik Taman Jaya dan Masjid Tun Abdul Aziz di Seksyen 14 pada jam 2 petang tadi, meskipun hujan gerimis.

Dengan melaungkan slogan seperti "Hidup, Hidup, Hidup wanita” dan “Tolak, tolak, tolak rasuah" mereka juga membawa sepanduk, kain rentang dan poster yang bertemakan anti rasuah dan anti diskriminasi terhadap wanita.

Mereka kemudiannya membanjiri Padang Astaka, Petaling Jaya bagi menghadiri Himpunan Wanita Suara Perubahan.

Himpunan yang bermula pada pukul 3.15 itu dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Antara mereka, exco kanan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Yusuf.
superwomen rally 180312 15Selain pimpinan Pakatan, turut mencuri tumpuan pada perhimpunan itu ialah 20 orang wakil Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung.

Ketika berarak, peserta melaungkan 'Wanita mahukan perubahan', 'Hentikan rasuah' sambil membawa sepanduk seperti 'Keganasan terhadap wanita siapa peduli' dan 'Negara maju kami miskin'.

Himpunan anjuran gabungan 15 NGO ini juga turut diserikan lagi dengan acara tarian oleh jawatankuasa Wanita Suara Perubahan dan paluan gendang daripada kumpulan KL Street Drummers.

Selain itu, exco kebajikan, hal ehwal wanita, sains teknologi dan inovasi, Rodziah Ismail ketika berucap menyeru agar perubahan pentadbiran dilakukan bukan sahaja di Selangor malah di seluruh Malaysia.
Tukar kerajaan

Sambil mendapat sokongan gemuruh, Rodziah juga berkata, semua wanita perlu bekerja kuat dan turun padang bagi memastikan kerajaan akan datang adalah sebuah kerajaan yang bersih.

superwomen rally 180312 nurul"Kita perlu lakukan perubahan dengan memastikan kerajaan yang bersih. Kita juga perlu bersihkan BN.

"Sebagai wanita bukan sahaja perlu pastikan perubahan ini boleh dilakukan tetapi berjanji akan pastikan kerajaan juga ditukar," katanya yang juga merupakan ADUN Batu Tiga.

Bagi wakil masyarakat kaum Orang Asli, Fatimah Bahsin pula  berkata, beliau mahu kerajaan memberi jaminan akan melindung hak tanah adat mereka dan tidak menindas wanita Orang Asli.

Fatimah berkata, penindasan terhadap wanita Orang Asli perlu dihentikan kerana jelasnya, golongan itu juga mampu melaksanakan kerja mereka dengan bagus.

womans day rally"Jangan singkirkan Orang Asli. Wanita Orang Asli sebelum ini dibuli kerana tidak berpendidikan. Kita juga mampu buat kerja bagus dan kami minta beri gaji berpatutan kepada kami.

"Kerajaan juga perlu bagi tanah kepada kami kerana itulah mata pencarian Orang Asli," katanya sambil mendapat tepukan daripada peserta himpunan.

Sementara itu, Jawatankuasa Wanita Suara Perubahan, Adriene Leong berkata, himpunan hari ini berjaya mencapai sasaran, Malah, katanya, beliau tidak menyangka peserta yang hadir akan mencecah ribuan orang.
Keluar mengundi

Menurut Adriene yang juga merupakan ahli Empower, matlamat utama himpunan ini adalah bagi menuntut kerajaan yang bersih tidak kira dari parti mana yang bakal memimpin negara.

superwomen rally 180312 13"Kita juga sebenarnya menjemput semua ADUN dan ahli parlimen untuk hadir pada himpunan hari ini. Sesiapa pun sebenarnya boleh hadir tidak hanya sebelah pihak sahaja.

"Dan kita bukan mahu ubah kerajaan tetapi tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, mereka perlu bersih," katanya.

Menurut Adriene lagi, himpunan ini juga merupakan antara cara bagi menggesa wanita supaya keluar mengundi pada pilihan raya umum serta menjadikan isu wanita sebagai isu negara.

"Tidak kira dari parti mana, isu wanita perlu diletakkan sebagai isu negara dan kemungkinan juga, pada Hari Wanita tahun hadapan, kita akan buat lagi himpunan seperti ini," ujarnya. -M'kini
 











 


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .