Politik kian menarik dan meriah menjelang pilihanraya umum ke 13. Terkini Dato' Seri Najib mohon maaf kepada rakyat atas kesilapan BN dalam pemerintahan mereka yang lepas dan memberi akujanji bahawa mereka tidak akan mengulangi kesilapan silam yang nyata telah membawa igauan buruk buat mereka.
Perbuatan ini dianggap luar biasa. Bagaimana UMNO selama ini dilihat gah dan angkuh di puncak kuasa, tiba - tiba roadshow keseluruh negara memohon maaf daripada rakyat atas kesilapan lampau mereka. Umumnya rakyat melihat perbuatan ini seperti "buang tabiat".
Seolah - olah UMNO sudah tahu bahawa kuasa dan pengaruh mereka bakal berakhir dalam pilihanraya umum akan datang, lalu UMNO memohon maaf kepada rakyat disetiap negeri yang mereka jelajah.
Saya melihat perkara ini sebagai pelik dan menghairankan kerana Datuk Seri Najib boleh memilih televisyen untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat dalam negara kita dan memadai dengan sekali mohon maaf. Tetapi .... apabila tindakan mohon maaf ini dibuat berulang kali, rakyat akan tertanya - tanya sebenarnya apa yang telah berlaku pada UMNO ?
[Gambar - antara kesalahan Umno yang paling besar adalah amalan rasuah]
Sebagai seorang muslim yang baik, sememangnya kita diajar menerima permohonan maaf dan segera memaafkan pihak lain terutama dikala mereka memohon untuk dimaafkan. Cuma asasnya apabila ada orang memohon maaf, ia terhenti di atas 2 perkara:
a] mohon maaf kerana "buang tabiat" mengikut istilah orang tua - tua. Mereka tidak bersalah dan tidak pernah rasa bersalah seperti UMNO yang sering menganggap PAS selama ini melontarkan fitnah kepada mereka. Apa yang PAS sebut adalah tidak benar dan fitnah semata - mata. Ertinya mereka berada di pihak yang benar selama ini, lalu kenapa mereka tiba - tiba beria - ia benar memohon maaf secara berulang kali daripada rakyat.
b] mohon maaf kerana sedar bahawa mereka telah dan pernah melakukan kesalahan serta kesilapan kepada rakyat. Jika ini tujuan UMNO memohon maaf, ertinya selama ini apa yang kita sebut bahawa UMNO telah melakukan kesalahan besar kepada rakyat adalah benar dan telah dimaklumi menerusi sikap dan langkah yang diambil oleh UMNO sehari dua ini apabila mereka memohon maaf kepada rakyat.
Saya tidak bermasaalah untuk rakyat menerima permohonan maaf tersebut atau dalam erti kata lain, memberi kemaafan kepada mereka. Namun di sana perlu kepada rakyat amnya dan UMNO khasnya memahami bahawa memohon maaf sahaja tidak memadai kerana seiring dengan langkah memohon maaf, UMNO mesti mengembalikan hak rakyat yang telah diambil tanpa kerelaan seperti royalti minyak, kerajaan negeri Perak, pampasan mangsa ISA dan banyak lagi untuk saya sebutkan satu persatu di sini.
Saya melihat satu kewajaran untuk UMNO berundur, menginsafi kesilapan lampau dan memberi laluan kepada Pakatan Rakyat pula membuktikan keupayaan mereka menggalas amanah rakyat.
**** Ulasan ini merupakan kenyataan media Ustaz Nasrudin bin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.