Ikuti Blog ini

Bersih teruskan Duduk Bantah tanpa kebenaran DBKL


(Desakan supaya semua pemimpin SPR letak jawatan dari Bersih 3.0)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 akan meneruskan rancangan Duduk Bantah di Dataran Merdeka pada 28 April bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan mereka.

Pengerusi Bersama, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, beliau langsung tidak terkejut dengan penolakan DBKL itu dan akan meneruskan rancangan mereka tanpa menghantar surat rayuan kepada DBKL.

"Saya tidak terkejut dengan keputusan DBKL ini dan Bersih tegaskan, kita akan terus Duduk Bantah di Dataran Merdeka. Lagipun kerajaan dan polis sudah berjanji akan memberikan kerjasama kepada Bersih.

"Pihak polis pun ada panggil Bersih untuk isi beberapa borang, jadi kita akan teruskan tanpa kebenaran DBKL," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, hari ini.

Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah menerima surat tersebut pagi tadi.

DBKL dalam surat tersebut memberi alasan permohonan Bersih 2.0 tidak diluluskan kerana aktiviti yang dicadangkan tidak bersesuaian dengan penggunaan Dataran Merdeka yang telah ditetapkan oleh DBKL.

Menurutnya, acara-acara yang dibenarkan diadakan di Dataran Merdeka hanyalah acara-acara yang bertahap Nasional sahaja, contohnya sambutan hari Kebangsaan, Hari Wilayah Persekutuan dan acara-acara lain yang setaraf dengannya.

Dataran Merdeka dataran kita

Sementara itu, seorang lagi Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said senada dengan Ambiga bahawa mereka tidak akan berganjak daripada rancangan asal.

Malah tegasnya, jika DBKL ingin menyusahkan mereka, mereka juga akan menyusahkan DBKL.

"Apa yang dilakukan itu tidak bererti kita tidak akan berlawan. Kita akan berlawan. Kita tidak mahu memberikan mereka jalan yang mudah. Kalau mereka susahkan kita, kita akan susahkan mereka juga.

"Yang terakhir surat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. DBKL menjangkakan bahawasanya Dataran Merdeka itu mereka punya, bukan rakyat punya. Saya sendiri akan berada di situ kalau tidak ada halangan.

"Kalau ada halangan pun saya akan berada di situ kerana saya merasakan Dataran Merdeka itu dataran kita semua, hak kita," tegasnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .