Ikuti Blog ini

Pak Samad: Tidurlah di Dataran dengan mimpi indah


Tidak cukup tidur sahaja, tetapi mimpilah yang indah-indah, begitu pesan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kepada mahasiswa yang 'berkhemah' di Dataran Merdeka bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak lima hari lalu.

NONESasterawan berusia 77 tahun itu menyatakan "inilah masanya untuk mereka membetulkan demokrasi".

"Saya menghadiahkan dua beg tidur kepada mereka sebagai simbolik supaya mereka tidur di Dataran Merdeka dan bermimpi yang indah-indah.

"Mimpilah sesuatu yang indah di hadapan, jangan tidur sahaja. Tidur sahaja tidak membawa apa-apa. Tidur dan mimpilah yang indah-indah dan laksanakan mimpi kita itu," katanya.

A Samad sebelum ini juga mendermakan beg tidur dimilikinya sewaktu menunaikan haji dan turut mengambil kesempatan memberikan kuliah berhubung penulisan puisi di situ.

NONETokoh yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Samad' turut merayu supaya anak muda dan mahasiswa menyempurnakan apa yang cita-citakannya bagi menjadikan negara ini "tidak dijajah oleh kuasa yang menyakitkan".

"Orang marah bila saya berkata yang memerintah (negara ini) adalah kelompok bangsawan. Tetapi itulah sebenarnya (yang berlaku)... Kenapa dalam tempoh 54 tahun, bangsawan yang harus memerintah," katanya.

Anak Ghabar Baba sertai ceramah
Berucap dengan bahasa penuh sasterawi, A Samad berkata berkata, sekiranya terdapat pihak yang cuba merosakkan khemah mereka, beliau yakin akan ada kelompok akan menggantikan khemah tersebut.

Tindakan tersebut, tambahnya, hanya untuk menakut-nakutkan mahasiswa dan anak muda yang telah berkampung di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu.

NONEBeliau juga mengulangi seruan supaya semua sasterawan lain "berada di tengah-tengah rakyat" seperti yang dilakukannya sekarang.

Sementara itu, keadaan Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di ibu negara becak kerana hujan lewat petang tidak menghalang kira-kira 2,000 hadirin menghadiri ceramah pengiraan detik 10 hari menjelang perhimpunan BERSIH 3.0, malam tadi.

Ia turut dikejutkan dengan kehadiran bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba - Tamrin - yang berucap menyeru semua pihak turun berhimpun ke perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April.

Tamrin antaranya mendakwa terdapat pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing sebagai usaha "menjual negara" semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.

"Orang tua-tua kata, menang sorak kampung tergadai, kerana nak menang, sanggup jual negara.

"Oleh itu kamu adalah wira, yang tidak mahu negara terjual kepada orang-orang asing, berbanding pemimpin negara (ini)," kata Thamrin.

'Matahari Kuning, menyalalah'
Menghangatkan suasana, aktivis Hishamuddin Rais menyampai ucapan berapi-api 'menghasut' hadirin turun ke perhimpunan yang dilaporkan akan dibanjiri kira-kira 500,000 orang.

NONE"Zaman bercakap dalam mesyuarat, menghantar memorandum sudah tamat. Sudah tiba masanya kita turun ke jalan raya sebelum pilihan raya," katanya yang mendapatkan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Sementara itu, Annie Ooi yang lebih dikenali sebagai "Makcik BERSIH' pula naik ke pentas 'berduet' dengan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat Dr Mariah Mahmud.

"Kita buat Najib pening, ya?" katanya sambil disambut jawapan "ya", gelak ketawa dan tepukan hadirin.

NONE"Siapa takut dengan polis? Siapa takut dengan Umno? Siapa takut dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur?" tanya Annie, warga emas popular dengan kehadirannya dalam perhimpunan BERSIH 2.0 sebelum ini.

Beliau juga kemudiannya melaung dan cuba mempopularkan slogan "kuning, kuning, Najib pening".

Ceramah itu juga turut diselang dengan petikan gitar dan nyanyian aktivis sosial Amin Iskandar yang menyampaikan lagu bertemakan perhimpunan BERSIH bertajuk "Matahari Kuning, Menyalalah" sambil diiringi tepukan hadirin mengikut rentak lagu. -M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .