Ikuti Blog ini

Peserta Bersih 3.0 dijangka lebih ramai




KUALA LUMPUR, 4 Apri: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, himpunan Bersih 3.0 di buat adalah tindak balas terhadap keputusan yang dibuat pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak laporan minoriti dan meluluskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa dibahas membawa kepada perlaksanaan himpunan tersebut.

"Kita kesal dengan apa yang berlaku semalam dan tindakan memutuskan himpunan bersih itu adalah sebagai bantahan rakyat terhadap apa yang berlaku dalam desakan rakyat untuk melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih dan telus.

"Tetapi sebaliknya berlaku, yang mana Speaker memutuskan untuk tidak mendengar laporan minoriti yang jelas mempunyai bukti-bukti terhadap ketidaktelusan SPR dalam memastikan daftar pemilih benar-benar bersih," jelasnya di lobi Parlimen.

Beliau menjangkakan penyertaan rakyat pada kali ini akan melebihi apa yang berlaku pada Bersih 2.0 sebelum ini.

"Dulu sewaktu Bersih 2.0, pemimpin Pakatan Rakyat dan juga pihak penganjur masih belum yakin bahawa rakyat akan datang dengan begitu ramai apatah lagi bila terdapat ugutan-ugutan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Tetapi untuk kali ini saya yakin penyertaan rakyat akan melebihi Bersih 2.0 kerana rakyat sudah bosan dengan sikap yang ditunjukan oleh kerajaan terutamanya sikap dolak dalik kerajaan serta SPR yang enggan membersihkan senarai nama pengundi di dalam daftar pemilih," sambungnya lagi. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .