PUTRAJAYA : PAS mendesak Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan
timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan segera jika tidak
berdepan Bersih 4.0.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu
sewaktu pada penyerahan memorandum kepada SPR petang tadi menyatakan
tempoh diberikan selam tiga puluh hari untuk mereka meletakkan jawatan.
"Kita
mendesak agar kedua-dua mereka meletak jawatan segera, tempoh tiga
puluh hari diberikan kepada mereka jika tidak kemungkinan Bersih 4.0
akan diadakan," jelasnya di lobi Pejabat SPR, petang tadi.
Tambahnya,
segala keputusan akan dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu Bersih
dan setiap apa yang diputuskan, PAS akan menyokong sepenuhnya.
Menurutnya
lagi, sistem pilihan raya adalah mekanisme yang utama untuk
merealisasikan demokrasi di negara kita, ia merupakan asas kepada
pemilihan dan penubuhan kerajaan.
"SPR perlu menjalankan tugas
dan memantau pilihan rara secara tidak berpihak dan neutral, adalah
amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat
memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya.
"Malangnya
walaupun selepas lebih lima dekad negara kita merdeka, perjalanan dan
sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak
telus dan penuh keyakinan," katanya.
Malah lebih parah lagi,
katanya kedua-duanya yang berada dalam SPR dilihat telah memihak dan
menjadi alat serta 'kuda tunggangan' Umno-Barisan Nasional.
"SPR
juga dilihat terus gagal menasihati kerajaan Umno-Barisan Nasional
bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti
Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
"Begitu juga
dengan persoalan akses media yang bebas dan adil, apabila melihat saban
hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung
memberi liputan positif dan ruang kepada pemimpin pembangkang di negara
ini," sambung beliau lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Badan
Penggerak Mobilisasi Demokrasi (PAS) menegaskan bahawa berpegang kepada
prinsip kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria
perlantikan anggota SPR supaya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.
"Badan
Pengerak Mobilisasi Demokrasi dengan ini menuntut dan mendesak
kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita
dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan
peranan dan fungsi intitusi SPR itu sendiri.
"Langkah ini adalah
jalan terbaik untuk mereka menyelamatkan demokrasi di negara kita
lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) akan datang," tambah beliau lagi.
Sementara itu, memorandum yang diserahkan beliau diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said.
Turut
hadir waktu penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Rantau
Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti
Mariah Mahmud dan Mohd Sany Hamzan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia. -Hrkh