
Jika
sebelum ini Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa)
menyatakan Kelantan tiada hak terima royalti, tetapi hari ini beliau
orang pertama mengutip kredit dengan membariskan pelajar sekolah membawa
banner untuk mengucapkan terima kasih ke atas dirinya kerana telah
berjaya memujuk Najib kononnya mempersetujui cadangannya.
Umno: Jangan politikkan panel khas isu royalti
KOTA
BHARU - Kerajaan Pusat telah mengadakan pelbagai peringkat perbincangan
sejak enam bulan lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas royalti semalam, kata
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Muhamad.
Mustapa yang juga Pengerusi Umno Kelantan memberitahu, dalam perbincangan itu beliau sendiri mengemukakan pandangan dan ada darinya dipersetujui Perdana Menteri.
"Alhamdulillah,
ia menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat Kelantan,
saya harap perkara ini tidak dipolitikkan," kata beliau berucap pada
majlis Makan Colek di sini, semalam.
Dalam pada itu, laporan
Bernama hari ini memetik Mustapa berkata, Barisan Nasional (BN) Kelantan
mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara
adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum
kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Pengerusi
BN Kelantan berkata, adalah wajar isu tuntutan bayaran tunai itu
diserahkan kepada jawatankuasa khas itu kerana ia dianggotai pakar
undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri
Kelantan, Pahang dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri
berkenaan.
"Kita
serahkan kepada jawatankuasa khas ini kerana mereka pakar undang-undang
berdasarkan terma rujukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dalam
kenyataannya semalam, mereka tidak berpihak kepada mana-mana maka kita
tunggu hasil daripada jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita di
sini, hari ini.
Mustapa mengulas pengumuman Najib mengenai
penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus
berhubung isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.
Najib
berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim
Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar
undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri
Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri
berkenaan.
Jawatankuasa Khas itu akan membuat satu kajian
menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan
mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai
kepada kerajaan persekutuan.
Mustapa berkata, jawatankuasa itu
juga akan mengambil kira pandangan daripada rakyat Kelantan kerana wakil
dari negeri ini yang diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V akan
menganggotai jawatankuasa tersebut.
"Kita berpandangan kita perlu
serahkan isu tersebut kepada pakar-pakar yang menganggotai jawatankuasa
tersebut, kita harap tidak ada pihak yang beremosi, dipolitikkan,
kerana seperti yang ditekankan Perdana Menteri jawatankuasa ini akan
bertindak secara adil dan telus," katanya.
Beliau berkata,
jawatankuasa khas tersebut juga akan mengkaji adakah wajar pemberian
wang ehsan kepada Kelantan diteruskan, dimana sejak tiga tahun lalu
sebanyak RM61.8 juta disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan
(JPP) untuk membantu rakyat negeri ini termasuk kepada pelajar sekolah
dan institusi pengajian tinggi.
Mengenai lawatan Perdana Menteri
ke negeri ini petang ini, Mustapa berkata, lawatan Najib itu akan
meningkatkan semangat kepada BN Kelantan dalam membuat persiapan
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRu13).
Sejurus tiba di
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira
pukul 4.25 petang, Najib akan mengadakan pertemuan tertutup dengan
pemimpin BN Kelantan dan kemudiannya beliau akan menghadiri program
penyampaian bantuan kepada Penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat dan
Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana di
Bachok.
Perdana Menteri akan menunaikan solat Isyak dan Tarawih
bersama penduduk di Masjid Naim, Jelawat, Bachok dan sebelum berlepas
pulang, beliau akan ke Yayasan Kemiskinan Kelantan di Melor untuk
bersama penduduk. -SH 5/8/2012