Selepas
tiga penggal menjadi Adun dan 21 tahun menjadi pemimpin utama PAS
Perlis, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin mengumumkan tidak
akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun beliau telah mempersiapkan segala-galanya untuk PAS Perlis
menghadapi Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang ini. Ikuti
wawancara wartawan Harakahdaily Zulkifli Sulong dengan beliau baru-baru ini.
Harakahdaily: Apa perkembangan berlaku di Perlis sekarang ini terutama dari segi persediaan hadapi pilihan raya umum ke 13?
Hashim Jasin:
Pertamanya terima kasih kepada Harakahdaily yang sudi datang ke Perlis
ini. Pertamanya dari segi persediaan pilihan raya terutama dari segi
kerjasama kita dengan Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP. Sebenarnya,
sejak Mei tahun lalu (2011), kita sudah selesai pembahagian kerusi di
kalangan parti Pakatan Rakyat.
Selepas itu, kita iaitu PAS telah
membuat re treat dua hari satu malam yang disertai oleh wakil-wakil
dari DUN dan Kawasan-kawasan sebab kita dah tahu kawasan yang kita
bertanding. Ia bertujuan untuk menentukan bakalbakal calon. Dengan re
treat itu kita sudah dapat cadangan dari wakil-wakil yang hadir,
nama-nama yang bakal bertanding. Pihak Perhubungan khasnya Dewan Harian
kemudiannya atur mereka mengikut keutamaan dan kita serahkan nama-nama
itu kepada Pusat. Baru-baru ini, kesemua nama-nama yang kita hantar itu
diluluskan oleh Majlis Syura.
Langkah kedua yang kita buat adalah
memperkemaskan jentera melalui Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN). Kali
ini pengarah dia, kita bagi orang baru, orang muda jadi pengarahnya
iaitu Saudara Hasharudin dan dia susun kerja-kerjanya. Kita telah banyak
belanja untuk JPN, hampir RM200,000 untuk membuat pelbagai persiapan.
Ia banyak kerana Perlis ni negeri kecil sahaja.
Yang kedua,
Pemuda. Juga kita banyak gerakkan parti melaluinya termasuk penubuhan
PKC iaitu Pasukan Kerja Calon yang diuruskan Pemuda. PKC ditugaskan
untuk membantu calon kita mendekati pengundi melalui aktiviti kebajikan
dan khidmat masyarakat. Kita juga telah belanjakan RM107,000 untuknya
kerja-kerja ini. Bukan yang PAS, Pemuda saja. Antaranya kita bagi
daging, buah kurma semasa Ramadhan dan lain-lain. Ini sebenarnya banyak
membantu kita untuk memasuki mana-mana kawasan di negeri ini. Ia macam
pembuka jalan.
Seterusnya kita perkuatkan jentera di peringkat
UPU. Ini sedang berjalan sekarang dengan tumpuan kepada cula. Dari lapan
kawasan DUN kita tanding, enam sudah siap. Kita pula jalankan ikut
taktik Kelantan ketika nak rampas negeri semula menjelang tahun 1990.
Sekarang ini ia masih terus berjalan lagi tetapi tinggal tak banyak dah,
dalam 20 peratus lagi untuk kita selesaikan.
(Ustaz Hashim mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Perlis)
Bagaimana dengan pembahagian kerusi?
Kita
telah berbincang ketiga-tiga parti dan selesai pada Mei tahun lepas
lagi. Ia kemudiannya ditandatangani oleh wakil ketiga-tiga parti. Saya
telah wakili PAS. Kita kemudian telah hantar kepada Pusat.
Jadi Perlis antara yang awal?
Ya, saya rasa kita antara paling awallah yang selesai. Walaupun ada usaha untuk ubah, tetapi kita di Perlis sudah selesai.
Dari segi kerjasama antara PAS, PKR dan DAP di negeri ini?
Kita
telah sekian lama menubuhkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat negeri.
Kita telah adakan empat atau lima kali mesyuarat di mana saya adalah
pengerusinya. Yang tak pernah putus mesyuarat adalah Sekretariat Pakatan
Rakyat negeri yang adakan mesyuarat setiap bulan dan kadang-kadang dua
kali sebulan. Ia dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS.
Bagaimana kedudukan pengundi Cina di Perlis?
Perubahannya
sangat menarik di Perlis ini. Mereka sangat banyak cenderung kepada
Pakatan sekarang. Misalnya di Sanglang, kawasan saya bertanding sebelum
ini. Dulu masa pru 12, saya dapat 30 undi sahaja dari 800 pengundi Cina
yang ada. Sekarang ini saya rasa, BN akan dapat 30 undi itu dan
selebihnya calon PAS akan dapat.
Secara keseluruhannya di Perlis ini, bagaimana kecenderungan mereka?
Saya
kira antara 70 - 80 peratus dari mereka menyokong Pakatan dalam pilihan
raya akan datang ini. Dan yang menariknya, ini kali pertama fenomena
ini berlaku di negeri ini.
Maknanya pilihan raya 2008 lalu, hal ini tidak berlaku?
Ya kali ini baru bergerak macam tu, dulu tak begitu.
Yang menarik juga Ustaz kata tadi adalah PKC. Apa makna PKC ini dan tugas mereka ustaz?
PKC
ialah Pasukan Kerja Calon. Mereka ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda.
Mereka dibentuk untuk membantu setiap calon kita yang akan bertanding.
Merekalah barisan hadapn kita yang akan menemui masyarakat dengan
memasuki kampung-kampung, berjumpa orang. Mereka membawa bersama
sumbangan PAS, pemimpin PAS atau bakal calon kita kerana kita telah
kenalpasti calon kita.
Maknanya semua calon PAS sudah tahu mereka adalah calon?
Ya mereka telah tahu mereka adalah calon.
Seterusnya, ada kajian yang menunjukkan perpecahan dalam Umno
Perlis sekarang ini sangat ketara. Ikut kajian itu, penduduk Perlis
tidak tahu isu NFC misalnya tetapi mereka tahu perpecahan dalam Umno
Perlis ini. Sebenarnya setakat mana kebenaran perkara ini?
Ia
memang betul berlaku. Misalnya dalam sidang DUN Perlis baru-baru ini,
(Datuk Seri) Shahidan (Kassim) bantai MB, bantai Exco. Saya mencelah,
nampaknya Umno pecah dua. Dia (Shahidan) jawab, dok bukan dua...tiga.
Baru-baru ni, saya tanya lagi...bagaimana doh jadi tiga. Dia kata
lagi...dok, empat.
Dalam sidang itu juga, ADUN Mata Air, Khairy
berucap. Dia kata, anak muda tidak menyokong BN. Kerana dihasut
pembangkang, dia kata. Saya kata, bijak pembangkang. Ada antara mereka
beritahu saya, kamu senanglah dah tau dah nak buat apa. Kami tak tau
lagi. Nak buat kerja pun tidak boleh, takut saja je. Buat kerja pun
takut tak lekat langsung (jadi calon). Ini dilema yang mereka hadapi
berbanding dengan kita yang tidak ada masalah itu.
Tetapi perpecahan yang berlaku dalam Umno Perlis ini sejak dari dahulu lagi? Adakah darjahnya berbeza sekarang?
Ooooh
berbeza, berlain. Tengoklah, dulu (Datuk Seri) Najib mai sekali je.
Sekarang dah berapa kali dah Najib datang. (Tan Sri) Muhyidin pun datang
. Dulu mereka buat keputusan, bagi kawasan Arau misalnya, Shahidan
tentukan calon. Bahagian ini pula ketua bahagian. Tetapi sekarang tak
boleh. Shahidan dah kontrol semua JKKK dengan cara dia bayar elaun JKKK
selain kerajaan negeri. Dia bagi dahulu, tiada yang tertangguh. Banjir,
kerajaan bagi RM300 juta sahaja tetapi Shahidan bagi RM600,000.
Selain Shahidan, siapakah lagi pemimpin yang mengawal kumpulan Umno Perlis ini?
Ada
empat kumpulan, kalau berdasarkan kata Shahidan itu iaitu diketuai
Shahidan, Datuk Seri Mohamad Isa Menteri Besar, adinda Tuanku Sultan
Adun Pauh Syed Razlan dan Datuk Azmi Khalid, bekas menteri.
Sikap PAS Perlis dalam menghadapi perpecahan dalaman Umno ini?
Kita tidak kesah dan biarlah kepada mereka untuk selesaikannya.
(Komplek PAS Perlis yang dibina dengan harga RM1.8 juta sahaja)
Negeri Perlis ini, negeri miskin. Kalau federal tidak sokong,
boleh ke negeri ini hendak bayar gaji pegawai dia apatah lagi membuat
pembangunan. Apa komen ustaz?
Hal ini juga berbangkit
dalam Dewan Undangan Negeri. Saya kata senang je, pendapatan kerajaan
negeri dalam RM120 juta saja. Bagaimana nak hidup. Saya jawab, komplek
PAS Perlis, orang nilai RM6 ke RM7 juta. Dengan tanah, tar dan
segalanya. Barang yang orang bagi pun kami kira duit. Jumlahnya kami
buat RM1.8 juta. Semua orang tidak percaya. Sampai Menteri Dalam Negeri
Singapura yang datang ke sini pun tidak percaya. Kita boleh buat.
Jadi
Umno, dengan RM200 juta pun tidak cukup, kita yakin dengan RM100 juta
tu cukup untuk mentadbir negeri. Kita yakin, pintu rezeki Allah akan
buka.
Perlis juga menarik kepada orang luar
dengan pelancongannya. Ramai yang datang untuk melancong. Dasar PAS
dengan pelancongan ini macamana?
Memang ramai orang luar
datang ke Perlis kerana pelancongan. Namun sekarang ini, banyak yang
terbengkalai. Kalau kita buat pelancongan ilmu dan perubatan alternatif
di Perlis ini akan mendapat sambutan baik. Maknanya, kita akan majukan
lagi pelancongannya. Kita juga suka kerana dari segi negatif pelancongan
di Perlis ini masih terkawallah.
Akhir sekali apa harapan Ustaz dalam pilihan raya akan datang ini?
Pertama
saya nak maklumlah, dalam pilihan raya akan datang ini saya tidak
bertanding dah. Ini Ustaz Hadi (Presiden PAS) tahu dah. Saya dah cari
ganti saya dan dah ada dah (untuk DUN Sanglang) dan ada dalam Dewan
Harian. Saya pun dah tolong perkenal dia.
Kita telah gariskan
kabinet bayangan. Kalau diizinkan kita kemenangan kita dah sedia. Kita
juga yakin, kalau menang, saya yakin bahawa PAS mesti menguasai kerajaan
dalam bentuk apa aktivitipun. Parti yang menguasai kerajaan. -Hrkh