KUALA LUMPUR : Kerajaan BN tidak mampu merampas kembali
Putrajaya jika Pakatan Rakyat (Pakatan) menang pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13) akan datang, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Beliau berkata, BN takut Pakatan akan memerintah jauh lebih baik
dengan jaminan keadilan akan dilaksana berasaskan keluhuran
Perlembagaan.
“Sebab itu BN menakut-nakutkan rakyat supaya tidak memilih Pakatan
dalam pilihan raya akan datang. Sebab dia tidak yakin BN boleh merampas
kembali Putrajaya jika Pakatan menang.
“BN pun sedar selama ini mereka tidak pernah memerintah dengan baik apatah lagi berlaku adil kepada semua pihak.
“Apabila kita berjaya menawan Putrajaya, kita akan memerintah jauh
lebih baik daripada BN. Kita menjamin keadilan kepada seluruh rakyat
Malaysia dari segi politik, ekonomi dan sosial,” katanya ketika
dihubungi.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad menakut-nakutkan rakyat supaya tidak
memilih Pakatan pada PRU-13 kononnya rakyat tidak berupaya kembali
kepada BN jika Pakatan memerintah.
Mantan Perdana Menteri yang pernah memerintah secara rejim selama 22
tahun itu berpandangan, Pakatan akan menggunakan apa cara sekalipun
untuk mengekalkan kuasa.
Mengulas perkara itu, Surendran berkata, Mahathir sepatutnya sedar
selama 55 tahun BN memerintah, mereka menggunakan pelbagai cara untuk
mengekalkan kuasa termasuk keganasan politik dan penipuan dalam pilihan
raya.
“Mungkin Mahathir terlupa siapa sebenarnya yang memerintah secara tidak adil dan mengamalkan politk berat sebelah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad
menyifatkan Mahathir tidak peka perkembangan semasa apabila memberi
amaran tersebut kepada rakyat.
Kata Nik Nazmi, zaman kini sudah berubah dan rakyat lebih matang untuk memilih kerajaan.
“Saya rasa dia tidak peka kepada situasi yang berlaku dalam dunia
sekarang. Saya rasa rakyat sudah matang dan mampu membuat keputusan
sendiri dengan baik.
“Jika pemerintah baru tidak mengamalkan corak pentadbiran yang lebih
baik dan telus, mereka boleh nilaikannya sendiri,”
katanya./KeadilanDaily