KIRA-kira setahun lalu, pendakwah dan penyampai
rancangan kuliah interaktif 30 minit Ustaz Don di TV Alhijrah, Don
Daniyal Don Bijayid, 28 telah dipertemukan dengan seorang pelajar
jurusan perubatan Universiti Kaherah, Mesir.
Gadis bernama
Husna Mohd Zahry, 24 ternyata telah menawan hati ustaz yang begitu
tinggi keperibadiannya. Bertitik tolak daripada itulah, kedua-dua belah
keluarga telah mengikat kata sepakat untuk menyatukan mereka dalam
ikatan pertunangan.
Tertib pertunangan dipelihara dengan sebaiknya sehingga tidak ramai
yang menyedari akan berita pertunangan Ustaz Don yang memang cukup
terkenal ini.
Dalam pada itu, rutin harian sebagai pendakwah diteruskan seperti biasa
malah dilaksanakan oleh ustaz yang penuh kerendahan hati dengan
sebaik-baiknya. Begitu juga dengan tunangannya tetap meneruskan
tanggungjawab sebagai pelajar dengan penuh khusyuk.
Tanggal 23 Ogos 2012 bersamaan 5 Syawal 1433H selepas Asar dalam
suasana serba sederhana di kelilingi ahli keluarga kedua-dua belah
pihak pengantin, Ustaz Don akhirnya dinikahkan dengan tunangannya.
Majlis pernikahan berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di
Taman Jelita Kuala Sungai Pinang Balik Pulau oleh bapa pengantin
perempuan, Haji Sr Mohd Zahry Shaikh Abdul Rahman di hadapan jurunikah
Pejabat Agama Daerah Barat Daya Balik Pulau, Ustaz Tuan Haji Saat.
Enggan dedah kisah pertemuan
Ternyata Ustaz Don lebih senang tidak mendedahkan kisah cinta mereka
kepada umum. Malah ketika ditanya tentang pertemuan mereka, dirinya
memaklumkan biarlah kisah mereka berdua menjadi rahsia antara mereka.
“Perjumpaan, biarlah rahsia. Ia berlaku lebih daripada setahun,” tutur Ustaz Don ringkas.
Sungguhpun demikian, dia sudi berkongsi kegembiraannya dengan para
hadirin yang bertandang ke majlis pernikahan dan resepsi pengantin
perempuan di Dewan PKK Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
(KUIS) pada 1 September yang lalu.
“Perasaan saya ketika ini, seronok. Alhamdulillah. Cuma kenduri ini
diadakan selepas akad seminggu yang lalu. Secara jujurnya, sepanjang
seminggu ini perasaan takut itu masih ada dalam diri saya.
“Saya sentiasa mendoakan agar perasaan takut itu sentiasa kekal di
dalam diri saya kerana saya tahu saya sudah mempunyai satu
tanggungjawab yang besar. Yang mana, syurga isteri saya, syurgalah
untuk saya,” tutur pensyarah KUIS ini ketika ditemui di majlis
resepsinya.
Bagi mempersiapkan diri menjadi seorang suami yang bertanggungjawab,
beriman dan bertakwa Ustaz Don sentiasa berusaha untuk memperbaiki
dirinya dengan mendalami kitab-kitab agama yang berkaitan.
“Perkara pertama yang perlu ada dalam perancangan untuk diri saya
sendiri dan keluarga saya adalah kami perlu mendalami banyak lagi
kitab-kitab. Saya mahu supaya pada masa hadapan saya akan lebih
mendalami bidang agama.
“Tambah pula, selepas saya berada dalam dunia ini iaitu di alam
perkahwinan, barulah saya nampak aspek mana yang sepatutnya saya perlu
beri perhatian,” sambung Ustaz Don yang bakal menunaikan haji pada
bulan Oktober nanti manakala isterinya pula akan terus menyambung
pengajian di Mesir.
Dalam pada itu, Ustaz Don turut mengakui bahawa cabaran rumah tangga
yang bakal dialami adalah sama sebagaimana cabaran perkahwinan yang
akan dialami oleh pasangan yang lain.
Husna mahu selalu di samping suami
Menjadi isteri individu terkenal pastilah sedikit sebanyak akan
membuatkan isterinya turut terkena tempiasnya. Ketika ditanya tentang
reaksi Husna saat berhadapan situasi sebegitu, wanita pemalu ini jujur
mengakui dirinya akan cuba menabahkan hati.
“Saya akan tabahkan hati dan dalam apa juga situasi saya akan selalu ada di samping suami saya,” tuturnya lembut.
Barangkali tidak biasa dengan situasi temu ramah yang melibatkan
wartawan dan jurugambar, Husna kelu bila ditanya tentang sifat istimewa
suaminya.
Sebaliknya dia hanya melemparkan senyuman sebelum ditenangkan oleh
suaminya sambil memaklumkan, isterinya itu malu dan tidak biasa dengan
situasi sebegitu.
“Setiap orang ada keistimewaan yang tersendiri. Saya cuma boleh kata
Alhamdulillah,” balas Ustaz Don saat menerangkan pertanyaan mengenai
ciri-ciri istimewa yang ada pada isterinya itu.
“Firman Allah, jika Dia hendak memberi rezeki Dia akan beri dan tidak
mengira siapa. Wallahualam,” sambungnya ketika ditanya soal cahaya mata.
Pada hari itu juga, Ustaz Don dan isterinya Husna sempat mengucapkan
ribuan terima kasih kepada mereka yang sudi datang meraikan kegembiraan
bersama dengannya.
“Cuma satu pesanan saya, tolong doakan kami, kerana boleh jadi doa
salah seorang daripada kita akan dimakbulkan Allah. Saya sendiri tidak
tahu sama ada doa saya atau siapa akan dimakbulkan. Jadi, hantarlah doa
kepada kami dan sekalian kaum muslimin yang ada. Insya-Allah,
mudah-mudahan zuriat orang Islam akan semakin bertambah dalam keadaan
bertakwa kepada Allah S.W.T,” ucapnya penuh kerendahan hati.
* Dapatkan corat-coret dan ulasan keluarga Ustaz Don dalam Mingguan Wanita edisi terbaru di pasaran
Sumber: Sinar harian