Ikuti Blog ini

Zahid Hamidi Kecut, Sultan Johor Murka Peralatan Kor Gerak Khas Tidak Bermutu


DPPM: Teguran Sultan Johor perlu diberi perhatian penting

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan memandang serius dan menyiasat dakwaan adakah benar wujudnya amalan rasuah dan ketirisan dalam pembekalan kelengkapan tentera kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Ini berikutan titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

"Sepatutnya kerajaan merasa malu dengan keluhan hati Sultan Johor sehingga baginda terpaksa membangkitkan perkara ini di ruang media secara terbuka," kata Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss.

"Sebagai ketua bagi pasukan tersebut, baginda wajar membangkitkan rasa tidak puas hati mewakili seluruh anggota pasukan baginda sendiri.

"Apa yang dizahirkan oleh Sultan Johor adalah suatu kebimbangan terhadap amalan rasuah dan ketirisan yang mungkin berlaku dan menyerap masuk dalam dalam projek membekalkan kelengkapan peralatan tentera sehingga anggota pasukan elit itu menjadi mangsanya," katanya dalam satu kenyataan.

DPPM, katanya, bersetuju dengan teguran baginda supaya kementerian pertahanan memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

"Kerajaan juga beri perhatian terhadap teguran baginda supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden," tambahnya.

Justeru, katanya, DPPM mendesak kerajaan supaya mengkaji balik pemberian kontrak pembekalan kelengkapan tentera.

"Kontrak pembekalan kelengkapan tentera pula perlu dibuat secara tender terbuka dan menyerahkannya kepada mereka yang benar-benar berhak dan layak," tambahnya.

Selain itu, kata Dr Raja Ahmad, hanya kelengkapan yang memenuhi kualiti yang ditetapkan sahaja boleh diluluskan dengan melihat kepada teknologi semasa bagi menunjukkan kekuatan keselamatan negara serta menakutkan kepada musuh-musuh negara.

"Jangan nanti negara lain mentertawakan tahap keselamatan negara kerana masih menggunakan peralatan yang usang, lupus tarikh dan ketinggalan zaman bagi menghadapi pertempuran," tambahnya.

Zahid Hamidi: Isu harga RIV untuk elit tentera disiasat

Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang diutarakan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.

Beliau berkata kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas.

"Kementerian Pertahanan mengambil maklum terhadap komen baginda dengan cara positif di mana saya sendiri akan lakukan penyiasatan terhadap perbezaan di antara harga RIV yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.

"Mungkin terdapat spesifikasi yang berbeda yang akan saya teliti," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai titah Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor Sabtu lepas.

Ahmad Zahid yang ditemui selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Staf Angkatan Tentera Republik China, Jeneral Ma Xiaotian di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, berkata beliau menghargai pandangan tersebut dan sekali gus menunjukkan keprihatinan baginda terhadap peralatan yang sedang dan terus digunakan oleh Rejimen Gerak Khas.

"Keprihatinan ini adalah suatu yang perlu dihargai oleh kementerian (pertahanan) dan tentunya akan diambil kira sebagai panduan terutamanya dalam pembelian aset-aset dan peralatan di bawah naungan baginda," katanya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim pada Sabtu lepas melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Baginda bertitah dalam usaha kerajaan mengawal belanjawan dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang tinggi.

Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini.

"...janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat kali ganda," titah Sultan Ibrahim.
- Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .