Ikuti Blog ini

[BERGAMBAR & VIDEO] Taufan Sandy: New York Hampir Tenggelam






New York – Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kotaraya New York dan Sandy adalah taufan yang paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.

Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga menyebabkan bandaraya itu terputus bekalan elektrik.

Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River, memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang, Isnin, akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.

“Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah, walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam Isnin.

Beliau, yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu, berkata air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumahnya.

Beliau yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.

“Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja, yang turut tinggal di kompleks yang sama,” katanya.

Katanya, sekitar pukul 2 dan 3 petang, langit menjadi sangat gelap dan aliran air sungai East River bergelombang sangat kuat.

Kebanyakan mereka yang tinggal di bangunan kompleks itu bekerja dengan jabatan dan agenci kerajaan Malaysia yang berpejabat di New York.

Kawasan tengah pulau Manhattan itu tidak berada dalam zon yang terjejas teruk dan wajib pindah.

Beberapa rakyat Malaysia yang menetap di Brooklyn pula, antara lain, menggunakan laman sosial Facebook memaklumkan mengenai kejadian angin kencang serta merasai bangunan pangsapuri mereka seakan bergegar.

Beberapa rakyat Malaysia di Connecticut melaporkan turut mengalami putus bekalan elektrik dan seorang daripada mereka pernah berpengalaman terputus bekalan elektrik sehingga sepuluh hari semasa berlakunya taufan Irene pada tahun lepas.

Dalam komunikasi menerusi laman Facebook, beliau melahirkan kebimbangan memandangkan stok makanan sejuknya terutamanya daging halal akan rosak sekiranya gangguan bekalan elektrik berpanjangan.

Kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal di negeri-negeri yang terlibat dengan taufan Sandy seperti di Maryland, Virgina, Delaware, New Jersey, New York, Connecticut, memaklumkan mengenai keadaan mereka pada status laman Facebook mereka.

Antaranya memaklumkan mengenai angin yang sangat kencang dan maklumat terkini mengenai kawasan mereka.

Sementara itu, penulis sendiri menerima beberapa amaran kecemasan melalui telefon bimbit daripada Pengurusan Kecemasan sejak petang semalam sehingga malam Isnin.

Antara amaran yang dikeluarkan ialah “Emergency Alert in this area until 8 am, Take Shelter Now,NYC-OEM”.

Bagaimanapun, penulis dan keluarga tidak terjejas teruk dengan taufan Sandy, kerana kedudukan kediaman penulis di kompleks apartmen yang berbentuk U selain unit rumah yang terletak di tingkat paling bawah.

Kawasan tempat tinggal yang berada di kawasan tinggi dan dikelilingi bangunan-bangunan kompleks apartmen yang lain, turut menyelamatkan keadaan. – BERNAMA








Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .