Ikuti Blog ini
Ganjaran RM1 juta untuk atlet dibantah keras ,Khamis, Jun 26, 2008 at 26.6.08,
Pengumuman Timbalan Perdana Mneteri Dato' Najib Tun Razak untuk memberi ganjaran 'durian runtuh' sebanyak RM1 juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 dibantah keras oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Ini termasuklah juga untuk menganugerahkan atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan kepada RM300,000 dan pingat gangsa RM100,000.
PKPIM berpendapat kerajaan sanggup mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet di saat rakyat menghadapi keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi.
"Insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.
"Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak," kata Presidennya Mohd Hilmi Ramli dalam satu kenyataan medianya.
Katanya, ganjaran mewah bukan jaminan atlet untuk menjadi cemerlang malah kerajaan tidak sepatutnya membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara yang sewajarnya dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara.
"Memberi 'umpan' mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat 'dibelai' dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?" soalnya lagi dan menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran yang sepatutnya diberi secara berpatutan.
Kata Hilmi lagi, seandainya dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat di samping mendidik atlet supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah 'perjuangan mati dan hidup' sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata.