Polis pakai tafsiran sendiri
Ha….hati2 kalau bawa motor…tak semua pemandu motor boleh pakai serban…silap haribulan kena saman….
KOTA BHARU: “Orang Kena Saman (OKS) beritahu saya, dia pelajar pondok dan pada pemahaman saya dia masih lagi seorang pelajar,” kata seorang anggota polis dalam perbicaraan terhadap seorang pelajar pondok berserban yang didakwa melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Saksi pendakwa yang bertugas sebagai anggota Unit Peronda, Konstabel Che Sidek Omar Mat Hassan, berkata pelajar terbabit ketika ditahan memberitahu statusnya sebagai pelajar pondok, maka tindakan saman boleh diambil kerana pelajar terbabit belum layak dianggap lebai kerana masih belajar.
Menurutnya, dia memahami Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975 menyatakan pengecualian saman hanya untuk seseorang bergelar haji, hajah, Sikh dan lebai.
Prosiding itu berlangsung di hadapan Majistret Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra selepas pelajar Madrasah al-Diniah al-Bakriah, Pusat Pengajian Islam Pondok, dekat Pasir Tumboh, Ahmad Nasir Darus, 27, mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar di Jalan Pasir Tumboh di sini, jam 6.30 petang pada 20 September 2007.
Pemuda itu didakwa mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh menyebabkan didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat, manakala Ahmad Nasir selaku OKS diwakili peguam, Ahmad Rizal Affande Zainol.
Menurut Che Sidek, pelajar terbabit tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban dengan ikatan kemas dan pada masa sama tidak menunjukkan sebarang dokumen menyatakan dia dikecualikan memakai topi keledar.
Terdahulu, saksi itu turut disoal Ahmad Rizal mengenai pemahamannya terhadap peruntukan Kaedah Motosikal yang menyebut pengecualian saman.
Ahmad Rizal merujuk maksud lebai dipetik dari Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermaksud orang yang tahu tentang agama, orang yang melakukan kerja bersangkutan agama dan gelaran kepada orang yang tahu hal ehwal atau taat kepada agama.
Che Sidek yang sudah enam tahun bertugas sebagai anggota polis, memberitahu dia mendapati Ahmad Nasir itu mempunyai ciri seorang lebai, tetapi tidak bersetuju cadangan Ahmad Rizal saman terhadap pelajar berkenaan menyalahi Pemberitahuan Pengecualian 1975 bagi Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar Keselamatan) 1973.
Ketika prosiding, Ahmad Rizal turut meminta saksi pendakwa menunjukkan bukti dirinya beragama Islam kepada mahkamah, sebelum Che Sidek bersetuju mengucap dua kalimah syahadah serta menyatakan maksudnya di hadapan majistret bagi membuktikan kepada mahkamah dia beragama Islam.
Kemudiannya, Tengku Amalin menetapkan 21 Julai nanti sebagai tarikh hujahan bertulis kedua-dua pihak, diikuti hujahan balas peguam bela dan hujahan pihak pendakwa masing-masing pada 4 dan 18 Ogos ini, sebelum keputusan kes ditetapkan pada 15 September depan.
Selesai prosiding berkenaan, Ahmad Nasir disambut dan diiringi kira-kira 100 pelajar pondok tempat dia belajar yang juga hadir dengan berserban dan berjubah.
Sebaik Ahmad Nasir keluar dari dewan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari, mereka berkumpul dan mengamimkan doa dibacakan seorang daripada rakannya.